black metal framed glass lamp
|

‘MAULA’ / ‘MAULANA’ – Sejauh mana kewajarannya

Perkataan ‘maula’ atau ‘maulana’ dalam bahasa Arab mempunyai banyak makna.

Antara maknanya ialah pemilik, penaung, tuan, hamba, tuan yang membebaskan hamba sahaya dan hamba sahaya yang telah dibebaskan oleh tuannya.

Dahulu dikatakan “Si fulan maula si fulan” bermaksud si fulan bekas tuan atau bekas hamba sahaya.

Contohnya Zaid bin Harithah maula Rasulullah ﷺ kerana baginda ﷺ telah membebaskan Zaid daripada perhambaan.

Demikian Aisyah binti Abu Bakar al-Siddiq maula Barirah kerana Aisyah telah membebaskan Barirah.

Secara dasarnya Allah ﷻ adalah ‘maula’ semua manusia kerana Dia ﷻ Pencipta dan Pemilik mereka.

Firman Allah ﷻ:

ثُمَّ رُدُّوٓاْ إِلَى ٱللَّهِ مَوۡلَىٰهُمُ ٱلۡحَقِّ.

“Kemudian mereka dikembalikan kepada Allah ‘Maula’ mereka yang sebenar.”

[Al-Quran, al-An’am, 6: 62]

Allah ﷻ jua adalah ‘maula’ orang-orang beriman selaku Penaung yang memberi perlindungan dan jagaan buat mereka, sebagaimana firmanNya:

ذَٰلِكَ بِأَنَّ ٱللَّهَ مَوۡلَى ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَأَنَّ ٱلۡكَٰفِرِينَ لَا مَوۡلَىٰ لَهُمۡ.

“Balasan yang demikian kerana sesungguhnya Allah menjadi ‘Maula’ Pelindung orang-orang yang beriman, dan sesungguhnya orang-orang yang kafir, mereka tiada ‘maula’ yang dapat memberikan sebarang perlindungan kepada mereka.”

[Al-Quran, Muhammad, 47: 11]

SEBAIKNYA DIELAKKAN

Dalam Kamus Dewan ‘maulana’ diertikan sebagai gelaran untuk ulama besar.

Sekalipun ada pandangan yang membolehkan tetapi sebaiknya penggunaan istilah ‘maula’ atau ‘maulana’ tidak diluaskan.

Di samping penetapannya bagi Allah ﷻ selaku Pemilik, Penaung dan Pelindung orang-orang yang beriman, ia lebih dikhususkan kepada hamba sahaya dan pemilik hamba sahaya.

Tambah pula generasi Salaf al-Soleh dahulu tidak menggunakannya apabila membahasakan diri mereka antara satu sama lain.

Tidak ada dalam kalangan Sahabat Nabi ﷺ yang memanggil khalifah dengan gelaran ‘Maulana Abu Bakar’, ‘Maulana Omar al-Khattab’, ‘Maulana Uthaman’ atau ‘Maulana Ali’.

Di bawah hadis:

لَا يَقُلِ الْعَبْدُ لِسَيِّدِهِ: ‌مَوْلَايَ فَإِنَّ مولاكم اللَّهُ.

“Janganlah seorang hamba berkata kepada tuannya ‘maula’ kerana ‘maula’ kalian ialah Allah.”

[Sahih. Riwayat Muslim]

al-Nawawi dalam syarahnya menyimpulkan bahawa larangan dalam hadis di atas bersifat makruh dan bahawasanya istilah ini sebaiknya dielakkan.

