Quran
|

BIDAAH HASANAH

– Dalil-dalil syubhah & jawapan

SYUBHAH PERTAMA:

Sabda Nabi ﷺ:

مَنْ سَنَّ فِي الْإِسْلَامِ سُنَّةً حَسَنَةً فَلَهُ أَجْرُهَا وَأَجْرُ مَنْ عَمِلَ بِهَا مِنْ بَعْدِهِ مِنْ غَيْرِ أَنْ يَنْقُصَ مِنْ أُجُورِهِمْ شَيْءٌ وَمَنْ سَنَّ فِي الْإِسْلَامِ سُنَّةً سَيِّئَةً كَانَ عَلَيْهِ وِزْرُهَا وَوِزْرُ مَنْ عَمِلَ بِهَا مِنْ بَعْدِهِ مِنْ غَيْرِ أَنْ يَنْقُصَ مِنْ أَوْزَارِهِمْ شَيْء.

“Barang siapa menunjukkan ‘jalan yang baik’ (sunah hasanah) dalam Islam maka dia akan mendapat pahalanya dan pahala orang yang mengerjakannya tanpa dikurangkan pahala mereka sedikit pun; dan barang siapa menunjukkan ‘jalan yang buruk’ (sunah sayyi’ah) dalam Islam maka dia akan mendapat dosanya dan dosa mereka yang mengerjakannya tanpa dikurangkan dosa mereka sedikit pun.”

[Sahih. Riwayat Muslim]

JAWAPAN:

1. Kedua-dua ucapan “Barang siapa menunjukkan jalan yang baik” dan ‘Semua bidaah sesat’ telah sabit dalam hadis-hadis yang sahih. Maka tidak mungkin ada percanggahan antara kedua-duanya.

2. Rasulullah ﷺ tidak mengatakan “Barang siapa menunjukkan bidaah yang baik” (bidaah hasanah) sebaliknya baginda ﷺ mengatakan “Barang siapa menunjukkan jalan yang baik”. Terdapat perbezaan ketara antara kedua-duanya.

Sunah dalam bahasa Arab bermaksud ‘jalan yang diikuti’ manakala bidaah bermaksud ‘perkara yang baharu’.

‘Sunah hasanah’ yang dimaksudkan dalam hadis di atas tentulah ‘sunah’ dari sudut bahasa Arab. Dan bukan sunah menurut istilah syarak.

Tafsiran sebegini perlu kerana tidak ada dalam syarak ‘Sunah yang buruk’ (Sunah Sayyi’ah). Sebaliknya semua Sunah Rasulullah ﷺ adalah baik-baik belaka.

3. Peristiwa di sebalik hadis di atas disabdakan oleh Rasulullah ﷺ (Sabab al-Wurud) tidak menunjukkan adanya bidaah yang dilakukan ketika mana seorang lelaki Ansar membawa harta sedekahnya ke hadapan Rasulullah ﷺ lalu perbuatannya itu diikuti oleh para Sahabat yang lain.

Perbuatan lelaki Ansar itu membawa harta sedekahnya sama sekali bukan bidaah sebaliknya apa yang berlaku ialah beliau menghidupkan sunah Nabi ﷺ supaya memperbanyakkan sedekah.

SYUBHAH KEDUA:

Kenyataan Omar al-Khattab RA:

نِعْمَةِ البِدْعَةُ هَذِهِ.

“Ini adalah sebaik-baik bidaah.”

[al-Muwata’ oleh Imam Malik]

JAWAPAN:

1. Andainya athar ini benar-benar membawa maksud adanya bidaah hasanah dalam agama maka ia sama sekali tidak boleh digunakan untuk menyanggah sabda Rasulullah ﷺ bahawasanya “Semua bidaah sesat” (Riwayat Muslim).

Imam al-Syafie RH berkata “Ulama Islam sepakat bahawa barang siapa terjelas kepadanya Sunah Rasulullah ﷺ maka tidak boleh baginya untuk meninggalkannya kerana kata-kata orang lain.” (I’laam Al-Muwaqqi’in oleh Ibnu Al-Qayyim, 2/282).

