|

PERAGA KEMEWAHAN DI MEDIA SOSIAL

Kejahatan ada pintunya manakala sifat ujub takbur ialah kunci yang membuka pintu itu.

Individu yang mempunyai sifat buruk ini akan terjebak dalam banyak perbuatan hodoh di mana dia berbangga dengan dirinya dan berperasaan lebih tinggi dan mulia berbanding orang lain.

Sejarah umat dahulu menunjukkan bahawa orang-orang yang ujub takbur merupakan golongan pertama yang mendustakan para nabi dan rasul lalu mereka halang dakwah disampaikan.

Orang yang ujub takbur melihat dirinya hebat manakala orang-orang lain cacat dan hina dek kelebihan yang Allah ﷻ berikan kepadanya sama ada dalam bentuk kemewahan harta, kecantikan rupa, kedudukan dalam masyarakat dan sebagainya sedangkan ia semua hanyalah kesenangan dunia yang sementara.

Nikmat akhirat jualah yang baik bagi para hamba Allah ﷻ bertakwa.

Jika orang ujub takbur itu tahu betapa besarnya kemurkaan Allah ﷻ atasnya nescaya dia akan segara meninggalkan sifat buruk itu.

Ujub ialah rasa kagum dengan diri sendiri atas suatu nikmat kelebihan dan merasa senang dengan kelebihan itu kerana ia suatu kebaikan buat diri, bukan kerana ia kurniaan daripada Tuhan.

Dia merasa kagum kerana kelebihan itu ada pada dirinya, bukan kerana ia nikmat daripada Allah ﷻ.

Takbur pula ialah perasaan tinggi diri, menganggap diri lebih mulia dan bagus berbanding orang lain.

Sedangkan Nabi ﷺ bersabda:

بَيْنَمَا رَجُلٌ يَمشِي في حُلَّةٍ تُعْجِبُهُ نَفْسُهُ، مُرَجِّلٌ رَأسَهُ، يَخْتَالُ فِي مَشْيَتهِ، إِذْ خَسَفَ اللهُ بِهِ، فَهُوَ ‌يَتَجَلْجَلُ في الأَرضِ إِلَى يَوْمِ القِيَامَةِ.

“Ketika seorang itu memakai pakaian dalam keadaan ujub, rambutnya tersisir, dan dia berjalan dengan penuh sombong lalu bumi menenggelamkannya dan dia terus meronta-ronta dalam perut bumi sampai ke Hari Kiamat.”

[Hadis sahih. Riwayat Bukhari dan Muslim]

Sabdanya ﷺ:

لَا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ مَنْ كَانَ فِي قَلْبِهِ مِثْقَالُ ذَرَّةٍ مِنْ كِبْرٍ. الْكِبْرُ بَطَرُ الْحَقِّ، وَغَمْطُ النَّاسِ.

“Tidak akan masuk syurga sesiapa yang dalam hatinya ada sifat takbur walaupun sebesar biji sawi. Takbur bermaksud menolak kebenaran dan memandang hina orang lain.”

[Hadis sahih. Riwayat Muslim]

Usah diperagakan kemewahan.

Kerana Nabi ﷺ bersabda:

إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْعَبْدَ التَّقِيَّ الْغَنِيَّ الْخَفِيَّ.

“Sesungguhnya Allah menyukai hamba yang bertakwa, berkecukupan (tidak meminta-minta) dan al-khafiy.”

[Hadis sahih. Riwayat Muslim]

al-Khafiy ialah orang yang menyembunyikan dirinya dengan beribadah, membaiki diri dan tidak menunjukkan amalannya kepada orang lain.

Sedangkan perbuatan menunjuk-nunjuk, suka popular dan ingin terkenal bercanggah dengan sifat al-khafiy ini.

Justeru kata al-Fudhail bin Iyadh:

إنْ قُدِرْتَ أن لا تُعْرَف فَافْعَل، وَمَا عَلَيْكَ ألاَّ تُعْرَف؟ وَمَا عَلَيْكَ ألاَّ يُثْنَى عَلَيْك؟ وَمَا عَلَيْكَ أن تَكُونَ مَذْمُومًا عِنْدَ النَّاسِ إذَا كُنْتَ مَحْمُودًا عِنْدَ اللهِ عَزَّ وَجَل؟

“Jika engkau dapat biarkan dirimu tidak dikenali maka lakukanlah. Ada apa jika engkau tidak dikenali? Ada apa jika engkau tidak dipuji? Ada apa jika engkau dicela oleh manusia tetapi dipuji oleh Allah ﷻ?

