JAWAPAN KEPADA: KRITIKAN UMUM KE ATAS BUKU PILIHANRAYA KARYA AL-FADHIL USTAZ IDRIS SULAIMAN HADAHULLAH
JAWAPAN KEPADA: KRITIKAN UMUM KE ATAS BUKU PILIHANRAYA KARYA AL-FADHIL USTAZ IDRIS SULAIMAN HADAHULLAH
.
Oleh Ustaz Idris bin Sulaiman
.
.
Berikut ini saya sertakan jawapan buat (6) kritikan yang dikemukakan oleh penulis yang tidak diketahui namanya, yang saya peroleh melalui media sosial ‘WhatsApp’. Ia adalah kritikan ke atas buku kami yang bertajuk ‘Pilihan Raya Malaysia: Antara demokrasi dan tuntutan Agama’.
.
Sebagai permulaan, untuk makluman para pembaca -semoga Allah merahmati anda- buku ‘Pilihan Raya Malaysia’ tidak hanya dikarang oleh saya sendiri, sebaliknya ia dikarang secara bersama antara saya, di samping Al-Fadhil Ustaz Dr. Fadlan bin Mohd Othman dan Al-Fadhil Dato’ Dr. Fathul Bari bin Mat Jahya. Kedua-dua mereka adalah ilmuwan dan tokoh yang bukan calang-calang, banyak menyumbang dalam dakwah dan penulisan di samping berusaha dalam memartabatkan dakwah Sunah dalam negara dan juga kerajaan.
.
Buku ini mendapat pujian daripada ayahanda Al-Fadhil Al-Ustaz Dr. Sulaiman Noordin, seorang yang berusia hampir 80 tahun, banyak berkecimpung dalam dakwah dan mempunyai pengetahuan luas dalam Agama, khususnya dalam bidang akidah dan pemikiran-pemikiran global semasa. Kata-kata aluannya boleh dibaca di bahagian depan buku ini.
.
Felo Kanan Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa, UKM, Prof. Madya Dr. Mohamad Sabri bin Haron turut memberikan kata pengantarnya dalam buku ini.
.
Dalam jawapan ini, saya akan bawakan kritikan-kritikan oleh penulis yang tidak diketahui namanya dengan menyebut di awalnya, ‘Kritikan’, kemudian disusuli dengan jawapan saya yang bermula dengan perkataan ‘Jawapan’.
.
Catatan: Ejaan pilihan raya bukan ‘Pilihanraya’ . Sila rujuk Dewan Bahasa cetakan keempat.
.
Kritikan: ‘1. Buku ini diterbitkan dalam situasi bahang PRU semakin panas, justeru kemunculannya dilihat oleh sebahagian pemerhati, penganalisis, penuntut ilmu dan pengkaji sebagai salah satu manifesto parti politik tertentu namun ia dihidangkan dalam wajah ilmiah dan SALAFI’
.
Kritikan: ‘Justeru kemunculannya dilihat oleh sebahagian pemerhati, penganalisis, penuntut ilmu dan pengkaji’
.
Jawapan: Siapa pemerhati, penganalisis, penuntut ilmu dan pengkaji yang dimaksudkan? Mengapa tidak disebut namanya? Bukankah ‘Al-Isnad min Ad-Diin’ – Sanad rantaian perawi daripada mana satu ucapan itu datang adalah sebahagian daripada Agama?
.
Kata Abdullah bin Mubarak: “Kalau bukan kerana sanad, nescaya sesiapa sahaja boleh berkata apa sahaja.”
.
Atas dasar tersebut, maaf jika Kritikan ini saya anggap sebagai sebahagian daripada ‘sesiapa sahaja boleh berkata apa sahaja’. Tambah lagi ucapan ini hanya andaian, sangkaan dan dakwaan tanpa bukti.
.
Jika penjelasan tidak diberi sekarang tentang pilihan raya sedangkan ia sudah semakin hampir, bila lagi penjelasan hendak diberikan? Setelah habis pilihan raya? Jika begitu, ia ibarat menjelaskan tentang tatacara solat jenazah setelah jenazah dikebumikan, sedangkan kita mampu menjelaskan sebelumnya.
.
Kritikan: ‘Sebagai salah satu manifesto parti politik tertentu’
.
