|

ADAT BUDAYA ZAMAN ARAB JAHILIAH

ADAT BUDAYA ZAMAN ARAB JAHILIAH

Zaman jahiliah merujuk kepada zaman kesesatan masyarakat Arab sebelum kedatangan Nabi Muhammad ﷺ dan kebangkitan beliau membawa risalah agama Islam.

Zaman ini dinamakan sedemikian kerana kejahilan manusia yang berleluasa ketika itu serta kehidupan mereka dalam suasana gelap sebelum datangnya sinar Islam.

Kejahilan ini tampak pada sebahagian daripada adat budaya mereka.

Antaranya adalah adat budaya dalam pernikahan dan idah isteri yang kematian suaminya.

PERNIKAHAN ARAB JAHILIAH

Pernikahan pada zaman jahiliah ada empat jenis.

Jenis pertama:

Pernikahan seperti yang diadakan pada hari ini dengan si lelaki melamar kepada wali si perempuan atau meminang perempuan itu, membayar mahar dan menikahinya.

Jenis kedua:

Si suami mengarahkan isterinya apabila telah suci daripada haid untuk bersetubuh dengan seorang lelaki. Kemudian suami tidak akan menggauli isterinya sehinggalah terjelas sama ada isterinya hamil atau tidak. Jika hamil barulah suaminya akan menggaulinya jika dia mahu. Ini dilakukan untuk mendapat zuriat. Kerana itu ia dinamakan ‘Nikah al-Istibdha’ (Nikah Persetubuhan).

Jenis ketiga:

Sekumpulan lelaki kurang daripada sepuluh orang berkumpul dan menyetubuhi seorang perempuan. Jika perempuan itu hamil maka dia akan menunggu sehingga bersalin. Selang beberapa hari selepas bersalin perempuan itu akan memanggil lelaki-lelaki berkenaan dan kesemua mereka perlu hadir. Tiada sesiapa yang boleh menolak. Perempuan itu akan berkata “Kamu semua tahu apa yang kamu telah lakukan dan ini anak yang baru aku lahirkan. Dia anakmu wahai fulan.” Perempuan itu akan menamakan sesiapa yang dia mahu daripada kumpulan lelaki itu dan anak itu akan dinasabkan kepadanya. Lelaki yang dinamakan itu perlu menerimanya.

Jenis keempat:

Perempuan pelacur yang memasang bendera tanda pada pintu rumahnya. Sesiapa yang mahu akan mendatanginya. Jika ia hamil dan sudah beranak maka orang ramai akan datang berkumpul di rumahnya. Seorang ‘pakar nasab’ akan dipanggil dan dia akan datang untuk melihat mana-mana persamaan antara lelaki-lelaki yang hadir dengan bayi itu. Lelaki yang dilihat mempunyai persamaan dengan bayi yang baru lahir itu akan dipilih sebagai bapa dan dinasabkan bayi itu kepadanya. Lelaki itu tidak ada pilihan kecuali untuk menerima bayi itu sebagai anaknya.

Kata Aisyah radiallahuanha “Setelah Muhammad ﷺ diutus dengan kebenaran maka kesemua pernikahan jahiliah dimansuhkan kecuali pernikahan seperti yang diadakan pada hari ini (pernikahan jenis pertama).”

[Sahih. Riwayat Bukhari dan Muslim]

IDAH WANITA KEMATIAN SUAMI

Tempoh idahnya adalah selama setahun.

Daripada Umm Salamah radiallahuanha bahawa seorang wanita bertanya:

“Wahai Rasulullah, sesungguhnya anak perempuanku kematian suaminya, sedangkan matanya mengalami gangguan penyakit, bolehkah kami mengubatinya dengan celak mata?” Nabi ﷺ menjawab “Tidak.” Kesemua pertanyaannya Baginda mengatakan “tidak” sebanyak dua atau tiga kali. Kemudian Baginda bersabda “Sesungguhnya idah yang harus dijalaninya adalah selama empat bulan sepuluh hari. Dan sesungguhnya seseorang di antara kalian pada masa jahiliah menjalani idahnya selama setahun.”

[Sahih. Riwayat Bukhari dan Muslim]

Wanita yang beridah pada zaman jahiliah akan ‘dikuarantin’ dalam sebuah rumah usang selama setahun. Selama tempoh itu dia akan memakai pakaiannya yang paling buruk, tidak akan mandi dan tidak akan memakai apa-apa wangian sebagai tanda berkabung.

