MENJAWAB 19 TUDUHAN ‘AJARAN WAHABI’
Berikut jawapan ringkas terhadap 19 tuduhan mengenai ‘Ajaran Wahabi’.
TUDUHAN PERTAMA:
Meyakini Allah di Langit;
Ahli Sunah Waljamaah (ASWAJA)
Percaya Allah Wujud Tanpa Bertempat
JAWAPAN:
Golongan Salaf meyakini bahawa Allah ﷻ di atas langit, bukan di dalam langit. Allah ﷻ di atas Arasy, ‘istawa’ meninggi dan tetap di atasnya (bukan bersemayam), sebagaimana firman Allah ﷻ:
ٱللَّهُ ٱلَّذِي خَلَقَ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضَ وَمَا بَيۡنَهُمَا فِي سِتَّةِ أَيَّامٖ ثُمَّ ٱسۡتَوَىٰ عَلَى ٱلۡعَرۡشِ
“Allah, Tuhan yang menciptakan langit-langit dan bumi serta segala yang ada di antara kedua-duanya dalam enam masa, kemudian Dia ‘istawa’ (meninggi dan tetap) di atas Arasy.”
[Al-Quran, al-Sajdah, 32:4]
Di samping banyak nas lain.
Asyairah menafikan makna ‘istawa’ dalam ayat di atas dan mentakwil maknanya kepada ‘istaula’ yakni menakluk. Takluk bermaksud menundukkan, mengalahkan dan menguasai. Persoalannya, Allah menakluki Arasy daripada siapa? Siapakah yang ditundukkan dan dikalahkan? Allah menguasai Arasy daripada siapa? Hal ini tidak pernah dijelaskan oleh Asyairah.
Kenyataan Asyairah “Allah wujud tanpa bertempat” mengelirukan. Tambah keliru apabila mereka berkata “Allah bukan dalam atau luar, bukan atas atau bawah, bukan sebelah kanan atau kiri, bukan depan atau belakang”. Hampir sahaja mereka nafikan kewujudan Allah ﷻ dengan kenyataan sebegini.
Justeru, Salafi menegaskan bahawa Allah ﷻ di atas langit, terpisah daripada makhluk, meninggi dan tetap atas Arasy. Kenyataan yang terang, jelas dan tuntas. Sedangkan penjelasan lawan pula berpusing-pusing dan berbelit-belit. Kesudahannya ditanyakan kepada Asyairah untuk ke sekian kalinya, di mana Allah? Jawapannya perlu dalam bentuk penetapan, bukan penafian.
TUDUHAN KEDUA:
Memahami Al-Quran & Hadis
Secara Zahir Sahaja
JAWAPAN:
Kenyataan di atas tidak tepat.
Salafi menegaskan bahawa Al-Quran dan hadis tidak boleh difahami secara zahir semata-mata. Sebaliknya kedua-duanya wajib difahami mengikut fahaman para Sahabat Nabi ﷺ selaku generasi Islam pertama yang telah menerima Al-Quran dan hadis langsung dari mulut baginda ﷺ. Justeru para Sahabat lebih faham Al-Quran dan hadis berbanding yang lain.
TUDUHAN KETIGA:
Memusuhi Fahaman ASWAJA;
Asyairah & Maturidiah
JAWAPAN:
Golongan Salaf bukan sahaja dimusuhi oleh Asyairah dan Maturidiah malah dimusuhi oleh rata-rata kumpulan Islam termasuklah Khawarij, Syiah, Jahmiah, Muktazilah, tarekat-tarekat Sufi, pentaasub mazhab, Jemaah Tabligh, Ikhwan Muslimin dan lain.
Ini kerana perbezaan ajaran yang dibawa oleh kumpulan-kumpulan ini, sedangkan Salafi mengajak umat Islam kembali kepada ajaran Islam sebenar seperti yang diajar oleh Nabi ﷺ kepada para Sahabat sebelum munculnya kumpulan-kumpulan Islam di atas.
TUDUHAN KEEMPAT:
Membidaahkan Amalan Khilafiah
JAWAPAN:
Tidak benar.
Harus dibezakan antara khilaf muktabar dengan khilaf tidak muktabar.
