|

ULAMA TIDAK AKAN DAKWA DIRINYA ULAMA

Lumrah jika orang jahil tidak tahu dirinya jahil disebabkan oleh kejahilan yang menyelubungi dirinya.

Sedangkan orang yang berilmu akan tahu dirinya masih jahil kerana ilmu kesedaran yang dimilikinya.

Sedangkan Allah ﷻ berfirman:

وَٱللَّهُ أَخۡرَجَكُم مِّنۢ بُطُونِ أُمَّهَٰتِكُمۡ لَا تَعۡلَمُونَ شَيۡئًا

“Dan Allah mengeluarkan kalian dari perut ibu kalian dalam keadaan kalian tidak tahu apa-apa.”

[Al-Quran, al-Nahl, 16:78]

Ayat di atas menjelaskan bahawa manusia lahir dalam keadaan tidak tahu apa-apa. Hanya proses pembelajaran sesudah itu yang akan membuatkannya menambahkan ilmunya sedikit demi sedikit bergantung pada proses pembelajaran yang dilaluinya.

Maka gerangan apa mereka yang merasakan dirinya sudah cukup berilmu, sampai ke tahap ‘serba tahu’, melihat diri sebagai ‘ulama besar’, pakar segala hal dan sebagainya.

Ini semua kerana kejahilan.

Sedangkan Allah ﷻ berfirman:

وَمَآ أُوتِيتُم مِّنَ ٱلۡعِلۡمِ إِلَّا قَلِيلٗا

‘Dan kalian tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja.”

[Al-Quran, al-Israa, 17:85]

Ayat di atas menjelaskan kemuncak ilmu yang akan dikuasai oleh manusia kesudahannya akan tetap sedikit berbanding ilmu-ilmu yang ada di sisi Allah ﷻ.

Penjelasan bahawa manusia tetap akan berada dalam kejahilan sekalipun dia menuntut ilmu kerana ilmu yang telah dituntut itu teramat sedikit berbanding baki lautan ilmu yang masih ada.

Ini dalam keadaan sekiranya seseorang itu menuntut ilmu, sedangkan mereka yang kurang menuntut ilmu atau langsung tidak menuntut ilmu maka jurang kejahilan mereka jauh lebih besar.

Justeru jangan terkejut jika ada orang jahil yang melihat dirinya paling berilmu, paling tahu dan paling ‘pakar’ mengenai sesuatu topik berbanding orang lain disebabkan oleh kurang kesedaran dan kurang ilmu untuk mereka kenal pasti kejahilan diri.

Adapun para ulama rabbani, mereka tidak akan pernah mendakwa diri mereka ulama. Bukan kerana tawaduk merendah diri semata-mata tetapi kerana sedar akan hakikat luasnya ilmu itu.

Jangan pernah berhenti menuntut ilmu.

Daripada Allah jua kita memohon taufik.

Dr. Idris bin Sulaiman
Kajang
14 Syawal 1446H
13 April 2025
https://idrissulaiman.com

Similar Posts

  • |

    USTAZ WUHAN

    USTAZ WUHAN Tersebutlah cerita ceramah di sebuah masjid … Seorang penceramah berkata: “Tuan-tuan…Coronavirus dah disebut dalam al-Quran dan hadis semenjak 1400 tahun yang lepas…Allah telah pun memberi peringatan dan amarannya…” Lalu dia membaca firman Allah: وَوَصَّيْنَا الْإِنْسَانَ … وَهْنًا عَلَى وَهْنٍ “Dan kami ingatkan manusia… wahnan ‘ala wahn” (Luqman, 31:…

  • |

    SIKAP MUSLIM DENGAN IBADAHNYA

    Muslim sentiasa melihat amal ibadahnya sedikit. Dan amalan ibadahnya memang sedikit dan dia melihatnya begitu. Sama sekali dia tidak akan menganggapnya banyak ataupun merasa ujub kagum dengannya. Sebaliknya dia senantiasa melihatnya serba kurang. Sikap sebegini penting kerana ia akan membuatkan orangnya terus berusaha menambahkan lagi amalannya serta berusaha untuk memperbaikinya….

  • | |

    KEBENARAN WAJIB DIJELASKAN

    Wajib ada pihak dalam kalangan umat Islam yang berdakwah menyeru kepada kebaikan dan melarang kemungkaran. Firman Allah ﷻ: وَلۡتَكُن مِّنكُمۡ أُمَّةٞ يَدۡعُونَ إِلَى ٱلۡخَيۡرِ وَيَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَيَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِۚ وَأُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ “Dan hendaklah ada di antara kamu pihak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan dan menyuruh berbuat kebaikan serta melarang…

  • |

    KETURUNAN NABI ﷺ

    – Cara betul menilai seseorang Baru-baru ini ada yang bertanya tentang sejauh mana kebenaran dakwaan yang mengatakan bahawa individu dalam gambar yang dilampirkan merupakan keturunan Rasulullah ﷺ daripada susur jalur zuriat Syeikh Abdul Qodir al-Jailani (ulama mazhab Hanbali, wafat 561H). Saya berpandangan bahawa memastikan kebenaran dakwaan ini tidak penting kerana…