Zainab binti Umm Salamah radiallahuanha berkata “Dahulu apabila seorang wanita kematian suaminya maka wanita itu akan memasuki sebuah rumah usang dengan memakai pakaiannya yang paling buruk. Dia tidak akan memakai apa-apa wangian ataupun menukar pakaiannya itu selama setahun. Setelah genap setahun barulah dia keluar dari rumah itu. Kemudian seekor keldai, kambing atau burung akan diberikan kepadanya lalu dia akan menggosok-gosokkan tubuhnya pada haiwan tersebut. Jarang sekali haiwan itu dapat bertahan hidup. Kebanyakannya akan mati.”

[Sahih. Riwayat Bukhari dan Muslim]

Haiwan itu mati kerana kuatnya ia digosok pada badan wanita itu.

CATATAN:

Alhamdulillah atas nikmat Islam dan as-Sunah.

Dukacitanya tidak kurang yang masih mahu mempertahankan adat budaya nenek moyang yang bertentangan dengan ajaran Agama. Sampai dibawakan pepatah ‘Biar mati anak jangan mati adat’. Ini harus diluruskan.

——————-

Sertai bersama kami dalam grup Telegram Pena Ustaz Idris Sulaiman untuk mendapatkan artikel-artikel Ustaz dan memastikan anda tidak terlepas tulisan-tulisan yang terkini melalui pautan di bawah.

https://t.me/penaustazidrissulaiman

Similar Posts

  • |

    ‘BILIK KULIAH’ KERETA KANCIL

    Kereta Kancil saya ini banyak nostalgia dan kenangan manisnya. Saya menggunakan kereta ini sejak awal bekerja di Kedutaan Arab Saudi di Kuala Lumpur sampai berhenti. Saban hari berulang alik dari Kajang ke Kuala Lumpur menaikinya dari tahun 2003 sampai 2014. Segala apa yang Allah ﷻ takdirkan ada hikmahnya. Alhamdulillah, saya…

  • |

    SIKAP MUSLIM MENANGANI ISU KHILAFIAH

    Sebahagian berpandangan bahawa Muslim tidak perlu bertegas dalam isu-isu khilafiah. Sebaliknya Muslim boleh memilih mana-mana pendapat mengikut mazhabnya, pandangan ulama atau guru yang dikenalinya, amalan masyarakat atau pendapat yang sesuai dengan situasi yang dihadapinya. Seolah-olah semua pendapat yang berbeza itu betul dan boleh diterima. Ini salah dan tidak betul. Muslim…

  • |

    HARAMNYA DEMONSTRASI

    HARAMNYA DEMONSTRASI Demonstrasi adalah haram di sisi para ulama yang tidak terpengaruh dengan fahaman haraki Ikhwan Muslimin (IM). IM merupakan gerakan yang banyak bersekongkol dengan musuh-musuh Islam yang berselindung. Antara sebab haramnya demonstrasi ialah: 1. Menzahirkan nasihat kepada pemerintah sedangkan cara sedemikian dilarang Agama. Sabda Nabi ﷺ: من أراد أن…

  • |

    HIPOKRIT YANG SEBENAR

    Buka tudung sebab tidak mahu hipokrit. Seperti jika ada yang tidak mahu solat atas alasan enggan dikatakan menunjuk-nunjuk. Jelasnya ini kenyataan orang yang keliru. Sebetulnya kata diri lemah iman atau kurang faham agama, didorong pengaruh rakan-rakan dan seumpamanya. Musibah jika perbuatan maksiat hendak diselimutkan dengan niat mulia. Insaflah dan akuilah…

  • BERGANTUNG PADA SEBAB MUSABAB & BERTAWAKAL PADA ALLAH

    – Yakin boleh! – Believe in yourself, you can do it! Bergantung pada sebab musabab dengan meyakini bahawa ia memberi kesan tanpa mengaitkannya dengan ketetapan dan kehendak Allah ﷻ akan merosakkan pegangan akidah. Ini kerana tiada apa yang dapat memberi kesan tanpa izin dan kehendak Allah ﷻ. Firman Allah ﷻ:…

  • | | | |

    TEGAHAN MEMBUAT BINAAN ATAS KUBUR

    Tidak ada sebarang bentuk binaan atas kubur pada zaman Sahabat Nabi ﷺ dan generasi awal Islam dahulu. Sebaliknya binaan-binaan atas kubur hanya diada-adakan kemudian pada zaman Kerajaan Buwaihiyyah, Syiah sekitar kurun keempat Hijrah. Para ulama sepakat akan larangan membuat binaan atas kubur. Kata Imam al-Syaukani: اعْلَمْ أنَّه قَدْ اتَّفَقَ النَّاسُ،…