Stack of different books on dark background. Knowledge concept.

GELARAN YANG DIBERI LAWAN KEPADA DAKWAH SALAF

– Gelaran yang diberi lawan
– Taimiyyah, Wahhabiyyah
– Jamiyyah, Madkhaliyyah

Dakwah Salaf ialah dakwah yang mengajak masyarakat Islam kembali menghayati ajaran Islam sebenar seperti mana yang terkandung dalam Al-Quran dan al-Sunah serta mengikut apa yang dipraktikkan oleh para Sahabat Nabi ﷺ.

Salaf yang dari sudut bahasanya bererti ‘pendahulu’ adalah nisbah kepada Nabi ﷺ dan ketiga-tiga generasi pendahulu umat Islam yang terpuji iaitu Sahabat, Tabiin dan Tabi al-Tabiin.

Istilah Salaf ini diambil daripada Nabi ﷺ sendiri sebagaimana dalam sabdanya ﷺ kepada isterinya Aisyah radiallahuanha:

نِعْمَ ‌السَّلَفُ أَنَا لَكِ.

“Aku adalah sebaik-baik Salaf (pendahulu) buat kamu.”

[Sahih. Riwayat Bukhari dan Muslim]

Tidak seperti dakwah-dakwah lain, perkataan Salaf atau Salafi tidak merujuk kepada mana-mana tokoh atau ulama tertentu.

Para ulama rabbani sepanjang zaman dijadikan panduan dan rujukan tetapi susuk nama mereka tidak diangkat secara taasub setara nama Nabi ﷺ atau digunakan sebagai neraca penimbang untuk menerima dan menolak nas-nas Al-Quran dan al-Sunah.

Sebaliknya nas-nas Al-Quran dan al-Sunah senantiasa menjadi matlamat pegangan manakala kata-kata para ulama diterima dan ditolak mengikut apa yang bersesuaian dengan kedua-dua sandaran wahyu ini, sebagaimana kata Imam Malik.

LAWAN DAKWAH SALAF

Pendirian dan keadaan dakwah-dakwah yang menyalahi Salaf adalah sebaliknya kerana rata-ratanya dibelenggu penyelewengan daripada isi ajaran agama Islam di samping taasub kepada tokoh dan pendapat sehingga mengatasi nas-nas Al-Quran dan al-Sunah.

Dalam usaha membanteras penyelewengan-penyelewengan ini, musuh-musuh dakwah Salaf bertindak balas dengan memberikan gelaran-gelaran yang memburuk-burukkan dakwah mulia ini.

Berikut ialah antara gelaran-gelaran tersebut:

1. Dakwah Taimiyyah

Antara gelaran-gelaran buruk yang diberikan kepada dakwah Salaf ialah dengan menggelarnya sebagai Taimiyyah, nisbah kepada salah seorang ulamanya iaitu Syeikhul Islam Abu al-Abbas Ibnu Taimiyyah, wafat 728H.

Beliau dimusuhi antara lain kerana usaha gigihnya membanteras fahaman sesat Syiah dalam banyak buku karangannya terutamanya yang berjudul ‘ Minhaj al-Sunah’ sebanyak 9 jilid.

Akibat tidak senang dengan dakwahnya ditambah pula dengan ketidakupayaan membantah hujah-hujah kuatnya daripada Al-Quran dan al-Sunah maka mereka memberikan gelaran buruk kepada dakwah beliau.

Syiah menggelar dakwah Salaf sebagai dakwah Taimiyyah.

2. Dakwah Wahhabiyyah

Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab, wafat 1206H, merupakan antara ulama yang gigih menyebarkan dakwah Salaf di semenanjung tanah Arab.

Beliau hidup ketika mana masyarakat Arab Islam bergelumang dengan amalan-amalan khurafat dan syirik yang tersebar antara lain melalui binaan atas kubur serta pemujaannya.

Bagi membetulkan keadaan dan mengembalikan masyarakat Islam kepada mengesakan Allah ﷻ dalam doa, solat dan ibadah-ibadah lain, beliau mengarang buku:

1. al-Usul al-Thalathah;
2. al-Qawaid al-Arba’;
3. Kasyf al-Syubuhat

dan yang lain.

