| |

SOKONG IRAN TIADA KAITAN DENGAN AKIDAH?

Baru-baru ini seorang ustaz berkata “Kita menyokong Iran tiada kaitan dengan akidah!”

Kenyataan ini sangat mengelirukan dan boleh menimbulkan salah faham dalam kalangan masyarakat awam.

Lebih membimbangkan apabila ada yang bukan sekadar menyatakan sokongan politik, bahkan mengangkat pemimpin mereka yang terkorban sebagai ‘syahid’.

Di sini timbul persoalan penting: Bukankan istilah syahid berkait rapat dengan persoalan akidah?

  1. Istilah Syahid Bukan Sekadar Gelaran Politik

Dalam Islam, perkataan syahid bukanlah istilah boleh digunakan secara sembarangan. Ia adalah istilah syarak yang mempunyai makna khusus. Syahid merujuk kepada seseorang Muslim yang terbunuh di jalan Allah dengan iman dan akidah yang sahih.

Sabda Nabi ﷺ:

“Sesiapa yang berperang supaya kalimah Allah menjadi yang paling tinggi, maka dia berada di jalan Allah.”

[Riwayat al-Bukhari dan Muslim]

  1. Syahid Berkait Rapat Dengan Akidah Yang Sahih

Kesahihan akidah merupakan asas penerimaan segala amalan, termasuklah jihad.

Firman Allah:

“Sekiranya mereka melakukan syirik, nescaya gugurlah segala amalan yang mereka lakukan.”

[al-Quran, al-An‘am, 6:88]

Antara sebab fahaman Syiah Rafidah difatwakan sesat ialah kerana terdapat unsur-unsur syirik dan kufur dalam pegangan para penganutnya.

  1. Masalah Apabila Gelaran Syahid Digunakan Secara Sembarangan

Kenyataan “Kita sokong Iran tiada kaitan dengan akidah” bukan sahaja meremehkan kedudukan akidah, malah membuatkan orang ramai keliru mengenai kesesatan orang-orang Syiah Rafidah, lebih-lebih lagi apabila:

  • tokoh mereka dipuji secara berlebihan
  • pemimpin mereka diangkat sebagai syahid
  • mereka dijadikan simbol perjuangan Islam
  1. Kekeliruan Antara Politik dan Akidah

Sebahagian pihak barangkali menilai sesuatu isu secara dangkal dengan hanya melihatnya dari sudut politik atau kemanusiaan semata-mata. Namun apabila istilah-istilah syarak seperti:

  • syahid
  • mujahid
  • pejuang Islam

digunakan, maka ia tidak lagi berada dalam ruang politik semata-mata, sebaliknya telah memasuki wilayah agama dan akidah.

Dr. Idris bin Sulaiman
Kajang
20 Ramadan 1447H
10 Mac 2026
https://idrissulaiman.com/shop

Similar Posts