Green dome - Prophet Mohammed Mosque , Al Masjid an Nabawi - Medina / Saudi Arabia
|

MAULIDUR RASUL

– Empat Soalan
– Definisi Sambutan
– Jalur keras

Dalam Islam terdapat hanya dua perayaan, dan sambutan tahunan Maulidur Rasul bukan salah satu daripadanya.

Buktinya ialah para Sahabat Nabi ﷺ.

Mereka adalah golongan manusia yang paling arif tentang agama;

Mereka adalah golongan manusia yang paling ke hadapan melakukan kebaikan;

Mereka adalah golongan manusia yang paling cinta kepada Nabi ﷺ;

dan

Mereka adalah golongan manusia yang paling kuat berpegang kepada sunah Nabi ﷺ.

Meskipun demikian mereka tidak pernah menyambut Maulidur Rasul.

EMPAT SOALAN

Berikut empat soalan buat mereka yang menyambutnya:

1. Adakah sambutan Maulidur Rasul ketaatan atau maksiat?

Jika maksiat maka menyambutnya haram dan berdosa.

Tetapi jika ia ketaatan yang menjana pahala..

2. Adakah amalan ketaatan ini diketahui oleh Nabi ﷺ?

Tidak mungkin ada yang berani mengatakan bahawa Nabi ﷺ jahil tentang amalan ketaatan menyambut Maulidur Rasul ini.

3. Jika ia merupakan amalan ketaatan yang diketahui oleh Nabi ﷺ maka adakah baginda ﷺ pernah mengajarkannya kepada umatnya?

Sekali lagi tidak mungkin ada yang berani mengatakan bahawa Nabi ﷺ mengetahuinya tetapi tidak mengajarkannya kepada umatnya kerana ini merupakan tuduhan berat ke atas baginda ﷺ yang bererti baginda ﷺ ada menyembunyikan hal-hal agama yang sepatutnya disampaikan kepada umatnya berdasarkan firman Allah ﷻ:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلرَّسُولُ بَلِّغۡ مَآ أُنزِلَ إِلَيۡكَ مِن رَّبِّكَۖ وَإِن لَّمۡ تَفۡعَلۡ فَمَا بَلَّغۡتَ رِسَالَتَهُ.

“Wahai Rasul Allah! Sampaikanlah apa yang telah diturunkan kepadamu dari Tuhanmu; dan jika engkau tidak melakukannya maka bermakna tiadalah engkau menyampaikan risalahNya.”

[Al-Quran, al-Maa’idah, 5: 67]

Jika ada yang mengatakan bahawa baginda ﷺ telah menyampaikan tuntutan menyambut Maulidur Rasul maka dikatakan kepadanya, mana dalilnya?

4. Adakah dalil anjuran menyambut Maulidur Rasul ini tidak ditemui oleh para Sahabat, Tabiin dan Tabi Tabiin sepanjang tiga kurun pertama Islam lalu generasi yang datang kemudian menemuinya?

Atau mereka mengetahui dalilnya tetapi menolaknya lalu mereka yang terkemudian menerima dan mengamalkannya?

Ini semua mustahil.

DEFINISI SAMBUTAN

Mungkin ada yang mahu menggantikan acara perarakan, berselawat beramai-ramai, berqasidah, bacaan Yasin dan tahlil kepada program ceramah sirah Nabi ﷺ dan seumpamanya.

Sekalipun tidak sama tetapi ia masih ada syubhah.

Ini kerana apa jua program atau amalan khusus bersempena dengan Maulidur Rasul dikira termasuk dalam erti menyambutnya.

Memandangkan tiadalah acara berkumpul beramai-ramai atau mengadakan jamuan makan melainkan itulah definisi kebanyakan sambutan.

KESIMPULAN

Penjelasan di atas membuktikan bahawa sambutan tahunan Maulidur Rasul ialah rekaan dan tokok tambah dalam agama manakala Islam berlepas diri daripadanya berdasarkan sabda Nabi ﷺ:

مَنْ ‌أَحْدَثَ فِي أَمْرِنَا هَذَا مَا لَيْسَ فِيهِ فَهُوَ رَدٌّ.

“Barang siapa mengada-adakan sesuatu yang baharu dalam urusan kita ini (agama) maka ia adalah tertolak.”

