Apples
|

NIAT BAIK TIDAK MENJADIKAN MAKSIAT ELOK

– Kedua-dua niat dan amalan perlu baik

Sering dalam perbahasan mengenai sesuatu amalan yang dilakukan oleh masyarakat kedengaran ada yang berkata:

“Apa yang penting ialah niat!”

“Yang penting niatnya baik!”

Dan seumpamanya.

Perlu ditegaskan bahawa kenyataan seperti di atas salah.

Dalam Islam matlamat tidak menghalalkan cara manakala niat yang baik tidak menjadikan sesuatu yang menyalahi syarak elok.

Oleh itu, tidak dinafikan bahawa niat baik itu penting tetapi cara pelaksanaan sesuatu amalan itu juga perlu elok dan menepati syariat.

Seperti mana jika niatnya buruk maka sesuatu amalan itu jadi buruk, begitu juga jika sesuatu amalan itu buruk dan tidak menepati syariat maka amalan itu akan jadi buruk sekalipun ia didasari niat yang baik.

Firman Allah ﷻ:

فَمَن كَانَ يَرۡجُواْ لِقَآءَ رَبِّهِۦ فَلۡيَعۡمَلۡ عَمَلٗا صَٰلِحٗا وَلَا يُشۡرِكۡ بِعِبَادَةِ رَبِّهِۦٓ أَحَدَۢا.

“Oleh itu barang siapa berharap akan pertemuan dengan Tuhannya maka hendaklah dia mengerjakan amalan yang soleh dan janganlah dia mempersekutukan sesiapapun dalam ibadahnya kepada Tuhannya.”

[Al-Quran, al-Kahfi, 18: 110]

Ayat di atas menunjukkan bahawa keimanan dan keikhlasan untuk bertemu Allah ﷻ tidak memadai sebaliknya hendaklah ia disusuli dengan amalan yang soleh di samping menjauhi perkara-perkara syirik.

Sabda Nabi ﷺ:

وأجْمِلُوا في الطَّلَبِ فإنَّ اللهَ لا يُنالُ ما عِندَه إلا بِطاعتِه .

“Gunakanlah cara yang baik dalam mencari rezeki kerana sesungguhnya (nikmat) yang ada di sisi Allah tidak akan dicapai kecuali dengan mentaatiNya.”

Yakni nikmat syurga Allah ﷻ tidak mungkin dapat dicapai melalui jalan yang buruk dengan bermaksiat kepadaNya.

Antara beberapa peristiwa pada zaman Rasulullah ﷺ yang boleh dikaitkan dengan permasalahan ini ialah:

1. Dalam sebuah peperangan, Usamah bin Zaid radiallahuanhu mengejar seorang lelaki daripada kalangan tentera musuh sehingga apabila menghampirinya lelaki itu mengucapkan “La ilaha illah Allah.”

Walaupun mengucapkan kalimah syahadah tetapi Usamah bin Zaid tetap menusuknya dengan tombak lalu membunuhnya.

Apabila perkara tersebut sampai kepada Nabi ﷺ baginda berkata:

يَا أُسَامَةُ، ‌أَقَتَلْتَهُ ‌بَعْدَ مَا قَالَ: لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ؟

“Wahai Usamah, adakah engkau membunuhnya setelah dia mengucapkan La ialaha illah Allah?”

Usamah membalas “Tetapi lelaki itu sekadar mahu menyelamatkan dirinya.”

Nabi ﷺ terus mengulangi perkataannya sehingga Usamah merasa sangat menyesal dengan perbuatannya membunuh lelaki itu.

[Sahi. Riwayat Bukhari,no. 4296 dan Muslim no. 96]

2. Seorang lelaki datang kepada Rasulullah ﷺ membicarakan tentang sesuatu perkara kemudian dia berkata:

مَا شَاءَ اللهُ وَشِئتَ.

“Apa yang diinginkan oleh Allah dan engkau!”

Mendengar perkataan lelaki itu Rasulullah ﷺ bersabda “Adakah engkau menjadikan aku sekutu dengan Allah? Katakanlah: Apa yang diinginkan oleh Allah semata-mata.”

[Sahih. Riwayat al-Nasai dalam Amal al-Yawm Wa al-Lailah, no. 988]

Dalam kedua-dua peristiwa di atas, jelasnya dua orang Sahabat Nabi ﷺ ini melakukan kesalahan tanpa sengaja dan kedua-dua mereka memang berniat baik.

Sekalipun demikian Nabi ﷺ tetap mengkritik mereka dan memperbetulkan kesalahan yang mereka telah lakukan.

