|

PEGAWAI ARAB vs USTAZ

– Baca Al-Quran di Kubur Siti Khadijah, Mekah

– Menghadiahkan bacaan Al-Quran menurut Imam al-Syafie

Tular rakaman video seorang pegawai Arab menegur sekumpulan jemaah umrah dari beberapa buah negara termasuk Malaysia di Perkuburan Ma’la, Mekah tempat letaknya kubur isteri Nabi ﷺ, Khadijah binti Khuwailid radiallahuanha.

Kedengaran pegawai Arab berkenaan berkata “Ayuh pak haji bergerak, bergerak. Pergi ke masjid, bukan ke sini. Masjid al-Haram lebih bagus!”

Kelihatan kemudian pegawai Arab itu menegur seorang ustaz dari Malaysia supaya tidak mengkhususkan bacaan Al-Quran di kubur tetapi tegurannya itu disangkal oleh sang ustaz yang mendakwa bahawa beliau tidak membuat pengkhususan sedemikian sebaliknya turut membaca Al-Quran di hotel, di stesen (bas), dalam kereta…

Pegawai Arab itu menegaskan bahawa membaca Al-Quran di masjid lebih utama dan tiada keperluan sama sekali buat para jemaah umrah datang membaca Al-Quran di kubur.

Tetapi sang ustaz tetap berkeras dengan pendiriannya bahawa membaca Al-Quran di kubur diberi pahala dan mendakwa bahawa Imam al-Syafie turut menganjurkannya dan berpendirian bahawa jika dikhatamkan Al-Quran juga bagus.

Pegawai Arab itu meminta supaya dikemukakan hadis yang menyokong pandangan tersebut tetapi sang ustaz membalas dengan meminta pegawai itu yang mengemukakan hadis yang melarang perbuatan ustaz itu.

Kelihatan pegawai itu kemudian beredar.

ULASAN

1. Dakwaan bahawa Imam al-Syafie menganjurkan amalan menghadiahkan pahala bacaan Al-Quran kepada orang mati seperti mana yang dinyatakan oleh al-Nawawi dalam kitabnya Riyadus Salihin perlu ditinjau semula kerana ia tidak didapati dalam mana-mana kitab Imam al-Syafie sendiri sehingga sebahagian ulama meraguinya memandangkan mazhab beliau menetapkan bahawa menghadiahkan pahala bacaan Al-Quran kepada orang mati tidak sampai kepadanya sebagaimana yang dinukilkan oleh Ibnu Kathir dalam kitab Tafsirnya apabila mentafsirkan firman Allah ﷻ “Dan sesungguhnya tidak ada balasan bagi seseorang melainkan balasan apa yang diusahakannya” (Al-Quran, al-Najm, 53:39).

Menariknya al-Nawawi sendiri turut mengakui hal ini dalam mukadimah kitabnya Syarah Sahih Muslim dan berkata:

وَأَمَّا قِرَاءَةُ الْقُرْآنِ فَالْمَشْهُورُ مِنْ مَذْهَبِ ‌الشَّافِعِيِّ أَنَّهُ لَا يَصِلُ ثَوَابُهَا إِلَى الْمَيِّتِ… وَدَلِيلُ ‌الشَّافِعِيِّ وَمُوَافِقِيهِ قَوْلُ اللَّهِ تَعَالَى وَأَنْ لَيْسَ لِلْإِنْسَانِ إِلَّا مَا سَعَى وَقَوْلُ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا مات بن آدَمَ ‌انْقَطَعَ ‌عَمَلُهُ…

“Adapun bacaan Al-Quran, pandangan yang masyhur dalam mazhab al-Syafie ialah bahawa pahalanya tidak sampai kepada si mati… dan dalil (Imam) al-Syafie dan mereka yang sependapat dengan beliau ialah firman Allah “Dan sesungguhnya tidak ada balasan bagi seseorang melainkan balasan apa yang diusahakannya” (Al-Quran, al-Najm, 53:39) dan sabda Nabi ﷺ “Jika anak Adam mati maka terputuslah amalannya…” (Sahih. Riwayat Muslim).