Jawapan: Ini adalah satu tuduhan yang tidak wajar. Saya (UIS) sendiri bukan ahli mana-mana parti politik. Sesuatu kritikan tidak wajar bersifat bersangka-sangka, ‘su adz-dzan’ berburuk sangka terhadap sesama saudara Muslim.
.
Apakah terlalu sukar untuk kritikan itu diberikan secara objektif dan ilmiah, tanpa bersangka-sangka dan menghukum niat? Ini bukan cara mengkritik secara jujur. Sayang sekali, kritikan nombor (1) sahaja sudah bersifat andaian serta bersangka-sangka buruk. Sedangkan Allah berfirman, “Sesungguhnya sebahagian sangka-sangka itu adalah dosa.” [Al-Hujuraat, 12]
.
Kritikan: ‘Namun ia dihidangkan dalam wajah ilmiah dan SALAFI’
.
Jawapan: Al-Hamdulillah jika begitu. Penulis dalam kritikan nombor (1) nya akhirnya mengakui bahawa kitab ‘Pilihan Raya Malaysia – Antara demokrasi dan tuntutan Agama’ adalah sebuah karya ilmiah dan SALAFI.
.
Memang ini yang diharapkan, dan sememangnya buku ‘Pilihan Raya Malaysia’ dikarang dengan sedemikian rupa, secara ilmiah dan mengikut metode Manhaj Salafi insyaAllah.
.
Ungkapan Arab menyebut, ‘Al-Haq ma syahidathu al-‘adaa’u’ (Kebenaran itu ialah apa yang turut diperakui oleh musuh).
.
.
Kritikan: 2. Dari sudut ta’sil perbahasan, ia dilihat tidak memuaskan, apatah lagi bagi mereka yang bergelumang lama dengan dakwah Salaf dan tokoh-tokohnya di seluruh dunia, umum sudah mengetahui kesepakatan para Ulamanya telah jelas berkenaan demokrasi dan pilihanraya. Fatwa dan pendapat Ulama Salafi yang dinukilkan berkenaan isu politik dan pilihanraya dalam buku ini agak bias dan tidak menyeluruh tambah meragukan lagi terzahirnya nama seperti Syeikh Falih Harbi yang agak jarang namanya diketengahkan dalam arena dakwah Salaf namun namanya “tiba-tiba” muncul?
.
Kritikan: ‘Dari sudut ta’sil perbahasan, ia dilihat tidak memuaskan’
.
Jawapan: Alangkah bagusnya jika diberikan penjelasan lanjut. Kenyataan ini tergantung kerana ia hanya bersifat menghukum tanpa dikemukakan sebab,bukti ataupun dalil.
.
Mengapa buku ‘Pilihan Raya Malaysia’ tidak memuaskan? Bukankah ia mengemukakan dalil – dalil daripada Al-Quran, hadis, dan kalam ulama dahulu serta fatwa-fatwa ilmuwan kontemporari? Ia turut memuatkan penghujahan daripada sudut perlembagaan negara, pendapat dan pandangan daripada pihak-pihak yang berautoriti, mereka yang ahli dan juga ‘speech act’ kenyataan daripada pihak yang berkaitan yang arif tentang perlembagaan dan undang-undang negara?
.
Adakah penghujahan dengan cara ini tidak cukup atau tidak benar? Atau adakah ia hanya dianggap tidak memuaskan kerana kesimpulannya tidak menepati cita rasa dan kehendak penulis yang tidak diketahui namanya semata-mata?
.
Kritikan: ‘Umum sudah mengetahui kesepakatan para Ulamanya telah jelas berkenaan demokrasi dan pilihanraya’
.
Jawapan: Jika semua tahu dan mempraktikkan saranan para ulama nescaya perselisihan tidak akan berlaku. Kritikan dan tulisan ini adalah sebesar-besar bukti yang menyanggah kenyataan ‘umum sudah mengetahui’.
.
Antara kelainan buku ‘Pilihan Raya Malaysia’, ia tidak hanya menjelaskan tentang kesepakatan para ulama akan penyelewengan demokrasi dan pilihan raya – kerana poin ini insyaAllah tiada khilaf dalam kalangan penuntut ilmu – ia turut memuatkan penjelasan lanjut para ulama kontemporari tentang keharusan mengundi dalam pilihan raya, yang mana sehinggakan Syeikh Ibnu Uthaimin rahimahullah mengatakan bahawa ia wajib.
