TERSILAP BERBUKA PUASA SEBELUM MASUK WAKTU

TERSILAP BERBUKA PUASA SEBELUM MASUK WAKTU

# Makan atau minum secara tidak sengaja atau meyakini sudah masuk waktu tetapi ternyata belum

Puasa sah; tidak terbatal.

Ini berdasarkan dua bentuk dalil.

Bentuk dalil pertama:

Dalil-dalil umum yang menjelaskan bahawa sesuatu yang dilakukan secara tidak sengaja dimaafkan oleh Syariat.

1. Firman Allah:

رَبَّنَا لَا تُؤَاخِذۡنَآ إِن نَّسِينَآ أَوۡ أَخۡطَأۡنَا.

“Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami bersalah jika kami lupa atau kami tersilap.”

[Surah al-Baqarah; 2:286]

Dalam riwayat Muslim, Allah membalas “Aku telah memperkenankannya.”

2. Sabda Nabi ﷺ:

إِنَّ اللهَ ‌تَجَاوَزَ ‌لِي ‌عَنْ أُمَّتِي الْخَطَأَ وَالنِّسْيَانَ وَمَا اسْتُكْرِهُوَا عَلَيْهِ.

“Sesungguhnya Allah telah mengampunkan buatku untuk umatku apa yang tidak disengajakan, lupa dan dipaksa.”

[Hadis sahih. Riwayat Baihaqi]

3. Dalam peristiwa Muawiyah bin al-Hakam as-Sulami RA solat berjemaah bersama Rasulullah ﷺ lalu dia berkata kepada seorang jemaah yang bersin “Yarhamukallah (semoga Allah merahmatimu)”, selepas selesai solat Rasulullah ﷺ menegur perbuatannya bercakap dalam solat tetapi tidak pula memerintahkannya supaya mengulangi solatnya.

Ini kerana Muawiyah tersilap dan tidak tahu (waktu itu) tentang larangan bercakap dalam solat sedangkan maklum bahawa perbuatan sedemikian jika dilakukan secara sengaja dalam keadaan tahu akan membatalkan solat.

Bentuk dalil kedua:

Dalil-dalil khusus tentang orang yang berbuka puasa secara tidak sengaja.

4. Sabda Nabi ﷺ:

مَنْ ‌نَسِيَ ‌وَهُوَ ‌صَائِمٌ فَأَكَلَ أَوْ شَرِبَ، فَلْيُتِمَّ صَوْمَهُ، فَإِنَّمَا أَطْعَمَهُ اللهُ وَسَقَاهُ.

“Barang siapa lupa ketika berpuasa lalu dia makan atau minum maka hendaklah dia menyempurnakan puasanya kerana sesungguhnya Allah telah memberinya makan dan minum.”

[Hadis sahih. Riwayat Ahmad]

Kata Imam an-Nawawi RH:

فِيهِ دَلَالَةٌ لِمَذْهَبِ الْأَكْثَرِينَ أَنَّ ‌الصَّائِمَ ‌إِذَا ‌أَكَلَ ‌أَوْ ‌شَرِبَ ‌أَوْ ‌جَامَعَ ‌نَاسِيًا ‌لَا ‌يُفْطِرُ وَمِمَّنْ قَالَ بِهَذَا الشَّافِعِيُّ وَأَبُو حَنِيفَةَ وَدَاوُدُ وَآخَرُونَ.

“Terdapat dalil buat mazhab majoriti bahawa orang yang berpuasa sekiranya dia makan, minum atau jimak kerana lupa maka puasanya tidak batal. Dan antara mereka yang berkata sedemikian ialah asy-Syafii, Abu Hanifah, Daud (az-Zahiri) dan yang lain.”

[Syarah Muslim oleh an-Nawawi; 8:35]

5. Sabda Nabi ﷺ:

مَنْ ‌أَفْطَرَ ‌فِي ‌شَهْرِ رَمَضَانَ نَاسِيًا فلَا قَضَاءَ عَلَيْهِ وَلَا كَفَّارَةَ.

