|

BULU KUCING BUKAN NAJIS

  • Pandangan Imam Syafie
  • Pandangan akal ijtihad yang menyalahi nas wajib ditolak

Tular di media sosial pandangan sesetengah pihak yang kata bulu kucing najis, justeru kucing seeloknya diletakkan di luar rumah agar bulunya tidak jatuh merata dan dapat solat dengan tenang tanpa waswas.

Pertamanya, perlu ditegaskan bahawa pandangan di atas adalah salah dan bersifat ghuluw melampau.

Sebetulnya kucing ialah binatang suci, bukan najis, termasuklah bulunya.

Ini berdasarkan riwayat daripada Kabsyah binti Kaab bin Malik, bahawasanya Abu Qatadah datang lalu Kabsyah menuangkan air wuduk untuknya. Kemudian seekor kucing datang dan minum daripada air itu. Ternyata Abu Qatadah mencondongkan bekasnya untuk kucing itu meminum darinya. Beliau melihat Kabsyah memandangnya lalu berkata “Adakah engkau rasa hairan wahai anak perempuan saudaraku?” Kata Kabsyah “Ya.” Jelas beliau “Rasulullah ﷺ bersabda:

إِنَّهَا لَيْسَتْ بِنَجَسٍ إِنَّمَا هِيَ مِنَ ‌الطَّوَّافِينَ ‌عَلَيْكُمْ.

“Sesungguhnya kucing bukan najis kerana ia haiwan yang berkeliaran mengelilingi kamu.”

[Sahih. Riwayat Tirmizi, no. 92]

Jelas Imam Tirmizi (wafat 279H):

“Hadis ini hasan sahih. Ini adalah pandangan kebanyakan ulama daripada kalangan para Sahabat Nabi ﷺ, Tabiin dan mereka yang datang sesudah mereka seperti Syafie, Ahmad dan Ishak. Mereka melihat air liur kucing tidak mengapa.”

Kata Imam al-Sanani (wafat 1182H):

‌وَفِي ‌التَّعْلِيلِ إشَارَةٌ إلَى أَنَّهُ تَعَالَى لَمَّا جَعَلَهَا بِمَنْزِلَةِ الْخَادِمِ فِي كَثْرَةِ اتِّصَالِهَا بِأَهْلِ الْمَنْزِلِ وَمُلَابَسَتِهَا لَهُمْ وَلِمَا فِي مَنْزِلِهِمْ خَفَّفَ اللَّهُ تَعَالَى عَلَى عِبَادِهِ بِجَعْلِهَا غَيْرَ نَجَسٍ رَفْعًا لِلْحَرَجِ. وَالْحَدِيثُ دَلِيلٌ عَلَى طَهَارَةِ الْهِرَّةِ وَسُؤْرِهَا.

“Sebab yang diberikan memberi petunjuk bahawa ketika mana Allah ﷻ menjadikan kucing seperti khadam yang banyak berinteraksi dengan penghuni rumah, bersentuhan dengan anggota badan mereka serta barangan perkakas mereka maka Allah ﷻ meringankan buat para hambaNya dengan menjadikan kucing bukan najis bagi mengelakkan kesukaran. Dan hadis menunjukkan bahawa kucing dengan air liurnya adalah suci.”

[Subul al-Salam, 1/24]

Justeru ketika mana air liur kucing dihukum sebagai suci maka bulu-bulunya juga dihukum sebagai suci secara lebih utama.

Kata Ibnu Qudamah (wafat 620H):

كُلُّ حَيَوَانٍ حُكْمُ جِلْدِهِ وَشَعْرِهِ وَعَرَقِهِ وَدَمْعِهِ وَلُعَابِهِ حُكْمُ سُؤْرِهِ فِي الطَّهَارَةِ وَالنَّجَاسَةِ.

“Semua haiwan, hukum kulit, bulu dan air peluhnya mengambil hukum air liurnya sama ada suci atau najis.”

[al-Mughni, 1/46]

Bahkan sebetulnya rambut dan bulu semua haiwan sama ada yang boleh dimakan atau yang tidak boleh dimakan adalah suci sebagaimana yang ditegaskan oleh Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah.

Jelas beliau:

إِنَّ ‌جَمِيعَ ‌الشَّعْرِ وَالرِّيشِ وَالْوَبَرِ وَالصُّوفِ طَاهِرٌ سَوَاءٌ كَانَ عَلَى جِلْدِ مَا يُؤْكَلُ لَحْمُهُ أَوْ جِلْدِ مَا لَا يُؤْكَلُ لَحْمُهُ وَسَوَاءٌ كَانَ عَلَى حَيٍّ أَوْ مَيِّتٍ.

