Fire flames
|

HADIS AL-BARA’ BIN AZIB TENTANG AZAB KUBUR

Berkata Al-Bara’ bin Azib radiallahuanhu:

“Kami keluar bersama Nabi ﷺ membawa jenazah seorang lelaki Ansar sehingga kami pun sampai di perkuburan. Sementara menunggu jenazah dimasukkan ke dalam liang lahad, Rasulullah ﷺ pun duduk (mengadap kiblat) dan kami pun ikut duduk di sekeliling baginda seolah-olah di atas kepala kami terdapat seekor burung. Di tangan baginda ada sebatang kayu yang dengannya baginda menusuk-nusuk tanah. Baginda melihat ke langit kemudian menunduk ke tanah. Baginda memandang ke atas kemudian ke bawah sebanyak tiga kali. Kemudian baginda bersabda:

“Berlindunglah dengan Allah daripada azab kubur” (sebanyak dua atau tiga kali).

Lalu baginda berkata:

“Ya Allah, aku berlindung denganMu daripada azab kubur” (tiga kali).

Kemudian baginda bersabda:

“Sesungguhnya seorang hamba yang beriman ketika hampir berakhir kehidupan dunianya dan bermulanya kehidupan akhiratnya, turunlah kepadanya malaikat-malaikat yang putih wajahnya bagaikan matahari. Mereka datang membawa kain kapan dari syurga dan wangian mayat Syurga. Mereka kemudian duduk di depan orang itu sejauh mata memandang. Lalu datang Malaikat Maut alaihissalam dan duduk di kepalanya seraya berkata: “Wahai roh yang baik (dalam riwayat lain: jiwa yang tenang), keluarlah menuju keampunan dan keredaan Allah.

Lalu roh itu keluar mengalir bagaikan mengalirnya titisan air dari muncung bekas air dan Malaikat Maut pun mengambilnya.

Dalam riwayat lain:

Sampai ketika roh itu keluar maka seluruh malaikat antara langit dan bumi dan seluruh malaikat di langit berselawat kepadanya, dan dibuka buatnya pintu-pintu langit. Tidak ada penjaga pintu-pintu itu melainkan mereka berdoa kepada Allah agar roh itu naik dari arah (pintu) mereka.

Ketika dia (Malaikat Maut) mengambil roh itu, para malaikat yang lain tidak membiarkannya walaupun sekelip mata sehingga mereka mengambilnya dan meletakkannya dalam kain kapan serta wangian itu.
Itulah firman Allah ﷻ:

“Dia diwafatkan oleh malaikat-malaikat Kami, dan mereka tidak lalai” [Al-Quran, al-An’aam, ayat 61]
Dia keluar dari situ dalam keadaan bau aroma kasturi terharum yang ada di atas muka bumi. Mereka naik membawa roh itu dan setip kali mereka melewati sekumpulan malaikat, mereka akan berkata, “Roh siapakah yang baik ini?” Malaikat yang membawa menjawab “Ini adalah Fulan bin Fulan.” Disebutkan namanya yang terbaik yang biasa dia dipanggil ketika di dunia. Sehingga mereka tiba di langit dunia dan mereka meminta supaya dibukakan pintu untuk roh yang mereka bawa. Pintu pun dibuka buat mereka. Roh itu akan diiringi oleh semua penghuni langit itu sehingga tiba di langit yang berikutnya, sehinggalah sampai ke langit tujuh.

Maka Allah pun bertitah: “Tulislah kitab hambaKu ini dalam Illiyyin.”

“Tahukah kamu apakah itu Illiyyin? Ia kitab yang bertulis, yang disaksikan oleh para malaikat pendamping.” [Al-Quran, al-Mutaffifin, 19-21]

Maka ditulis kitabnya dalam Illiyyin dan dikatakan: Kembalikan dia ke bumi, kerana Aku sudah berjanji kepada mereka bahawa aku menciptakan mereka daripadanya, kepadanya Aku kembalikan mereka dan daripadanya Aku akan bangkitkan mereka semula.

