|

DEFINISI BIDAAH

  • Bidaah Agama vs Bidaah Dunia

Ada pihak sengaja menangguk di air keruh mahu kelirukan orang ramai tentang isu bidaah.

Mereka gambarkan seolah-olah Salafi (dipanggil Wahabi) melarang bidaah secara semberono dan membuta tuli.

Lalu secara sinis dan menyindir berkata:

“Oh, maknanya semua benda baharu dan peralatan moden tak boleh digunakan! Telefon, kamera, kereta, kapal terbang… ini semua bidaah, haram??! Jadi kalau begitu kena balik ke zaman purba dan naik unta??”

Ujar mereka.

Cara ini yang juga disebut kaedah ‘Falasi Orang Jerami’ bertujuan untuk mengalihkan topik asal dengan menokok tambah pendapat lawan sehingga mengatakan apa yang tidak dikata supaya pendirian lawan nampak ekstrem, lalu dibantah hujah yang ditokok tambah itu, bukan hujah yang dikemukakan oleh pihak lawan.

Licik dan tidak jujur.

Akhirnya orang ramai terus keliru, tidak faham isu sebenar yang dibahaskan.

DEFINISI SEBENAR BIDAAH

Kata Imam al-Syatibi (wafat 790H), bidaah yang dilarang agama ialah:

طَرِيقَةٍ فِي الدِّينِ مُخْتَرَعَةٍ، ‌تُضَاهِي الشَّرْعِيَّةَ يُقْصَدُ بِالسُّلُوكِ عَلَيْهَا الْمُبَالَغَةُ فِي التَّعَبُّدِ لِلَّهِ سُبْحَانَهُ.

“Bidaah ialah jalan yang direka dalam agama yang menyerupai syariat dan bertujuan untuk berlebihan dalam mendekatkan diri kepada Allah.”

[al-I’tisam, 1/50]

Bidaah yang dilarang ialah apa yang melibatkan tokok tambah, rekaan dan inovasi dalam perkara ibadah dan agama, bukan hal adat dan dunia.

Hal-hal yang melibatkan syariat; solat, zikir, doa, bacaan Al-Quran dan seumpamanya, bukan hal-hal dunia seperti telefon, kamera, kereta dan kapal terbang.

Dalam urusan dunia ada kebebasan dan keluasan selagi mana tidak melanggar batasan-batasan syariat kerana Nabi ﷺ bersabda:

أَنْتُمْ ‌أَعْلَمُ بِأَمْرِ ‌دُنْيَاكُمْ.

“Kalian lebih tahu mengenai urusan dunia kalian.”

[Sahih. Riwayat Muslim]

Sedangkan dalam hal syariat pula, Muslim diperintahkan supaya mengikuti al-Sunah dan berpegang teguh kepadanya sebagaimana dalam banyak nas.

Firman Allah ﷻ:

قُلۡ إِن كُنتُمۡ تُحِبُّونَ ٱللَّهَ فَٱتَّبِعُونِي

“Katakanlah (kepada umatmu wahai Muhammad): Jika benar kalian cinta Allah maka ikutilah akan daku (ikut Sunah Nabi ﷺ).”

[Al-Quran, Aali Imran, 3:31]

FirmanNya ﷻ:

وَمَآ ءَاتَىٰكُمُ ٱلرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَىٰكُمۡ عَنۡهُ فَٱنتَهُواْ

“Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah kepada kalian maka terimalah, dan apa jua yang dilarang atas kalian maka jauhilah.”

[Al-Quran, al-Hasyr, 59:7]

Ternyata Nabi ﷺ telah membawakan dua petunjuk sumber agama iaitu Al-Quran dan al-Sunah yang Muslim wajib berpegang teguh kepadanya, di samping melarang perbuatan tokok tambah, rekaan dan inovasi dalam agama.

Sabda Nabi ﷺ:

وإيَّاكُمْ وَمُحْدَثاَتِ الأمُور، فَإنّ ‌كُلَّ ‌بِدْعَةٍ ‌ضَلالةٌ.

“Hendaklah kalian jauhi perkara-perkara baharu (bidaah dalam Agama) kerana sesungguhnya setiap bidaah ialah kesesatan.”

[Sahih. Riwayat Abu Daud, no. 4607]

Sabdanya ﷺ:

مَنْ ‌أَحْدَثَ فِي أَمْرِنَا هَذَا مَا لَيْسَ فِيهِ فَهُوَ رَدٌّ.

