European Union map with flags of countries. Europe.
|

“AKU MELIHAT ISLAM DI EROPAH TETAPI TIDAK MELIHAT Muslim” : SATU PENILAIAN

Ada sebuah ungkapan yang sekian lama berlegar dalam dunia Islam yang berbunyi “Aku pergi ke Eropah lalu aku melihat Islam namun tidak melihat Muslim, dan aku pergi ke negara Arab dan melihat Muslim namun tidak melihat Islam.”

Ungkapan di atas menggambarkan ketakjuban orangnya kepada negara-negara Barat (atau sesetengah negara Timur seperti Jepun) yang bukan sahaja dapat mengecapi kemajuan dari sudut teknologi dan material tetapi penduduknya juga berbudi bahasa dan berakhlak baik.

Dalam menilai ungkapan ini dua perkara harus diingatkan.

Yang pertama ialah tujuan utama manusia diciptakan dan yang kedua ialah dosa paling besar di sisi Allah ﷻ.

Perlu diingatkan bahawa tujuan utama manusia dijadikan ialah untuk mengabdikan diri kepada Allah ﷻ dan menyembahNya semata-mata. Ini sebagaimana firman Allah ﷻ:

وَمَا خَلَقۡتُ ٱلۡجِنَّ وَٱلۡإِنسَ إِلَّا لِيَعۡبُدُونِ.

“Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.”

[Al-Quran, al-Dzariyat, 51:56]

Ini bermakna manusia yang melakukan syirik atau kufur telah menyalahi tujuan dia diciptakan oleh Allah ﷻ, dan selagi mana dia bergelumang dengannya maka selagi itulah dia berada dalam kesesatan dan kegelapan.

Kenyataan di atas membawa kepada perkara kedua iaitu dosa paling besar di sisi Allah ﷻ.

Ternyata bahawa dosa syirik dan kufur merupakan dosa paling besar di sisi Allah ﷺ sehinggakan Allah ﷻ mengancam orangnya dengan azab api neraka untuk selama-lamanya di akhirat.

Firman Allah ﷻ:

إِنَّ ٱلشِّرۡكَ لَظُلۡمٌ عَظِيمٞ.

“Sesungguhnya perbuatan syirik itu ialah kezaliman yang (paling) besar.”

[Al-Quran, Luqman, 31:13]

Firman Allah ﷻ:

وَعَدَ ٱللَّهُ ٱلۡمُنَٰفِقِينَ وَٱلۡمُنَٰفِقَٰتِ وَٱلۡكُفَّارَ نَارَ جَهَنَّمَ خَٰلِدِينَ فِيهَا.

“Allah menjanjikan orang-orang munafik lelaki dan perempuan serta orang-orang kafir dengan neraka Jahanam, mereka kekal di dalamnya.”

[Al-Quran, al-Taubah, 9:68]

Syirik dan kufur ialah dosa yang paling besar sehinggakan Allah ﷻ mengancam orangnya dengan azab yang cukup pedih lagi ngeri yang tidak dapat dibayangkan oleh akal manusia.

Bukan itu sahaja malah Allah ﷻ menjelaskan bahawa mereka yang mati dalam keadaan syirik atau kufur tanpa bertaubat daripadanya tidak akan diampunkan dosanya itu di akhirat kelak.

Ini berbeza dengan dosa-dosa lain yang dilakukan oleh manusia tanpa bertaubat daripadanya. Walau sebesar mana pun dosa itu selagi mana ia tidak sampai ke tahap syirik atau kufur maka ia boleh diampunkan oleh Allah ﷻ jika Dia menghendakinya.

Firman Allah ﷺ:

إِنَّ ٱللَّهَ لَا يَغۡفِرُ أَن يُشۡرَكَ بِهِۦ وَيَغۡفِرُ مَا دُونَ ذَٰلِكَ لِمَن يَشَآءُ.

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukanNya (dengan sesuatu apa pun) dan akan mengampunkan dosa selainnya bagi sesiapa yang dikehendakiNya.”

[Al-Quran, al-Nisa’, 04:48]

Justeru bandingkan antara kenyataan bahawa tujuan utama manusia diciptakan ialah untuk menyembah Allah ﷻ semata-mata dan bahawasanya dosa paling besar ialah syirik dan kufur dengan ungkapan ‘Aku melihat Islam di Eropah tetapi tidak melihat Muslim’.

Islam apakah yang dilihat di Eropah dalam kalangan orang-orang yang bergelumang dengan syirik dan kufur?

Jangan pula kejahilan sampai membuatkan kita berkata “Walaupun melakukan syirik dan kufur tetapi yang penting orangnya berbudi bahasa dan berakhlak mulia.”

Ucapan yang sangat salah dan keliru.

Bagaimana pula jika dibandingkan dengan zaman Nabi ﷺ waktu mereka hidup dalam keadaan serba susah dan kurang, tanpa kemajuan infrastruktur dan teknologi, tiada sistem pembetungan, makanan amat terhad, rumah-rumah malah Masjid Nabi ﷺ waktu itu dibuat daripada tanah liat dan pelepah kurma manakala masyarakat hidup dalam suasana perang.

Adakah ungkapan yang sama akan diucapkan?