2. Hakikatnya Omar al-Khattab RA menuturkan kata-kata di atas apabila melihat masyarakat Islam di Madinah mula mengerjakan solat Tarawih berjemaah sedangkan solat Tarawih berjemaah bukan bidaah dari sudut syarak.

Ini berdasarkan hadis Aisyah RA “Bahawasanya Rasulullah ﷺ pada satu malam solat di masjid dan orang ramai turut solat di belakang baginda. Pada malam berikutnya baginda ﷺ solat dan jumlah mereka yang solat bersamanya terus bertambah. Pada malam ketiga mereka berkumpul untuk solat tetapi Rasulullah ﷺ tidak keluar dari rumahnya. Keesokan harinya baginda ﷺ menjelaskan “Aku mengetahui apa yang kalian lakukan tetapi tiadalah yang menghalangi aku keluar untuk solat bersama kalian melainkan kerana aku khuatir ia (solat Tarawih) akan difardukan ke atas kalian.” Ia berlaku di bulan Ramadan, kata Aishah. (Sahih. Riwayat Abu Daud).

Rasulullah ﷺ berhenti mengerjakan solat Tarawih berjemaah kerana khuatir ia akan difardukan ke umat Islam. Hal ini berterusan sehingga baginda ﷺ wafat.

Maka semenjak peristiwa di atas para Sahabat terus mengerjakan solat Tarawih bersendirian atau dalam kumpulan-kumpulan kecil sehinggalah apabila tiba zaman Khalifah Omar al-Khattab RA beliau menghidupkan semula pelaksanaan solat Tarawih berjemaah di masjid kerana memahami bahawa apa yang menghalang (solat Tarawih berjemaah) sudah tidak ada sesudah kewafatan Rasulullah ﷺ.

Perbuatan Omar al-Khattab mengarahkan supaya solat Tarawih dikerjakan berjemaah sama sekali bukan bidaah (dari sudut syarak) kerana ia telah pun dilakukan sendiri oleh Rasulullah ﷺ.

Sebaliknya beliau melihatnya bidaah (dari sudut bahasa) kerana mengenangkan umat Islam sekian lama tidak melaksanakannya sedemikian iaitu sepanjang zaman Khalifah Abu Bakar al-Siddiq dan pada awal zaman pemerintahan beliau.

SYUBHAH KETIGA:

Kenyataan Abdullah bin Mas’ud RA:

مَا رَآهُ الْمُسْلِمُونَ حَسَنًا فَهُوَ عِنْدَ اللَّهِ حَسَنٌ.

“Apa yang dilihat baik oleh orang Islam maka ia adalah baik di sisi Allah.”

[Riwayat Imam Ahmad]

JAWAPAN:

1. Kenyataan di atas bukan hadis tetapi athar Sahabat. (Silsilah al-Dha’ifah oleh al-Albani, no. 533).

2. ‘Orang Islam’ yang dimaksudkan sama sekali bukan secara umumnya tetapi ‘para Sahabat’ secara khusus.

Merekalah yang dimaksudkan berdasarkan kenyataan lengkap Abdullah bin Mas’ud RA sebelum itu iaitu “Sesungguhnya Allah melihat hati manusia dan mendapati bahawa hati Muhammad adalah sebaik-baik hati. Maka Allah memilih baginda dan melantik baginda sebagai utusanNya. Lalu Allah melihat hati-hati manusia sesudah hati Muhammad dan mendapati bahawa hati-hati pada Sahabat baginda adalah sebaik-baik hati. Maka Allah melantik mereka sebagai pembantu baginda yang berperang untuk menegakkan AgamaNya. Maka apa yang dilihat baik oleh orang Islam maka ia adalah baik di sisi Allah, dan apa yang dilihat buruk oleh mereka maka ia adalah buruk di sisi Allah” (Riwayat Imam Ahmad).

