Dark storm clouds
|

MUBAHALAH

Mubahalah bermaksud sumpah laknat antara dua orang yang berselisih.

CARA PELAKSANAAN

Cara pelaksanaan mubahalah ialah dengan kedua-dua orang yang berselisih itu hadir membawa bersama anak, isteri dan keluarga masing-masing kemudian mereka berdua berdoa secara bersungguh-sungguh meminta Allah ﷻ melaknat siapa yang berbohong.

Sekalipun mubahalah hanya melibatkan antara dua orang yang berselisih itu tetapi anak, isteri dan keluarga masing-masing turut dibawa hadir bersama bagi menunjukkan kekuatan keyakinan dan kepercayaan akan kebenaran apa yang didakwakan oleh kedua-dua belah pihak serta menzahirkan penolakan terhadap lawan.

LAFAZ MUBAHALAH

Tiada lafaz khusus bagi mubahalah.

Maka dibolehkan mengucapkannya dengan apa jua lafaz dengan kedua-dua belah pihak mendoakan laknat Allah ﷻ atas lawannya kerana berbohong.

SYARAT-SYARAT MUBAHALAH

1. Mengikhlaskan niat kerana Allah ﷻ, bukan untuk memenangkan hawa nafsu atau meraih apa-apa tujuan dunia;

2. Wujudnya maslahat syarie seperti menzahirkan kebenaran, menegakkan hujah dan menolak kebatilan;

3. Meyakini kebenaran apa yang didakwakan;

4. Menasihati lawan terlebih dahulu dan dijelaskan kepadanya pendirian dengan sejelas-jelasnya.

HUKUM MUBAHALAH

Ia merupakan sebahagian daripada al-Sunah bagi menolak mereka yang terus degil dan angkuh mempertahankan kebatilan sesudah ditegakkan hujah dan dalil atas mereka.

Kata Ibnu al-Qayyim “Termasuk dalam al-Sunah apabila berhujah dengan ahli kebatilan sekiranya hujah-hujah Allah sudah ditegakkan lalu mereka tetap berkeras tidak mahu kembali ke pangkal jalan maka diajak supaya mereka bermubahalah.”

[Zad al-Ma’ad, hlm. 3/643]

DALIL-DALIL MUBAHALAH

1. Al-Quran

Firman Allah ﷻ:

فَمَنۡ حَآجَّكَ فِيهِ مِنۢ بَعۡدِ مَا جَآءَكَ مِنَ ٱلۡعِلۡمِ فَقُلۡ تَعَالَوۡاْ نَدۡعُ أَبۡنَآءَنَا وَأَبۡنَآءَكُمۡ وَنِسَآءَنَا وَنِسَآءَكُمۡ وَأَنفُسَنَا وَأَنفُسَكُمۡ ثُمَّ نَبۡتَهِلۡ فَنَجۡعَل لَّعۡنَتَ ٱللَّهِ عَلَى ٱلۡكَٰذِبِينَ.

“Kemudian sesiapa yang membantahmu (wahai Muhammad) mengenainya sesudah engkau beroleh pengetahuan yang benar maka katakanlah kepada mereka: Marilah kita menyeru anak-anak kami serta anak-anak kamu, perempuan-perempuan kami serta perempuan-perempuan kamu, dan diri kami serta diri kamu, kemudian kita memohon kepada Allah dengan bersungguh-sungguh serta kita meminta supaya laknat Allah ditimpakan atas orang-orang yang berdusta.”

[Al-Quran, Aali Imran, 3:61]

Menurut Ibnu Kathir ayat di atas merujuk kepada mubahalah dengan cara kedua-dua belah pihak membawa anak, isteri dan keluarga masing-masing sebelum mereka melaknat dan meminta agar Allah ﷻ menurunkannya atas pihak yang berbohong antara mereka berdua.

[Tafsir Ibnu Kathir, 2/49]

2. Hadis

Hadis Huzaifah bin al-Yaman r.a. katanya “al-Aqib dan al-Sayid dari Najran datang hendak bersumpah laknat dengan Rasulullah ﷺ lalu salah seorang daripada mereka berkata kepada rakannya: Jangan berbuat begitu kerana demi Allah sekiranya beliau seorang nabi lalu kita bersumpah laknat dengannya maka kesudahannya kita tidak akan beroleh kejayaan mahupun dipanjangkan umur dan dikurniakan zuriat. Kedua-dua mereka kemudian berkata: Kami berikan kepadamu (wahai Muhammad) apa yang engkau minta, utuslah bersama kami wakilmu yang jujur lagi amanah dan jangan engkau utus kecuali lelaki yang sedemikian. Maka Rasulullah ﷺ bersabda: Aku akan utus bersama kamu seorang lelaki yang benar-benar jujur lagi amanah. Baginda ﷺ mengarahkan supaya Ubaidah bin al-Jarrah bangkit lalu bersabda: Beliau ialah pemegang amanah umat ini.”

[Sahih. Riwayat Bukhari dan Muslim]

Kata Ibnu Hajar “Hadis ini mensyariatkan mubahalah dengan lawan sekiranya dia tetap berdegil sesudah hujah ditegakkan.”