Khilaf muktabar merujuk kepada permasalahan yang ada tiada nas sahih atau nas jelas sehingga mengharuskan ijtihad dan berbeza pendapat. Contohnya perbezaan ulama mengenai perincian permasalahan fikah seperti lafaz bacaan doa iftitah, bacaan tasyahud, cara turun sujud mendahulukan tangan atau lutut dan lain.
Sedangkan khilaf tidak muktabar pula merujuk kepada khilaf yang menyalahi nas sahih yang jelas seperti wajibnya membaca al-Fatihah dalam solat, sunahnya solat istisqa, harusnya menyapu khuf dan sebagainya. Menganggap permasalahan-permasalahan ini sebagai khilafiah adalah salah.
Amalan-amalan bidaah merujuk kepada amalan yang tidak dilakukan oleh Rasulullah ﷺ dan para Sahabat serta dilarang oleh syariat sebagaimana dalam hadis:
مَنْ أَحْدَثَ فِي أَمْرِنَا هَذَا مَا لَيْسَ فِيهِ فَهُوَ رَدٌّ.
“Barang siapa mengada-adakan sesuatu yang baharu dalam urusan kita ini (agama) maka ia adalah tertolak.”
[Riwayat Bukhari & Muslim]
Dan sabdanya ﷺ:
مَنْ عَمِلَ عَمَلًا لَيْسَ عَلَيْهِ أَمْرُنَا فَهُوَ رَدٌّ.
“Barang siapa melakukan sesuatu amalan yang tidak menepati cara kami maka ia adalah tertolak.”
[Riwayat Muslim]
Menganggap suatu ibadah yang tidak pernah dilakukan oleh Nabi ﷺ dan para Sahabat sebagai suatu amalan yang boleh dilakukan kerana ia termasuk dalam perkara khilafiah adalah mengelirukan kerana amalan sedemikian jelas bertentangan dengan hadis- hadis di atas.
Ditanyakan kepada mereka, apakah amalan ibadah yang bidaah lagi sesat dalam agama? Adakah ia benar-benar wujud atau tidak? Mohon disenaraikan, jika ada. Apa yang pasti, Nabi ﷺ bersabda:
فَإِنَّ خَيْرَ الْحَدِيثِ كِتَابُ اللَّهِ وَخَيْرُ الْهُدَى هُدَى مُحَمَّدٍ وَشَرُّ الْأُمُورِ مُحْدَثَاتُهَا وَكُلُّ بِدْعَةٍ ضَلَالَةٌ.
“Sesungguhnya sebaik-baik perkataan ialah Kitab Allah dan sebaik-baik petunjuk ialah petunjuk Muhammad, dan seburuk-buruk perkara ialah apa yang diada-adakan dan setiap bidaah sesat.”
[Riwayat Muslim]
TUDUHAN KELIMA:
Semua Bidaah Dholalah;
Tiada Bidaah Hasanah
JAWAPAN:
Benar, demikian sabda Nabi ﷺ dalam hadis-hadisnya.
Adapun mereka yang mendakwa adanya bidaah hasanah maka apakah dalil mereka? Seharusnya dibawakan dalil daripada Al-Quran dan hadis di samping contoh amalan yang benar-benar bidaah hasanah yang pernah dilakukan oleh Nabi ﷺ atau para Sahabat, bukan jawapan daripada kata ulama atau ijtihad akal kerana ia tidak maksum. Sedangkan perkataan ulama harus difahami dan diluruskan mengikut Al-Quran dan hadis, bukan Al-Quran dan hadis dipaksa menurut perkataan ulama dan ijtihad akal. Ini salah. Al-Quran dan hadis wajib didahulukan.
TUDUHAN KEENAM:
Mensyirikkan Tawassul,
Tabaruk, Istighasah,
Ziarah Kubur, Qasidah & Lain
JAWAPAN:
Manusia disuruh mengikhlaskan ibadah kepada Allah ﷻ semata-mata. Demikian erti kalimah syahadah ‘La ilaha illa Allah’ (Tiada sembahan kecuali Allah). Sedangkan memalingkan mana-mana ibadah kepada selain Allah ﷻ adalah syirik.
Nas-nas Al-Quran yang mewajibkan berdoa dan meminta di alam ghaib kepada Allah ﷻ semata-mata cukup banyak. Antaranya ialah firman Allah ﷻ:
وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌۖ أُجِيبُ دَعۡوَةَ ٱلدَّاعِ إِذَا دَعَان
“Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (khabarkan): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permintaan orang yang meminta apabila dia berdoa kepadaKu.”