Lalu dia dikembalikan ke bumi dan dimasukkan semula rohnya ke dalam jasadnya. Dia mendengar bunyi derapan kasut sahabat-sahabatnya tatkala mereka meninggalkan perkuburannya.

Setelah itu dua malaikat yang kasar bentakannya menyergah dan mendudukkannya seraya berkata “Siapa tuhanmu?”

Dia menjawab “Tuhanku Allah.”

Mereka bertanya lagi “Apakah agamamu?”

Dia menjawab “Agamaku Islam.”

Mereka bertanya lagi “Siapakah orang yang diutus untuk kalian?”

Dia menjawab “Dia adalah Rasulullah ﷺ.”

Tanya mereka lagi “Apakah amalanmu?”

Jawabnya “Aku membaca Kitab Allah, beriman dengannya dan membenarkannya.”

Mereka membentaknya dalam menanyakan siapa tuhanmu, apa agamamu dan siapa nabimu.

Itulah fitnah (ujian) terakhir yang dihadapkan kepada seorang Mukmin dan itulah yang difirmankan oleh Allah:

“Allah meneguhkan (iman) orang-orang yang beriman dengan ucapan yang teguh itu dalam kehidupan di dunia.” [Al-Quran, Ibrahim, ayat 27]

Sehingga dia mampu menjawab “Tuhanku Allah, agamaku Islam dan Nabiku Muhammad ﷺ.”

Lalu kedengaran suara panggilan dari langit yang berkata “Hambaku ini telah berkata benar, maka bentangkan tilamnya daripada Syurga, pakaikan dia pakaian Syurga dan bukakan untuknya pintu menuju ke Syurga!” Sehingga dia dapat mencium keharuman bau Syurga dan diperluaskan kuburnya sejauh mata memandang.

Lalu datanglah seorang lelaki yang bagus wajahnya, bagus pakaiannya dan berbau harum yang berkata

“Bergembiralah dengan apa yang membuatmu senang. Inilah hari yang dijanjikan untukmu.”

Dia berkata kepadanya “Kamu siapa? Wajahmu ialah wajah yang datang membawa kebaikan.”

Orang itu menjawab “Aku ialah amal solehmu. Demi Allah, aku tidak mengetahui tentangmu kecuali engkau cepat melaksanakan perintah Allah dan lambat mengerjakan kemaksiatan terhadap Allah, maka Allah membalasmu dengan kebaikan.”

Kemudian dibukakan buatnya salah satu pintu Syurga dan salah satu pintu Neraka, lalu dikatakan “Ini ialah tempatmu kalau kamu bermaksiat terhadap Allah tetapi Allah telah menggantinya dengan yang ini.” Tatkala dia melihat apa yang ada di dalam Syurga dia berkata “Tuhanku, percepatkanlah Hari Kiamat, agar aku dapat kembali kepada keluargaku dan hartaku.” Dikatakan kepadanya “Bertenanglah.”

Rasulullah ﷺ selanjutnya berkata:

Sedangkan kalau yang mati itu adalah orang kafir, ketika hampir berakhir kehidupan dunianya dan bermulanya kehidupan akhiratnya, akan datang kepadanya malaikat-malaikat yang kasar lagi bengis. Mereka berwajah hitam dan mereka membawa bersama mereka pakaian daripada Neraka. Mereka duduk di hadapan orang kafir itu sejauh mata memandang. Lalu datanglah Malaikat Maut duduk di kepalanya dan berkata

“Wahai jiwa yang jelik, keluarlah menuju kemurkaan dan kebencian daripada Allah.

Lalu rohnya keluar dari jasad dan disentap umpama sabut yang berserat banyak daripada bulu domba yang basah sehingga banyak keringat dan urat-urat yang terputus bersamanya.

Dia lalu dilaknat oleh sekalian malaikat antara langit dan bumi dan setiap malaikat di langit. Pintu-pintu langit ditutup buatnya. Tidak ada pintu kecuali penjaganya akan berdoa kepada Allah agar roh itu tidak naik melewati mereka.