.
Fatwa-fatwa ini barangkali ramai yang tidak tahu. Malah barangkali sebahagian penuntut ilmu lebih-lebih lagi mereka yang cenderung kepada fatwa Syeikh Muqbil rahimahullah serta masyaikh Yaman yang mengharamkan proses mengundi dalam pilihan raya secara mutlak, mereka ini mungkin tidak tahu tentang adanya pandangan lain yang berbeza dan yang mengharuskan mengundi. Seakan-akan ia disembunyikan, walhal ia adalah fatwa ulama kibar yang kita sanjung serta iktiraf, dan wajar untuk kita mengetahui dan memahaminya.
.
Sebagai penuntut ilmu, dalam memahami isu-isu politik negara, kita perlu berusaha untuk memahami perincian-perrinciannya, apatah lagi dalam isu-isu yang membabitkan ‘siapa pemerintah di Malaysia’ dan ‘apakah kedudukan seseorang Muslim dalam pilihan raya, siapa yang perlu atau wajib diundi?’ Persoalan-persoalan besar ini penting untuk dibahaskan secara ilmiah, berpandukan fatwa-fatwa para ulama, bukan hanya sebahagian mereka, sebaliknya dilihat fatwa-fatwa mereka secara holistik dan menyeluruh.
.
Berdasarkan fatwa-fatwa para ulama seperti Syeikh Bin Baz, Syeikh Nasiruddin Al-Albani, Syeikh Ibnu Uthaimin, Syeikh Abdul Muhsin Al-Abbad, Syeikh Al-Luhidaan, Syeikh Saleh Al-Fauzan dan yang lain-lain, kita praktik fatwa mereka di negara kita. Bukankah ini cara yang sepatutnya? Jika jawapan anda, ya, maka itulah metode yang digunakan dalam buku ‘Pilihan Raya Malaysia’. Jika belum membacanya, bacalah buku ini sebelum mengkritik.
.
Kritikan: ‘Fatwa dan pendapat Ulama Salafi yang dinukilkan berkenaan isu politik dan pilihanraya dalam buku ini agak bias dan tidak menyeluruh’
.
Jawapan: Ya, barangkali ia dianggap tidak menyeluruh kerana tidak membawa fatwa Syeikh Muqbil rahimahullah dan masyaikh Yaman yang mengharamkan mengundi secara mutlak dalam pilihan raya.
.
Untuk makluman, antara cabaran dalam menulis buku ‘Pilihan Raya Malaysia’ ialah usaha supaya halamannya tidak terlalu banyak, manakala tulisannya tidak terlalu meleret-leret. Ia bagi memudahkan pembaca untuk membaca – satu perkara yang sangat mencabar pada zaman sekarang, iaitu membaca.
.
Malah saya dimaklumkan bahawa ada yang sudah mengkritik buku ‘Pilihan Raya Malaysia’ di peringkat awal penerbitannya ketika ia belum lagi dipasarkan! Ajaib.
.
Tambah pula, fatwa Syeikh Muqbil rahimahullah dilihat menyalahi fatwa-fatwa majoriti para ulama Salafi yang lain, dan fatwa yang mengharuskan mengundi dalam pilihan raya lebih menepati keperluan negara kita secara khasnya, setelah kita menyedari hakikat bahawa pemerintah Muslim negara kita sekarang diancam oleh musuh-musuh Islam yang mahu menjatuhkannya dan menggulingkannya.
.
Buat mereka yang masih lalai alpa, sedarlah!
.
Kritikan: ‘Syeikh Falih Harbi yang agak jarang namanya diketengahkan dalam arena dakwah Salaf namun namanya “tiba-tiba” muncul?’
.
Jawapan: Kita maklum bahawa dalam kalangan para ulama ada perselisihan. Syeikh Al-Albani misalnya ada berselisih dan Syeikh Bin Baz, dengan Syeikh Ibnu Uthaimin dan yang lain-lain. Rahimahumullah. Demikian juga sebaliknya.
.
