|

AGAMA HAWA NAFSU

Hawa nafsu senantiasa mendorong manusia ke arah kejahatan.

Firman Allah ﷻ:

إِنَّ ٱلنَّفۡسَ لَأَمَّارَةُۢ بِٱلسُّوٓءِ

“Sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan.”

[Al-Quran, Yusuf, 12:53]

Oleh itu, ada manusia yang terlalu tunduk kepada hawa nafsunya hingga dia taat memujanya dan menjadikannya sebagai sembahannya.

Lalu apa yang buruk dilihat baik olehnya akibat dorongan hawa nafsu yang menjadi mazhab agamanya.

Firman Allah ﷻ:

أَرَءَيۡتَ مَنِ ٱتَّخَذَ إِلَٰهَهُۥ هَوَىٰهُ أَفَأَنتَ تَكُونُ عَلَيۡهِ وَكِيلًا

“Nampakkah engkau keburukan keadaan orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai sembahannya yang dipuja lagi ditaati? Maka dapatkah engkau menjadi pengawas yang menjaganya agar tidak sesat?”

[Al-Quran, al-Furqan, 25:43]

Firman Allah ﷻ:

أَفَرَءَيۡتَ مَنِ ٱتَّخَذَ إِلَٰهَهُۥ هَوَىٰهُ وَأَضَلَّهُ ٱللَّهُ عَلَىٰ عِلۡمٖ

“Bagaimana fikiranmu terhadap orang yang menjadikan hawa nafsunya sembahan yang dipatuhinya lalu dia disesatkan oleh Allah kerana diketahuiNya (bahawa dia tetap akan kufur ingkar).”

[Al-Quran, al-Jathiah, 45:23]

Hanya sahaja golongan yang didorong oleh hawa nafsu bukanlah semua sama di atas satu darjat.

Ada sebahagian yang lebih buruk daripada yang lain.

Ada yang sampai jatuh kufur syirik, ada yang terjebak dalam dosa besar, dan ada yang jatuh dalam dosa kecil.

Golongan yang hawa nafsunya mendorongnya sehingga mendustakan agama, mempermainkannya atau berpaling daripadanya maka mereka kafir kerana melakukan kufur akbar.

Demikian jika dinafikan apa yang sedia maklum diketahui sebahagian daripada ajaran agama; contohnya kewajipan solat fardu lima waktu, menghalalkan zina atau minuman arak maka ia kufur akbar terkeluar daripada Islam.

Adapun golongan yang hawa nafsunya mendorongnya melakukan bidaah yang tidak sampai ke tahap kufur maka dia masih Islam tetapi ahli bidaah.

Golongan yang mengikut hawa nafsunya sehingga melakukan dosa besar seperti zina dan minum arak maka dia fasik.

Jika seseorang itu terdorong dengan hawa nafsunya melakukan dosa kecil maka orangnya dikatakan melakukan maksiat sedangkan jika dia terus bergelumang dengan maksiatnya itu maka dia disebut ahli maksiat.

Ini bermakna bukan semua mereka yang didorong hawa nafsunya jatuh kafir musyrik.

Sebaliknya keadaannya bergantung pada jenis kesalahan yang dilakukan.

Semoga Allah melindungi kita daripada kejahatan hawa nafsu.

Dr. Idris bin Sulaiman
Kajang
20 Zulkaedah 1444H
08 Jun 2023

Similar Posts

  • |

    TANDA ALLAH SAYANG

    Rata-rata manusia mengimpikan kehidupan yang mewah dan senang kerana beranggapan bahawa ia adalah baik dan bagus. Adapun hidup yang dihimpit kesusahan dan keperitan maka ia dilihat sebagai sesuatu yang buruk dan tidak baik. Hakikatnya, pandangan sebegini tidak tepat. Ini kerana dunia bagi Muslim bukanlah syurga yang dipenuhi kesenangan dan kemewahan…

  • |

    KURANG KASIH SAYANG

    Ilmu mewariskan kasih sayang. Lebih tinggi ilmu seseorang itu maka lebih tinggilah kasih sayangnya kepada orang lain. Kata Ibnu al-Qayyim: وَكَانَ الصّدّيق رَضِي اللهُ عَنْه مِن أرْحَم الأمّة وَقَدْ رُوِيَ عَنْ النّبي ﷺ أنَّهُ قَال “أرْحَم أمَّتِي بأِمَّتِي أبُو بَكْر” رَوَاهُ الترَمِذِي وَكَانَ أعْلمَ الصّحَابَة بِاتّفَاق الصَّحَابَة. وَهَكَذَا الرَّجل كُلَّما…

  • | |

    UJIAN PENGAJIAN HADIS SYEIKH ABDUL RAZZAQ BIN ABDUL MUHSIN AL-BADR

    UJIAN PENGAJIAN HADIS SYEIKH ABDUL RAZZAQ BIN ABDUL MUHSIN AL-BADR Kini sedang berlangsung ujian Pengajian Hadis Syeikh Abdul Razzaq bin Abdul Muhsin Al-Badr حفظه الله ورعاه secara atas talian melalui aplikasi Telegram. Tempoh masa menjawab soalan-soalan ujian dari 16 Februari hingga 22 Februari 2021. Bagi mereka yang sudah menjawab diucapkan…

  • |

    SETIAP MUSIBAH ADALAH KAFARAH

    Lumrah manusia tidak suka bala bencana dan malapetaka menimpa atasnya. Tetapi sedar atau tidak terdapat hikmah dan rahsia yang cukup besar di sebalik takdir-takdir yang sedemikian. Allah ﷻ ingin menutup dosa-dosa para hambaNya yang beriman melalui musibah-musibah itu. Di kala si hamba bersabar menghadapi dugaan. Sabda Nabi ﷺ: مَا ‌مِنْ…

  • |

    AJARAN TUAN GURU

    – Selawat Masyisyiah – Ustaz keturunan Nabi ﷺ Dalam sebuah video tular seorang yang dikatakan daripada keturunan Nabi ﷺ yang baru-baru ini datang ke Malaysia, kelihatan beliau mengajarkan bacaan selawat yang dinamakannya ‘Selawat Masyisyiah’. Kata beliau “Ada sebahagian ulama yang mengatakan bahawa termasuk selawat yang dapat sangat mendekatkan kepada Sayyidina…

  • |

    PESANAN HUKAMA

    PESANAN HUKAMA Seorang lelaki bertanya kepada seorang hukama: “Sebanyak manakah harusnya aku makan?” Dia menjawab “Sekadar untuk menghilangkan lapar dan jangan sampai rasa kenyang.” “Sebanyak manakah harusnya aku ketawa?” Dia menjawab “Sehingga wajahmu menjadi ceria tetapi jangan sampai suaramu meninggi.” “Sebanyak manakah harusnya aku menangis?” Dia menjawab “Jangan engkau pernah…