Ketika dia (Malaikat Maut) mengambil roh itu, para malaikat yang lain tidak membiarkannya walaupun sekelip mata sehingga mereka mengambilnya dan meletakkannya dalam pakaian neraka itu. Ketika itu keluar daripadanya bau bangkai paling busuk yang pernah ada di atas muka bumi. Mereka membawanya naik dan setiap kali mereka melewati sekumpulan malaikat mereka akan berkata, “Roh siapakah yang jelik ini?” Jawab mereka “Fulan bin Fulan.” Disebutkan nama yang paling jelik yang pernah diberikan kepadanya ketika di dunia. Sampai akhirnya mereka tiba di langit dunia dan mereka meminta supaya dibukakan pintu untuk roh yang mereka bawa tetapi tidak diperkenankan.

Lalu Rasulullah ﷺ membaca firman Allah ﷻ:

“Tidak dibuka buat mereka pintu-pintu langit dan mereka tidak akan masuk Syurga sehingga unta masuk ke dalam lubang jarum.” [Al-Quran, al-A’raaf, ayat 40]

Allah Azzawajalla kemudian bertitah “Tulislah buku hambKu ini dalam Sijjin dalam perut bumi yang paling bawah!”

Kemudian dikatakan “Kembalikan dia ke bumi, kerana Aku sudah berjanji kepada mereka bahawa aku menciptakan mereka daripadanya, kepadanya Aku kembalikan mereka dan daripadanya Aku akan bangkitkan mereka semula.”

Kemudian roh itu dilemparkan dari langit sampai menimpa tubuhnya. Kemudian baginda membacakan firman Allah:

“Barang siapa menyekutukan sesuatu dengan Allah, maka seolah-olah dia jatuh dari langit lalu disambar oleh burung, atau diterbangkan angin ke tempat yang jauh.” [Al-Quran, al-Hajj, ayat 31]

Maka dikembalikan roh kepada jasadnya dan dia mendengar derapan kasut teman-temannya tatkala mereka berpaling meninggalkan perkuburannya.

Selanjutnya, dia didatangi dua malaikat yang keras bentakannya yang langsung membentak dan mendudukkannya, lalu berkata “Siapakah Tuhanmu?”

Dia menjawab “Aah..aah… aku tidak tahu.”

Malaikat itu bertanya lagi “Apa agamamu?”

Dia menjawab “Aah.. aah… aku tidak tahu.”

Malaikat bertanya lagi “Apa pendapatmu tentang orang yang diutus kepada kalian ini?”

Dia tidak dapat mengetahui namanya.

Maka dikatakan kepadanya “Muhammad!”

Dia menjawab “Aah.. aah… aku tidak tahu. Aku hanya mendengar manusia mengatakan sesuatu lalu aku mengatakan hal yang sama.”

Lalu dikatakan “Kamu memang tidak tahu dan tidak membaca.”

Setelah itu kedengaran panggilan dari langit yang mengatakan, “Dia berdusta! Bentangkan buatnya tilam daripada neraka dan bukakan pintu neraka ke arahnya.”

Maka ketika itu dia merasai kepanasan bahangnya dan disempitkan buatnya kuburnya sampai tulang sendinya bersilang-silang.

Kemudian datanglah kepadanya seorang lelaki yang buruk rupanya, berpakaian jelik dan berbau busuk. Dia berkata kepadanya “Dengarlah khabar yang akan memburukkanmu, inilah hari yang dijanjikan untukmu.”

Dia berkata “Siapakah kamu?”

Orang itu menjawab “Aku ialah amal burukmu. Demi Allah, aku tidak tahu kecuali engkau lambat dalam mengerjakan ketaatan kepada Allah tetapi cepat dalam bermaksiat terhadap Allah. Maka Allah memberi ganjaran buruk kepadamu.”