[Syarah Sahih Muslim, 15/6]

Syeikh Ibnu Baz rahimahullah turut berpandangan serupa kerana istilah-istilah ini boleh menimbulkan rasa sombong dan ujub dalam diri orang yang dipanggil, di samping rasa taasub dan ‘ghuluw’ dalam diri orang yang memanggil.

https://binbaz.org.sa/fatwas/18132/حكم-قول-مولانا-وسيدنا

Syeikh Abdul Muhsin al-Abbad hafizahullah turut senada bahawa penggunaannya sebaiknya tidak diluaskan kerana kemungkinannya digunakan untuk mereka yang tidak layak.

https://ar.islamway.net/fatwa/32916/حكم-استعمال-كلمة-مولانا-في-حق-الآدمي

KESIMPULAN

Penggunaan istilah ‘maula’ atau ‘maulana’ sebaiknya dielakkan kerana ia lebih banyak digunakan oleh generasi umat Islam dahulu bagi merujuk kepada hubungan antara hamba sahaya dengan bekas tuan pemilik yang membebaskannya.

‘Maula’ orang-orang beriman ialah Allah ﷻ, Dialah Maulana dan Dialah sebaik-baik Penaung dan Penolong. [Al-Quran, 6:40]

Dr. Idris bin Sulaiman
Kajang
19 Rabiulawal 1444H
16 Oktober 2022

Similar Posts

  • |

    MAJLIS KAHWIN ANAK PEREMPUAN

    Alhamdulillah, semalam telah pun berlangsungnya perkahwinan anak perempuan sulung dengan pasangannya Khairussalam Abd Latib di tempat tinggal keluarga lelaki, Batu Pahat. Syukur majlis berjalan lancar dan baik dengan tazkirah istimewa disampaikan oleh Ustaz Abu Furaihan. Terima kasih Ustaz kerana sudi datang dari jauh seberang. Penghargaan serta ucapan terima kasih buat…

  • |

    PERSELISIHAN UMAT ADALAH RAHMAT?

    Sering dalam permasalahan khilaf kedengaran suara yang berkata “Perselisihan umat ialah rahmat” yang mengira bahawa khilaf umat Islam dalam hal-hal agama adalah baik dan elok. Malah barangkali ada yang menganggap bahawa perselisihan-perselisihan tersebut seeloknya dibiarkan dan dikekalkan. Masakan tidak kerana ia adalah rahmat buat umat ini, menurut mereka. Rahmat bermaksud…

  • |

    AGAMA HAWA NAFSU

    Hawa nafsu senantiasa mendorong manusia ke arah kejahatan. Firman Allah ﷻ: إِنَّ ٱلنَّفۡسَ لَأَمَّارَةُۢ بِٱلسُّوٓءِ “Sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan.” [Al-Quran, Yusuf, 12:53] Oleh itu, ada manusia yang terlalu tunduk kepada hawa nafsunya hingga dia taat memujanya dan menjadikannya sebagai sembahannya. Lalu apa yang buruk dilihat baik…

  • |

    ISTERI JANGAN MUDAH MINTA CERAI

    Seorang isteri tidak boleh sewenang-wenangnya meminta cerai kecuali jika ada alasan kukuh untuknya berbuat demikian. Ini berdasarkan sabda Nabi ﷺ: أَيُّمَا امْرَأَةٍ سَأَلَتْ زَوْجَهَا طَلَاقًا فِي ‌غَيْرِ ‌مَا ‌بَأْسٍ فَحَرَامٌ عَلَيْهَا رَائِحَةُ الْجَنَّةِ. “Mana-mana isteri yang meminta cerai daripada suaminya tanpa alasan maka haram baginya bau syurga.” [Sahih. Riwayat Abu…

  • |

    JANGAN DUDUK DENGAN PEROKOK

    Duduk bersama orang yang sedang merokok adalah haram. Wajib ‘mufaraqah’ dan meninggalkannya kerana jika tidak maka perbuatan duduk bersamanya dikira sebagai sokongan dan perakuan terhadap perbuatan haram yang dilakukan. Rokok adalah haram berdasarkan dalil-dalil yang melarangnya. Justeru jika ada orang yang hendak merokok maka sebaiknya dia dinasihati terlebih dahulu secara…