|

‘BILIK KULIAH’ KERETA KANCIL

Kereta Kancil saya ini banyak nostalgia dan kenangan manisnya.

Saya menggunakan kereta ini sejak awal bekerja di Kedutaan Arab Saudi di Kuala Lumpur sampai berhenti. Saban hari berulang alik dari Kajang ke Kuala Lumpur menaikinya dari tahun 2003 sampai 2014.

Segala apa yang Allah ﷻ takdirkan ada hikmahnya.

Alhamdulillah, saya tidak mendengar muzik. Kerana itu antara kenangan manis menaiki kereta ini ialah setiap kali ke pejabat saya akan menggunakan masa sepanjang mengharungi kesesakan lalu lintas selama hampir sejam untuk mendengar kuliah-kuliah Syeikh al-Albani rahimahullah membahaskan pelbagai topik agama. Sangat menarik dan luar biasa perbahasan beliau sehingga saya dapat mengambil banyak ilmu dan faedah daripadanya.

Tidak dinafikan bahawa mendengar kuliah beliau sambil memandu ada cabarannya yang tersendiri. Ini kerana saya tidak dapat merekodkan semua poin yang disampaikan seperti mana yang sepatutnya. Oleh itu, orang lain mungkin rasa marah dan geram jika terperangkap dalam kesesakan jalan raya tetapi bagi saya waktu itu adalah sebaliknya. Saya lebih suka kerana pergerakan perlahan kenderaan-kenderaan di hadapan membolehkan saya mencatatkan faedah-faedah yang saya dengar daripada kuliah Syeikh al-Albani dalam buku nota kecil yang ada.

Begitulah rutin saya apabila naik kereta ke pejabat sepanjang bekerja di Kedutaan Arab Saudi selama lebih 11 tahun. Kesudahannya saya berjaya mendengar hampir keseluruhan rakaman yang ada dalam rangkaian ‘Silsilah al-Huda Wa al-Nur’ yang berjumlah hampir 1000 buah rakaman. Setiap rakaman ini adalah selama hampir sejam dan ada antaranya yang diulang dengar sampai dua kali atau lebih.

Siapa sangka daripada ‘bilik kuliah’ kereta ini akhirnya ia dapat membantu saya menghasilkan tesis Masters dan PhD tentang asas dakwah dan juga pegangan fiqah Syeikh al-Albani rahimahullah.

Benarlah jika Allah ﷻ menghendaki sesuatu maka Dia akan menciptakan asbabnya.

Segala puji bagi Allah ﷻ dari awal sampai akhir.

Alkisahnya, kereta Kancil ini sudah bertahun-tahun tersadai di belakang rumah. Maklumlah kereta lama maka banyaklah masalahnya. Semalam ada yang datang membelinya dengan harga RM300. Mungkin hendak dijadikan kereta sekerap.

CATATAN

Kertas putih yang dilampirkan adalah nombor-nombor rangkaian rakaman ‘Silsilah al-Huda Wa al-Nur’ bagi kuliah-kuliah Syeikh al-Albani manakala tanda pangkah atas sesetengah nombor-nombor itu menunjukkan rakaman-rakaman yang sudah didengar. Tanda sengkang pula menunjukkan nombor-nombor rakaman yang tidak dapat diperoleh (waktu itu).

Semoga Allah ﷻ mengampuni Syeikh al-Albani dan memberikan ganjaran pahala yang berlipat kali ganda atas segala usaha beliau berdakwah dan menyampaikan ilmu kepada umat Islam.

Dr. Idris bin Sulaiman
Kajang
16 Rabiulakhir 1444H
11 November 2022

Similar Posts

  • |

    VALENSTINE’S DAY – HARI KEKASIH

    Kasih sayang bukan perayaan. Suatu perayaan itu datang dan pergi sedangkan kasih sayang yang benar akan terus kekal. Sebagai kaedah, apa jua perayaan selain Aidilfitri dan Aidiladha dikategorikan dalam syariat sebagai perayaan jahiliah. Hari Kekasih termasuk dalam perayaan jahiliah. Semoga kita dan keluarga kita sentiasa dilindungi Allah. Dr. Idris bin…

  • |

    IKUT NABI ATAU MAJORITI?

    Semua Muslim mengakui bahawa jalan Nabi ﷺ harus didahulukan atas jalan masyarakat dan bahawasanya jalan baginda ﷺ adalah satu-satunya jalan yang membawa ke syurga. Tetapi apakan daya realitinya ramai memilih untuk mendahulukan pegangan dan amalan majoriti berbanding sunah Nabi ﷺ atas pelbagai alasan dan sebab. Dan ini juga adalah pilihan…

  • |

    ISTERI JANGAN MUDAH MINTA CERAI

    Seorang isteri tidak boleh sewenang-wenangnya meminta cerai kecuali jika ada alasan kukuh untuknya berbuat demikian. Ini berdasarkan sabda Nabi ﷺ: أَيُّمَا امْرَأَةٍ سَأَلَتْ زَوْجَهَا طَلَاقًا فِي ‌غَيْرِ ‌مَا ‌بَأْسٍ فَحَرَامٌ عَلَيْهَا رَائِحَةُ الْجَنَّةِ. “Mana-mana isteri yang meminta cerai daripada suaminya tanpa alasan maka haram baginya bau syurga.” [Sahih. Riwayat Abu…

  • BERGANTUNG PADA SEBAB MUSABAB & BERTAWAKAL PADA ALLAH

    – Yakin boleh! – Believe in yourself, you can do it! Bergantung pada sebab musabab dengan meyakini bahawa ia memberi kesan tanpa mengaitkannya dengan ketetapan dan kehendak Allah ﷻ akan merosakkan pegangan akidah. Ini kerana tiada apa yang dapat memberi kesan tanpa izin dan kehendak Allah ﷻ. Firman Allah ﷻ:…

  • |

    NAMPAK HEBAT TETAPI…

    Seorang ustaz dalam video yang tular kelihatan sedang berzikir menggunakan biji-biji tasbih gergasi dalam masjid bersama jemaah yang hadir. Nampak hebat dan bagus. Sama seperti video seorang jemaah haji yang melontar di jamrah, Mina dengan penuh gaya dan semangat seolah-olah dia benar-benar menyasarkan syaitan. Perlu diingatkan bahawa bukan semua yang…

  • |

    MAULIDUR RASUL: SATU KEKELIRUAN

    – Sambutan mingguan atau perayaan tahunan? Hari kelahiran Nabi ﷺ bukan untuk dirayakan secara tahunan. Ini kerana Nabi ﷺ berpuasa pada hari kelahirannya, hari Isnin. Berdasarkan hadis di mana Nabi ﷺ apabila ditanya tentang berpuasa pada hari Isnin, baginda ﷺ bersabda: ذَاكَ يَوْمٌ ‌وُلِدْتُ ‌فِيهِ. “Ia merupakan hari kelahiranku.” [Sahih….