tree on water
|

NABI ILYAS PENJAGA POKOK? NABI KHIDIR PENJAGA AIR?

#Khurafat dari meja penceramah

Baru-baru ini ada yang berkongsi video di bawah bertanya tentang sejauh mana kesahihan apa yang disampaikan dalam video tersebut.

Sejujurnya saya terkejut mendengar apa yang disampaikan dalam video tersebut. Saya tidak menyangka hal seperti ini boleh diucapkan oleh seorang ustaz.

Beliau berkata:

“Nak ambil pokok aloe vera buat ubat KENA MINTA DENGAN PENJAGA POKOK… SIAPA JAGA TUMBUH-TUMBUHAN itu? Nabi Ilyas alaihissalam..”

“SIAPA pula yang JAGA AIR? Nabi Khidir…”

Perlu ditegaskan bahawa kedua-dua dakwaan di atas tiada asasnya sama sekali dalam mana-mana nas yang sahih.

Malah ia merupakan suatu khurafat, kepercayaan karut dan tahyul.

Dakwaan seperti ini jika diamati ia berakar umbi dalam kepercayaan khurafat masyarakat Melayu dahulu yang percaya kepada ‘semangat roh’ dan ‘semangat alam semula jadi’ lalu mereka melakukan pemujaan untuk menghormati ‘semangat-semangat’ tersebut.

Kepercayaan ini ada kaitannya dengan animisme iaitu kepercayaan bahawa setiap benda (batu, pokok dan sebagainya) mempunyai ‘semangat roh’ yang menjaganya.

Kepercayaan Khurafat Orang Melayu Dahulu:

KEPERCAYAAN KHURAFAT ORANG MELAYU DAHULU (1)

Cuma jika dahulu apa yang dimaksudkan dengan ‘semangat roh’ ialah jin, syaitan dan hantu, kita dapati pada hari ini ‘semangat roh’ ini ditukar pula kepada nabi dan malaikat sesuai dengan kefahaman masyarakat yang semakin dekat dengan Agama berbanding dahulu.

Percaya kepada hantu dilihat kolot dan tidak sesuai dengan zaman moden hari ini.

Walau bagaimanapun, kepercayaan bahawa sesuatu itu sama ada batu, pokok dan sebagainya mempunyai PENJAGANYA DI ALAM GHAIB selain ALLAH merupakan SYIRIK menyalahi ajaran Islam.

Seharusnya perkara ini diberi perhatian dan penekanan yang setinggi-tinginya agar kefahaman masyarakat tidak terpesong daripada akidah Islam yang lurus.

Tidak ada yang lebih penting daripada meluruskan Akidah.

ALLAH PEMILIK & PENJAGA SEGALA-GALANYA

Firman ALLAH:

إِنَّ رَبَّكُمُ ٱللَّهُ ٱلَّذِي خَلَقَ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضَ فِي سِتَّةِ أَيَّامٖ ثُمَّ ٱسۡتَوَىٰ عَلَى ٱلۡعَرۡشِۖ يُغۡشِي ٱلَّيۡلَ ٱلنَّهَارَ يَطۡلُبُهُۥ حَثِيثٗا وَٱلشَّمۡسَ وَٱلۡقَمَرَ وَٱلنُّجُومَ مُسَخَّرَٰتِۢ بِأَمۡرِهِۦٓۗ أَلَا لَهُ ٱلۡخَلۡقُ وَٱلۡأَمۡرُۗ تَبَارَكَ ٱللَّهُ رَبُّ ٱلۡعَٰلَمِينَ.

“Sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah yang menciptakan langit dan bumi dalam enam masa lalu Dia beristiwa di atas Arasy; Dia melindungi malam dengan siang yang mengiringinya dengan deras (silih berganti) dan (Dia pula yang menciptakan) matahari dan bulan serta bintang-bintang, (semuanya) tunduk kepada perintahNya. Ingatlah, KEPADA ALLAH jualah SEGALA URUSAN PENCIPTAAN (sekalian makhluk) dan URUSAN PEMERINTAHAN. Maha Suci ALLAH YANG MENCIPTA dan MENTADBIR sekalian alam.