Kemudian didatangkan kepadanya orang yang bisu, tuli dan di tangannya cemeti besi! Sekiranya gunung dipukul dengannya nescaya ia akan hancur menjadi tanah. Orang itu lalu memukulnya dengan sebuah pukulan sampai dia menjadi tanah. Kemudian dia dikembalikan semula seperti sebelumnya dan dipukul lagi. Dia menjerit dengan jeritan yang akan didengari oleh semua makhluk kecuali jin dan manusia. Lalu dibukakan buatnya pintu neraka dan dia pun berkata “Tuhanku, jangan Engkau datangkan Hari Kiamat.”

[Sahih. Riwayat Abu Daud]

Similar Posts

  • |

    ‘PENTAKSUBER’ & FITNAH

    ‘Pentaksuber’ ialah golongan fanatik yang sanggup mempertahankan sesuatu walaupun bukti dalil menunjukkan sebaliknya. Termasuklah mempertahankan kata cela nista guru dengan pelbagai alasan dan sebab. Ini tidak wajar. Muslim dilarang bersikap demikian. Lebih 10 tahun lalu kami dihamburkan oleh beliau dengan kata nista, termasuklah menuduh kami menerima suapan RM15 ribu sebulan…

  • | |

    Syarah Hadis 40 Imam Al Nawawi

    Alhamdulillah, buku ini dapat disiapkan walaupun mengambil masa melebihi jangkaan. Kekadang rasa mudah dan tidak mengambil masa lama tetapi selepas kerja-kerja bermula ternyata tidak semudah yang disangka. Banyak sahaja yang perlu dilakukan. Buku ini saya anggap yang pertama bagi saya walaupun ada beberapa penerbitan sebelum ini. Al maklumlah walaupun sudah…

  • |

    SUNAH RASULULLAH DIDAHULUKAN ATAS PENDAPAT LAIN

    Kata Imam al-Syafie: ‌أَجْمَعَ ‌الْمُسْلِمُونَ عَلَى أَنَّ مَنْ اسْتَبَانَتْ لَهُ سُنَّةُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَمْ يَكُنْ لَهُ أَنْ يَدَعَهَا لِقَوْلِ أَحَدٍ مِنْ النَّاسِ. “Umat Islam telah sepakat bahawa barang siapa sudah terjelas baginya Sunah Rasulullah ﷺ maka dia tidak boleh meninggalkannya kerana mengambil pendapat orang lain.” [I’lam…

  • |

    HUKUM BOIKOT BARANGAN ORANG KAFIR

    Ada dua keadaan: Keadaan Pertama:Jika Diarah oleh Pemerintah Jika pemerintah sesebuah negara Islam memerintahkan supaya barangan tertentu atau barangan negara-negara tertentu diboikot maka rakyat negara tersebut wajib mentaati arahan itu. Selari dengan firman Allah ﷻ: يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنْكُمْ “Wahai orang-orang yang beriman, taatilah…

  • |

    AJAR PELAJAR SEKOLAH PAKAI KONDOM?

    Kononnya bagi menangi kes-kes cabul dan rogol yang kesudahannya membuatkan mangsanya hamil dan melahirkan bayi luar nikah, sekali gus meningkatkan lagi kes pembuangan bayi. https://www.mstar.com.my/lokal/viral/2022/07/21/pelajar-lelaki-malu-malu-disuruh-sarung-kondom-depan-rakan-nampak-kekok-ramai-tak-setuju-latihan-amali-pendidikan-seks-di-sekolah Maka subjek pendidikan seks di sekolah dilihat penting bagi membendung isu sosial dalam kalangan remaja, ini termasuklah dengan mengajar para pelajar cara memakai kondom. Falasi…

  • |

    IMAM MASJID HARAM DIPENJARA 10 TAHUN?

    – Democracy for Arab World Now – Council of Foreign Relations (CFR) – Central Intelligence Agency (CIA) Sejak beberapa hari lalu berita tentang seorang imam Masjidilharam dihukum penjara 10 tahun berlegar di media sosial kononnya kerana beliau mengkritik konsert dan acara hiburan di Arab Saudi beberapa tahun lepas. Daripada carian…