[Sahih. Riwayat Bukhari dan Muslim]

Dan sabdanya ﷺ:

مَنْ ‌عَمِلَ ‌عَمَلًا لَيْسَ عَلَيْهِ أَمْرُنَا فَهُوَ رَدٌّ.

“Barang siapa melakukan sesuatu amalan yang tidak menepati cara kami maka ia adalah tertolak.”

[Sahih. Riwayat Muslim]

CATATAN

Tidak ada jalur keras dalam Islam tetapi jalur lurus atau menyimpang. [Al-Quran, 6: 153]

Dr. Idris bin Sulaiman
Kajang
09 Rabiulawal 1444H
06 Oktober 2022

Similar Posts

  • |

    AJARAN TUAN GURU

    – Selawat Masyisyiah – Ustaz keturunan Nabi ﷺ Dalam sebuah video tular seorang yang dikatakan daripada keturunan Nabi ﷺ yang baru-baru ini datang ke Malaysia, kelihatan beliau mengajarkan bacaan selawat yang dinamakannya ‘Selawat Masyisyiah’. Kata beliau “Ada sebahagian ulama yang mengatakan bahawa termasuk selawat yang dapat sangat mendekatkan kepada Sayyidina…

  • |

    ISU PALESTIN & MASJIDIL AQSA

    ISU PALESTIN & MASJIDIL AQSA Tiada yang baharu tentangnya kerana Masjidil Aqsa masih dijajah oleh kafir. Sehingga kini tiada sesiapa yang mampu mengambil semula tanahnya dan memberinya kepada yang lain. Apa yang pasti Masjidil Aqsa adalah milik orang Islam dan ia telah dirampas daripada mereka. Semua kenyataan dan resoulusi mempertahankan…

  • |

    LIMA JENIS ANAK

    LIMA JENIS ANAK Jenis-jenis Anak: PERTAMA: Anak yang tidak melaksanakan apa yang disuruh oleh ibu bapanya. Anak derhaka. KEDUA: Anak yang melaksanakan apa yang disuruh oleh ibu bapanya secara terpaksa. Anak yang tidak mendapat pahala. KETIGA: Anak yang melaksanakan apa yang disuruh tetapi kemudian mengungkit-ungkitnya sampai menyakiti orang tuanya, membentak…

  • |

    HAKIKAT ERTI SYUKUR

    Mensyukuri nikmat ialah dengan mengakui nikmat dan Pemberi nikmat dengan tunduk, merendah diri dan cinta kepadaNya. Orang yang tidak mengakui nikmat tidak akan mensyukurinya. Demikian orang yang mengakui nikmat tetapi tidak tahu pemberinya tidak akan bersyukur kepadaNya. Adapun orang yang tahu nikmat dan tahu Pemberi nikmat tetapi tidak mengakuinya maka…

  • |

    BANYAK BERCAKAP

    Kata Imam al-Auzaie (wafat 157H): إِنَّ ‌المُؤْمِنَ ‌يَقُوْلُ ‌قَلِيْلاً، وَيَعمَلُ كَثِيْراً، وَإِنَّ المُنَافِقَ يَتَكَلَّمُ كَثِيْراً، وَيَعْمَلُ قَلِيْلاً. “Orang Mukmin bercakap sedikit dan beramal banyak sedangkan orang munafik bercakap banyak dan beramal sedikit.” [Siyar A’lam al-Nubala’, 7/125] CATATAN Barangkali dalam konteks zaman sekarang ‘bercakap’ lebih banyak dalam bentuk menulis di media…

  • |

    KURANG KASIH SAYANG

    Ilmu mewariskan kasih sayang. Lebih tinggi ilmu seseorang itu maka lebih tinggilah kasih sayangnya kepada orang lain. Kata Ibnu al-Qayyim: وَكَانَ الصّدّيق رَضِي اللهُ عَنْه مِن أرْحَم الأمّة وَقَدْ رُوِيَ عَنْ النّبي ﷺ أنَّهُ قَال “أرْحَم أمَّتِي بأِمَّتِي أبُو بَكْر” رَوَاهُ الترَمِذِي وَكَانَ أعْلمَ الصّحَابَة بِاتّفَاق الصَّحَابَة. وَهَكَذَا الرَّجل كُلَّما…