[Surah al-A’raaf, ayat 54]

Ayat di atas menegaskan bahawa segala urusan makhluk terletak di bawah kuasa ALLAH semata-mata.

Firman ALLAH:

قُلۡ مَنۢ بِيَدِهِۦ مَلَكُوتُ كُلِّ شَيۡءٖ وَهُوَ يُجِيرُ وَلَا يُجَارُ عَلَيۡهِ إِن كُنتُمۡ تَعۡلَمُونَ

“Tanyakan: Siapakah yang MEMEGANG KUASA PEMERINTAHAN SETIAP SESUATU, serta DIA dapat melindungi (segala-galanya) dan tidak ada sesuatupun yang dapat disembunyikan daripadaNYA? (Jawablah) jika kamu mengetahui!”

[Surah al-Mukminun, ayat 88]

Ayat di atas sekali lagi menegaskan bahawa segala urusan yang berkait dengan makhluk termasuklah pokok, air dan selainnya terletak di bawah JAGAAN dan PEMELIHARAAN ALLAH semata-mata.

SEGALA SESUATU HANYA TUNDUK KEPADA ALLAH

Firman ALLAH:

أَلَمۡ تَرَ أَنَّ ٱللَّهَ يَسۡجُدُۤ لَهُۥۤ مَن فِي ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَمَن فِي ٱلۡأَرۡضِ وَٱلشَّمۡسُ وَٱلۡقَمَرُ وَٱلنُّجُومُ وَٱلۡجِبَالُ وَٱلشَّجَرُ وَٱلدَّوَآبُّ وَكَثِيرٞ مِّنَ ٱلنَّاسِۖ وَكَثِيرٌ حَقَّ عَلَيۡهِ ٱلۡعَذَابُۗ وَمَن يُهِنِ ٱللَّهُ فَمَا لَهُۥ مِن مُّكۡرِمٍۚ إِنَّ ٱللَّهَ يَفۡعَلُ مَا يَشَآءُ.

“Tidakkah engkau mengetahui bahawa SEGALA YANG ADA DI LANGIT DAN DI BUMI TUNDUK SUJUD KEPADA ALLAH dan (di antaranya termasuklah) matahari, bulan, bintang-bintang, gunung-ganang, pokok-pokok kayu, binatang-binatang dan ramai daripada kalangan manusia? Dan ramai juga (daripada manusia) yang berhak ditimpa azab (disebabkan kekufuran dan maksiatnya); dan (ingatlah) sesiapa yang dihinakan oleh Allah maka dia tidak akan beroleh sesiapapun yang dapat memuliakannya. Sesungguhnya Allah tetap melakukan apa yang dirancangkanNya.

[Surah al-Hajj, ayat 18]

Ayat di atas menegaskan bahawa segala sesuatu itu hanya tunduk kepada Allah selaku pencipta, pemilik dan penjaganya.

MUSLIM BERGANTUNG & MEMINTA HANYA DARIPADA ALLAH

Sabda Nabi ﷺ:

إِذَاَ سَأَلْتَ فَاسْأَلِ اللهَ، وَإِذَاَ اسْتَعَنتَ فَاسْتَعِن بِاللهِ.

“Sekiranya engkau meminta sesuatu maka mintalah daripada Allah. Sekiranya engkau meminta pertolongan maka mintalah pertolongan daripada Allah.”

Hadis sahihi. Riwayat Tirmizi.

Artikel berkaitan:

Khurafat ‘Kaedah Pagar Laut Supaya Pencuri Berenang Dalam Rumah’:

KHURAFAT: ‘Kaedah Pagar Laut Supaya Pencuri Berenang Dalam Rumah’

Kepada Allah jua kita memohon petunjuk dalil dan kejayaan.