[Syarah Sahih Muslim oleh al-Nawawi, 1/90]

2. Kelihatan sang ustaz keliru tentang maksud ‘mengkhususkan bacaan Al-Quran di kubur’ sehingga beliau menafikannya dengan alasan bahawa beliau turut membaca Al-Quran di tempat-tempat lain.

Apa yang dimaksudkan dengan ‘mengkhususkan bacaan Al-Quran di kubur’ ialah amalan sebahagian masyarakat Islam pergi ke kubur dengan tujuan untuk membaca Al-Quran, tidak kira sama ada untuk membaca surah Yasin atau yang lain.

Maksud pegawai Arab itu jelas kerana sang ustaz itu benar-benar telah datang dari jauh semata-mata untuk menziarahi kubur yang ada di situ lalu membaca Al-Quran.

Daripada banyak-banyak tempat yang ada di Mekah beliau telah memilih untuk pergi ke kubur, dan daripada banyak-banyak kitab yang ada beliau telah memilih untuk membaca kitab suci Al-Quran di kubur.

Itulah maksud ‘mengkhususkan bacaan Al-Quran di kubur’.

Maksud teguran pegawai Arab itu jelas cuma zahirnya sang ustaz lebih suka melawan dan membantah.

3. Memang patut pegawai Arab itu meminta daripada sang ustaz mengemukakan hadis yang menyokong pandangannya kerana demikianlah sepatutnya cara setiap Muslim beramal. Berpandukan hadis Nabi ﷺ.

Dan sememangnya tidak ada hadis yang menyokong amalan menghadiahkan pahala bacaan Al-Quran kepada orang mati.

Malah zahir makna nas Al-Quran “Dan sesungguhnya tidak ada balasan bagi seseorang melainkan balasan apa yang diusahakannya” dan hadis “Jika anak Adam mati maka terputuslah amalannya…” menunjukkan bahawa menghadiahkan pahala bacaan Al-Quran kepada orang mati tidak sampai kepadanya sebagaimana pendirian Imam al-Syafie di atas.

Kelihatan sang ustaz kurang menguasai ilmu agama apabila beliau meminta daripada pegawai Arab itu memberikan hadis yang melarang perbuatannya membaca Al-Quran di kubur.

Beliau seolah-olah mahukan adanya hadis spesifik seperti ‘jangan baca Al-Quran di kubur’ sedangkan hadis seperti itu sememangnya tidak ada.

Tetapi begitu juga dengan larangan membaca Al-Quran dalam tandas di mana tidak ada hadis spesifik seperti ‘jangan baca Al-Quran dalam tandas’ tetapi ini tidak bererti bahawa ia tidak dilarang.

Sebenarnya ada dalil larangan iaitu istinbat daripada perbuatan Nabi ﷺ dan para Sahabat yang tidak pernah walau sekali pergi ke kubur untuk membaca Al-Quran dan menghadiahkan pahala bacaannya kepada orang mati.

Untuk lebih jelas lagi, Nabi ﷺ sesudah berhijrah ke Madinah telah datang ke Mekah sebanyak empat kali; tiga kali untuk umrah dan sekali untuk haji.

Tidak pernah walau sekalipun Nabi ﷺ menziarahi kubur isterinya Khadijah radiallahuanha dan menghadiahkan pahala bacaan Al-Quran kepadanya sedangkan maklum bahawa baginda ﷺ sangat sayang kepadanya sehingga isterinya Aisyah radiallahuanha cemburu.

Adakah sang ustaz dan para jemaahnya mahu mendakwa lebih sayang kepada Khadijah radiallahuanha berbanding Rasulullah ﷺ sendiri? Tidak mungkin.

Adapun hadis:

انْصِبُوا لي خِيمَةً عِنْدَ قَبْرِ خَدِيجَة.

“Tegakkan untukku sebuah khemah di kubur Khadijah.”

Riwayat ini tidak sabit daripada Nabi ﷺ dan tidak diketahui sumbernya kecuali dari mulut sesetengah pendakwah di Timur Tengah.

4. Pegawai Arab itu nampak tegas dan profesional.

Beliau sekadar menyampaikan tegurannya kerana itulah tugasnya di situ bagi memastikan hal-hal khurafat dan syirik tidak berlaku seperti mana di sesetengah negara.

