black metal framed glass lamp
|

‘MAULA’ / ‘MAULANA’ – Sejauh mana kewajarannya

Perkataan ‘maula’ atau ‘maulana’ dalam bahasa Arab mempunyai banyak makna.

Antara maknanya ialah pemilik, penaung, tuan, hamba, tuan yang membebaskan hamba sahaya dan hamba sahaya yang telah dibebaskan oleh tuannya.

Dahulu dikatakan “Si fulan maula si fulan” bermaksud si fulan bekas tuan atau bekas hamba sahaya.

Contohnya Zaid bin Harithah maula Rasulullah ﷺ kerana baginda ﷺ telah membebaskan Zaid daripada perhambaan.

Demikian Aisyah binti Abu Bakar al-Siddiq maula Barirah kerana Aisyah telah membebaskan Barirah.

Secara dasarnya Allah ﷻ adalah ‘maula’ semua manusia kerana Dia ﷻ Pencipta dan Pemilik mereka.

Firman Allah ﷻ:

ثُمَّ رُدُّوٓاْ إِلَى ٱللَّهِ مَوۡلَىٰهُمُ ٱلۡحَقِّ.

“Kemudian mereka dikembalikan kepada Allah ‘Maula’ mereka yang sebenar.”

[Al-Quran, al-An’am, 6: 62]

Allah ﷻ jua adalah ‘maula’ orang-orang beriman selaku Penaung yang memberi perlindungan dan jagaan buat mereka, sebagaimana firmanNya:

ذَٰلِكَ بِأَنَّ ٱللَّهَ مَوۡلَى ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَأَنَّ ٱلۡكَٰفِرِينَ لَا مَوۡلَىٰ لَهُمۡ.

“Balasan yang demikian kerana sesungguhnya Allah menjadi ‘Maula’ Pelindung orang-orang yang beriman, dan sesungguhnya orang-orang yang kafir, mereka tiada ‘maula’ yang dapat memberikan sebarang perlindungan kepada mereka.”

[Al-Quran, Muhammad, 47: 11]

SEBAIKNYA DIELAKKAN

Dalam Kamus Dewan ‘maulana’ diertikan sebagai gelaran untuk ulama besar.

Sekalipun ada pandangan yang membolehkan tetapi sebaiknya penggunaan istilah ‘maula’ atau ‘maulana’ tidak diluaskan.

Di samping penetapannya bagi Allah ﷻ selaku Pemilik, Penaung dan Pelindung orang-orang yang beriman, ia lebih dikhususkan kepada hamba sahaya dan pemilik hamba sahaya.

Tambah pula generasi Salaf al-Soleh dahulu tidak menggunakannya apabila membahasakan diri mereka antara satu sama lain.

Tidak ada dalam kalangan Sahabat Nabi ﷺ yang memanggil khalifah dengan gelaran ‘Maulana Abu Bakar’, ‘Maulana Omar al-Khattab’, ‘Maulana Uthaman’ atau ‘Maulana Ali’.

Di bawah hadis:

لَا يَقُلِ الْعَبْدُ لِسَيِّدِهِ: ‌مَوْلَايَ فَإِنَّ مولاكم اللَّهُ.

“Janganlah seorang hamba berkata kepada tuannya ‘maula’ kerana ‘maula’ kalian ialah Allah.”

[Sahih. Riwayat Muslim]

al-Nawawi dalam syarahnya menyimpulkan bahawa larangan dalam hadis di atas bersifat makruh dan bahawasanya istilah ini sebaiknya dielakkan.