Ini tidak disenangi oleh sebahagian kelompok kerana ia antara lain mengancam kedudukan dan mata pencarian mereka lalu beliau ditentang hebat oleh golongan pemuja-pemuja kubur daripada kalangan golongan pelampau pengikut sufi tarekat.

Mereka menamakan dakwah Salaf sebagai dakwah Wahhabiyyah bagi menjauhkan masyarakat daripada dakwah murni ini.

3. Dakwah Jamiyyah

Jamiyyah ialah nisbah kepada Syeikh Muhammad bin Aman al-Jami, wafat 1416H, seorang ulama dari Ethiopia (Habsyah).

Gelaran ini mula timbul semasa Perang Teluk ketika mana tentera Iraq menyerang Kuwait dan menghampiri persempadanan Arab Saudi pada tahun 1990-1991.

Mufti Arab Saudi waktu itu, Syeikh Bin Baz rahimahullah mengeluarkan fatwa membolehkan kerajaan Arab Saudi menggunakan khidmat ketenteraan negara-negara bersekutu di bawah pimpinan Amerika Syarikat bagi menangkis pencerobohan tentera Iraq dan mempertahankan kedaulatan negara.

Fatwa ini ditentang oleh golongan haraki Sururi yang terkesan dengan gerakan Ikhwan Muslimin di Mesir serta pemikiran Sayid Qutub seperti Safar Hawali dan Salman Audah.

Mereka menamakan pendirian dan dakwah Salaf terutamanya dalam permasalahan hubungan antara rakyat dengan pemerintah sebagai dakwah Jamiyyah.

4. Dakwah Madkhaliyyah

Madkhaliyyah ialah nisbah kepada Syeikh Rabi’ bin Hadi al-Madkhali, mantan pensyarah Universiti Islam Madinah.

Beliau masih hidup, tua uzur, menetap di Madinah dan mendapat pujian daripada ramai ulama Salafi lain seperti al-Allamah al-Mubarakfuri, Syeikh Bin Baz, Syeikh al-Albani, Syeikh Ibnu Uthaimin, Syeikh Saleh al-Fauzan dan yang lain.

Beliau antara ulama Salafi terawal membongkar pemikiran revolusi Ikhwan Muslimin yang telah menimbulkan banyak kekacauan dan ketidakstabilan di negara-negara Islam melalui buku-buku beliau seperti:

1. Adwa’ al-Bayan ‘Ala Aqidah Sayid Qutub;
2. Mata’in Sayid Qutub Fi Ashab Rasulillah; dan
3. al-Awasim Mimma Fi Kutub Sayid Qutub Min al-Qawasim.

Gerakan Ikhwan Muslimin ini akhirnya difatwakan sebagai pengganas dan sesat oleh kedua-dua Badan Pembesar Ulama Arab Saudi dan juga al-Azhar Mesir pada tahun 2020.

Antara tokoh pemikir Ikhwan Muslimin ialah Hasan al-Banna, Sayid Qutub, Muhammad Qutub, Umar al-Tilmisani, Dr. Yousuf al-Qaradawi, Safar al-Hawali, Salman al-Audah, Nasir al-Umar, Awadh al-Qarni, Aidh al-Qarni, Muhammad al-Uraifi, Muhammad al-Diddu dan yang lain.

Golongan Ikhwan Muslimin yang tidak senang dengan dakwah Salaf menggelarnya sebagai dakwah Madkhaliyyah sebagai celaan dan perlecehan ke atasnya.

KESIMPULAN

Gelaran-gelaran Taimiyyah, Wahhabiyyah, Jamiyyah dan Madkhaliyyah adalah nisbah kepada nama-nama ulama pendukung dakwah Salaf sepanjang zaman.

Ia digunakan oleh musuh-musuh dakwah daripada kalangan Syiah, pelampau sufi tarekat dan pendukung pemikiran haraki revolusi Ikhwan Muslimin bagi menjauhkan masyarakat Islam daripada dakwah murni ini.

Realitinya, dakwah Salaf bukan nisbah kepada mana-mana tokoh atau ulama, apatah lagi kultus sesiapa yang tidak maksum.

Tiada nisbah lain yang diangkat kecuali Salaf, nisbah kepada Nabi ﷺ dan tiga generasi pendahulu umat Islam.

Daripada Allah jua kita memohon petunjuk hidayah.

Dr. Idris bin Sulaiman
Kajang
03 Rabiulawal 1444H
30 September 2022

Similar Posts