| |

UCAPAN MAKMUM SEMASA DOA QUNUT WITIR

Bacaan doa qunut witir sebagaimana sabit dalam al-Sunah ialah doa yang diajarkan oleh Nabi ﷺ kepada cucunya al-Hasan bin Ali – radiallahuanhu – iaitu:

اللَّهُمَّ أهْدِني فِيمَنْ هَدَيْتَ، وَعَافِني فِيمَنْ عَافَيْتَ، وَتَوَلَّنِي فِيمَنْ تَوَلَّيْتَ، وَبَارِكْ لي فِيما أَعْطَيْتَ، وَقِني شَرَّ ما قَضَيْتَ، فَإنَّكَ تَقْضِي وَلا يُقْضَى عَلَيْكَ، وَإنَّهُ لا يَذِلُّ مَنْ وَالَيْتَ، وَلا يَعِزُّ مَنْ عادَيْتَ، تَبَارَكْتَ رَبَّنَا وَتَعَالَيْتَ، لا مَنْجَى مِنْكَ إلا إلَيَكَ.

(Ya Allah, tunjukkan kepadaku sebagaimana engkau berikan petunjuk (kepada selainku), berilah kesejahteraan sebagaimana Engkau berikan kesejahteraan (kepada selainku), jadikanlah aku waliMu sebagaimana Engkau jadikan (selainku) sebagai wali, berilah keberkatan kepadaku pada semua pemberianMu, lindungilah aku daripada kejelikan takdirMu. Sesungguhnya Engkau mentakdirkan dan tidak ditakdirkan. Sesungguhnya tidak akan hina orang yang Engkau beri pertolongan dan tidak akan jadi mulia orang yang Engkau musuhi. Maha Suci dan Maha Tinggi Engkau. Tidak ada keselamatan daripada (azab) Engkau melainkan dengan kembali kepadaMu)

[Sahih. Riwayat Abu Daud]

Bacaan di atas mengandungi doa-doa permohonan di samping puji-pujian bagi Allah ﷻ.

Bacaan puji-pujian ini bermula dengan ucapan:

فَإنَّكَ تَقْضِي وَلا يُقْضَى عَلَيْكَ
(Sesungguhnya Engkau mentakdirkan dan tidak ditakdirkan)

sampailah ke akhir bacaan.

UCAPAN MAKMUM

Dalam solat berjemaah, makmum dianjurkan untuk mengaminkan bacaan doa qunut witir imam dengan berkata ‘amin’ (yakni ya Allah, kabulkanah).

Adapun semasa bacaan puji-pujian maka sebahagian ulama mengatakan bahawa makmum perlu berdiam memandangkan tiada hadis atau athar yang sabit dalam hal ini.

Sebahagian lain pula mengatakan bahawa makmum turut serta membaca puji-pujian tersebut secara perlahan (sir tanpa mengeraskan suara) dan ada yang mengatakan makmum bertasbih (membaca Subhanallah) di samping yang lain mengatakan bahkan makmum tetap dianjurkan untuk berkata ‘amin’.

KESIMPULAN

  1. Imam mengeraskan bacaan doa-doa serta puji-pujian semasa doa qunut witir;
  2. Makmum mengaminkan bacaan doa imam;
  3. Semasa bacaan puji-pujian, makmum sama ada berdiam, turut membacanya secara perlahan, bertasbih atau berkata ‘amin’. Ada keluasan dalam hal ini.

CATATAN

Adapun perbuatan imam membaca puji-pujian ini secara perlahan (sebagaimana yang sering berlaku semasa doa qunut solat Subuh) maka zahirnya ia tiada asasnya dalam al-Sunah malah menyalahi apa yang ditegaskan oleh al-Nawawi dalam kitabnya al-Majmuk (3/502).

Katanya:

وَأَمَّا الثَّنَاءُ وَهُوَ قَوْلُهُ فَإِنَّكَ تَقْضِي وَلَا يُقْضَى عَلَيْكَ إلَى آخِرِهِ فَيُشَارِكُهُ فِي قَوْلِهِ أَوْ يَسْكُتُ.

(Adapun puji-pujian iaitu ucapannya ‘fainnaka taqdhi wala yuqdha alaika’ hingga akhirnya maka (makmum) turut sama membacanya atau dia berdiam)

Wallahu a’lam.

Dr. Idris bin Sulaiman
Kajang
17 Ramadan 1444H
07 April 2023

Similar Posts

  • |

    JAUHI ORANG BERMASALAH

    Orang bermasalah akan membawa masalah. Mereka yang bermasalah dalam akidah, ibadah, akhlak dan manhaj, semua mereka harus dijauhi. Sabda Nabi ﷺ: الْمَرْءُ ‌عَلَى ‌دِينِ خَلِيلِهِ فَلْيَنْظُرْ أَحَدُكُمْ مَنْ يُخَالِلْ “Agama seseorang itu serupa dengan agama teman rapatnya. Maka hendaklah kalian memilih-milih dengan siapa kalian berteman.” [Hasan. Riwayat Tirmizi] Pilih dengan…

  • |

    LARANGAN PUASA SUNAT HARI SABTU

    Berikut hadis larangan puasa sunat pada hari Sabtu. Sabda Nabi ﷺ: لا تَصُومُوا يَوْمَ السَّبْتِ إِلَّا فِيمَا افْتُرِضَ عَلَيْكُمْ فَإِنْ لَمْ يَجِدْ أَحَدُكُمْ إِلَّا لِحَاءَ عِنَبَةٍ أَوْ عُودَ شَجَرَةٍ فَلْيَمْضُغْه. “Jangan kamu berpuasa pada hari Sabtu kecuali dalam apa yang difardukan atas kamu, dan sekiranya seseorang kamu hanya mendapati kulit…

  • |

    YAHUDI SERANG GAZA PALESTIN

    Ya Allah, selamatkan saudara-saudara kami di Palestin dan segerakanlah hukumanMu ke atas golongan pelampau yang menindas. Berikan perlindungan dan keamanan buat kaum Muslimin di sana. Awas tipu daya Yahudi laknatullah yang dibantu kelompok-kelompok dukungan Syiah Iran untuk menimpakan bala bencana buat Ahli Tauhid dan Sunah atas nama jihad supaya Yahudi…

  • |

    PENTINGNYA AKIDAH TAUHID

    Dakwah sekalian para nabi menekankan akidah tauhid. Ini kerana barang siapa yang akidah tauhidnya bagus maka amalannya pun akan turut jadi bagus. Sedangkan orang yang akidah tauhidnya rosak maka akan rosaklah juga amalan-amalan yang dilakukannya sekalipun orangnya banyak solat, berpuasa, bersedekah dan beramal ibadah. Oleh itu, orang fasik daripada kalangan…

  • |

    MEMBONGKAR KEBEJATAN KAUM PEROSAK DI BULAN RAMADAN

    “Tapi bulan Ramadan kan elok kita fokus pada ibadah. Tak payah gaduh-gaduh.” Demikian barangkali reaksi sebahagian apabila melihat kebejatan kaum-kaum perosak dibongkar satu persatu dengan bukti dan hujah yang terang lagi nyata. Bukan fitnah, bukan andaian-andaian kosong dan bukan umpatan, tetapi bukti dan dalil daripada perkataan dan perbuatan mereka sendiri….