Apabila melihat sang ustaz berdegil maka beliau terus beredar agar situasi tidak bertukar tegang lalu mengeruhkan keadaan.

——————-

Kuburiyyun (Golongan Penyembah Kubur):

KUBURIYYUN – GOLONGAN PENYEMBAH KUBUR

Kuburiyyun (2):

KUBURIYYUN (2) – GOLONGAN PEMUJA KUBUR

——————-

CATATAN

Mujur pegawai Arab itu tidak mengambil tindakan ke atas sang ustaz kerana ‘menghalang tugas penjawat awam’.

Tetapi kalau diambil tindakan sekalipun ustaz boleh sahaja baca Al-Quran dalam lokap balai ‘pulis’.

Daripada Allah jua kita memohon petunjuk dan bimbingan.

Idris bin Sulaiman
Kajang
03 Zulkaedah 1443H /
03 Jun 2022

Similar Posts

  • |

    ZUHUD

    – Pengertian zuhud – Rusuhan bola sepak Muslim dianjurkan supaya berzuhud dengan dunia. Sabda Nabi ﷺ: ازهَدْ في الدُّنيَا يُحِبَّكَ اللهُ، وازهَدْ فِيمَا عِندَ النَّاسِ يُحِبَّكَ النَّاسُ. “Berzuhudlah di dunia nescaya engkau akan dicintai Allah dan berzuhudlah daripada apa yang dimiliki oleh manusia nescaya mereka akan mencintaimu.” [Hasan. Riwayat Ibnu…

  • |

    LARANGAN PERCAYA & MEMINTA TOLONG JIN SYAITAN

    Muslim ditegah daripada bertanya kepada jin dan syaitan, meminta tolong daripada mereka bagi mengetahui apa penyakit yang dihadapi, cara merawatnya dan sebagainya. Meminta tolong jin dan syaitan adalah haram, boleh menjebakkan orangnya dalam syirik. Firman Allah ﷻ: وَأَنَّهُۥ كَانَ رِجَالٞ مِّنَ ٱلۡإِنسِ يَعُوذُونَ بِرِجَالٖ مِّنَ ٱلۡجِنِّ فَزَادُوهُمۡ رَهَقٗا “Dan bahawanya…

  • |

    SYUKUR, SABAR & ISTIGHFAR

    Kata Syeikh Saleh al-Fauzan: Jika diberi bersyukur, jika diuji bersabar dan jika terbuat dosa beristighfar. Muslim perlu kepada ketiga-tiga perkara ini untuk bahagia. Kerana kebahagiaan hakiki itu bukan dengan harta dan anak, bukan dengan kuasa dan jawatan, dan bukan dengan mengisi keinginan nafsu dan syahwat. Sebaliknya kebahagiaan itu dengan bertakwa…

  • |

    JAUHI PERKARA SYUBHAH

    Sabda Nabi ﷺ: إِنَّ الحَلالَ بَيِّنٌ وَإِنَّ الحَرَامَ بَيِّنٌ وَبَيْنَهُمَا أُمُوْرٌ مُشْتَبِهَات لاَ يَعْلَمُهُنَّ كَثِيْرٌ مِنَ النَّاس،ِ فَمَنِ اتَّقَى الشُّبُهَاتِ فَقَدِ اسْتَبْرأَ لِدِيْنِهِ وعِرْضِه، وَمَنْ وَقَعَ فِي الشُّبُهَاتِ وَقَعَ فِي الحَرَامِ. “Apa yang halal itu jelas dan apa yang haram itu jelas, dan di antara kedua-duanya terdapat perkara-perkara syubhah yang…

  • |

    MENGKRITIK & MENGUTUK NEGARA TANAH SUCI

    Ada pihak-pihak di media sosial yang mengkritik dan mengutuk secara terbuka negara Tanah Suci, Arab Saudi dengan dakwaan bahawa ia tidak lagi mengikut hukum syariat dan kini sudah semakin liberal. Tidak dinafikan negara itu ada kelemahan dan kesalahan. Tetapi harus difikirkan apakah maslahat di sebalik kritikan terbuka sebegini? Adakah ia…