[Fathulbari, 8/95]

3. Athar-athar

Terdapat athar-athar daripada Abdullah bin Masud r.a. yang menyatakan kesediaannya untuk bermubahalah dalam permasalahan idah wanita yang kematian suaminya di samping Ibnu Abbas yang turut menyatakan sedemikian dalam permasalahan zihar dan pembahagian harta pusaka.

KEUMUMAN MUBAHALAH

Mubahalah disyariatkan bagi seluruh umat Islam.

Ia bukan khas bagi Nabi ﷺ sebagaimana ia juga bukan khusus antara orang-orang Islam dengan orang-orang Yahudi dan Nasrani sahaja.

Sebaliknya mubahalah disyariatkan dengan sesiapa sahaja yang berkeras mempertahankan kesesatan serta enggan kembali ke pangkal jalan sekalipun hujah dan dalil sudah ditegakkan.

Kata Siddiq Hasan Khan “Mubahalah diharuskan sesudah Nabi ﷺ dalam perkara-perkara penting dari sudut syarak yang menimbulkan kekeliruan dan kedegilan sehingga tidak dapat dihadapi kecuali dengannya.”

[Husun al-Uswah, hlm. 62]

Telah sabit bahawa ramai daripada kalangan ulama dahulu dan yang terkemudian mengajak lawan mereka bermubahalah seperti al-Auzaie, Ibnu Taimiah, Ibnu al-Qayyim, Ibnu Hajar, Siddiq Hasan Khan dan yang lain.

Dalam masa yang sama, sebahagian ulama berpandangan bahawa mubahalah hanya disyariatkan dalam perkara-perkara yang melibatkan permasalahan akidah memandangkan urusan-urusan dunia dan material sudah pun ditetapkan kaedah penyelesaiannya iaitu dengan cara ‘Bebanan pembuktian harus dikemukakan oleh pihak yang mendakwa manakala pihak yang didakwa perlu bersumpah jika mahu menafikannya’.

Sebahagian ulama turut berpandangan bahawa mubahalah hanya disyariatkan bagi mereka yang takut kepada Allah ﷻ dan berusaha keras menghindari azabNya.

Ini bermakna tiada keperluan untuk bermubahalah dengan golongan sesat dan munafik yang tidak mengharapkan syurga Allah ﷻ mahupun takut azab api nerakaNya.

PIHAK YANG ENGGAN MUBAHALAH

Orang yang menolak untuk bermubahalah akan dikira tewas, degil mempertahankan kebatilan dan tidak yakin akan kebenaran apa yang didakwakannya.

KESAN MUBAHALAH

Sebahagian ulama menyebut bahawa kesan daripada mubahalah akan menimpa atas salah seorang daripada dua pihak yang bermubahalah itu dalam tempoh masa yang singkat, tidak sampai dua bulan.

Ada yang mengatakan dalam tempoh setahun.

Walau bagaimanapun, memandangkan tiada apa yang sabit daripada Nabi ﷺ dalam hal ini maka selayaknya tidak ditetapkan sebarang tempoh masa kerana kesannya barangkali akan tampak segera, selepas dua bulan, selepas setahun atau barangkali di akhirat, bukan di dunia.

MUBAHALAH SEBAGAI JALAN TERAKHIR

Memandangkan kesan daripada mubahalah sangat serius maka selayaknya ia tidak dipandang ringan atau diambil mudah.

Sebaiknya ia hanya digunakan sebagai jalan terakhir bagi merealisasikan maslahat atau menolak mudarat.

Ini kerana tujuan utama mubahalah ialah untuk mengenal pasti antara pihak mana yang berkata benar dengan pihak yang berkata dusta di samping ditegakkan hujah atas lawan.

CATATAN

Sesi sumpah laknat yang dilakukan oleh mantan Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Abdul Razak tempoh hari sama ada setuju atau tidak ialah satu perkara.

Apa yang pasti beliau telah pun bersumpah laknat dalam apa yang melibatkan hal keduniaan, bukan keagamaan atau pun akidah.

Tinggal lagi, sama ada ia mubahalah atau sumpah laknat seperti yang dilakukan oleh Saad bin Abi Waqqas r.a.

Ini kerana jika mubahalah maka dituntut supaya kedua-dua belah pihak hadir dalam majlis sumpah laknat itu.

SUMPAH LAKNAT SAAD BIN ABI WAQQAS

Apabila Saad bin Abi Waqqas r.a. difitnah oleh Usamah bin Qatadah sebagai orang yang takut berdepan musuh, tidak bijaksana dalam pembahagian harta awam di samping menzalimi rakyat jelata maka beliau telah mendoakan ke atas individu yang memfitnahnya itu dengan berkata “Ya Allah, jika hambamu itu berdusta, bersikap riak lagi sum’ah maka butakanlah matanya, panjangkanlah umurnya, berikanlah dia kefakiran dan timpakanlah ujian ke atasnya.”

[Sahih. Riwayat Bukhari]

Wallahualam

Dr. Idris bin Sulaiman
Kajang
26 Ogos 1444H
28 Muharam 2022

Similar Posts