[Al-Quran, al-Baqarah, 2: 186]
Firman Allah ﷻ:
وَقَالَ رَبُّكُمُ ٱدۡعُونِيٓ أَسۡتَجِبۡ لَكُمۡۚ إِنَّ ٱلَّذِينَ يَسۡتَكۡبِرُونَ عَنۡ عِبَادَتِي سَيَدۡخُلُونَ جَهَنَّمَ دَاخِرِينَ
“Dan Tuhanmu berfirman: Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permintaan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadah dan berdoa kepadaKu akan masuk neraka Jahanam dalam keadaan hina.”
[Al-Quran, Ghafir, 40: 60]
Di samping kewajipan berdoa kepada Allah ﷻ, ayat Al-Quran di atas memberi ancaman azab api neraka buat mereka yang enggan.
Al-Quran turut menjelaskan bahawa perbuatan berdoa dan meminta dengan selain Allah ﷻ adalah sia-sia lagi sesat sebagaimana firman Allah ﷻ:
قُلۡ أَنَدۡعُواْ مِن دُونِ ٱللَّهِ مَا لَا يَنفَعُنَا وَلَا يَضُرُّنَا وَنُرَدُّ عَلَىٰٓ أَعۡقَابِنَا بَعۡدَ إِذۡ هَدَىٰنَا ٱللَّهُ
“Katakanlah: Patutkah kita berdoa dan meminta dengan selain Allah, sesuatu yang tidak dapat memberi manfaat kepada kita dan tidak pula dapat mendatangkan mudarat; dan (patutkah) kita berundur ke belakang (menjadi kafir musyrik) setelah kita diberi hidayah petunjuk oleh Allah (dengan Islam).”
[Al-Quran, al-An’aam, 6: 71]
Adapun meminta daripada orang mati, pergi ke kubur tertentu untuk menyeru nama-nama selain Allah ﷻ sama ada nabi, malaikat, wali, syeikh, guru, habib dan sebagainya maka ia bertentangan dengan nas-nas Al-Quran di atas.
Menziarahi kubur pula secara amnya disyariatkan bagi mengingati akhirat dan mendoakan si mati. Mengandaikan bahawa Salafi melarang ziarah kubur ialah fitnah dan dusta.
TUDUHAN KETUJUH:
Menolak Hadis Daif
JAWAPAN:
Hadis daif ialah hadis lemah yang tidak sabit daripada Nabi ﷺ. Sedangkan Nabi ﷺ melarang perbuatan menyebarkan riwayat-riwayat yang dinisbahkan kepadanya ﷺ tanpa memastikan kesahihannya terlebih dahulu.
Nabi ﷺ bersabda:
اتَّقُوا الحَدِيثَ عَنِّي إلَّا مَا عَلِمْتُمْ، فَمَنْ كَذَبَ عَلّيَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأُ مَقْعَدَهُ مِنْ النَّارِ.
“Hendaklah kamu menjauhkan diri daripada menisbahkan sesebuah hadis kepadaku melainkan dalam apa yang kamu pasti. Sesungguhnya barang siapa berdusta atas namaku maka hendaklah dia bersiap-sedia akan tempatnya dalam api neraka.”
[Sahih. Riwayat Tirmizi]
Benar, ada perselisihan ulama tentang sejauh mana dibolehkan beramal dengan hadis daif dalam fadilat amal. Ada yang membolehkan dengan syarat tertentu dan ada yang melarang. Antara ulama yang menolak hadis daif secara mutlak ialah Imam Yahya Ibnu Main, Imam Bukhari, Imam Muslim, al-Hafiz Abu Zakaria an-Nisaburi, Imam Abu Zur’ah ar-Razi, Imam Abu Hatim ar-Razi, Imam Ibnu Hibban, Imam Abu Sulaiman al-Khattabi, Ibnu Hazm, Ibnu al-‘Arabi, Ibnu Taimiah, Abu Shamah al-Maqdasi, Jalaluddin al-Dawani, Imam al-Shaukani, Siddiq Hasan Khan dan Syeikh Ahmad Syakir. Adakah semua ulama ini Wahabi? Apa yang pasti, mereka ialah tokoh-tokoh besar ilmu hadis.
