|

ZIKIR ‘HA HA HA’ (BUKAN KETAWA)

 

– Versi terkini selepas zikir ‘Hu Hu Hu’

Beberapa bulan lepas hangat diperkatakan di media sosial tentang kewajaran berzikir dengan menyebut ‘Hu Hu Hu’ yang diketengahkan oleh sesetengah pihak sehingga ada yang menulis kitab mempertahankannya.

Siapa sangka bahawa zikir pelik ini tidak akan berhenti di situ malah akan terus bertambah pelik dengan bunyi-bunyi yang lebih janggal lagi.

Terbaru dalam sebuah video yang dikongsi di media sosial kelihatan sekumpulan jemaah Arab daripada kalangan pengikut aliran tertentu sedang berdiri berzikir dengan menyebut ‘Ha Ha Ha’ pula.

Bunyinya bukan sahaja pelik malah jelik lagi buruk.

Sedangkan antara adab-adab yang digariskan oleh syarak hendaklah berzikir dengan cara perlahan-lahan dan secara bersendirian, bukan dengan cara suara kuat dan beramai-ramai.

Ini sebagaimana firman Allah ﷻ:

وَٱذۡكُر رَّبَّكَ فِي نَفۡسِكَ تَضَرُّعٗا وَخِيفَةٗ وَدُونَ ٱلۡجَهۡرِ مِنَ ٱلۡقَوۡلِ بِٱلۡغُدُوِّ وَٱلۡأٓصَالِ وَلَا تَكُن مِّنَ ٱلۡغَٰفِلِينَ.

“Dan sebutlah serta ingatlah akan Tuhanmu dalam dirimu (secara bersendirian) dengan merendah diri serta dengan perasaan takut dan dengan tidak pula meninggikan suara, pada waktu pagi dan petang, dan janganlah engkau terdiri dalam kalangan orang-orang yang lalai.”

[Al-Quran, al-A’raaf, 7: 205]

Dalam ayat di atas Allah ﷻ memerintahkan Muslim supaya berzikir secara bersendirian dan dengan cara suara perlahan, bukan beramai-ramai dengan suara nyaring.

Jangan lupa antara tujuan utama berzikir ialah untuk menenangkan hati.

Ini sebagaimana firman Allah ﷻ:

أَلَا بِذِكۡرِ ٱللَّهِ تَطۡمَئِنُّ ٱلۡقُلُوبُ.

“Ketahuilah, berzikir dengan menyebut dan mengingati Allah akan tenang tenteramlah hati manusia.”

[Al-Quran, al-Ra’ad, 13: 28]

Adapun berzikir dengan cara-cara seperti dalam video yang dilampirkan jauh sekali akan menenangkan hati.

Apa yang pasti, zikir dengan menyebut ‘ha ha ha’, ‘hi hi hi’ ataupun ‘hu hu hu’ semuanya tidak berasas sama sekali dalam agama malah tiada contohnya daripada Nabi ﷺ ataupun para Sahabat.

Jelasnya ia menyalahi al-Sunah.

Sedangkan Nabi ﷺ menegaskan dalam sabdanya:

مَنْ ‌أَحْدَثَ فِي أَمْرِنَا هَذَا مَا لَيْسَ فِيهِ فَهُوَ رَدٌّ.

“Barang siapa mengada-adakan sesuatu yang baharu dalam urusan kita ini (agama) maka ia adalah tertolak.”

[Sahih. Riwayat Bukhari dan Muslim]

Sabdanya ﷺ lagi:

مَنْ ‌عَمِلَ ‌عَمَلًا لَيْسَ عَلَيْهِ أَمْرُنَا فَهُوَ رَدٌّ.

“Barang siapa melakukan sesuatu amalan yang tidak menepati cara kami maka ia adalah tertolak.”

[Sahih. Riwayat Muslim]

CATATAN

Tidak dapat dibayangkan sekiranya pengikut-pengikut daripada kalangan aliran-aliran seperti ini menguasai kedua-dua masjid di Tanah Suci.

Haru biru akan dibuatnya dengan bunyi-bunyi pelik ini bergema di corong-corong pembesar suara Masjidilharam dan Masjid Nabi yang pastinya akan menimbulkan suasana riuh rendah dalam kalangan para jemaah.

Jangan haraplah waktu itu hendak merasa tenang tenteram dalam suasana bising begitu.

Syukur atas nikmat Islam dan al-Sunah.

Dr. Idris bin Sulaiman
Kajang
06 Safar 1444H
03 September 2022

Similar Posts

  • |

    RATAP KEMATIAN: SI MATI TERSEKSA DENGAN TANGISAN KELUARGA

    Meratap (niyahah) ialah menangis dengan mengangkat suara atau menjerit, mengeluh akibat terlalu sedih dengan kematian seseorang. Demikian termasuklah perbuatan mengoyak pakaian, memukul muka atau badan, menarik rambut dan sebagainya. Semuanya termasuk dalam erti meratap yang dilarang agama dan termasuk dalam dosa besar. Daripada Abu Saeed al-Khudri, katanya: ‌لَيْسَ ‌مِنَّا ‌مَنْ…

  • |

    LARANGAN MENDOAKAN JENAZAH ORANG KAFIR

    Firman Allah ﷻ: وَلَا تُصَلِّ عَلَىٰٓ أَحَدٖ مِّنۡهُم مَّاتَ أَبَدٗا وَلَا تَقُمۡ عَلَىٰ قَبۡرِهِۦٓۖ إِنَّهُمۡ كَفَرُواْ بِٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ وَمَاتُواْ وَهُمۡ فَٰسِقُونَ “Dan janganlah engkau solatkan seorang pun yang mati daripada kalangan mereka, dan janganlah engkau berada di (tepi) kuburnya, kerana sesungguhnya mereka telah kufur kepada Allah dan RasulNya, dan mereka…

  • |

    MASJIDIL HARAM: EMPAT MIHRAB

    – Pengajaran Gambar-gambar yang disertakan di sini ialah gambar-gambar lama Masjidilharam, Makkah semasa musim haji tahun 1953, kira-kira 70 tahun yang lalu. Jelas Masjidilharam telah melalui banyak perubahan sejak itu di mana bangunannya telah diluaskan manakala kemudahan asasnya dinaik taraf dan dimodenkan. Menariknya, kelihatan antara gambar ini di sekeliling Kaabah…

  • |

    SYEIKH AL-ALBANI GEMAR MENONTON BOLA?

    Terkejut membaca dakwaan seorang pensyarah Arab Saudi bahawa ulama besar Syeikh al-Albani rahimahullah gemar menonton bola sepak dan ada menyokong pasukan bola liga Eropah tertentu. Tiada sumber rujukan yang diberikan selain daripada mengatakan bahawa beliau mendengarnya daripada murid Syeikh al-Albani melalui orang-orang tertentu yang tidak dinamakannya. Jelasnya pensyarah ini tidak…

  • |

    AJAR PELAJAR SEKOLAH PAKAI KONDOM?

    Kononnya bagi menangi kes-kes cabul dan rogol yang kesudahannya membuatkan mangsanya hamil dan melahirkan bayi luar nikah, sekali gus meningkatkan lagi kes pembuangan bayi. https://www.mstar.com.my/lokal/viral/2022/07/21/pelajar-lelaki-malu-malu-disuruh-sarung-kondom-depan-rakan-nampak-kekok-ramai-tak-setuju-latihan-amali-pendidikan-seks-di-sekolah Maka subjek pendidikan seks di sekolah dilihat penting bagi membendung isu sosial dalam kalangan remaja, ini termasuklah dengan mengajar para pelajar cara memakai kondom. Falasi…