MADINAH TETAP BUMI SUCI

MADINAH TETAP BUMI SUCI

Ada yang berkongsi berita bahawa Pertubuhan Kesihan Sedunia (WHO) memperakui bumi Madinah Nabi ﷺ sebagai antara bandar paling sihat di dunia.

Sumber:

https://origin.bharian.com.my/dunia/asia/2021/01/779344/madinah-antara-bandar-paling-sihat-di-dunia

Seolah-olah ia satu kebanggaan buat Muslim apabila bumi Nabi ﷺ ini diiktiraf oleh Pertubuhan dunia ini.

Musykil.

Sebagai seorang Muslim seharusnya kelebihan dan keistimewaan bumi Madinah sudah sedia maklum berdasarkan penjelasan dan penerangan Nabi ﷺ dalam sekian banyak hadis.

Adakah hadis-hadis Nabi ﷺ tidak cukup bagi kita sehingga perlu pengiktirafan daripada pertubuhan yang diterajui Yahudi dan Nasrani ini?

Sabda Nabi ﷺ:

مَا بَيْنَ ‌لَابَتَيْهَا ‌حَرَامٌ.

“Di antara dua tanah hitamnya (Madinah) itu adalah tanah haram”.

Hadis sahih. Riwayat Bukhari dan Muslim.

Tanah haram yakni tanah suci yang mempunyai pantang larang, kelebihan dan keistimewaan yang tertentu.

Nabi ﷺ mendoakan kesihatan buat penduduk Madinah dalam sabdanya ﷺ:

اللَّهُمَّ ‌حَبِّبْ ‌إِلَيْنَا ‌الْمَدِينَةَ كَحُبِّنَا مَكَّةَ، أَوْ أَشَدَّ، وَصَحِّحْهَا، وَبَارِكْ لَنَا فِي صَاعِهَا وَمُدِّهَا، وَانْقُلْ حُمَّاهَا فَاجْعَلْهَا بِالْجُحْفَةِ.

“Ya Allah, jadilah kami mengasihi Madinah sebagaimana kami mengasihi Mekah atau lebih lagi, dan sihatkan Madinah (daripada wabak penyakit), dan berilah keberkatan kepada gantang dan cupaknya serta pindahkan humma (penyakit) di Madinah dan jadikan ia di Juhfah.”

Hadis sahih. Riwayat Bukhari dan Muslim.

Bumi Madinah juga dipelihara daripada ancaman Dajal dan wabak taun. Sabda Nabi ﷺ:

عَلَى ‌أَنْقَابِ ‌الْمَدِينَةِ مَلَائِكَةٌ، لَا يَدْخُلُهَا الطَّاعُونُ، وَلَا الدَّجَّالُ.

“Di setiap pintu masuk Madinah terdapat malaikat yang mengawasi wabak taun dan Dajal daripada memasuki Madinah.”

Hadis sahih. Riwayat Bukhari dan Muslim.

Jangan pula sampai kita hilang jati diri dan tidak lagi rasa yakin dan bangga dengan Agama.

Kata Omar al-Khattab r.a.:

إِنَّا قَوْمٌ ‌أَعَزَّنَا ‌اللَّهُ بِالْإِسْلَامِ فَلَنْ نَلْتَمِسُ الْعِزَّ بِغَيْرِهِ.

“Kita merupakan kaum yang Allah muliakan dengan Islam. Justeru kami tidak akan mencari kemuliaan dengan selainnya.”

Athar sahih. Riwayat al-Hakim.

Bukan sahaja kesihatan jasmani penting malah lebih penting ialah kesihatan rohani yang tidak akan diperoleh melainkan dengan iman.

Dalam hal ini Nabi ﷺ menjelaskan bahawa bumi Madinah merupakan tapak iman dalam sabdanya:

إِنَّ الإِيمَانَ ‌لَيَأْرِزُ ‌إِلَى ‌المَدِينَةِ كَمَا تَأْرِزُ الحَيَّةُ إِلَى جُحْرِهَا.

“Sesungguhnya iman akan kembali ke Madinah sebagaimana ular kembali ke lubangnya.”

Hadis sahih. Riwayat Bukhari dan Muslim.

Banyak lagi hadis lain tentang kelebihan dan keistimewaan bumi Madinah.

Apa yang pasti, Madinah tetap bumi yang suci sama ada diperakui badan dunia atau tidak.

Idris bin Sulaiman
Kajang
11 Jumadil Awal 1442H /
24 Januari 2020
http://www.facebook.com/idrissulaiman

Similar Posts

  • KARUT MARUT KAUM HABIB

    KARUT MARUT KAUM HABIB Mahu hidup sampai umur 300 tahun? Dengarkan ini cerita. Tiada firman Allah, tiada sabda Rasulullah ataupun amalan Sahabat. Hanya rekayasa kaum Habib berdasarkan rekaan, mimpi dan cerita waktu tidur yang tak masuk akal. Perhatikan. Amalan Sunnah Nabi yang sahih disisihkan manakala rekaan mimpi itulah yang menjadi…

  • ACARA MAKSIAT DI WAKTU PANDEMIK COVID-19

    ACARA MAKSIAT DI WAKTU PANDEMIK COVID-19 Negara kita sekian lamanya sepanjang bulan-bulan ini berhadapan dengan situasi yang sangat menduga kerana penularan wabak penyakit Covid-19. Ramai yang tidak dapat pergi ke masjid. Tidak dapat solat Jumaat. Tidak dapat solat fardu berjemaah. Tidak dapat hadir ke kuliah majlis-majlis ilmu di masjid. Dan…

  • KEBATILAN TIDAK DIBANTAH DENGAN KEBATILAN

    KEBATILAN TIDAK DIBANTAH DENGAN KEBATILAN # Kebatilan perlu dibantah dengan kebenaran #Kaedah-Kaedah Ilmiah #Kaedah 9 Ulama Salaf dahulu mencela ucapan dan hujahan akal yang batil sekalipun dengan niat mempertahankan Al-Quran dan as-Sunah. Mereka mengkritik sesiapa yang membantah kesalahan dengan kesalahan serta bidaah dengan bidaah. Maka kebatilan hendaklah disanggah dengan kebenaran…

  • KHATIB BERTONGKAT KETIKA KHUTBAH

    KHATIB BERTONGKAT KETIKA KHUTBAH Sebetulnya seorang khatib tidak perlu memegang apa-apa kayu tongkat atau yang lain ketika berdiri menyampaikan khutbah. Ini kerana tiada petunjuk bahawa ia merupakan sebahagian daripada anjuran atau tuntutan ketika berkhutbah. Apa yang sabit ialah perbuatan Nabi ﷺ memegang tongkat ketika berkhutbah.Tetapi dalam masa yang sama tiada…

  • MAJLIS ILMU

    MAJLIS ILMU Majlis ilmu ialah majlis para malaikat manakala majlis kelalaian ialah majlis syaitan. Manusia akan duduk bersama dengan orang yang sepertinya. Dan setiap manusia itu akan cenderung kepada apa yang sesuai dengan jiwanya. ——————- Sabda Nabi ﷺ: “Agama seseorang itu bergantung kepada agama temannya. Maka lihatlah dengan siapa kamu…