| |

TULISAN SINGKATAN SELAWAT NABI (SAW) TIDAK WAJAR

– Orang bakhil

Umat Islam sangat dituntut supaya berselawat ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad ﷺ.

Firman Allah ﷻ:

إِنَّ ٱللَّهَ وَمَلَٰئِكَتَهُۥ يُصَلُّونَ عَلَى ٱلنَّبِيِّ يَٰأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ صَلُّواْ عَلَيۡهِ وَسَلِّمُواْ تَسۡلِيمًا.

“Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat kepada Nabi, wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.”

[Al-Quran, al-Ahzaab, 33:56]

Turut dijanjikan ganjaran besar buat mereka yang berselawat ke atas baginda ﷺ.

Sabda Nabi ﷺ:

‌مَنْ ‌صَلَّى ‌عَلَيَّ وَاحِدَةً، صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ عَشْرًا.

“Barang siapa berselawat kepadaku sekali (nescaya) Allah (akan) berselawat kepadanya sepuluh kali.”

[Sahih. Riwayat Muslim]

Malah mereka yang tidak berselawat kepada Nabi ﷺ dicela sebagai orang yang bakhil.

Sabda Nabi ﷺ:

الْبَخِيلُ مَنْ ذُكِرْتُ عِنْدَهُ، ثُمَّ لَمْ يُصَلِّ عَلَيَّ.

“Orang bakhil ialah mereka yang apabila disebut namaku mereka tidak berselawat kepadaku.”

Tuntutan selawat ini tidak hanya disyariatkan secara lafaz malah dalam tulisan.

Imam Ibnu Salah dalam kitabnya Ulum al-Hadis dalam membahaskan cara menulis hadis menyimpulkan bahawa perbuatan menyingkatkan tulisan selawat kepada singkatan-singkatan tertentu (seperti SAW dan seumpamanya) hukumnya makruh.

Begitu juga pandangan Imam al-Sayuti dalam kitabnya Tadrib al-Rawi.

Kata Imam al-Sakhawi dalam kitabnya Fath al-Mughith:

اجْتَنِبْ أيُّهَا الكَاتِبُ (الرَّمْز لَها) أيْ الصَّلاةُ وَالسَّلامُ عَلى رَسُول اللهِ صَلىّ الله عَليهِ وَسَلم في خَطّكِ بِأنْ تَقْتَصرَ مِنهَا عَلى حَرفَينِ وَنحوَ ذَلكَ فَتكُونَ مَنقُوصَة – صُورَة – كَمَا يَفعله (الكَتَاني) وَالجَهلَة مِنْ أبنَاء العَجَم غَالبًا وَعَوام الطَّلَبَة، فَيكْتُبونَ بَدلًا مِن صَلى اللهُ عَليهِ وَسَلّم (ص) أو (صم) أو (صلعم) فَذَلكَ لِما فِيهِ مِن نَقْص الأجْر لِنَقْصِ الكِتَابَةِ خِلاف الأوْلى.

“Elakkan wahai penulis meletakkan simbol bagi selawat dan salam kepada Rasulullah ﷺ dalam tulisanmu dengan engkau menyingkatkannya kepada dua huruf dan seumpamanya lalu menjadikannya tidak sempurna seperti mana yang dilakukan oleh al-Katani dan kebiasaannya dilakukan oleh orang-orang jahil daripada kalangan orang-orang bukan Arab dan kebanyakan penuntut ilmu. Maka daripada mereka menulis sallalahu alahi wasallam mereka menulis (ص), (صم) atau (صلعم). Perbuatan ini mengurangkan pahala kerana tulisan selawat itu tidak sempurna dan ia menyalahi apa yang lebih utama.”

Malah penulis khuatir perbuatan menggunakan singkatan tulisan selawat ke atas Nabi ﷺ seperti SAW dan seumpamanya termasuk dalam ancaman orang yang bakhil seperti mana dalam hadis Nabi ﷺ “Orang bakhil ialah mereka yang apabila disebut namaku mereka tidak berselawat ke atasku.”