“Semua rambut, bulu dan kulit haiwan adalah suci. Tidak kira sama ada yang boleh dimakan dagingnya atau yang tidak boleh dimakan, dan sama ada haiwan itu hidup atau mati.”

[Majmuk Fatawa, 21/38]

Sedangkan maklum bahawa binatang kucing banyak berkeliaran di sekeliling manusia termasuklah di dalam rumah-rumah manakala bulu-bulunya akan banyak jatuh gugur sama ada atas pakaian manusia ataupun barangan perkakas dalam rumah mereka.

Tidak pula diketahui bahawa Nabi ﷺ menjaga kebersihan dirinya daripada bulu-bulu kucing ataupun memerintahkan para Sahabat berbuat demikian.

Tambahan pula baginda ﷺ secara jelas dan tegas bersabda “Sesungguhnya kucing bukan najis.”

Jelaslah bahawa bulu kucing adalah suci manakala bulu-bulunya yang hinggap atas badan atau pakaian tidak menimbulkan apa-apa halangan sama ada dalam solat atau di luar solat.

Adapun pandangan yang membatalkan solat sekiranya terdapat banyak bulu kucing atas badan atau pakaian maka ini pandangan yang tertolak, tidak diterima kerana tidak didasari dalil yang sahih sedangkan petunjuk dalil menunjukkan sebaliknya sebagaimana yang telah dijelaskan di atas.

Maka nas hadis perlu didahulukan manakala mana-mana pandangan akal ijtihad yang menyalahi petunjuk hadis wajib ditolak.

CATATAN

Sahabat Nabi ﷺ yang paling banyak meriwayatkan hadis iaitu Abu Hurairah mendapat jolokan nama ini (Abu Hurairah) kerana beliau gemar memelihara kucing (hurairah). Tiada walau satu pun riwayat daripada beliau menghukum bulu kucing sebagai najis. Malah beliau antara yang meriwayatkan hadis “Kucing bukan najis.”

Rujukan:

https://islamqa.info/ar/answers/176304/حكم-الصلاة-في-الثوب-الذي-يعلق-به-شعر-من-شعور-القطط

Allah jua pemberi petunjuk.

Dr. Idris bin Sulaiman
Kajang
11 Syawal 1445H
20 April 2024
https://idrissulaiman.com

Similar Posts

  • LŎCKDŎWN DUNIA KALI KE-2?

    – Reset Ekonomi – New World Order Perkembangan semasa di China sepatutnya merisaukan kerana di sanalah segala bala musibah bermula dua tahun lalu di awal 2020. Kini kita menyaksikan hal serupa berulang kembali apabila baru-baru ini kerajaan China melaksanakan perintah lŏckdŏwn kali ke-2 ke atas rakyatnya tetapi dengan lebih dahsyat…

  • |

    PERMOHONAN MAAF

    Beberapa hari lepas sebuah video bertajuk ‘Imam Shafie Akui Tidak Menguasai Ilmu Hadis’ telah dimuat naik di laman Facebook Dr Idris Sulaiman yang mengundang pelbagai reaksi warga maya. Sebahagian mengkritik tajuknya dan menganggapnya biadap terhadap tokoh besar Islam ini manakala sebahagian lain menginterpretasikan isi videonya bermaksud saya mengatakan Imam al-Syafie…

  • |

    YAHUDI SERANG GAZA PALESTIN

    Ya Allah, selamatkan saudara-saudara kami di Palestin dan segerakanlah hukumanMu ke atas golongan pelampau yang menindas. Berikan perlindungan dan keamanan buat kaum Muslimin di sana. Awas tipu daya Yahudi laknatullah yang dibantu kelompok-kelompok dukungan Syiah Iran untuk menimpakan bala bencana buat Ahli Tauhid dan Sunah atas nama jihad supaya Yahudi…

  • |

    HODOHNYA DAJAL TETAPI RAMAI PENGIKUT

    Sehodoh-hodoh Dajal, seorang lelaki yang pendek, berbadan gempal, mata kanannya buta dan kulitnya terjelir seperti buah anggur yang mengecut, mata kirinya pula terdapat daging lebih yang tebal, kakinya ada kecacatan, berambut kerinting, mempunyai dada dan dahi yang lebar manakala tertera di dahinya kaf-fa-ra (kafir) sekalipun demikian majoriti penduduk dunia pada…

  • |

    KULIAH KHAS RAMADAN 1444H / 2023

    Bulan Ramadan yang mulia semakin hampir. Dengan izin Allah, sepanjang bulan Ramadan nanti akan diadakan kuliah khas membahaskan buku Syarah Hadis 40 Imam al-Nawawi pada setiap hari Sabtu & Ahad,6 petang – 7.15 petang melalui siaran langsung Facebook di saluran ilmusalafdotcom & idrissulaiman. Dapatkan bukunya di sini: “Dan berdoalah: Wahai…