Maksud di sini, usahlah keliru dengan penampakan zahir budi bahasa dan akhlak baik sehingga mengabaikan apa yang jauh lebih utama iaitu tauhid mengesakan Allah ﷻ dalam kehidupan di dunia di samping perbuatan yang jauh lebih buruk dan berbahaya iaitu syirik dan kufur yang dimurkai Allah ﷻ.

Apa yang pasti, Muslim yang mengesakan Allah ﷻ lebih mulia berbanding mereka yang bergelumang dengan syirik dan kufur sekalipun penampakan mereka cantik dan bagus.

Bahagian kedua ungkapan iaitu “Aku melihat Muslim namun tidak melihat Islam” pun sama seperti yang pertama, tidak wajar.

Ia memberi konotasi negatif seolah-olah menafikan keislaman sekian ramainya Muslim yang ada di negara-negara Arab secara khasnya atau negara-negara Islam secara amnya.

Ini ditegah agama.

Muslim tidak boleh sewenang-wenangnya mengeluarkan saudara seislamnya daripada agama melainkan ada bukti kukuh yang diakui syarak.

Adapun soal seseorang itu kurang berbudi bahasa atau berakhlak buruk maka alasan ini tidak cukup untuk menafikan keislamannya. Apatah lagi penafian yang berbentuk pukul rata atas seluruh masyarakat Islam.

Pendekatan takfir secara semberono ini mirip sifat tercela Khawarij.

CATATAN:

Beberapa tahun lalu New Zealand dinobatkan sebagai ‘negara Islam nombor 1 di dunia’.

Falasi yang tidak kurang dahsyatnya. Keliru lagi mengelirukan.

Daripada Allah jua kita memohon petunjuk hidayah.

Idris bin Sulaiman
Kajang
05 Zulhijah 1443H /
05 Julai 2022

Similar Posts

  • |

    KEMUNGKARAN SEMASA PENGURUSAN JENAZAH vs WALIMATULURUS

    Jangan terus pulang jika melihat kemungkaran semasa hadir pengurusan jenazah. Berbeza dengan kemungkaran dalam walimatulurus, tetamu boleh patah balik dan pulang. Imam Ahmad menegaskan bahawa jika seseorang itu melihat kemungkaran yang tidak dapat dicegahnya berlaku sewaktu menghadiri pengurusan jenazah maka hendaklah dia terus tetap di situ sehingga jenazah selesai ditanam….

  • |

    KESEMPURNAAN AGAMA: TIDAK PERLU TOKOK TAMBAH

    Sedar atau tidak mereka yang melakukan amalan-amalan ibadah yang tidak dilakukan oleh Nabi ﷺ dan para Sahabat mempertikaikan kesempurnaan dan kesyumulan agama. Pada tanggapan mereka agama Islam belum cukup sempurna dan belum cukup cantik sehingga ia perlu kepada penambahan-penambahan tertentu. Seolah-olah Nabi ﷺ terlepas pandang atau tidak sempat mengajarkannya kepada…

  • |

    ROKOK HARUS?

    Semalam tular poster fatwa yang agak mengelirukan tentang hukum merokok Merokok dalam keadaan tertentu adalah harus, menurut poster itu. Perlu ditegaskan bahawa fatwa sebegini jelas bertentangan dengan realiti dan hukum syarak. Rata-rata majlis fatwa dunia sama ada di Arab Saudi, Mesir atau Jordan semuanya mengharamkan rokok kerana mudaratnya yang jelas….

  • SANGGAHAN KE ATAS USTAZ IQBAL ZAIN

    – Kedudukan hadis daif di sisi ulama – Berdusta atas nama Nabi ﷺ Ustaz Iqbal Zain – hadahullah – dalam beberapa hantarannya baru-baru ini berkata: “Para Muhaddithin telah bersepakat bahawa hadith da’if adalah untuk diamalkan bukan untuk ditinggalkan.” https://www.facebook.com/UstazIqbalZain/posts/505231671269541 “Para Ulama Muhaddithin membenarkan hadith-hadith da’if disampaikan kepada masyarakat.” https://www.facebook.com/UstazIqbalZain/posts/507130117746363 Kenyataan-kenyataan…

  • |

    SUNAH RASULULLAH DIDAHULUKAN ATAS PENDAPAT LAIN

    Kata Imam al-Syafie: ‌أَجْمَعَ ‌الْمُسْلِمُونَ عَلَى أَنَّ مَنْ اسْتَبَانَتْ لَهُ سُنَّةُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَمْ يَكُنْ لَهُ أَنْ يَدَعَهَا لِقَوْلِ أَحَدٍ مِنْ النَّاسِ. “Umat Islam telah sepakat bahawa barang siapa sudah terjelas baginya Sunah Rasulullah ﷺ maka dia tidak boleh meninggalkannya kerana mengambil pendapat orang lain.” [I’lam…

  • |

    KOMEN ARTIKEL ‘BAHANA RIBA’

    Rentetan tulisan semalam bertajuk ‘Bahana Riba’ ada yang memberi komen di bawah: “Rata-rata dah kena brainwashed sehingga susah nak keluar dari ‘sistem’ jika letak IFP (Perunding Kewangan Islam) di belakang nama tu. Mereka rasa macam ada lesen besar cakap pasal Islamik banking. Ramai juga kawan-kawan yang grad dari IBFIM jadi…