SYIRIK vs RASUAH PEMIMPIN NEGARA
SYIRIK vs RASUAH PEMIMPIN NEGARA
– Rentetan isu cuci kuil
1. Pagi tadi ada sahabat yang menyampaikan reaksi sebahagian netizen terhadap isu cuci kuil yang tular baru-baru ini.
https://fb.watch/aoMKAJvyvj/
2. Ringkasnya dia tidak bersetuju dengan kritikan yang dihalakan kepada perbuatan mencuci kuil tersebut. Dia kemudian mengalihkan fokus kepada isu rasuah pemimpin negara dan mengandaikan bahawa ia banyak berlaku dalam kalangan masyarakat kerana kurang kesedaran tentang dosanya. Walhal dosa rasuah dan curi duit rakyat sudah dinyatakan secara jelas dalam Al-Quran (oh, di mana ya?) tetapi hal-hal yang kabur seperti isu cuci kuil jugalah yang hendak diulas oleh asatizah, katanya.
3. Jawapan saya, pandangan seperti inilah yang menjadi punca mengapa ada anak-anak muda tampil mencuci kuil baru-baru ini. Pandangan yang meremehkan hal-hal akidah dan menganggapnya isu picisan dan kecil. Manakala kesalahan rasuah apatah lagi yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin negara (jika ada) adalah jauh lebih besar menurut mereka. Ini salah dan batil.
AKIDAH TAUHID
4. Perlu ditegaskan bahawa akidah tauhid merupakan perkara asas yang menjadi tunjang bagi setiap seorang Muslim. Ia merupakan perkara paling utama dan paling penting yang Allah ﷻ perintahkan supaya manusia mengabdikan diri mereka dan mengikhlaskan ibadah bagiNya semata-mata dan tidak menyekutukanNya dengan apa jua. Tiadalah manusia diciptakan di atas muka bumi ini kecuali untuk merealisasikan tujuan ini.
Firman Allah ﷻ:
“Dan tidaklah Aku menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah akan Daku.”
[Al-Quran, adz-Dzariaat; 51: 56)
5. Inilah mesej dakwah sekalian para nabi dan rasul supaya manusia menyembah Allah ﷻ semata-mata dan menjauhi taghut; sembahan-sembahan lain tidak kira apa jua bentuknya.
Firman Allah ﷻ:
“Dan Kami telah mengutus seorang rasul kepada setiap umat (untuk menyerukan): Sembahlah Allah, dan jauhilah taghut.”
[Al-Quran, an-Nahl, 16:36]
SEMBAHAN YANG HAK
6. Justeru hanyalah Allah ﷻ yang layak disembah manakala sembahan-sembahan lain sama ada batu, pokok, berhala, patung dan sebagainya adalah batil, terkutuk dan tercela.
Firman Allah ﷻ:
“Sesungguhnya Allah, Dialah Yang Hak manakala apa sahaja yang mereka seru (sembah) itu selain daripadaNya adalah batil.”
[Al-Quran, al-Haj, 22: 62]
7. Justeru setiap Muslim diperintahkan supaya menolak dan menjauhi sembahan-sembahan lain ini. Tidak sah iman seseorang Muslim itu melainkan setelah dia kufur dan berlepas diri daripada tuhan-tuhan yang batil ini.
“Barang siapa kufur kepada taghut dan beriman kepada Allah maka sesungguhnya dia telah berpegang teguh pada tali yang sangat kuat yang tidak akan putus.”
[Al-Quran, al-Baqarah, 2: 256]
NABI IBRAHIM A.S.
8. Muslim diperintahkan supaya mencontohi sikap Nabi Ibrahim A.S. dan pendiriannya terhadap perbuatan kaumnya yang menyembah patung berhala.
Firman Allah ﷻ:
“Sesungguhnya terdapat bagi kamu pada bawaan Nabi Ibrahim dan pengikut-pengikutnya contoh ikutan yang baik semasa mereka berkata kepada kaum mereka: Sesungguhnya kami berlepas diri daripada kamu dan daripada apa yang kamu sembah selain daripada Allah; kami kufur dan mengingkari (segala penyembahan) kamu, dan telah nyata permusuhan dan kebencian di antara kami dengan kamu selama-lamanya, sehingga kamu menyembah Allah semata-mata.”
[Al-Quran, al-Mumtahinah, 60: 4]
AMAR MAKRUF (NAHI MUNGKAR)
9. Perbuatan mencuci kuil, tempat di mana terdapatnya berhala-berhala dan patung-patung yang dimurkai Allah ﷻ jelas menyalahi prinsip akidah tauhid serta iman yang wajib ada dalam diri setiap seorang Muslim.
10. Masakan tempat yang Allah ﷻ benci hendak didekati, apatah lagi dicuci supaya ia terus diimarahkan oleh kaum musyrikin dan kufar. Ini jelas menyalahi prinsip amar makruf (nahi mungkar) yang dituntut Agama.
Firman Allah ﷻ:
“Dan hendaklah kamu tolong-menolong dalam hal kebaikan dan takwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan dalam hal dosa dan permusuhan.”
[Al-Quran, al-Maa’idah, 5: 2]
SYIRIK vs RASUAH
11. Perlu ditegaskan bahawa perbuatan syirik adalah sebesar-besar dosa yang tidak akan diampunkan oleh Allah ﷻ dan orangnya akan kekal dalam api neraka selama-lamanya jika dia tidak bertaubat.
