ADAT BUDAYA ZAMAN ARAB JAHILIAH

ADAT BUDAYA ZAMAN ARAB JAHILIAH

Zaman jahiliah merujuk kepada zaman kesesatan masyarakat Arab sebelum kedatangan Nabi Muhammad ﷺ dan kebangkitan beliau membawa risalah agama Islam.

Zaman ini dinamakan sedemikian kerana kejahilan manusia yang berleluasa ketika itu serta kehidupan mereka dalam suasana gelap sebelum datangnya sinar Islam.

Kejahilan ini tampak pada sebahagian daripada adat budaya mereka.

Antaranya adalah adat budaya dalam pernikahan dan idah isteri yang kematian suaminya.

PERNIKAHAN ARAB JAHILIAH

Pernikahan pada zaman jahiliah ada empat jenis.

Jenis pertama:

Pernikahan seperti yang diadakan pada hari ini dengan si lelaki melamar kepada wali si perempuan atau meminang perempuan itu, membayar mahar dan menikahinya.

Jenis kedua:

Si suami mengarahkan isterinya apabila telah suci daripada haid untuk bersetubuh dengan seorang lelaki. Kemudian suami tidak akan menggauli isterinya sehinggalah terjelas sama ada isterinya hamil atau tidak. Jika hamil barulah suaminya akan menggaulinya jika dia mahu. Ini dilakukan untuk mendapat zuriat. Kerana itu ia dinamakan ‘Nikah al-Istibdha’ (Nikah Persetubuhan).

Jenis ketiga:

Sekumpulan lelaki kurang daripada sepuluh orang berkumpul dan menyetubuhi seorang perempuan. Jika perempuan itu hamil maka dia akan menunggu sehingga bersalin. Selang beberapa hari selepas bersalin perempuan itu akan memanggil lelaki-lelaki berkenaan dan kesemua mereka perlu hadir. Tiada sesiapa yang boleh menolak. Perempuan itu akan berkata “Kamu semua tahu apa yang kamu telah lakukan dan ini anak yang baru aku lahirkan. Dia anakmu wahai fulan.” Perempuan itu akan menamakan sesiapa yang dia mahu daripada kumpulan lelaki itu dan anak itu akan dinasabkan kepadanya. Lelaki yang dinamakan itu perlu menerimanya.

Jenis keempat:

Perempuan pelacur yang memasang bendera tanda pada pintu rumahnya. Sesiapa yang mahu akan mendatanginya. Jika ia hamil dan sudah beranak maka orang ramai akan datang berkumpul di rumahnya. Seorang ‘pakar nasab’ akan dipanggil dan dia akan datang untuk melihat mana-mana persamaan antara lelaki-lelaki yang hadir dengan bayi itu. Lelaki yang dilihat mempunyai persamaan dengan bayi yang baru lahir itu akan dipilih sebagai bapa dan dinasabkan bayi itu kepadanya. Lelaki itu tidak ada pilihan kecuali untuk menerima bayi itu sebagai anaknya.

Kata Aisyah radiallahuanha “Setelah Muhammad ﷺ diutus dengan kebenaran maka kesemua pernikahan jahiliah dimansuhkan kecuali pernikahan seperti yang diadakan pada hari ini (pernikahan jenis pertama).”

[Sahih. Riwayat Bukhari dan Muslim]

IDAH WANITA KEMATIAN SUAMI

Tempoh idahnya adalah selama setahun.

Daripada Umm Salamah radiallahuanha bahawa seorang wanita bertanya:

“Wahai Rasulullah, sesungguhnya anak perempuanku kematian suaminya, sedangkan matanya mengalami gangguan penyakit, bolehkah kami mengubatinya dengan celak mata?” Nabi ﷺ menjawab “Tidak.” Kesemua pertanyaannya Baginda mengatakan “tidak” sebanyak dua atau tiga kali. Kemudian Baginda bersabda “Sesungguhnya idah yang harus dijalaninya adalah selama empat bulan sepuluh hari. Dan sesungguhnya seseorang di antara kalian pada masa jahiliah menjalani idahnya selama setahun.”

[Sahih. Riwayat Bukhari dan Muslim]

Wanita yang beridah pada zaman jahiliah akan ‘dikuarantin’ dalam sebuah rumah usang selama setahun. Selama tempoh itu dia akan memakai pakaiannya yang paling buruk, tidak akan mandi dan tidak akan memakai apa-apa wangian sebagai tanda berkabung.