Niat baik mereka itu tidak mengubah hakikat bahawa apa yang mereka telah lakukan itu salah.

Contoh lain yang mungkin lebih mudah ialah membaca Al-Quran dalam tandas.

Umat Islam semua sedia maklum bahawa ia tetap salah dan berdosa sekalipun orangnya mendakwa bahawa niatnya membacanya dalam tandas baik dan ikhlas kerana Allah ﷻ.

Justeru apa yang dihukum salah dan maksiat di sisi syariat adalah haram buat semua manusia tanpa kecuali, dan alasan pelakunya berniat baik tidak akan mengubah hukum haram itu jadi harus.

Idris bin Sulaiman
Kajang
11 Zulkaedah 1443H /
11 Jun 2022

Similar Posts

  • |

    MAJLIS KAHWIN ANAK PEREMPUAN

    Alhamdulillah, semalam telah pun berlangsungnya perkahwinan anak perempuan sulung dengan pasangannya Khairussalam Abd Latib di tempat tinggal keluarga lelaki, Batu Pahat. Syukur majlis berjalan lancar dan baik dengan tazkirah istimewa disampaikan oleh Ustaz Abu Furaihan. Terima kasih Ustaz kerana sudi datang dari jauh seberang. Penghargaan serta ucapan terima kasih buat…

  • |

    WAHABI: GELARAN DARI ORANG BANKRAP HUJAH

    Apabila tidak dapat balas hujah maka mereka bertindak melemparkan gelaran ‘buruk’ ini kepada lawan. Tujuannya untuk mencemarkan nama baik di samping menimbulkan kesangsian dan keraguan orang ramai terhadap lawannya itu. Senjata ampuh menurutnya. Walhal ini bukan cara yang diajar oleh Islam. Hujah sepatutnya dibalas dengan hujah dan sebarang perselisihan perlu…

  • |

    HIDUPKAN SUNAH MATIKAN BIDAAH (2)

    Wasiat Nabi ﷺ buat generasi akhir zaman pada kala berlaku banyak perselisihan dan perpecahan, kata baginda ﷺ: فَإنَّهُ مَنْ يَعِشْ مِنْكُمْ بَعْدِي فَسَيَرَى اخْتِلافًا كَثِيرًا فَعَلَيْكُمْ بِسُنَّتِي وَسُنَّة الخُلَفَاء المَهْدِيِّينَ الرَّاشِدِين تَمسَّكُوا بِها وَعَضُّوا عَلَيْهَا بِالنَّوَاجِذ وَإيَّاكُمْ وَمُحْدَثَاتِ الأُمُورِ فَإنَّ كُلَّ مُحْدَثَةٍ بِدْعَة وَكُلّ بِدْعَةٍ ضَلالَةٍ. “Sesungguhnya barang siapa daripada…

  • | |

    HARAM SENTUH PEREMPUAN BUKAN MAHRAM

    Sabda Nabi ﷺ: لأَنْ ‌يُطعنَ ‌في ‌رأسِ ‌أحدِكُم ‌بِمخْيطٍ ‌مِنْ ‌حديدٍ؛ خيرٌ لَهُ مِنْ أَنْ يَمَسَّ امْرأةً لا تَحِلُّ لَهُ. “Sesungguhnya ditusuk kepala seseorang daripada kamu dengan jarum besi itu lebih baik baginya daripada menyentuh wanita yang tidak halal baginya.” [Sahih, riwayat al-Tabarani, no. 486] Dr. Idris bin SulaimanKajang12 Jamadilawal…

  • |

    DISEKAT OLEH FACEBOOK

    Kerana hantaran berkenaan kematìan General Qasim Sulaimani – Allah akan menghukumnya dengan seadilnya – si pembunüh umat Islam di Iraq dan Syria, pada awal tahun ini. Barangkali dilaporkan oleh orang Syiah atau orang yang bersimpati dengan Syiah. Bagaimana pula dengan ribuan umat Islam yang diseksa dan dibunüh oleh Syiah di…

  • |

    MENCARI KEUZURAN KESALAHAN

    Mukmin mencari keuzuran bagi kesalahan saudara seagamanya sedangkan munafik mencari-cari kesalahannya. Alhamdulillah, buku Syarah Hadis 40 yang dipesan sudah mula diposkan semalam. Harap sampai kepada pembeli dengan selamat. Sebarang pertanyaan boleh hantar kepada: http://wasap.my/60192507196/Syarahhadis40 Dr. Idris bin SulaimanKajang09 Syaaban 1444H02 Mac 2023