“Barang siapa lupa lalu dia berbuka puasa di bulan Ramadan maka tidak ada qada ataupun kafarah atasnya.”

[Hadis hasan. Riwayat Ibnu Khuzaimah]

Dalam hal ini Imam asy-Syafii RH berkata:

وَإِذَا ‌أَكَلَ ‌الصَّائِمُ ‌أَوْ ‌شَرِبَ فِي رَمَضَانَ … نَاسِيًا، فَصَوْمُهُ تَامٌّ وَلَا قَضَاءَ عَلَيْهِ.

“Sekiranya orang yang berpuasa makan atau minum di bulan Ramadan… kerana lupa maka puasanya sempurna dan tidak ada qada baginya.”

[al-Umm oleh Imam asy-Syafii; 2:284]

Daripada Allah jua kita memohon petunjuk dan panduan.

Idris bin Sulaiman
Kajang
10 Ramadan 1442H /
22 April 2021
http://www.facebook.com/idrissulaiman

Similar Posts

  • JANGAN BACA DALIL SEKERAT-SEKERAT

    JANGAN BACA DALIL SEKERAT-SEKERAT #Kaedah-Kaedah Ilmiah #Kaedah 3 Jika anda menukil sebuah nas maka jangan dipotong-potong nas itu untuk anda berhujah dengan sebahagian maksud nas itu sahaja. Hendaklah sesebuah nas itu dilihat secara menyeluruh sebelum dibuat kesimpulan. Seperti mana jika hanya dilihat firman-Nya “Kecelakaan besar bagi orang-orang yang solat” dan…

  • APA YANG BENAR TETAP BENAR

    APA YANG BENAR TETAP BENAR #Kaedah-Kaedah Ilmiah #Kaedah 4 Kebenaran akan diterima daripada sesiapa jua. Ini kerana kebenaran ialah apa yang menepati dalil. Justeru persoalan siapa yang mengungkapkan kebenaran itu tidak timbul. Ia tiada kaitan dengan sejauh mana orangnya diterima atau ditolak. Kerana itu Ahli Sunah mengakui kebenaran yang ada…

  • ACARA MAKSIAT DI WAKTU PANDEMIK COVID-19

    ACARA MAKSIAT DI WAKTU PANDEMIK COVID-19 Negara kita sekian lamanya sepanjang bulan-bulan ini berhadapan dengan situasi yang sangat menduga kerana penularan wabak penyakit Covid-19. Ramai yang tidak dapat pergi ke masjid. Tidak dapat solat Jumaat. Tidak dapat solat fardu berjemaah. Tidak dapat hadir ke kuliah majlis-majlis ilmu di masjid. Dan…

  • Air Ruqyah vs Air Yasin

    Air Ruqyah vs Air Yasin Tegahan Mengkhususkan Malam Jumaat / Siangnya dengan Ibadah-Ibadah tertentu عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أن رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قال “لا تَخْتَصُّوا لَيْلَةَ الْجُمُعَةِ بِقِيَامٍ مِنْ بَيْنِ اللَّيَالِي وَلا تَخْتَصُّوا يَوْمَ الْجُمُعَةِ بِصِيَامٍ مِنْ بَيْنِ الْأَيَّامِ إِلَّا أَنْ يَكُونَ فِي صَوْمٍ يَصُومهُ أحدكُم” Daripada Abu…

  • “EH, JANGAN SIBUKLAH!”

    “EH, JANGAN SIBUKLAH!” # Menolak nasihat # Perkataan paling dibenci Allah ﷻ Jangan sesekali bersikap angkuh dan sombong menolak nasihat. Sabda Rasulullah ﷺ: إِنَّ ‌أَبْغَضَ ‌الْكَلَامِ إِلَى اللَّهِ أَنْ يَقُولَ الرَّجُلُ لِلرَّجُلِ: اتَّقِ اللَّهَ، فَيَقُولَ: ‌عَلَيْكَ ‌بِنَفْسِكَ. “Sesungguhnya perkataan yang paling dibenci oleh Allah ialah apabila dikatakan kepada seseorang itu…