|

MAKSIAT: PERLU MALU ATAU JANGAN HIPOKRIT?

Ada yang keliru tentang maksiat sama ada perlu disembunyikan kerana rasa malu atau boleh dizahirkan kepada umum supaya tidak bersifat hipokrit.

Contohnya mungkin ada yang berkata “Aku hisap rokok secara terang-terangan kerana tidak mahu hipokrit.”

Atau perempuan yang enggan memakai tudung (menutup aurat rambutnya) dengan alasan yang sama, tidak mahu hipokrit.

Jelas pandangan ini keliru.

Malah termasuk dalam ‘talbis iblis’ tipu daya syaitan.

Ini kerana syariat memang menuntut supaya Muslim menyembunyikan perbuatan-perbuatan maksiatnya.

Sedangkan setiap anak Adam pasti melakukan kesalahan dan kesilapan, tiada sesiapa yang maksum.

Adapun menzahirkan maksiat dan mengakuinya secara terbuka adalah salah dan dilarang.

Firman Allah ﷻ:

لَّا يُحِبُّ ٱللَّهُ ٱلۡجَهۡرَ بِٱلسُّوٓءِ مِنَ ٱلۡقَوۡلِ.

“Allah tidak suka kepada perkataan-perkataan buruk yang dizahirkan secara terang-terangan (untuk mendedahkan aib sendiri atau orang lain).”

[Al-Quran, al-Nisaa’, 4:148]

Ya, perbuatan menceritakan maksiat yang telah dilakukan atau melakukan dosa secara terbuka termasuk dalam erti membuka aib sendiri yang dilarang Agama.

Muslim disuruh supaya menutup aibnya.

Begitu juga dengan aib kesalahan orang lain, jika tiada maslahat maka ia perlu disembunyikan.

Ramai mungkin tidak sedar bahawa perbuatan menceritakan kepada khalayak maksiat yang dilakukan oleh seseorang individu secara tidak langsungnya mempromosikan maksiat tersebut.

Sedangkan ini salah malah termasuk dalam dosa besar sebagaimana firman Allah ﷻ:

إِنَّ ٱلَّذِينَ يُحِبُّونَ أَن تَشِيعَ ٱلۡفَٰحِشَةُ فِي ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَهُمۡ عَذَابٌ أَلِيمٞ فِي ٱلدُّنۡيَا وَٱلۡأٓخِرَةِ.

“Sesungguhnya orang-orang yang ingin agar (berita) perbuatan keji itu tersiar dalam kalangan orang-orang beriman mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat.”

[Al-Quran, al-Nur, 24, 19]

Sabda Nabi ﷺ:

كُلُّ أَمَّتِى مُعَافًى إِلاَّ الْمُجَاهِرِينَ، وَإِنَّ مِنَ الْمَجَانَةِ أَنْ يَعْمَلَ الرَّجُلُ بِاللَّيْلِ عَمَلاً، ثُمَّ يُصْبِحَ وَقَدْ سَتَرَهُ اللَّهُ ، فَيَقُولَ يَا فُلاَنُ عَمِلْتُ الْبَارِحَةَ كَذَا وَكَذَا ، وَقَدْ بَاتَ يَسْتُرُهُ رَبُّهُ وَيُصْبِحُ يَكْشِفُ سِتْرَ اللهِ عَنْهُ.

“Setiap umatku diberikan keampunan melainkan golongan Mujahirin. Sesungguhnya antara perbuatan mendedahkan dosa itu ialah dengan seseorang itu melakukan sesuatu pada satu malam kemudian keesokan paginya dia bangun dalam keadaan Allah telah menutup aibnya lalu dia berkata “Wahai fulan, semalam aku melakukan dosa ini dan itu.” Sedangkan dia telah tidur dalam keadaan Allah menutup aibnya itu tetapi dia bangun keesokan paginya dan membuka aib yang Allah telah tutup itu.”

[Sahih. Riwayat Bukhari & Muslim]

Maka awas, jangan tergolong dalam kalangan ‘Golongan Mujahirin’, orang-orang yang mendedahkan dosanya sendiri.

Menurut Ibnu Battal, menzahirkan dosa sendiri menunjukkan sikap tidak peduli hak-hak Allah, Rasulullah dan orang orang-orang beriman, di samping sikap melawan dan derhaka.

Pengguna-pengguna media sosial harus berhati-hati dalam hal ini, jangan mudah membuka aib sendiri atau orang lain kerana Nabi ﷺ bersabda:

وَمَنْ سَتَرَ مُسْلِمًا سَتَرَهُ اللَّهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ.