Dalam riwayat lain terdapat tambahan “Dan para Sahabat telah memilih untuk melantik Abu Bakar sebagai khalifah” (al-Mustadrak, 3/78).

Tambahan ini jelas menunjukkan bahawa ‘orang Islam yang dimaksudkan ialah ‘para Sahabat’.

Jika begitu maka para Sahabat telah pun sepakat untuk mencela semua bidaah. Tiada satu pun riwayat mereka memuji mana-mana perbuatan bidaah dalam agama.

SYUBHAH KEEMPAT:

Kenyataan Imam al-Syafie RA:

الْبِدْعَةُ بِدْعَتَانِ بِدْعَةٌ مَحْمُودَةٌ، وَبِدْعَةٌ مَذْمُومَةٌ. فَمَا وَافَقَ السُّنَّةَ فَهُوَ مَحْمُودٌ، وَمَا خَالَفَ السُّنَّةَ فَهُوَ مَذْمُومٌ.

“Bidaah itu ada dua: Bidaah yang dipuji dan bidaah yang dikeji. Apa yang menepati al-Sunah dipuji. Manakala apa yang bercanggah dengan al-Sunah dikeji.”

[Hilyatul Awliyaa’, 9/113]

JAWAPAN:

1. Hakikatnya kata-kata Imam al-Syafie di atas jika diamati beliau jelas memaksudkan ‘Bidaah yang dipuji’ dengan bidaah menurut bahasa dan bukan menurut syarak.

Buktinya semua bidaah (dari sudut syarak) bercanggah dengan al-Quran dan al-Sunah.

Ia bertentangan dengan firman Allah ﷻ “Pada hari ini Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu” (al-Maa’idah, 5:3) dan sabda Nabi ﷺ “Barang siapa mengada-adakan sesuatu yang baharu dalam urusan kita ini (agama) maka ia adalah tertolak” (Bukhari dan Muslim).

Walhal Imam Syafie RH telah pun mensyaratkan bagi ‘Bidaah yang dipuji’ supaya ia tidak menyalahi al-Quran dan al-Sunah.

Berkata Ibnu Rajab “Apa yang dimaksudkan oleh Imam Syafie dengan ‘Bidaah yang dikeji’ ialah apa yang tiada asal usulnya dalam syarak. Maka ia adalah bidaah dari sudut syarak. Adapun ‘Bidaah yang dipuji’ ialah apa yang menepati al-Sunah. Yakni sesuatu yang ada asal usulnya dalam al-Sunah. Dan tidaklah ia dikatakan sebagai bidaah melainkan dari sudut bahasa sahaja sedangkan dari sudut syarak ia bukan bidaah kerana ia bertepatan dengan al-Sunah” (Jami’ al-Ulum Wa al-Hikam, no. 28).

Contoh ‘Bidaah yang dipuji’ ialah solat Tarawih berjemaah pada zaman Omar al-Khattab, pembukuan al-Quran pada zaman Khalifah Uthman al-Affan, penulisan hadis yang dilakukan oleh para ulama dan seumpamanya.

Dari satu sudut, contoh-contoh di atas boleh dikatakan sebagai bidaah tetapi dari sudut bahasa sahaja dan bukan dari sudut syarak. Ini kerana solat Tarawih berjemaah, penulisan Al-Quran dan penulisan hadis telah pun bermula semenjak zaman Nabi ﷺ.

2. Imam al-Syafie RH sangat teguh berpegang kepada al-Sunah dan menolak amalan-amalan bidaah.

Antara kata-kata beliau:

“Sekiranya engkau dapati dalam buku aku apa yang menyalahi al-Sunah maka hendaklah kamu berpegang kepada al-Sunah dan tinggalkanlah apa yang aku katakan.”