Kata Imam Muslim dalam mukadimah kitab Sahihnya:
الْوَاجِبَ عَلَى كُلِّ أَحَدٍ عَرَفَ التَّمْيِيزَ بَيْنَ صَحِيحِ الرِّوَايَاتِ وَسَقِيمِهَا، وَثِقَاتِ النَّاقِلِينَ لَهَا مِنَ الْمُتَّهَمِينَ أَنْ لَا يَرْوِيَ مِنْهَا إِلَّا مَا عَرَفَ صِحَّةَ مَخَارِجِهِ.
“Adalah menjadi kewajipan atas setiap mereka yang dapat membezakan antara riwayat-riwayat yang sahih dengan yang lemah dan perawi-perawinya yang thiqah dengan mereka yang dicela supaya tidak mengambil daripadanya kecuali (hadis-hadis) yang diketahui kesahihannya.”
TUDUHAN KELAPAN:
Maulid, Tahlil, Talkin,
Solat Terawih 20 Rakaat,
Wirid Beramai-ramai,
Baca Yasin Malam Jumaat
Semuanya Bidaah
JAWAPAN:
Setiap dakwaan ini perlu diperhalusi satu persatu.
Amalan menyambut hari jadi Nabi ﷺ (maulid) sememangnya tidak disyariatkan. Tiada nas hadis mahupun amalan Sahabat yang menyokongnya. Sebaliknya ia lebih kepada tasyabuh meniru orang Kristian yang merayakan hari kelahiran Nabi Isa alaihissalam (Krismas).
Tahlil mengucapkan ‘La ilaha illa Allah’ merupakan sebaik-baik zikir yang disyariatkan. Tetapi mengkhususkannya dengan cara menggeleng-geleng kepala beramai-ramai, menetapkan bilangan jumlah, masa dan sebab tertentu harus dielakkan kerana tiada contoh daripada Nabi ﷺ.
Talkin ialah mengajarkan orang yang sedang nazak supaya mengucapkan ‘La ilaha illa Allah’. Disyariatkan sebelum dia menghembus nafas terakhirnya, bukan selepasnya setelah dikebumikan. Nabi ﷺ tidak pernah berbuat demikian sedangkan baginda ﷺ sendiri yang mengajarkan ibadah talkin ini.
TUDUHAN KESEMBILAN:
Memusuhi Para Habib
Tidak benar.
Mencintai keluarga Rasulullah ﷺ adalah wajib sebagaimana yang diperintahkan oleh agama. Ia termasuk dalam akidah Salaf al-Soleh. Muslim wajib memuliakan keluarga Rasulullah ﷺ dan dianjurkan untuk berselawat ke atas mereka terutamanya dalam tasyahud dengan membaca:
اللّهُم صّلّ عَلى مُحمّد وَعَلى آلِ مُحَمّد
“Ya Allah berilah selawat ke atas Muhammad dan keluarga Muhammad.”
Berbeza pula dengan golongan Syiah Rafidah yang memusuhi sebahagian keluarga Nabi ﷺ malah mengkafirkan mereka.
Dalam masa yang sama, Muslim dilarang daripada bersikap berlebih-lebihan dengan keluarga Nabi ﷺ, mencintai mereka dengan memuji-muji sampai pada kedudukan yang tidak sepatutnya. Sedangkan Nabi ﷺ bersabda:
لا تَطْرُوني كَمَا أطّرَت النَصَارى ابْن مَريَم فَإنمّا أنَا عَبْدُه فَقُولُوا: عَبْدَ اللهِ وَرَسُوله
“Jangan kalian memuji aku secara melampau batas sepertimana golongan Nasrani memuji Isa bin Maryam. Sesungguhnya aku adalah hambaNya. Maka katakanlah: Hamba Allah dan RasulNya.”
[Riwayat Bukhari & Muslim]
Jika Nabi ﷺ melarang perbuatan memujinya secara berlebih-lebihan maka demikian dengan ahli keluarganya ﷺ secara utama.