Syeikh Ali Hasan Halabi dan Syeikh Salim Ied Al-Hilali juga tidak terlepas daripada kritikan. Syeikh Ali Hasan Halabi malah ditahzir oleh Syeikh Saleh Al-Fauzan hafizahullah. Demikian juga dengan Syeikh Falih Al-Harbi, beliau turut menerima kritikan.
.
Sebagai penuntut ilmu, kita perlu ambil maklum dan bijaksana dalam mengurus perselisihan yang berlaku dalam kalangan para ulama.
.
Kemuncaknya, kita tidak mahu taasub kepada kalam mana-mana tokoh, ataupun menolak sesuatu kalam kerana ia datang daripada batang tubuh seseorang tokoh. Sebaliknya fokus kita ialah kepada menilai kalam dan pendapatnya, sama ada ia benar atau tidak. Jika benar maka kita terima, dan jika salah kita tolak, tidak kira daripada sesiapa pun.
.
Cuma bezanya jika tokoh itu terdiri daripada kalangan ilmuwan yang benar Manhaj dan juga akidahnya, maka kita akan tetap menghormatinya. Adapun jika dia seorang tokoh kesesatan, maka pendapatnya yang salah bukan sahaja ditolak, bahkan perlu dijelaskan penyimpangan tokoh tersebut secara am agar yang lain tidak terpedaya dengannya. Walau bagaimanapun, tidak dinafikan bahawa bukan semua mampu melakukan hal ini.
.
Kembali kepada kritikan di atas, jelas ia hanya menimbulkan lebih banyak tanda tanya daripada pencerahan. Seakan-akan mahu menimbulkan persepsi negatif bahawa para penulis buku ‘Pilihan Raya Malaysia’ mempunyai fikrah-fikrah tertentu yang menyimpang. Sangat tidak wajar.
.
.
Kritikan: ‘3. Ta’sil dalam penetapan definisi Waliyyul Amri juga tidak jelas dan mempunyai banyak kontradiksi dan kepincangan sama ada dari sudut perlembagaan mahupun dari sudut perincian syarak.’
.
Jawapan: MasyaAllah. Maaf jika saya mengatakan, ini hanya dakwaan tanpa bukti. Sedangkan Nabi bersabda yang mafhumnya, “Bukti perlu dikemukakan oleh pihak yang mendakwa.”
.
Untuk makluman para pembaca yang budiman, buku ‘Pilihan Raya Malaysia’ memuatkan satu bab khusus bertajuk ‘Perdana Menteri’ dengan perincian-perincian tentang teori pengasingan kuasa dalam sistem pemerintahan Malaysia, kedudukan Yang di-Pertuan Agong, kedudukan Perdana Menteri, Perdana Menteri selaku pemerintah negara, dan Perdana Menteri dan parti politiknya. Di mana kontradiksi dan kepincangan yang ada dalam bab ini?
.
Turut dimuatkan satu bab bertajuk ‘Politik Negara’ di mana dijelaskan di dalam bab ini tentang keadaan politik semasa tanah air, iaitu negara di bawah pemerintah Muslim, dan bahawa kelangsungan kestabilan politik negara menjadi tanggungjawab setiap seorang Muslim di Malaysia, agar negara terus kekal aman makmur, tidak terjerumus dalam kancah huru-hara seperti yang berlaku di Timur Tengah. Di mana kontradiksi dan kepincangan yang ada dalam bab ini?
.
.
Kritikan: ‘4. Tidak dinyatakan dengan jelas berkenaan bahaya Hizbiyyah, bahaya demokrasi dan keburukan pilihanraya serta fatwa-fatwa Ulama Salafi yang melarang dan memberi amaran berkenaannya mungkin itulah sebab ia dianggap tidak menyeluruh dan tidak memberi tasawwur yang benar terhadap isu.’
.
Jawapan: Saya kira ini adalah syubhah yang menjadi asas kepada kritikan ini. Pertamanya, dalam buku ‘Pilihan Raya Malaysia’, telah dijelaskan bahawa, “Sistem pilihan raya yang menjadi komponen penting dalam sistem demokrasi Barat tidak menepati cara pelantikan pemerintah yang diperakui oleh Syarak.” (Pilihan Raya Malaysia, halaman 163)
.
Apakah ini tidak cukup jelas untuk menyatakan kebatilan demokrasi dan sistem pilihan raya?
.