[Syarah Sahih Muslim, 15/6]

Syeikh Ibnu Baz rahimahullah turut berpandangan serupa kerana istilah-istilah ini boleh menimbulkan rasa sombong dan ujub dalam diri orang yang dipanggil, di samping rasa taasub dan ‘ghuluw’ dalam diri orang yang memanggil.

https://binbaz.org.sa/fatwas/18132/حكم-قول-مولانا-وسيدنا

Syeikh Abdul Muhsin al-Abbad hafizahullah turut senada bahawa penggunaannya sebaiknya tidak diluaskan kerana kemungkinannya digunakan untuk mereka yang tidak layak.

https://ar.islamway.net/fatwa/32916/حكم-استعمال-كلمة-مولانا-في-حق-الآدمي

KESIMPULAN

Penggunaan istilah ‘maula’ atau ‘maulana’ sebaiknya dielakkan kerana ia lebih banyak digunakan oleh generasi umat Islam dahulu bagi merujuk kepada hubungan antara hamba sahaya dengan bekas tuan pemilik yang membebaskannya.

‘Maula’ orang-orang beriman ialah Allah ﷻ, Dialah Maulana dan Dialah sebaik-baik Penaung dan Penolong. [Al-Quran, 6:40]

Dr. Idris bin Sulaiman
Kajang
19 Rabiulawal 1444H
16 Oktober 2022

Similar Posts

  • |

    MUZIK DISEMAT AL-QURAN DIPINGGIRKAN

    Ternyata sebahagian umat Muhammad ﷺ memilih untuk meminggirkan Al-Quran. Firman Allah ﷻ: وَقَالَ ٱلرَّسُولُ يَٰرَبِّ إِنَّ قَوۡمِي ٱتَّخَذُواْ هَٰذَا ٱلۡقُرۡءَانَ مَهۡجُورٗا “Dan berkatalah Rasul: Wahai Tuhanku, sesungguhnya kaumku telah menjadikan Al-Quran ini sesuatu yang ditinggalkan, tidak dipakai.” [Al-Quran, al-Furqan, 25:30] Menurut Ibnu Kathir, termasuk dalam erti meminggirkan Al-Quran ialah tidak…

  • |

    HAKIKAT ERTI SYUKUR

    Mensyukuri nikmat ialah dengan mengakui nikmat dan Pemberi nikmat dengan tunduk, merendah diri dan cinta kepadaNya. Orang yang tidak mengakui nikmat tidak akan mensyukurinya. Demikian orang yang mengakui nikmat tetapi tidak tahu pemberinya tidak akan bersyukur kepadaNya. Adapun orang yang tahu nikmat dan tahu Pemberi nikmat tetapi tidak mengakuinya maka…

  • |

    ORANG YANG SELAMAT DARI AZAB

    – Keutamaan istighfar Allah ﷻ mengkhabarkan bahawa Dia tidak akan menurunkan azabNya ke atas mereka yang beristighfar. Firman Allah ﷻ: وَمَا كَانَ ٱللَّهُ مُعَذِّبَهُمۡ وَهُمۡ يَسۡتَغۡفِرُونَ. “Dan Allah tidak akan menyeksa mereka ketika mana mereka sedang beristighfar.” [Al-Quran, al-Anfaal, 8:33] Dalam ayat di atas Allah ﷻ mengkhabarkan bahawa Dia tidak…

  • |

    AJAR ANAK MENGUCAP DUA KALIMAH SYAHADAH

    Tular video di negara Arab seorang anak kecil berjalan ke masjid untuk solat Subuh lalu dikejar sekawan anjing. Menariknya anak kecil itu lari sambil menjerit mengucap dua kalimah syahadah: ‘Asyhadu anla ilaha illallah,wa asyhadu anna Muhammad Rasulullah’ (Aku bersaksi tiada sembahan kecuali Allah, dan Muhammad utusan Allah) kemudian tidak semena-mena…

  • |

    SETIAP MUSIBAH ADALAH KAFARAH

    Lumrah manusia tidak suka bala bencana dan malapetaka menimpa atasnya. Tetapi sedar atau tidak terdapat hikmah dan rahsia yang cukup besar di sebalik takdir-takdir yang sedemikian. Allah ﷻ ingin menutup dosa-dosa para hambaNya yang beriman melalui musibah-musibah itu. Di kala si hamba bersabar menghadapi dugaan. Sabda Nabi ﷺ: مَا ‌مِنْ…