|

MASJIDIL HARAM: EMPAT MIHRAB

– Pengajaran

Gambar-gambar yang disertakan di sini ialah gambar-gambar lama Masjidilharam, Makkah semasa musim haji tahun 1953, kira-kira 70 tahun yang lalu.

Jelas Masjidilharam telah melalui banyak perubahan sejak itu di mana bangunannya telah diluaskan manakala kemudahan asasnya dinaik taraf dan dimodenkan.

Menariknya, kelihatan antara gambar ini di sekeliling Kaabah ada empat buah bangunan kecil (mihrab).

Ramai mungkin tidak tahu sejarahnya malah barangkali pertama kali melihatnya.

Setiap satu bangunan kecil ini mewakili salah satu daripada empat mazhab fiqah yang utama dalam Islam; Hanafi, Maliki, Syafii dan Hanbali.

Sedar atau tidak, ini merupakan keadaan sebahagian besar umat Islam sejak sekian lama di mana mereka bukan sahaja melihat diri mereka Muslim tetapi menisbahkan diri kepada salah satu daripada empat mazhab fiqah ini sehingga ke tahap taasub dan fanatik.

Hasilnya antara lain mereka solat secara berasingan di mana setiap pengikut mazhab solat di belakang imam mazhab masing-masing secara bergilir-gilir.

Maka setiap solat fardu lima waktu di Masjidilharam akan dilaksanakan sebanyak empat kali terutamanya apabila tiba musim haji bagi meraikan jemaah haji yang datang dari seluruh pelosok dunia daripada kalangan penganut keempat-empat mazhab.

Bayangkan, apabila tiba waktu solat lalu iqamat dikumandangkan maka ada daripada kalangan jemaah dalam masjid yang berkata sesama mereka “Iqamat ini bukan untuk (mazhab) kita!” lalu mereka duduk-duduk di bahagian belakang masjid menanti giliran untuk solat.

Semestinya amalan ini bertentangan sama sekali dengan ajaran agama yang menekankan persaudaraan antara sesama Muslim dan mewajibkan Muslim berdiri sama teguh dan berkasih sayang antara satu sama lain.

Firman Allah ﷻ:

إِنَّمَا ٱلۡمُؤۡمِنُونَ إِخۡوَةٞ فَأَصۡلِحُواْ بَيۡنَ أَخَوَيۡكُمۡ.

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu bersaudara maka damaikanlah antara saudara kamu (yang bertelingkah) itu.”

[Al-Quran, al-Hujurat, 49: 10]

Di samping menekankan persaudaraan agama, umat Islam dilarang berpecah belah.

Firman Allah ﷻ:

وَٱعۡتَصِمُواْ بِحَبۡلِ ٱللَّهِ جَمِيعٗا وَلَا تَفَرَّقُواْ.

“Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah dan janganlah kamu bercerai-berai.”

[Al-Quran, Aali Imran, 15 Julai 2022]

Malah Allah ﷻ mengingatkan bahawa berpecah-belah merupakan sifat orang-orang musyrikin yang suka berbalah sampai jadi berpuak-puak lalu masing-masing berbangga dengan puak masing-masing.

Firman Allah ﷻ:

وَلَا تَكُونُواْ مِنَ ٱلۡمُشۡرِكِينَ مِنَ ٱلَّذِينَ فَرَّقُواْ دِينَهُمۡ وَكَانُواْ شِيَعٗاۖ كُلُّ حِزۡبِۢ بِمَا لَدَيۡهِمۡ فَرِحُونَ.

“Dan janganlah kamu tergolong dalam kalangan orang-orang musyrikin. Iaitu orang-orang yang menjadikan fahaman agama mereka berselisihan mengikut kecenderungan masing-masing lalu mereka menjadi berpuak-puak; setiap puak bergembira dengan apa yang ada pada puaknya.”

[Al-Quran, al-Rum, 30: 31-32]

——————-

Cara Berinteraksi dengan Mazhab:

BERPEGANG KEPADA NAS; CARA BERINTERAKSI DENGAN MAZHAB

——————-

CATATAN

Dahulu buat sekian lama para pengikut mazhab Hanafi tidak membenarkan anak mereka berkahwin dengan pengikut mazhab Syafii kerana orang-orang Syafii mengharuskan ucapan ‘Aku beriman insya-Allah’ sedangkan mazhab Hanafi tidak membenarkannya kerana ia tanda orangnya tidak yakin dengan imannya sedangkan itu kekufuran. Lalu datang seorang ulama besar mazhab Hanafi meleraikan kekusutan ini dengan mengharuskannya atas alasan kias harusnya berkahwin dengan perempuan ahli kitab.

Inilah bahana taasub.

——————-

Syukur alhamdulillah kini keempat-empat mihrab ini sudah tiada lagi dan umat Islam dapat mendirikan solat fardu lima waktu bersama-sama di Masjidilharam dalam satu jemaah, yang barangkali merupakan jemaah paling ramai di dunia.

Idris bin Sulaiman
Kajang
16 Zulhijah 1443H /
16 Julai 2022

Similar Posts

  • |

    PESANAN HUKAMA

    PESANAN HUKAMA Seorang lelaki bertanya kepada seorang hukama: “Sebanyak manakah harusnya aku makan?” Dia menjawab “Sekadar untuk menghilangkan lapar dan jangan sampai rasa kenyang.” “Sebanyak manakah harusnya aku ketawa?” Dia menjawab “Sehingga wajahmu menjadi ceria tetapi jangan sampai suaramu meninggi.” “Sebanyak manakah harusnya aku menangis?” Dia menjawab “Jangan engkau pernah…

  • |

    TALAK TIGA SATU LAFAZ HANYA JATUH SATU

    TALAK TIGA SATU LAFAZ HANYA JATUH SATU Jika si suami melafazkan talak tiga sekali gus maka ia hanya jatuh satu. Allah ﷻ berfirman: ٱلطَّلَٰقُ مَرَّتَانِ. “Talak (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali.” [Al-Quran, al-Baqarah, 2:229] Yakni talak dalam dua waktu yang berbeza. Si suami talak kemudian rujuk. Talak…

  • |

    PENAFIAN AFILIASI POLITIK

    – UMNO & Hizbi Sekian lama saya mendengar cakap-cakap yang mengatakan bahawa Ustaz Idris Sulaiman orang parti UMNO yang menerima dana tertentu daripadanya dan beliau seorang ‘hizbi’. ——————- Pengertian Hizbi: HIZBI ——————- Seingat saya cakap-cakap ini sudah mula sejak hampir 10 tahun lalu. Saya tidak menyangka bahawa cakap-cakap ini bertahan…

  • |

    MENGKRITIK & MENGUTUK NEGARA TANAH SUCI

    Ada pihak-pihak di media sosial yang mengkritik dan mengutuk secara terbuka negara Tanah Suci, Arab Saudi dengan dakwaan bahawa ia tidak lagi mengikut hukum syariat dan kini sudah semakin liberal. Tidak dinafikan negara itu ada kelemahan dan kesalahan. Tetapi harus difikirkan apakah maslahat di sebalik kritikan terbuka sebegini? Adakah ia…

  • |

    MANUSIA SEPERTI BUKU

    MANUSIA SEPERTI BUKU Ada buku yang dibaca dapat difahami dan diambil manfaat daripadanya. Dalam masa yang sama, ada buku yang dibaca tetapi isinya tidak dapat difahami. Terdapat juga buku yang dibaca tetapi maklumatnya tidak disampaikan dengan betul maka ia menimbulkan salah faham pembacanya. Demikian ada buku yang luarannya tampak cantik…