——————-

CATATAN

Begitu juga dengan perbuatan menyingkatkan tulisan penuh ucapan salam atau menjawabnya kepada assalam wbt. / w.b.t. dan seumpamanya.

——————-

Alatan teknologi seperti komputer dan telefon bimbit sepatutnya sudah memudahkan urusan menulis selawat kepada Nabi ﷺ secara penuh.

Zahirkan cinta Nabi ﷺ dengan menulis selawat dan salam kepadanya dengan penuh.

Idris bin Sulaiman
Kajang
4 Syawal 1443H /
05 Mei 2022

Similar Posts

  • |

    ‘BILIK KULIAH’ KERETA KANCIL

    Kereta Kancil saya ini banyak nostalgia dan kenangan manisnya. Saya menggunakan kereta ini sejak awal bekerja di Kedutaan Arab Saudi di Kuala Lumpur sampai berhenti. Saban hari berulang alik dari Kajang ke Kuala Lumpur menaikinya dari tahun 2003 sampai 2014. Segala apa yang Allah ﷻ takdirkan ada hikmahnya. Alhamdulillah, saya…

  • | | |

    HARI ASYURA: TIDAK DISYARIATKAN KECUALI PUASA

    Tidak disyariatkan pada Hari Asyura kecuali puasa. Ini bermaksud Hari Asyura bukanlah dikhaskan bagi menzahirkan kegembiraan ataupun penyediaan makanan tertentu, bersedekah, solat pada malam Hari Asyura ataupun ziarah kubur. Hanya puasa sahaja. Demikian apa yang disepakati oleh para ulama Salaf al-Soleh. Dr. Idris bin SulaimanKajang10 Muharam 1445H28 Julai 2023

  • |

    MENGAPA EKONOMI ORANG KAFIR MAJU MAKMUR?

    Secara prinsipnya perlu ditegaskan bahawa apa jua ketetapan Allah ﷻ tidak boleh dipersoalkan oleh manusia (Al-Quran, 21:23). Dalam masa yang sama, yakinlah bahawa segala nikmat yang Allah ﷻ berikan kepada orang-orang kafir dengan ditangguhkan hukuman seksa ke atas mereka maka ia adalah ISTIDRAJ buat mereka. ISTIDRAJ ialah kelebihan dan kenikmatan…

  • | | | |

    DOA MELIHAT ANAK BULAN

    – Setiap awal bulan sepanjang tahun – Kias doa akhir & awal tahun Hijrah Telah sabit dalam hadis sahih doa yang dibaca oleh Nabi ﷺ apabila melihat anak bulan. Daripada Talhah bin Ubaidillah radiallahuanhu, bahawasanya apabila Nabi ﷺ melihat anak bulan, baginda ﷺ berdoa: اللّهُمَّ ‌أهِلْهُ ‌عَلَيْنَا ‌بِاليُمْنِ ‌وَالإيمَانَ وَالسَّلامَةَ…

  • |

    ISTERI JANGAN MUDAH MINTA CERAI

    Seorang isteri tidak boleh sewenang-wenangnya meminta cerai kecuali jika ada alasan kukuh untuknya berbuat demikian. Ini berdasarkan sabda Nabi ﷺ: أَيُّمَا امْرَأَةٍ سَأَلَتْ زَوْجَهَا طَلَاقًا فِي ‌غَيْرِ ‌مَا ‌بَأْسٍ فَحَرَامٌ عَلَيْهَا رَائِحَةُ الْجَنَّةِ. “Mana-mana isteri yang meminta cerai daripada suaminya tanpa alasan maka haram baginya bau syurga.” [Sahih. Riwayat Abu…

  • |

    PERSENDA AGAMA

    Mempersendakan agama serta memperolok-olokkan Muslim yang mengamalkan ajaran agama ialah antara pembatal agama. Ia merupakan sikap orang kafir dan munafik. Mereka yang mempersendakan agama dihukum murtad terkeluar daripada Islam. Ini kerana hal agama tidak boleh dijadikan sebagai gurauan dalam apa jua keadaan. Sebagaimana firman Allah ﷻ: وَقَدۡ نَزَّلَ عَلَيۡكُمۡ فِي…