Adapun para habib yang membawa ajaran khurafat tahyul di samping amalan-amalan yang menyalahi Sunah Nabi ﷺ maka mereka memang selayaknya dijauhi dan ditinggalkan. Rasulullah ﷺ sendiri berlepas diri daripada mereka sebagaimana dalam hadis Telaga Haudh “Menjauh, menjauh buat mereka yang melakukan perubahan sesudah pemergianku.”
TUDUHAN KESEPULUH:
Memusuhi Orang Sufi
JAWAPAN:
Tidak benar.
Perlu dijelaskan golongan sufi yang dimaksudkan. Dahulu orang sufi merujuk kepada golongan zuhud ahli ibadah. Mereka dihormati dan disayangi. Kini yang dimaksudkan ialah golongan ahli tarekat, orang-orang yang memakai jubah, berserban dan berselendang, mengamalkan zikir dan selawat tertentu dengan menyanyi, berjoget dan bergendang. Maka ini jelas menyalahi sunah Nabi ﷺ.
TUDUHAN 11:
Menuduh ASWAJA Sebagai Syiah
JAWAPAN:
Tidak benar.
Golongan Asyairah dan Maturidiah berbeza dengan Syiah. Apatah lagi majoriti Syiah pada hari ini yang terdiri daripada kalangan Syiah Rafidah, pencela dan pengkafir Sahabat. Asyairah dan Maturidiah tidak bersikap sedemikian. Salafi berlaku adil dan berkata benar walaupun dengan lawan.
Ini berbeza dengan golongan pelampau tarekat Sufi di mana wujud persamaan antara ajaran mereka dengan Syiah. Contohnya dalam kepercayaan bahawa si guru atau imam adalah maksum, murid tidak boleh bertidak kecuali dengan arahan guru, guru tahu perkara ghaib, kepercayaan mengenai kedudukan para wali Allah dan sebagainya.
TUDUHAN 12:
Mendakwa Ikut Salaf;
Bawa Slogan Manhaj Salaf
Tapi Berakidah Allah Di Langit
JAWAPAN:
Ini benar.
Salafi, bukan Wahabi. Mengandaikan bahawa generasi Salaf al-Soleh, para Sahabat, Tabiin, Tabi Tabiin berakidah bahawa Allah bukan di langit, Allah wujud tanpa bertempat, Allah bukan dalam atau luar, bukan atas atau bawah, bukan sebelah kanan atau kiri, bukan depan atau belakang merupakan dakwaan semata-mata tanpa bukti. Maklum bahawa perkara-perkara ini hanya dibangkitkan oleh Asyairah jauh sesudah zaman Salaf al-Soleh. Sedangkan nas-nas Al-Quran dan hadis menyalahi apa yang didakwakan oleh Asyairah.
TUDUHAN 13:
Menolak Takwil
JAWAPAN:
Istilah takwil perlu diperincikan kerana asal makna takwil ialah tafsir. Sedangkan takwil di sisi Asyairah bermaksud memalingkan maksud zahir kepada maksud yang bersesuaian dengan akal mereka.
Justeru Salafi memahami ayat-ayat sifat mengikut makna zahirnya sebagaimana yang difahami oleh para Sahabat Nabi ﷺ tanpa takwil, di samping tanpa tasybih menyerupakannya dengan makhluk / manusia, tanpa taktil menafikannya, dan tanpa takyif mempersoalkan tentang bagaimana hakikat sifat-sifat Allah ﷻ tersebut kerana ia termasuk dalam perkara ghaib yang hanya Allah ﷻ sahaja yang tahu.
TUDUHAN 14:
Menolak Ulama;
Kononnya Mahu Kembali
Kepada Al-Quran & Hadis
JAWAPAN:
Ini dusta dan fitnah.
Golongan Salaf menghormati para ulama sepanjang zaman. Malah menegaskan bahawa para ulama ialah pewaris Nabi ﷺ yang wajib dijadikan rujukan oleh umat Islam. Tidak boleh bagi mana-mana Muslim untuk mengadakan pendapat baharu yang tidak dikemukakan oleh mana-mana ulama Salaf. Bermula dengan zaman Sahabat, Salafi menegaskan bahawa para ulama yang mendukung fahaman para Sahabat zaman berzaman perlu didahulukan termasuklah keempat-empat ulama mazhab fikah iaitu Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam Syafie dan Imam Ahmad yang masing-masing menegaskan prinsip pegangan Salaf bahawa ‘Jika hadisnya sahih maka itulah mazhabku.”