“Barang siapa mengada-adakan sesuatu yang baharu dalam urusan kita ini (Agama) maka ia adalah tertolak.”

[Sahih. Riwayat Bukhari, no. 2697 dan Muslim, no. 1718]

Sabdanya ﷺ lagi:

مَنْ ‌عَمِلَ ‌عَمَلًا لَيْسَ عَلَيْهِ أَمْرُنَا فَهُوَ رَدٌّ.

“Barang siapa melakukan sesuatu amalan yang tidak menepati cara kami maka ia adalah tertolak.”

[Sahih. Riwayat Muslim, no. 1718]

Amalan yang ditokok tambah itu akan ditolak, kata Nabi ﷺ. Yakni tidak diterima Allah ﷻ, sia-sia, tidak menjana apa-apa pahala jika orangnya terselamat daripada dosa.

CATATAN

Jangan dikelirukan lagi oleh pihak-pihak yang tidak jujur dan amanah dalam perbahasan ilmiah.

Daripada Allah jua kita memohon petunjuk.

Dr. Idris bin Sulaiman
Kajang
01 Zulkaedah 1445H
10 Mei 2024
https://idrissulaiman.com

Similar Posts

  • |

    “TAPI NABI TAK LARANG PUN!”

    Sebahagian pihak beranggapan bahawa Muslim boleh sahaja beramal dengan amalan-amalan tertentu sekalipun tiada contohnya daripada Nabi ﷺ atau para Sahabat selama mana amalan itu dilihat baik. Apabila ditegur mereka membalas: “Ada Nabi larang???” “Nabi tak larang pun!” Jawapan ini salah dan keliru. Bahkan ada larangan. Nabi ﷺ secara tegas dan…

  • |

    MENGAGUNGKAN SUNAH NABI ﷺ

    Sunah Nabi ﷺ wajib diterima dan diagungkan. Sebagaimana firman Allah ﷻ: وَمَآ ءَاتَىٰكُمُ ٱلرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَىٰكُمۡ عَنۡهُ فَٱنتَهُواْۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۖ إِنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلۡعِقَابِ “Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarangNya kamu melakukannya maka patuhilah laranganNya. Dan…

  • |

    NAMA URD DIBERSIHKAN DARIPADA TOHMAHAN FAHAMAN RADIKAL

    Ucapan takziah YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim tempoh hari atas pemergian Allahyarham Ustaz Rasul Dahri secara tidak langsungnya membersihkan nama Allahyarham daripada segala tohmahan yang dilemparkan ke atas Allahyarham kononnya beliau membawa fahaman radikal dan keganasan. Sudah bertahun-tahun tohmahan ini dijaja oleh sesetengah pihak sedangkan Allahyarham hanya bersabar…

  • |

    TABARUK DENGAN RAMBUT, JUBAH, CAPAL NABI ﷺ

    – Tabaruk bermaksud mencari berkat. Tidak dinafikan bahawa mengambil berkat (bertabaruk) daripada barang-barang peninggalan Nabi ﷺ merupakan suatu perkara yang disyariatkan berdasarkan banyak riwayat yang menceritakan tentang perbuatan para Sahabat Nabi ﷺ bertabaruk dengan peninggalan-peninggalan baginda ﷺ. Sekalipun demikian, TIDAK SABIT bahawa terdapat barang-barang peninggalan Nabi ﷺ yang wujud pada…

  • |

    *SIAPA ITU MUSLIM YANG BENAR?*

    *SIAPA ITU MUSLIM YANG BENAR?* . Dalam isu pemerintahan. . Dia mengajak kepada ketaatan, bukan pemberontakan. . Dia menolak hizbiyyah perpecahan, bukan bersekongkol bersama. . Mengundi parti bukan kerana parti. . Dia mengundi parti pemerintah semata-mata untuk menjaga kesatuan dan keamanan. . Dia membenci kemungkaran pemerintah, dalam masa yang sama,…

  • |

    ORANG PALING KUAT

    Orang yang paling kuat ialah orang yang bertawakal sepenuhnya kepada Allah ﷻ. Kata sebahagian ulama Salaf: “Barang siapa mahu jadi orang paling kuat maka hendaklah dia bertawakal kepada Allah.” [Zad al-Ma’ad, Ibnu al-Qayyim, 2/364] Sebagaimana firman Allah ﷻ: وَعَلَى ٱللَّهِ فَتَوَكَّلُوٓاْ إِن كُنتُم مُّؤۡمِنِينَ “Kepada Allah jualah hendaklah kamu berserah…