Zainab binti Umm Salamah radiallahuanha berkata “Dahulu apabila seorang wanita kematian suaminya maka wanita itu akan memasuki sebuah rumah usang dengan memakai pakaiannya yang paling buruk. Dia tidak akan memakai apa-apa wangian ataupun menukar pakaiannya itu selama setahun. Setelah genap setahun barulah dia keluar dari rumah itu. Kemudian seekor keldai, kambing atau burung akan diberikan kepadanya lalu dia akan menggosok-gosokkan tubuhnya pada haiwan tersebut. Jarang sekali haiwan itu dapat bertahan hidup. Kebanyakannya akan mati.”

[Sahih. Riwayat Bukhari dan Muslim]

Haiwan itu mati kerana kuatnya ia digosok pada badan wanita itu.

CATATAN:

Alhamdulillah atas nikmat Islam dan as-Sunah.

Dukacitanya tidak kurang yang masih mahu mempertahankan adat budaya nenek moyang yang bertentangan dengan ajaran Agama. Sampai dibawakan pepatah ‘Biar mati anak jangan mati adat’. Ini harus diluruskan.

——————-

Sertai bersama kami dalam grup Telegram Pena Ustaz Idris Sulaiman untuk mendapatkan artikel-artikel Ustaz dan memastikan anda tidak terlepas tulisan-tulisan yang terkini melalui pautan di bawah.

https://t.me/penaustazidrissulaiman

Similar Posts

  • PENDEK AKAL PENDEMONSTARASI JALANAN

    PENDEK AKAL PENDEMONSTARASI JALANAN Mereka mengadakan demonstrasi jalanan kerana masalah-masalah yang dihadapi oleh masyarakat. Persoalan di sini, adakah cara demonstrasi jalanan yang diambil dapat menyelesaikan masalah-masalah itu? Percayalah, jauh sekali. Bahkan demonstrasi jalanan seperti ini akan menambahkan lagi masalah masyarakat dan negara. Ibarat marahkan nyamuk bakar kelambu . Jangan biarkan…

  • ANTARA KESALAHAN KETIKA UMRAH

    ANTARA KESALAHAN KETIKA UMRAH # Berzikir beramai-ramai # Berzikir secara menyanyi Alhamdulillah umrah sudah dibuka kembali. Bagi mereka yang berhajat untuk ke Tanah Suci mengerjakan umrah, pastikan anda mempelajari tatacara ibadah umrah dengan betul supaya tidak mensia-siakan peluang ketika di sana. Perlu ditegaskan bahawa apa jua amal ibadah yang dikerjakan…

  • KORONAVIRUS

    KORONAVIRUS Bersungguh-sungguh, jangan sambil lewa. Tawakal (berserah setelah berusaha) توكل, jangan tawaakal (berserah tanpa berusaha) تواكل. Kita bersungguh-sungguh dan dalam masa yang sama kita memohon daripada ALLAH supaya menjaga kita daripada musibah bencana. Jangan kita ambil mudah penularan wabak penyakit, dan kita bertawakal kepada ALLAH. Cukuplah bagi kita ALLAH sebagai…

  • ‘PENGHORMATAN TERAKHIR’ kepada si mati?

    ‘PENGHORMATAN TERAKHIR’ kepada si mati? Mungkin anda pernah mendengar apabila berlaku kematian sebahagian tajuk dan isi berita menyebut: “… memberi penghormatan terakhir kepada si fulan si fulan …” Adakah ungkapan ini benar dan selari dengan ajaran AGAMA? Jawapannya: TIDAK! Apa yang pasti ia adalah ungkapan yang biasa disebut oleh masyarakat…

  • SAY NO TO VALENTINE’S DAY

    SAY NO TO VALENTINE’S DAY Orang Islam adalah Umat yang istimewa lagi mulia. Mereka adalah kaum yang Allah beri kepada mereka hidayah petunjuk untuk menerima satu-satunya Agama yang benar di sisiNya. Berbeza dengan manusia lain yang masih hidup dalam kegelapan, sama ada mereka terdiri daripada kalangan mereka yang mencari-cari cahaya…

  • NIKMAT LEBIH DARI SYURGA

    NIKMAT LEBIH DARI SYURGA Apakah nikmat yang lebih daripada balasan syurga dengan segala isi kenikmatan yang terdapat di dalamnya; mahligai istana, pokok-pokok, buah-buahan, sungai-sungai, intan permata, emas, perak, bidadari-bidadari dan sebagainya? Jawapannya ialah nikmat dapat melihat Allah ﷻ. Sabda Nabi ﷺ: “Setelah ahli syurga memasuki syurga, Allah ﷻ berkata: Adakah…