Keduanya, buku ‘Pilihan Raya Malaysia’ adalah bertujuan untuk menjelaskan tentang bagaimana seorang Muslim di Malaysia menghadapi pilihan raya, setelah dikemukakan dalil-dalil dan hujah-hujah, kami membuat kesimpulan bahawa, “Keperluan untuk mengundi pada hari ini sangat-sangat penting dan kritikal.” Kemudian dinyatakan secara terus-terang bahawa, “Umat Islam di Malaysia wajib mengundi bagi mengekalkan Perdana Menteri dan Kerajaan Persekutuan demi menjaga keamanan dan kesatuan umat.” (Pilihan Raya Malaysia, halaman 196-198)
.
Jika dilihat mesej yang cuba disampaikan dalam buku ini, tambah pula bagi memastikan saiz buku ini tidak bertambah, permasalahan tentang bahaya hizbiyyah, bahaya demokrasi dan keburukan pilihan raya bukan menjadi tajuk perbahasan buku ini.
.
Justeru, saya syorkan kepada mana-mana pihak yang berminat, untuk menulis tentang tajuk-tajuk ini. Tidak dinafikan bahawa masih banyak ruang untuk ilmuwan menulis. Cuma timbul masalah jika ramai hanya mahu mengkritik tetapi mereka sendiri tidak memberi apa-apa sumbangan dalam perkara yang dikritik itu.
.
Saya turut mengesyorkan kepada penulis yang tidak diketahui namanya, atau yang lain untuk memberi penjelasan tuntas tentang perkara-perkara berikut:
1. Adakah menyokong pemerintah pusat dan mempertahankannya dalam pilihan raya termasuk dalam perkara hizbiyyah yang tercela?
.
2. Adakah Barisan Nasional adalah satu entiti hizbiyyah yang tercela di mana seorang Muslim wajib berlepas diri daripadanya? Jika ya, bukankah ini selangkah ke arah menjatuhkan kerajaan sedia ada? Bukankah ini lebih membantu musuh-musuh kerajaan dan negara yang sememangnya mahu menjatuhkan pemerintah dan menukar kerajaan, dan keadaan ini tentu akan mengancam kestabilan kerajaan dan negara?
.
Mohon diberikan penjelasan tuntas, jangan pula menimbulkan syubhah, membiarkan isu-isu tergantung tanpa penjelasan. Ia tidak mencerminkan kejujuran dalam memberi penjelasan.
.
.
Kritikan: ‘5. Bagi sebahagian besar tokoh-tokoh Salafi di Malaysia, mereka tidak menafikan titik pertemuan dalam isu ini dari sudut kewajipan mentaati pemerintah dalam hal makruf, larangan keluar memberontak namun apa yang dipertikaikan adalah “mewajibkan” undian bagi parti tertentu atau menganggap yang “aslah” adalah parti tapi bukan kepada calon atau individu, sedangkan fatwa-fatwa Ulama Salafi yang membolehkan pilihanraya secara darurat tidak ada satu pun yang menetapkan “aslah” itu diukur dengan parti.’
.
Jawapan: Sekali lagi pengkritik berbicara dalam kesamaran, tidak menjelaskan siapa tokoh-tokoh Salafi yang dimaksudkan.
.
Mengapa tidak berterus-terang menyebutkan nama-nama mereka? Pepatah mengatakan, ‘Berani kerana benar, takut …’
.
Saya sarankan, jika penulis yang tidak diketahui namanya yakin bahawa dia berkata benar, hendaklah dia berterus-terang tanpa sembunyi-sembunyi. Termasuk dengan menyertakan nama sebenarnya dalam mana-mana tulisannya selepas ini.
.
.
Kritikan: ‘Apa yang dipertikaikan adalah “mewajibkan” undian bagi parti tertentu atau menganggap yang “aslah” adalah parti tapi bukan kepada calon atau individu’
.
Jawapan: Hakikatnya penjelasan telah diberikan dalam buku ‘Pilihan Raya Malaysia’ tentang mengapa perlu Perdana Menteri selaku ketua kerajaan Malaysia dipertahankan.
.
Telah dijelaskan, “Sewajarnya umat Islam sedar ketika mana orang-orang bukan Islam bersungguh-sungguh untuk menjatuhkan pemerintah Muslim negara untuk meneruskan agenda-agenda mereka yang jelas anti Islam, mahu menyebarkan agama Kristian dan lain-lain, adalah menjadi kewajipan atas setiap seorang Muslim untuk mengundi sebagaimana yang ditegaskan oleh Syeikh Ibnu Uthaimin.