Firman Allah ﷻ:
“Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukanNya (dengan sesuatu apa jua), dan Dia akan mengampunkan dosa selainnya bagi sesiapa yang Dia mahu.”
[Al-Quran, Al-Nisa, 04:48]
12. Berbeza dengan dosa syirik, Allah ﷻ boleh sahaja mengampunkan dosa-dosa yang lain sekalipun orangnya mati dalam keadaan tidak bertaubat daripadanya.
13. Ini tidak menafikan bahawa rasuah merupakan dosa besar yang dilaknat oleh Allah ﷻ.
Sabda Rasulullah ﷺ:
“Laknat Allah ke atas pemberi dan penerima rasuah.”
[Sahih. Riwayat Ahmad]
14. Walau bagaimanapun, Muslim perlu bersikap adil dengan meletakkan setiap sesuatu itu pada tempatnya. Apa yang pasti, dosa syirik jauh lebih besar dan lebih bahaya daripada dosa-dosa lain termasuklah rasuah. Kerana itu Rasulullah ﷺ bersabda:
“Barang siapa bertemu Allah dalam keadaan tidak mensyirikkan sesuatu denganNya nescaya dia masuk syurga. Dan barang siapa bertemu Allah dalam keadaan mensyirikkan sesuatu denganNya nescaya dia masuk neraka.”
[Sahih. Riwayat Bukhari]
MEREMEHKAN ISU AKIDAH
15. Jangan sesekali terpedaya dengan syaitan lalu merasakan diri sudah selamat, beriman dan bertauhid. Sedangkan Nabi Ibrahim A.S. selaku datuk kepada Bani Israel dan bangsa Arab yang membina rumah Allah, Kaabah pun tidak berani berasa begitu. Beliau sendiri takut dirinya dan anak-anaknya jatuh dalam kesyirikan lalu beliau berdoa:
“Wahai Tuhanku! Jadikanlah negeri Makkah ini negeri yang aman, dan jauhkanlah aku dan anak-anak aku daripada perbuatan menyembah berhala. Wahai Tuhanku, berhala-berhala itu telah menyebabkan kesesatan yang banyak dalam kalangan manusia.”
[Al-Quran, Ibrahim, 14: 35-36]
16. Junjungan besar kita Nabi Muhammad ﷺ turut berasa begitu dan selalu berdoa:
“Wahai Yang Membolak-balikkan hati-hati manusia, tetapkanlah hatiku atas AgamaMu.”
[Sahih. Riwayat Tirmizi]
RASUAH & IDEOLOGI HARAKI
17. Perlu dijelaskan bahawa antara mereka yang memperbesar-besarkan isu rasuah pemimpin sehingga mengatasi dosa-dosa lain ialah kelompok-kelompok haraki, hizbi dan Ikhwani yang berideologikan fahaman Khawarij awal dahulu. Ini maklum kerana agenda mereka politik untuk merebut kuasa dan jawatan manakala isu-isu seperti rasuah dijadikan sebagai modal untuk mereka mencapai agenda itu. Dan dalam proses itu mereka sering mengetepikan isu-isu akidah dan menganggapnya sebagai tidak penting.
18. Pendekatan ini salah, menyalahi cara dakwah Rasulullah ﷺ yang konsisten membawa agenda akidah tauhid, baik semasa di Mekah mahupun sesudah berhijrah ke Madinah. Lihat sahaja bagaimana baginda ﷺ merobohkan sekian banyaknya berhala-berhala yang terdapat dalam Kaabah semasa pembukaan kota suci Mekah tanpa sebarang kompromi. Tiada satu pun yang ditinggalkan walau atas apa alasan pun sama ada kemanusiaan, toleransi, bahan peninggalan sejarah, warisan dan sebagainya. Jauh sekali daripada mengadakan acara gotong-royong mencucinya!
DAKWAH
19. Benar, Muslim diperintahkan supaya menunjukkan akhlak baik dan mulia termasuklah dengan orang-orang bukan Islam yang tidak memusuhi Agama. Ia merupakan salah satu cara berdakwah supaya mereka mendekati Islam dan akhirnya memeluk Agama yang hak ini. Tetapi perlu ingat bahawa setiap sesuatu itu ada batasnya manakala perbuatan mencuci kuil jelas melangkaui batasan tersebut. Kita mahu mereka terus kekal di kuil atau mahu mengajak mereka ke masjid dan masuk Islam?
20. Apa yang pasti, tiada mana-mana nabi, rasul, Sahabat ataupun ulama muktabar yang membenarkannya, apatah lagi menganjurkannya. Maka persoalannya, agama apa yang kita nak bawa dan pertahankan?
Daripada Allah ﷻ juga kita memohon petunjuk dan perlindungan.
Idris bin Sulaiman
Kajang
05 Jamadilakhir 1443H /
08 Januari 2022
——————-
Sertai bersama kami dalam grup Telegram Pena Ustaz Idris Sulaiman untuk mendapatkan artikel-artikel Ustaz dan memastikan anda tidak terlepas tulisan-tulisan yang terkini melalui pautan di bawah.
https://t.me/penaustazidrissulaiman