“Barang siapa menutup aib saudara Muslimnya maka Allah akan menutup aibnya pada Hari Kiamat.”

[Sahih. Riwayat Bukhari & Muslim]

Menutup aib dosa kerana rasa malu adalah sebahagian daripada iman.

Orang yang rasa malu dengan dosanya lebih mudah untuk bertaubat.

Berbeza dengan mereka yang menzahirkannya kepada khalayak dengan penuh bangga tetapi membalutnya dengan kain alas agama kononnya tidak mahu jadi munafik, jelasnya mereka keliru dan terpedaya dengan syaitan.

Perlu ditegaskan bahawa hipokrit ialah sifat orang munafik yang menyembunyikan kufur dan menzahirkan Islam.

Bezakan antara rasa malu dan hipokrit.

Dr. Idris bin Sulaiman
Kajang
26 Rejab 1444H
17 Februari 2023

Similar Posts

  • |

    ANAK-BERANAK YANG BERIMAN AKAN TINGGAL DALAM SYURGA YANG SAMA

    Suami, isteri dan anak-anak yang beriman akan ditempatkan dalam syurga yang sama walaupun barangkali pada asalnya tingkatan syurga mereka berbeza. Mereka yang berada dalam tingkatan syurga di bawah akan dinaikan ke dalam syurga di atas supaya dapat bersama dengan ahli keluarga mereka yang lain. Firman Allah ﷻ: وَٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَٱتَّبَعَتۡهُمۡ…

  • |

    Apa yang sudah lalu sudah pun berlalu

    Kata Syeikh Saleh al-Fauzan hafizahullah: “Hari datang silih berganti manakala umur hayat terus berkurang. Apa yang sudah lalu sudah pun berlalu sedangkan apa yang akan datang tidak diketahui. Sebaliknya apa yang ada ialah waktu yang engkau berada padanya.” Justeru jangan dilepaskan peluang yang ada di tangan. Dr. Idris bin SulaimanKajang05…

  • |

    MASJIDIL HARAM: EMPAT MIHRAB

    – Pengajaran Gambar-gambar yang disertakan di sini ialah gambar-gambar lama Masjidilharam, Makkah semasa musim haji tahun 1953, kira-kira 70 tahun yang lalu. Jelas Masjidilharam telah melalui banyak perubahan sejak itu di mana bangunannya telah diluaskan manakala kemudahan asasnya dinaik taraf dan dimodenkan. Menariknya, kelihatan antara gambar ini di sekeliling Kaabah…

  • |

    MERANCANG KEHAMILAN SEPANJANG PKP?

    MERANCANG KEHAMILAN SEPANJANG PKP? Saranan supaya merancang kehamilan sewajarnya dinilai mengikut ketetapan syariat dan bukan atas sebab material keduniaan semata-mata. Secara prinsipnya, syariat menggalakkan supaya seseorang itu memiliki ramai anak. Antaranya kerana anak akan menjadi sumber pahala jariah selepas mati di samping banyak kelebihan yang lain. Sabda Nabi: “Kahwinilah kamu…

  • |

    UCAPAN TAKZIAH SYEIKH SULAIMAN AL-RUHAILI

    Syeikh Sulaiman al-Ruhaili, pensyarah di Universiti Islam Madinah, Arab Saudi dan pengajar di Masjid Nabawi membuat hantaran di X (Twitter) mengucapkan takziah atas pemergian Allahyarham Ustaz Yazid Abdul Qadir Jawas. Dalam hantaran itu beliau menyatakan dengan menyebut nama Allahyarham dengan gelaran ‘al-Ustaz al-Syeikh’ terdiri dalam kalangan ilmuwan terawal di Indonesia…

  • |

    BIDAAH HASANAH

    – Dalil-dalil syubhah & jawapan SYUBHAH PERTAMA: Sabda Nabi ﷺ: مَنْ سَنَّ فِي الْإِسْلَامِ سُنَّةً حَسَنَةً فَلَهُ أَجْرُهَا وَأَجْرُ مَنْ عَمِلَ بِهَا مِنْ بَعْدِهِ مِنْ غَيْرِ أَنْ يَنْقُصَ مِنْ أُجُورِهِمْ شَيْءٌ وَمَنْ سَنَّ فِي الْإِسْلَامِ سُنَّةً سَيِّئَةً كَانَ عَلَيْهِ وِزْرُهَا وَوِزْرُ مَنْ عَمِلَ بِهَا مِنْ بَعْدِهِ مِنْ غَيْرِ أَنْ يَنْقُصَ…