.
Umat Islam di Malaysia wajib mengundi bagi mengekalkan Perdana Menteri dan Kerajaan Persekutuan demi menjaga keamanan dan kesatuan umat. Ini termasuklah mengundi calon-calon parti-parti gabungan pemerintah kerana mereka saling menyokong antara satu sama lain. Kedudukan Perdana Menteri dan kerajaan sangat bergantung pada kemenangan calon-calon ini.” (Pilihan Raya Malaysia, halaman 198)
.
Turut dijelaskan, “Tanggungjawab untuk terus memberi mandat kepada pemerintah dan Kerajaan Pusat bagi membolehkannya terus mentadbir negara adalah bersesuaian dengan Fiqhul Waqi’ dan bertepatan dengan Maqasid Syariah untuk memelihara keamanan negara demi menjaga Agama, nyawa, harta dan maruah umat.
.
Sebagai mana fatwa-fatwa para ulama menjelaskan bahawa apabila berdepan dengan dua mudarat, maka hendaklah memilih mudarat yang lebih ringan, maka jika dilihat pilihan untuk tidak mengundi, melakukan undi rosak atau mengundi untuk menjatuhkan pemerintah dan menukar kerajaan, jelas pilihan ini membawa mudarat yang lebih besar dengan menyebabkan kedudukan pemerintah terancam dan membolehkan musuh-musuh Islam mengambil alih tampuk pemerintahan lalu mengancam keamanan dan menambahkan lagi perpecahan dalam kalangan umat.
.
Maka menjatuhkan pemerintah negara dan menukar kerajaan serta menyebabkan keamanan dan keselamatan negara terancam adalah sebesar-besar kemungkaran yang perlu dicegah.
.
Berbeza dengan zaman dahulu di mana kerajaan dan rakyat jelata perlu menentang kaum Khawarij dengan pedang dan senjata, pada hari ini cukup dengan mengundi untuk mengekalkan pemerintah sedia ada. Hampir semua orang boleh melakukannya; lelaki, perempuan, tua dan muda.
.
Perbuatan tidak mempertahankan pemerintah juga bertentangan dengan perintah Allah dalam firmanNya:
.
وَتَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡبِرِّ وَٱلتَّقۡوَىٰۖ وَلَا تَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡإِثۡمِ وَٱلۡعُدۡوَٰنِ
“Dan tolong-menolonglah dalam perkara-perkara kebaikan dan ketakwaan dan jangan tolong-menolong dalam hal-hal dosa dan pencerobohan.” [Surah Al-Maa’idah, ayat 2] (Pilihan Raya Malaysia, halaman, 199-200)
.
Adapun pandangan yang mengatakan bahawa apa yang perlu diutamakan ialah calon, dan bukannya parti, hakikatnya pandangan ini tidak mengambil kira waqi realiti keadaan politik negara pada hari ini. Adakah pandangan ini bermaksud:
.
1. Pilihlah mana-mana calon yang bertanding di kawasan tempat tinggal kita sekalipun pemimpin tertingginya adalah ANTI HADIS, SYIAH, LGBT atau KAFIR, asalkan calon itu dilihat bagus?
.
2. Pilihlah mana-mana calon yang bertanding walaupun gabungan parti-partinya mendapat dana daripada pihak-pihak berkepentingan daripada dalam dan luar negara yang memusuhi Islam dan mahu menghapuskannya, asalkan calonnya dilihat bagus?
.
3. Pilihlah mana-mana calon pun sekalipun perbuatan kita itu boleh menyebabkan keselamatan negara terancam, menyebabkan kerajaan yang sedia ada jatuh dan barisan pemimpin negara bertukar, lalu berlakunya pergolakan dalam negara, huru-hara dan barangkali perang saudara, dan ribuan nyawa terkorban, asalkan calon yang bertanding itu dilihat bagus bagi kawasan tempat tinggal kita?
.
Adakah ini pandangan yang tepat, yang mengambil kira keseluruhan aspek-aspek dalam negara termasuklah muslihat-muslihat perancangan musuh Agama dari dalam dan luar negara, atau adakah ia hanya pandangan dangkal?