[Siyar A’laam al-Nubalaa’ olah al-Zahabi, 10/34]

SYUBHAH KELIMA:

Kenyataan al-Izz bin Abdul Salam RH:

“الْبِدْعَةُ فِعْلُ مَا لَمْ يُعْهَدْ فِي عَصْرِ رَسُولِ اللَّهِ ﷺ وَهِيَ مُنْقَسِمَةٌ إلَى: بِدْعَةٌ وَاجِبَةٌ، وَبِدْعَةٌ مُحَرَّمَةٌ، وَبِدْعَةٌ مَنْدُوبَةٌ، وَبِدْعَةٌ مَكْرُوهَةٌ، وَبِدْعَةٌ مُبَاحَةٌ، وَالطَّرِيقُ فِي مَعْرِفَةِ ذَلِكَ أَنْ تُعْرَضَ الْبِدْعَةُ عَلَى قَوَاعِدِ الشَّرِيعَةِ: فَإِنْ دَخَلَتْ فِي قَوَاعِدِ الْإِيجَابِ فَهِيَ وَاجِبَةٌ، وَإِنْ دَخَلَتْ فِي قَوَاعِدِ التَّحْرِيمِ فَهِيَ مُحَرَّمَةٌ، وَإِنْ دَخَلَتْ فِي قَوَاعِدِ الْمَنْدُوبِ فَهِيَ مَنْدُوبَةٌ، وَإِنْ دَخَلَتْ فِي قَوَاعِدِ الْمَكْرُوهِ فَهِيَ مَكْرُوهَةٌ، وَإِنْ دَخَلَتْ فِي قَوَاعِدِ الْمُبَاحِ فَهِيَ مُبَاحَةٌ.

“Bidaah adalah sesuatu yang tidak berlaku pada zaman Rasulullah ﷺ dan ia terbahagi kepada; Bidaah wajib, Bidaah haram, Bidaah sunat, Bidaah makruh dan Bidaah harus. Untuk mengenal pastinya maka hendaklah ia dilihat dari sudut kaedah-kaedah Syarak. Sekiranya ia menepati kaedah-kaedah wajib maka ia wajib. Sekiranya ia menepati kaedah-kaedah haram maka ia haram. Sekiranya ia menepati kaedah-kaedah sunat maka ia sunat. Dan sekiranya ia menepati kaedah-kaedah harus maka ia harus.”

[Qawaa’id Al-Ahkaam oleh al-Iz bin Abdul Salam, 2/204]

JAWAPAN:

1. Hadis Rasulullah ﷺ tidak wajar disanggah dengan kata-kata sesiapa pun walaupun kata-kata ulama.

2. Imam al-Syatibi menolak pembahagian di atas dan berkata “Ini adalah satu pembahagian yang direka-reka yang tidak bersandarkan kepada mana-mana dalil syarak. Bahkan terdapat percanggahan. Ini kerana hakikat bidaah itu tidak didukung oleh dalil syarak sama ada dari sudut nas ataupun kaedah. Sekiranya dalil menunjukkan sesuatu perkara itu wajib, sunat atau harus maka ia sama sekali tidak boleh dianggap sebagai bidaah. Sebaliknya ia akan dianggap sebagai sebahagian daripada amalan yang dituntut atau diberi pilihan. Maka untuk menyatakan bahawa sesuatu itu adalah bidaah tetapi dalam masa yang sama dalil syarak menunjukkan bahawa ia wajib, sunat atau harus, jelas kenyataan sebegini membawa percanggahan” (al-I’tisaam, 1/246).

3. Bidaah yang dimaksudkan oleh al-Izz bin Abdul Salam RH ialah bidaah dari sudut bahasa dan bukan syarak.

Ini berdasarkan kepada contoh-contoh yang diberikan oleh beliau di mana bidaah wajib ialah seperti mempelajari ilmu nahu, bidaah sunat ialah seperti membina bangunan sekolah manakala bidaah harus ialah seperti perbuatan berlebih-lebihan dalam perkara yang harus.

Ia adalah istilah-istilah khas yang digunakan oleh beliau.

Sama sekali bukan bermaksud adanya bidaah hasanah dalam agama.

