“KENAPA MALU SANGAT?”
“KENAPA MALU SANGAT?”
# Pentingnya rasa malu
Barangkali kita biasa dengar soalan seperti ini.
Tahukah anda bahawa Nabi ﷺ pernah menegur seorang lelaki yang berkata sedemikian kepada saudaranya?
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Omar radiallahuanhu, bahawasanya Nabi ﷺ melewati seorang lelaki yang sedang menegur saudaranya kerana sifat malunya. Maka Nabi ﷺ bersabda:
دَعْهُ فَإنَّ الْحَيَاءَ مِنَ الْإِيمَانِ.
“Biarkan dia. Sesungguhnya rasa malu merupakan sebahagian daripada iman.”
[Sahih. Riwayat Bukhari dan Muslim]
Nabi ﷺ menegah lelaki tersebut yang menegur saudaranya supaya tidak merasa malu dan mengetepikan perasaan tersebut.
Maka Nabi ﷺ mengatakan “Biarkan dia” yakni biarkan dia dengan sifat malunya itu dan jangan menegahnya daripada bersifat sedemikian.
Kemudian Nabi ﷺ menjelaskan sebabnya iaitu “Rasa malu merupakan sebahagian daripada iman”.
Dengan kata lain, sekiranya rasa malu adalah sebahagian daripada iman maka bagaimana mungkin ia dilarang serta ditegah.
Ini bermakna malu adalah sifat terpuji dan seseorang yang bersifat sedemikian akan terus berada dalam kebaikan.
Ini dijelaskan oleh Nabi ﷺ dalam sabdanya:
الْحَيَاءُ كُلُّهُ خَيْرٌ. الْحَيَاءُ لَا يَأْتِي إِلَّا بِخَيْرٍ.
“Malu itu semuanya baik. Malu itu tidak mendatangkan kecuali kebaikan.”
[Sahih. Riwayat Muslim]
Rasa malu akan menghalang seseorang itu daripada melakukan perbuatan-perbuatan buruk.
Justeru pentingnya Muslim mempunyai rasa malu dan perlu berwaspada dengan apa jua anasir yang boleh menghilangkan rasa malu tersebut.
Nabi ﷺ memberi peringatan serta ancaman ke atas mereka yang tiada perasaan malu dalam sabdanya:
إِذا لَم تَستَحْيِ فاصْنَعْ مَا شِئتَ.
“Jika kamu tidak ada rasa malu maka berbuatlah sesuka hatimu.”
[Hadis sahih. Riwayat Bukhari]
CATATAN
Sekian lama musuh-musuh Islam berusaha gigih untuk menghilangkan rasa malu, terutamanya daripada anak-anak muda melalui pelbagai cara dan helah, menggunakan slogan kebebasan bersuara, keadilan sosial, memperkasakan wanita, kesamarataan gender, gerakan ĻĠɃŤ dan bermacam-macam lagi.
Idris bin Sulaiman
Kajang
09 Safar 1443H /
16 September 2021