.
Jangan lupa, sistem undi di negara kita tidak seperti di negara Amerika di mana rakyat di sana keluar untuk mengundi pemerintah tertinggi negara, iaitu calon Presiden Amerika. Negara kita pula mengamalkan sistem parti, di mana calon-calon kebiasaannya mewakili parti-parti tertentu, sama ada daripada gabungan parti kerajaan atau pembangkang.
.
Pendek kata, apa jua undi yang diberikan kepada calon pembangkang adalah selangkah ke arah menjatuhkan pemerintah dan kerajaan pusat yang sedia ada. Jika ini yang kita mahukan, jelaskan mengapa ini bukan mirip perbuatan Khawarij!
.
Kritikan: ‘Sedangkan fatwa-fatwa Ulama Salafi yang membolehkan pilihanraya secara darurat tidak ada satu pun yang menetapkan “aslah” itu diukur dengan parti.’
.
Jawapan: Ya benar. Dalam masa yang sama, buku ‘Pilihan Raya Malaysia’ menjelaskan bahawa, “Dalam memahami fatwa-fatwa para ulama yang mengharuskan mengundi dalam pilihan raya umum jika ada keperluan, perlu ditekankan bahawa pilihan raya umum adalah termasuk dalam isu-isu khas yang bersangkutan dengan sesebuah negara. Situasi dan keadaan dalam negara tersebut perlu diambil kira. Maka perlu diraikan perbezaan-perbezaan yang ada antara sebuah negara dengan negara yang lain.
.
Sekiranya suatu fatwa itu merujuk kepada sesuatu keadaan yang khusus maka ia tidak boleh dijadikan sebagai satu fatwa umum untuk semua keadaan. Sebagai contohnya, fatwa pilihan raya yang melibatkan hanya calon-calon Muslim berbeza dengan kalau sekiranya terdapat calon-calon bukan Muslim. Demikian juga fatwa untuk pilihan raya yang diadakan di negara kafir berbeza dengan kalau untuk negara Islam. Adalah salah sekiranya satu fatwa itu digunakan untuk semua keadaan tanpa meraikan perbezaan-perbezaan yang ada daripada satu situasi ke satu situasi yang lain.” (Pilihan Raya Malaysia, halaman 173)
.
Turut dijelaskan, “Jika diamati fatwa-fatwa yang telah dikemukakan dalam bab ini, hampir kesemuanya mengharuskan mengundi dengan syarat sekiranya ia merealisasikan maslahat yang lebih besar, atau dengan tujuan memilih mudarat yang lebih ringan.
.
Ini bererti bahawa sebelum satu hukum dapat dikeluarkan tentang pilihan raya di Malaysia, beberapa perkara perlu diambil kira terlebih dahulu iaitu:
.
1. Keadaan politik semasa;
2. Maslahat lebih besar yang perlu diberi perhatian dan keutamaan; dan
3. Mudarat lebih besar yang perlu ditolak.
.
Ini bertepatan dengan kaedah masyhur yang disebutkan oleh para ulama iaitu: الحُكْمُ عَلَى الشّيْءِ فَرْعٌ عَنْ تَصَوّرِهِ (Menghukum atas sesuatu adalah sebahagian daripada membayangkannya). Kata Syeikh Muhammad bin Saleh Al-Uthaimin, “Maka jangan engkau menghukum atas sesuatu melainkan setelah engkau membayangkannya secara menyeluruh. Ini supaya hukum (yang dikeluarkan) itu bertepatan dengan realiti. Jika tidak, banyak kesalahan akan berlaku.”
.
Maka situasi dalam politik negara perlu difahami dan diambil kira terlebih dahulu sebelum diaplikasikan mana-mana fatwa, dan sebelum suatu hukum dikeluarkan berkenaan mengundi dalam pilihan raya umum di Malaysia.” (Pilihan Raya Malaysia, halaman 174-175)
.
.
Kritikan: ‘6. Kelemahan buku ini juga adalah apabila ia tidak menyatakan “qadar darurat” yang dibenarkan oleh Syarak atau Ulama Salafi dalam berinteraksi dengan demokrasi dan pilihan raya’
.