Kesimpulannya, tidak ada istilah bidaah hasanah dalam Agama kerana Nabi ﷺ secara jelas dan tegas bersabda “Semua bidaah (pembaharuan dalam agama) sesat” (Riwayat Muslim).

Istilah bidaah hasanah hanyalah terpakai dalam hal-hal dunia atau dalam perkara-perkara yang bersifat ‘teknikal’ semata-mata.

Idris bin Sulaiman
Kajang
11 Syaaban 1443H /
14 Mac 2022

Similar Posts

  • | |

    HADIS DAIF KELEBIHAN MENGERJAKAN QIYAM PADA MALAM HARI RAYA

    HADIS DAIF KELEBIHAN MENGERJAKAN QIYAM PADA MALAM HARI RAYA . oleh Ustaz Idris bin Sulaiman . Ia merujuk kepada hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah daripada Abu Umamah radhiallahu anhu, bahawasanya Nabi Sallalahu alaihi wasallam bersabda: . مَنْ قَامَ لَيْلَتَيْ الْعِيدَيْنِ مُحْتَسِبًا لِلَّهِ لَمْ يَمُتْ قَلْبُهُ يَوْمَ تَمُوتُ الْقُلُوبُ ….

  • |

    KARUT MARUT KAUM HABIB

    KARUT MARUT KAUM HABIB Mahu hidup sampai umur 300 tahun? Dengarkan ini cerita. Tiada firman Allah, tiada sabda Rasulullah ataupun amalan Sahabat. Hanya rekayasa kaum Habib berdasarkan rekaan, mimpi dan cerita waktu tidur yang tak masuk akal. Perhatikan. Amalan Sunnah Nabi yang sahih disisihkan manakala rekaan mimpi itulah yang menjadi…

  • |

    Soalan: Bagaimana cara menggunakan wang riba?

    Soalan: Assalamualaikum Ustaz. Bagaimana cara menggunakan wang riba? Jawapan Ustaz Abu Omar Idris Sulaiman: CARA MELUPUSKAN WANG HASIL RIBA Wa’alaikum salam Menurut Syeikh Al-Albani rahimahullah wang haram seperti RIBA tidak boleh dilupuskan melalui jalan sedekah memandangkan sabda Nabi: “Sesungguhnya Allah itu baik, Dia hanya menerima yang baik.” (Muslim) Adapun RIBA,…

  • |

    GELARAN NAMA ABU

    Gelaran ‘Abu’ pada pangkal nama seseorang disebut kun’yah dalam bahasa Arab. Amalan ini sudah bermula sejak awal pada zaman Rasulullah ﷺ. Kun’yah Nabi ﷺ ialah Abu al-Qasim. Ramai mungkin tidak tahu bahawa nama Abu Bakar al-Siddiq ialah kun’yah beliau sedangkan nama sebenarnya ialah Abdullah bin Abi Quhafah. Demikian sahabat bernama…

  • |

    COVID-19 PELUANG UNTUK RESET EKONOMI?

    Kata Perdana Menteri Kanada: “Pandemik ini telah membuka satu peluang untuk ‘RESET’. Ini adalah peluang bagi kita mempercepatkan usaha-usaha sebelum ini untuk mengimaginasikan semula sistem-sistem ekonomi bagi menghadapi cabaran-cabaran global seperti kemiskinan melampau, ketaksamaan dan perubahan iklim”. Apa maksud beliau ‘RESET EKONOMI’? Adakah maksudnya negara-negara semua kembali miskin? Kerana nampak…

  • | | |

    TAHLILAN VERSI BAHARU?

    TAHLILAN VERSI BAHARU? Sebaik-baik petunjuk ialah petunjuk Nabi ﷺ. Sekiranya amalan sebegini baik dan bagus nescaya telah diajarkan oleh Nabi ﷺ atau diamalkan oleh para Sahabat yang merupakan sebaik-baik umat ini sebagaimana dalam hadis. Ternyata bahawa amalan sebegini tiada sama sekali dicontohkan oleh Nabi ﷺ, para Sahabat dan seluruh generasi…

One Comment

Comments are closed.