|

ADAT BUDAYA ZAMAN ARAB JAHILIAH

ADAT BUDAYA ZAMAN ARAB JAHILIAH

Zaman jahiliah merujuk kepada zaman kesesatan masyarakat Arab sebelum kedatangan Nabi Muhammad ﷺ dan kebangkitan beliau membawa risalah agama Islam.

Zaman ini dinamakan sedemikian kerana kejahilan manusia yang berleluasa ketika itu serta kehidupan mereka dalam suasana gelap sebelum datangnya sinar Islam.

Kejahilan ini tampak pada sebahagian daripada adat budaya mereka.

Antaranya adalah adat budaya dalam pernikahan dan idah isteri yang kematian suaminya.

PERNIKAHAN ARAB JAHILIAH

Pernikahan pada zaman jahiliah ada empat jenis.

Jenis pertama:

Pernikahan seperti yang diadakan pada hari ini dengan si lelaki melamar kepada wali si perempuan atau meminang perempuan itu, membayar mahar dan menikahinya.

Jenis kedua:

Si suami mengarahkan isterinya apabila telah suci daripada haid untuk bersetubuh dengan seorang lelaki. Kemudian suami tidak akan menggauli isterinya sehinggalah terjelas sama ada isterinya hamil atau tidak. Jika hamil barulah suaminya akan menggaulinya jika dia mahu. Ini dilakukan untuk mendapat zuriat. Kerana itu ia dinamakan ‘Nikah al-Istibdha’ (Nikah Persetubuhan).

Jenis ketiga:

Sekumpulan lelaki kurang daripada sepuluh orang berkumpul dan menyetubuhi seorang perempuan. Jika perempuan itu hamil maka dia akan menunggu sehingga bersalin. Selang beberapa hari selepas bersalin perempuan itu akan memanggil lelaki-lelaki berkenaan dan kesemua mereka perlu hadir. Tiada sesiapa yang boleh menolak. Perempuan itu akan berkata “Kamu semua tahu apa yang kamu telah lakukan dan ini anak yang baru aku lahirkan. Dia anakmu wahai fulan.” Perempuan itu akan menamakan sesiapa yang dia mahu daripada kumpulan lelaki itu dan anak itu akan dinasabkan kepadanya. Lelaki yang dinamakan itu perlu menerimanya.

Jenis keempat:

Perempuan pelacur yang memasang bendera tanda pada pintu rumahnya. Sesiapa yang mahu akan mendatanginya. Jika ia hamil dan sudah beranak maka orang ramai akan datang berkumpul di rumahnya. Seorang ‘pakar nasab’ akan dipanggil dan dia akan datang untuk melihat mana-mana persamaan antara lelaki-lelaki yang hadir dengan bayi itu. Lelaki yang dilihat mempunyai persamaan dengan bayi yang baru lahir itu akan dipilih sebagai bapa dan dinasabkan bayi itu kepadanya. Lelaki itu tidak ada pilihan kecuali untuk menerima bayi itu sebagai anaknya.

Kata Aisyah radiallahuanha “Setelah Muhammad ﷺ diutus dengan kebenaran maka kesemua pernikahan jahiliah dimansuhkan kecuali pernikahan seperti yang diadakan pada hari ini (pernikahan jenis pertama).”

[Sahih. Riwayat Bukhari dan Muslim]

IDAH WANITA KEMATIAN SUAMI

Tempoh idahnya adalah selama setahun.

Daripada Umm Salamah radiallahuanha bahawa seorang wanita bertanya:

“Wahai Rasulullah, sesungguhnya anak perempuanku kematian suaminya, sedangkan matanya mengalami gangguan penyakit, bolehkah kami mengubatinya dengan celak mata?” Nabi ﷺ menjawab “Tidak.” Kesemua pertanyaannya Baginda mengatakan “tidak” sebanyak dua atau tiga kali. Kemudian Baginda bersabda “Sesungguhnya idah yang harus dijalaninya adalah selama empat bulan sepuluh hari. Dan sesungguhnya seseorang di antara kalian pada masa jahiliah menjalani idahnya selama setahun.”

[Sahih. Riwayat Bukhari dan Muslim]

Wanita yang beridah pada zaman jahiliah akan ‘dikuarantin’ dalam sebuah rumah usang selama setahun. Selama tempoh itu dia akan memakai pakaiannya yang paling buruk, tidak akan mandi dan tidak akan memakai apa-apa wangian sebagai tanda berkabung.