[al-Tawaduk oleh Ibnu Abi al-Dunia, hlm. 43]

Pentingnya sifat tawaduk menjauhkan diri daripada sifat menunjuk-nunjuk terutamanya di media sosial.

Semoga Allah ﷻ pelihara kita daripada fitnah cubaan media sosial.

Dr. Idris bin Sulaiman
Kajang
03 Syaaban 1444H
24 Februari 2023

Similar Posts

  • |

    BIDAAH

    Apa yang bukan ibadah pada zaman Rasulullah tidak mungkin jadi ibadah pada hari ini. Kerana agama sudah sempurna. Apa yang Nabi dan Sahabat tidak buat jangan buat. Dr. Idris bin SulaimanKajang29 Syawal 1445H08 Mei 2024https://idrissulaiman.com

  • |

    PAKAI BIJI TASBIH DI LEHER?

    Anehnya ada Muslim memakai biji tasbih di leher. Malah seorang ustaz lagi. Sedangkan penggunaan biji tasbih untuk berzikir pun dibahaskan oleh para alim ulama mengenai sejauh mana kewajarannya, inikan pula memakai biji tasbih di leher. Sangat tidak wajar. Jelasnya tasyabuh menyerupai gaya pakaian penganut agama lain. Sedangkan hal ini dilarang…

  • DALIL YANG BUKAN DALIL

    – Zawq, kasyaf, ilham, mimpi, majoriti, al-Sawad al-A’zam, jumhur ulama, khilaf Umat Islam sejak dahulu sepakat mengatakan bahawa sumber dalil agama ialah Al-Quran dan as-Sunah. Tetapi bagi sesiapa yang mengikuti perbahasan hal-hal agama khususnya di media sosial akan mendapati bahawa kini telah muncul pelbagai bentuk dalil lain yang dijadikan sebagai…

  • |

    SABAR

    Seorang Muslim perlu sabar menghadapi musibah. Sabar adalah wajib sehinggalah musibah yang melanda itu hilang dan diangkat oleh Allah ﷻ. Justeru perlu dielakkan perkataan-perkataan seperti berikut: Firman Allah ﷻ: وَٱصۡبِرُوٓاْۚ إِنَّ ٱللَّهَ مَعَ ٱلصَّٰبِرِينَ “Bersabarlah! Sesungguhnya Allah bersama orang yang sabar.” [al-Quran, al-Anfal, 8:46] Daripada Allah jua kita memohon petunjuk….

  • |

    SIKAP MUSLIM MENANGANI ISU KHILAFIAH

    Sebahagian berpandangan bahawa Muslim tidak perlu bertegas dalam isu-isu khilafiah. Sebaliknya Muslim boleh memilih mana-mana pendapat mengikut mazhabnya, pandangan ulama atau guru yang dikenalinya, amalan masyarakat atau pendapat yang sesuai dengan situasi yang dihadapinya. Seolah-olah semua pendapat yang berbeza itu betul dan boleh diterima. Ini salah dan tidak betul. Muslim…

  • | | |

    PASANGAN YANG BUATKAN RAMBUT BERUBAN SEBELUM MASANYA

    Antara doa yang diajarkan oleh Nabi ﷺ ialah memohon perlindungan daripada lima golongan manusia iaitu: اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ جَارِ السُّوءِ، وَمِنْ زَوْجٍ تُشَيِّبُنِي قَبْلَ الْمَشِيبِ، وَمِنْ وَلَدٍ يَكُونُ عَلَيَّ رَبًّا، وَمِنْ مَالٍ يَكُونُ عَلَيَّ عَذَابًا، وَمِنْ خَلِيلٍ مَاكِرٍ عَيْنَهُ تَرَانِي وَقَلْبُهُ يرْعَانِي إِنْ رَأَى حَسَنَةً دَفَنَهَا، وَإِذَا رَأَى…