Realitinya, pihak lawan yang sebenarnya menolak ulama dan memilih tokoh-tokoh tertentu sahaja untuk bertaklid dan taasub kepadanya. Sebagaimana mereka memilih satu mazhab fikah sahaja dan menolak yang lain, mereka juga tidak memperakui pendirian dan amalan para Sahabat, jauh sekali mahu meneladani mereka.
TUTUDAHAN 15:
Tuduh Orang Ziarah Kubur
Penyembah Kubur
JAWAPAN:
Sekali lagi, ini dusta, fitnah dan mengata apa yang tidak dikata.
Sebetulnya menziarahi kubur memang dianjurkan dan disyariatkan untuk mengingati hari akhirat dan mendoakan si mati. Adapun meminta tolong, menyeru dan memanggil si mati, mengharapkan bantuan dan syafaat di samping percaya bahawa si mati mempunyai kuasa-kuasa tertentu, mampu menolong dan memberi manfaat kepada orang yang hidup atau menjauhkannya daripada mudarat maka ini menyalahi syariat dan membawa kepada syirik sebagaimana dalam banyak nas Al-Quran dan hadis.
TUDUHAN 16:
Mensyirikkan Pemakai Logo Capal
JAWAPAN:
Tidak benar.
Tidak dinafikan bahawa perbuatan memakai logo capal perlu dielakkan kerana boleh membuka banyak pintu kerosakan. Tetapi menghukum syirik atau kufur atas orangnya tidak boleh sama sekali kerana dilarang keras agama sebagaimana sabda Nabi ﷺ:
أَيَّمَا رَجُلٍ قَالَ لأخِيهِ: يا كَافِر، فَقَدْ بَاءَ بِهَا أحَدَهُمَا إنْ كَانَ كَمَا قَالَ، وَإلا رَجَعَتْ عَلَيْه
“Barang siapa berkata kepada saudaranya ‘wahai kafir’ maka pengkafiran itu akan pergi kepada salah seorang daripada mereka; sama ada ucapannya itu benar atau ia akan kembali kepadanya.”
[Riwayat Bukhari & Muslim]
TUDUHAN 17:
Melabel Pengikut ASWAJA
Capaliyun, Kuburiyyun,
Ahli Bidaah, Ahli Syirik & Lain
JAWAPAN:
Memberi label secara umum berbeza dengan pelabelan secara khusus atas individu tertentu secara spesifik.
Melabel individu tertentu dengan label-label tersebut perlu dengan berhati-hati, bertabayun dan tidak terburu-buru agar tidak menzalimi sesama saudara Muslim.
TUDUHAN 18:
Tidak Mengaku Wahabi;
Persoal “Apa Itu Wahabi?”
“Wahabi Sebenarnya Tiada”
“Hanya Fitnah & Propaganda”
Benar.
Kerana ia istilah yang diwujudkan oleh musuh-musuh Islam daripada kalangan penjajah kafir Barat dan orang-orang Syiah, musuh Sunni untuk memecahbelahkan umat Islam. Buktinya tiada mana-mana ulama menisbahkan dirinya sebagai Wahabi dan tiada mana-mana aliran atau fahaman yang menggunakan nama sedemikian. Justeru sebetulnya Salafi, bukan Wahabi, tetapi apakan daya jika lawan tidak mahu bersikap jujur dan adil.
TUDUHAN 19:
Ulama Rujukan: Syeikh Uthaimin
Syeikh Albani, Syeikh Bin Baz
Ibnu Taimiah & Lain
Ini benar.
Ini nama-nama sebahagian kecil daripada sekian ramainya ulama Salafi lain yang bukan sahaja yang kontemporari tetapi sepanjang zaman. Dari awal sejarah Islam pada zaman Sahabat sampai ke hari ini. Apa yang pasti, Salafi tidak taasub kepada mana-mana tokoh ini. Malah wujud perbezaan pendapat antara mereka. Ini tidak pelik kerana masing-masing mahu sampai kepada kebenaran yang ada dalam Al-Quran dan hadis mengikut fahaman para Sahabat. Tinggal lagi, penguasaan ilmu dan ijtihad boleh jadi berbeza.
Dr. Idris bin Sulaiman
Kajang
16 Jamadilawal 1445H
30 November 2023