Idris bin Sulaiman
Kajang
Pentingnya akidah tauhid
14 Rejab 1442H /
26 Februari 2021
#http://www.facebook.com/idrissulaiman

Similar Posts

  • KHAWARIJ DAHULU VS KHAWARIJ MODEN

    Golongan Khawarij terdahulu berbeza dengan golongan Khawarij pada zaman sekarang. Ulama Salafi dari Kuwait, Syeikh Falah Mandakar rahimahullah, menjelaskan bahawa terdapat perbezaan ketara antara Khawarij pada zaman dahulu dan golongan yang disifatkan sebagai Khawarij moden pada hari ini. Menurut beliau, Khawarij terdahulu terkenal dengan kesungguhan dalam beribadah, termasuk memperbanyakkan bacaan…

  • HADIS JARI-JEMARI ALLAH ﷻ

    Sifat jari-jemari Allah ﷻ sabit dalam hadis sahih. Dalam sebuah hadis, Abdullah bin Masud radiallahuanhu berkata: جَاءَ حَبْرٌ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ: يَا مُحَمَّدُ، إِنَّ اللَّهَ يَضَعُ السَّمَاءَ عَلَى إِصْبَعٍ، وَالأَرْضَ عَلَى إِصْبَعٍ، وَالجِبَالَ عَلَى إِصْبَعٍ، وَالشَّجَرَ وَالأَنْهَارَ عَلَى إِصْبَعٍ، وَسَائِرَ الخَلْقِ عَلَى إِصْبَعٍ، ثُمَّ يَقُولُ…

  • |

    PERNAHKAH NABI PANGGIL WAHAI KAFIR?

    Jawapannya, ya. Bahkan itu yang diperintahkan ke atas Nabi ﷺ oleh Allah ﷻ sebagaimana dalam firmanNya ﷻ: قُلۡ یَـٰۤأَیُّهَا ٱلۡكَـٰفِرُونَ “Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai orang-orang kafir!” [Al-Quran, al-Kafirun, 109:1] Perintah atas Nabi ﷺ dan umatnya supaya menyatakan pendirian tegas mereka menyembah Allah ﷻ semata-mata tanpa menyekutukan denganNya apa jua sembahan…

  • | |

    SELEPAS KUIL TOKONG PULA

    SELEPAS KUIL TOKONG PULA Sangat tidak wajar. Jangan sampai hilang pedoman Agama rebah dek syubhah toleransi. Apakah sudah tiada lagi masjid untuk dibersihkan? Apakah sudah tiada lagi rumah sesama saudara Muslim yang belum dihilangkan sisa lumpur banjir besar yang berlaku baru-baru ini? Membersihkan rumah-rumah ibadat orang kafir ini bertentangan sama…

  • | |

    PERISTIWA ISRAK MIKRAJ MENURUT AKIDAH ASYAIRAH

    Dalam khutbah Jumaat semalam, khatib menyebutkan tentang peristiwa Nabi ﷺ diisrak mikrajkan serta kaitannya dengan pensyariatan solat fardu lima waktu. Khatib menyebutkan tentang hadis sahih di mana Nabi Musa berkata kepada Nabi Muhammad ﷺ: “Kembalilah kepada Tuhanmu dan mintalah keringanan kepadaNya kerana umatmu tidak akan mampu melakukannya (solat fardu 50…

  • |

    ILMU FALSAFAH

    # Ilmu Kalam # Pendirian Imam asy-Syafii Ilmu falsafah berkait rapat dengan pengetahuan yang diperoleh dengan cara berfikir serta membuat pertimbangan dan penilaian dengan menggunakan akal atau logik. Ia berasal dari Yunani (Greek). Ilmu Kalam pula adalah kesinambungan daripada ilmu falsafah yang tersebar dalam kalangan umat Islam melalui penterjemahan buku-buku…