Jawapan: Hakikatnya buku ini khusus untuk membahaskan tentang kedudukan seseorang Muslim apabila berhadapan dengan pilihan raya umum.
.
Telah dijelaskan bahawa, “Umat Islam di Malaysia wajib mengundi bagi mengekalkan Perdana Menteri dan Kerajaan Persekutuan demi menjaga keamanan dan kesatuan umat. Ini termasuklah mengundi calon-calon parti-parti gabungan pemerintah kerana mereka saling menyokong antara satu sama lain. Kedudukan Perdana Menteri dan kerajaan sangat bergantung pada kemenangan calon-calon ini.” (Pilihan Raya Malaysia, halaman 198)
.
Semestinya buku ini ada kelemahan dan kekurangannya. Cuma persoalan tentang tidak memperincikan kadar darurat dalam berinteraksi dengan demokrasi dan pilihan raya bukan termasuk dalam kelemahan buku ini kerana ia tidak termasuk dalam skop tajuk perbahasannya!
.
Justeru, saya mempelawa mana-mana pihak untuk menulis tentang tajuk tersebut.
.
.
Kritikan: ‘Justeru ia menyebabkan ramai penuntut ilmu atau orang awam yang jahil menjadi keliru adakah Salafi yang dahulunya gencar mentahzir Ikhwan Muslimin dan seangkatan dengannya di kalangan Hizbiyyah yang menyibukkan dengan kempen-kempen politik serta fitnahnya dan lain-lain sudah menghalalkan Hizbiyyah yang dahulunya mereka tahzir?’
.
Jawapan: Seolah-olah penulis yang tidak diketahui namanya telah menimbulkan syubhah.
.
Kumpulan Ikhwan Muslimin menyalahi Manhaj Salaf As-Soleh. Mereka sama sekali tidak menyeru umat untuk taat kepada pemerintah Muslim dalam hal makruf dan mempertahankannya dalam pilihan raya. Malah sebaliknya, jemaah Ikhwan Muslim antara yang ke hadapan dalam mengajak supaya umat Islam supaya menggulingkan kerajaan Islam mereka.
.
Oleh itu, kritikan di atas sangat mengelirukan. Ibarat mengatakan siang itu malam. Turut mengelirukan, adakah mengajak umat Islam untuk taat kepada pemerintah Muslim dalam hal makruf dan mempertahankannya dalam pilihan raya, termasuk dalam perbuatan hizbiyyah? Subhanallah. Sungguh ini adalah pendustaan yang jelas.
.
Malah ditegaskan di sini, bahawa perbuatan tidak mempertahankan pemerintah Muslim dalam hal yang makruf, membiarkannya dijatuhkan dan digulingkan dalam pilih raya, adalah perbuatan membenarkan hal yang mungkar, dan orang yang turut serta menyumbang ke arahnya adalah golongan hizbiyyah persis sikap Ikhwan Muslimin.
.
Justeru, siapa di sini sebenarnya yang cenderung kepada hizbiyyah, cenderung kepada Ikhwan Muslimin? Golongan yang bersama pemerintah negara, atau mereka yang mengharuskan apa yang dilakukan oleh pembangkang yang mahu menjatuhkan kerajaan dan menukarnya? Sekalipun tidak berterus-terung, tetapi secara pusing-pusing dan berlapik-lapik. Khabarkan kepadaku dengan ilmu jika kamu berkata benar.
.
Kritikan: ‘Pemerhati Salafi yang sayangkan Manhajnya’
.
Ana sarankan supaya saudara jangan hanya memerhati, sebaliknya hendaklah saudara terus menuntut ilmu daripada ahlinya. Dahulukan ilmuwan yang berusia, yang lebih luas kefahaman mereka, berpandangan jauh, berbanding mereka yang masih muda, yang mudah melatah, gemar mengkritik kononnya dengan ilmu tetapi hakikatnya ia lebih dengan nafsu dan emosi, tidak mahu mengalah sekalipun telah banyak kali ditegur dan diberi penjelasan.
.
Buktinya adalah kritikan yang saudara kemukakan ini, tidak nampak langsung bayangan ilmiahnya. Kepada Allah jua kita memohon petunjuk dan pertolongan.
.
.
Ditulis oleh:
.
Idris bin Sulaiman
Kajang
Selepas Asar
15 Rejab 1439H / 1 April 2018