|

PERSELISIHAN UMAT ADALAH RAHMAT?

Sering dalam permasalahan khilaf kedengaran suara yang berkata “Perselisihan umat ialah rahmat” yang mengira bahawa khilaf umat Islam dalam hal-hal agama adalah baik dan elok.

Malah barangkali ada yang menganggap bahawa perselisihan-perselisihan tersebut seeloknya dibiarkan dan dikekalkan.

Masakan tidak kerana ia adalah rahmat buat umat ini, menurut mereka.

Rahmat bermaksud kebaikan dan nikmat, kurniaan Tuhan.

Asal ungkapan ini dalam bahasa Arabnya ialah:

اخْتِلافُ أمَّتِي رَحْمَةٌ.

“Perselisihan umatku ialah rahmat!”

Perlu ditegaskan bahawa ungkapan di atas sama sekali bukan hadis.

Lebih pelik dan buruk, ungkapan ini tidak diketahui dari mana asal sumbernya malah tidak mempunyai sanad riwayat untuk dihukum daif atau palsu.

Apa yang pasti, ia merupakan kenyataan yang batil, buruk dan tertolak kerana menyalahi apa yang ditetapkan oleh syarak.

Syariat Islam secara jelas menyuruh umat Islam supaya bersatu dan bersepakat di samping melarang perselisihan dan perpecahan sebagaimana firman Allah ﷻ:

وَٱعۡتَصِمُواْ بِحَبۡلِ ٱللَّهِ جَمِيعٗا وَلَا تَفَرَّقُواْ

“Dan berpegang teguhlah kalian kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu berpecah.”

[Al-Quran, Aali Imran, 3:103]

Malah dijelaskan keburukan perselisihan dalam firmanNya ﷻ:

وَلَا تَنَٰزَعُواْ فَتَفۡشَلُواْ وَتَذۡهَبَ رِيحُكُمۡ

“Dan janganlah kalian berselisihan (kerana) jika tidak nescaya kalian menjadi lemah manakala kekuatan kalian akan hilang.”

[Al-Quran, al-Anfaal, 8:46]

Perselisihan menyebabkan umat Islam jadi lemah dan hilang kekuatan.

Tambah buruk, perselisihan dan perpecahan adalah budaya kaum musyrikin sebagaimana firman Allah ﷻ:

وَلَا تَكُونُواْ مِنَ ٱلۡمُشۡرِكِينَ مِنَ ٱلَّذِينَ فَرَّقُواْ دِينَهُمۡ وَكَانُواْ شِيَعٗاۖ كُلُّ حِزۡبِۢ بِمَا لَدَيۡهِمۡ فَرِحُونَ

“Dan janganlah kamu tergolong dalam kalangan kaum musyrikin, iaitu orang-orang yang menjadikan fahaman agama mereka berselisihan mengikut kecenderungan masing-masing lalu mereka menjadi berpuak-puak; setiap puak bergembira dengan apa yang ada padanya.”

[Al-Quran, Rum, 30:31-32]

Perselisihan akan membawa kepada perpecahan yang akhirnya menimbulkan rasa taasub dan sikap berpuak-puak, di mana setiap puak berbangga dengan dirinya dan menganggap puaknya yang terbaik.

Walhal Allah ﷻ berfirman:

فَإِن تَنَٰزَعۡتُمۡ فِي شَيۡءٖ فَرُدُّوهُ إِلَى ٱللَّهِ وَٱلرَّسُولِ

“Jika kalian berselisih dalam sesuatu perkara maka hendaklah kalian kembalikan kepada Allah dan Rasul.”

[Al-Quran, al-Nisaa’, ayat 59]

Justeru setiap perselisihan wajib diatasi dengan dikembalikan kepada Al-Quran dan al-Sunah untuk dinilai dan ditentukan antara mana yang benar dengan mana yang salah supaya akhirnya hanya pendapat yang benar mengikut dalil diterima manakala pendapat yang bertentangan dengan Al-Quran dan al-Sunah ditolak.

Dr. Idris bin Sulaiman
Kajang
13 Rejab 1445H
25 Januari 2024
https://idrissulaiman.com

Similar Posts

  • |

    BERDIAM DIRI TIDAK MELARANG TOKOK TAMBAH DALAM AGAMA

    Orang yang berdiam diri membiarkan perkara-perkara tokok tambah dalam agama diamalkan tanpa melarangnya sebenarnya telah mengabaikan tanggungjawab nahi mungkar sekalipun dalam masa yang sama dia mengajak masyarakat kepada kebaikan (amar makruf). Ini kerana Muslim bukan hanya diwajibkan amar makruf (mengajak kepada kebaikan) malah diperintahkan supaya menunaikan tanggungjawab nahi mungkar. Sebagaimana…

  • |

    ISTERI PENGHUNI SYURGA

    Semua manusia mahu rumah tangga bahagia. Tinggal lagi bagaimana mengacapinya, apakah cara-cara dan rahsianya? Hakikatnya sikap toleransi, empati dan merendahkan ego memainkan peranan yang cukup besar dan penting. Dalam sebuah hadis, Nabi ﷺ menceritakan tentang isteri-isteri yang menjadi penghuni syurga serta sifat-sifat yang melayakkan mereka mendapat tempat bahagia itu. Sabda…

  • |

    HUBUNGAN HAMAS-IRAN

    Pemimpin Hãmãs, Ismail Haniyeh, menjelaskan bahawa perang antara Hãmãs dan Israel antara lain bertujuan untuk melemahkan Israel dan mengalihkan perhatiannya. Ia bagi mengelakkan pertembungan langsung antara Israel dan Iran, kata beliau. (Lihat video di lampiran) Dalam perkembangan lain, jurucakap Pengawal Revolusi Iran, Ramadan Syarif mendedahkan bahawa Taufan al-Aqsa yang dilancarkan…

  • |

    KAMI MELIHAT ENGKAU DARIPADA KALANGAN ORANG-ORANG YANG BAIK

    Demikian apa diucapkan kepada Nabi Yusuf – alaihissalam. Sebaik dua kali ia diucapkan kepadanya “Kami melihat engkau daripada kalangan orang-orang yang baik.” Dalam ayat 36 dan ayat 78, surah Yusuf. Kali pertama diucapkan kepadanya semasa beliau dalam penjara manakala kali kedua semasa di istana! Dua keadaan yang jauh berbeza; di…

  • |

    NIKMAT DICABUT

    – Sebab mengapa suatu nikmat dicabut Jika Allah ﷻ memberi suatu nikmat kepadamu lalu Dia mencabutnya daripadamu maka ketahuilah bahawa Dia ﷻ tidak mencabutnya daripadamu kerana Dia bakhil atau kerana Dia mengutamakan diriNya sendiri berbanding dirimu. Sebaliknya andalah penyebab nikmat itu dicabut. Firman Allah ﷻ: ذَٰلِكَ بِأَنَّ ٱللَّهَ لَمۡ يَكُ…

  • |

    TAKLID BUTA

    – Video mentaliti haiwan ternak Taklid sememangnya buta. Ikut bulat-bulat sesuatu perbuatan kerana orang lain melakukannya tanpa mengetahui alasan atau sebabnya. Tidak mahu belajar dan tidak mahu bertanya. Sekadar mengambil jalan mudah kerana malas berfikir. Sikap ini ada dalam mana-mana masyarakat, tidak mengenal batas usia, muda atau tua, lelaki atau…