Zainab binti Umm Salamah radiallahuanha berkata “Dahulu apabila seorang wanita kematian suaminya maka wanita itu akan memasuki sebuah rumah usang dengan memakai pakaiannya yang paling buruk. Dia tidak akan memakai apa-apa wangian ataupun menukar pakaiannya itu selama setahun. Setelah genap setahun barulah dia keluar dari rumah itu. Kemudian seekor keldai, kambing atau burung akan diberikan kepadanya lalu dia akan menggosok-gosokkan tubuhnya pada haiwan tersebut. Jarang sekali haiwan itu dapat bertahan hidup. Kebanyakannya akan mati.”

[Sahih. Riwayat Bukhari dan Muslim]

Haiwan itu mati kerana kuatnya ia digosok pada badan wanita itu.

CATATAN:

Alhamdulillah atas nikmat Islam dan as-Sunah.

Dukacitanya tidak kurang yang masih mahu mempertahankan adat budaya nenek moyang yang bertentangan dengan ajaran Agama. Sampai dibawakan pepatah ‘Biar mati anak jangan mati adat’. Ini harus diluruskan.

——————-

Sertai bersama kami dalam grup Telegram Pena Ustaz Idris Sulaiman untuk mendapatkan artikel-artikel Ustaz dan memastikan anda tidak terlepas tulisan-tulisan yang terkini melalui pautan di bawah.

https://t.me/penaustazidrissulaiman

Similar Posts

  • |

    HUKUM BOIKOT BARANGAN ORANG KAFIR

    Ada dua keadaan: Keadaan Pertama:Jika Diarah oleh Pemerintah Jika pemerintah sesebuah negara Islam memerintahkan supaya barangan tertentu atau barangan negara-negara tertentu diboikot maka rakyat negara tersebut wajib mentaati arahan itu. Selari dengan firman Allah ﷻ: يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنْكُمْ “Wahai orang-orang yang beriman, taatilah…

  • |

    REMAJA MALAYSIA DICANDUKAN DENGAN MUZIK

    – Hukum nyanyian muzik Melihat senarai panjang konsert yang dijadualkan akan berlangsung di Malaysia pada tahun ini, 2022 sepatutnya membimbangkan kita. Sekiranya Al-Quran mendekatkan Muslim kepada Allah ﷻ maka yakinlah bahawa nyanyian dan muzik ialah sebaliknya. Apa yang pasti nyanyian dan muzik diancam oleh Allah ﷻ. Firman Allah ﷻ: وَمِنَ…

  • |

    TANDA ALLAH SAYANG

    Rata-rata manusia mengimpikan kehidupan yang mewah dan senang kerana beranggapan bahawa ia adalah baik dan bagus. Adapun hidup yang dihimpit kesusahan dan keperitan maka ia dilihat sebagai sesuatu yang buruk dan tidak baik. Hakikatnya, pandangan sebegini tidak tepat. Ini kerana dunia bagi Muslim bukanlah syurga yang dipenuhi kesenangan dan kemewahan…

  • ARTIS TERSOHOR TANAH AIR BANTU KEMPEN PELANGI?

    – Menormalisasikan LĠBŤ Perlakuan songsang homoseks merupakan antara sebesar-besar jenayah, seburuk-buruk dosa dan sekeji-keji perbuatan. Perkara ini dinyatakan dalam sekian banyak nas Al-Quran dan hadis. https://www.facebook.com/idrissulaiman/posts/10214527666977262 Dalam masa yang sama, Muslim perlu sedar tentang adanya kempen besar-besaran untuk mempromosikan perlakuan songsang ini melalui pelbagai cara seperti hiburan dan media yang…

  • |

    JIHAD BERSAMA SYIAH IRAN

    Tiada dalam sejarah Islam di mana Syiah Rafidah membantu Islam dan kaum Muslimin. Apa yang pernah berlaku ialah sebaliknya. Kata Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah: “Tiada dalam kalangan ulama fikah yang menjadi rujukan kaum Muslimin terdiri daripada kalangan orang-orang Syiah Rafidah. Demikian halnya dengan para ulama hadis, tokoh-tokoh yang zuhud dan…

  • |

    Konflik Iran-Amerika: Umat Islam Jangan Terperangkap

    Pendakwah terkenal di Amerika, Syeikh Uthman Farooq, menegaskan bahawa umat Islam tidak seharusnya terperangkap dalam pilihan antara menyokong Iran atau Israel dalam konflik semasa, sebaliknya perlu berpegang kepada prinsip keadilan dan kebenaran. Dalam sebuah video, beliau menyatakan bahawa kedua-dua pihak tidak mewakili kepentingan sebenar umat Islam. Menurutnya, negara haram Israel…