black metal framed glass lamp
|

‘MAULA’ / ‘MAULANA’ – Sejauh mana kewajarannya

Perkataan ‘maula’ atau ‘maulana’ dalam bahasa Arab mempunyai banyak makna.

Antara maknanya ialah pemilik, penaung, tuan, hamba, tuan yang membebaskan hamba sahaya dan hamba sahaya yang telah dibebaskan oleh tuannya.

Dahulu dikatakan “Si fulan maula si fulan” bermaksud si fulan bekas tuan atau bekas hamba sahaya.

Contohnya Zaid bin Harithah maula Rasulullah ﷺ kerana baginda ﷺ telah membebaskan Zaid daripada perhambaan.

Demikian Aisyah binti Abu Bakar al-Siddiq maula Barirah kerana Aisyah telah membebaskan Barirah.

Secara dasarnya Allah ﷻ adalah ‘maula’ semua manusia kerana Dia ﷻ Pencipta dan Pemilik mereka.

Firman Allah ﷻ:

ثُمَّ رُدُّوٓاْ إِلَى ٱللَّهِ مَوۡلَىٰهُمُ ٱلۡحَقِّ.

“Kemudian mereka dikembalikan kepada Allah ‘Maula’ mereka yang sebenar.”

[Al-Quran, al-An’am, 6: 62]

Allah ﷻ jua adalah ‘maula’ orang-orang beriman selaku Penaung yang memberi perlindungan dan jagaan buat mereka, sebagaimana firmanNya:

ذَٰلِكَ بِأَنَّ ٱللَّهَ مَوۡلَى ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَأَنَّ ٱلۡكَٰفِرِينَ لَا مَوۡلَىٰ لَهُمۡ.

“Balasan yang demikian kerana sesungguhnya Allah menjadi ‘Maula’ Pelindung orang-orang yang beriman, dan sesungguhnya orang-orang yang kafir, mereka tiada ‘maula’ yang dapat memberikan sebarang perlindungan kepada mereka.”

[Al-Quran, Muhammad, 47: 11]

SEBAIKNYA DIELAKKAN

Dalam Kamus Dewan ‘maulana’ diertikan sebagai gelaran untuk ulama besar.

Sekalipun ada pandangan yang membolehkan tetapi sebaiknya penggunaan istilah ‘maula’ atau ‘maulana’ tidak diluaskan.

Di samping penetapannya bagi Allah ﷻ selaku Pemilik, Penaung dan Pelindung orang-orang yang beriman, ia lebih dikhususkan kepada hamba sahaya dan pemilik hamba sahaya.

Tambah pula generasi Salaf al-Soleh dahulu tidak menggunakannya apabila membahasakan diri mereka antara satu sama lain.

Tidak ada dalam kalangan Sahabat Nabi ﷺ yang memanggil khalifah dengan gelaran ‘Maulana Abu Bakar’, ‘Maulana Omar al-Khattab’, ‘Maulana Uthaman’ atau ‘Maulana Ali’.

Di bawah hadis:

لَا يَقُلِ الْعَبْدُ لِسَيِّدِهِ: ‌مَوْلَايَ فَإِنَّ مولاكم اللَّهُ.

“Janganlah seorang hamba berkata kepada tuannya ‘maula’ kerana ‘maula’ kalian ialah Allah.”

[Sahih. Riwayat Muslim]

al-Nawawi dalam syarahnya menyimpulkan bahawa larangan dalam hadis di atas bersifat makruh dan bahawasanya istilah ini sebaiknya dielakkan.

[Syarah Sahih Muslim, 15/6]

Syeikh Ibnu Baz rahimahullah turut berpandangan serupa kerana istilah-istilah ini boleh menimbulkan rasa sombong dan ujub dalam diri orang yang dipanggil, di samping rasa taasub dan ‘ghuluw’ dalam diri orang yang memanggil.

https://binbaz.org.sa/fatwas/18132/حكم-قول-مولانا-وسيدنا

Syeikh Abdul Muhsin al-Abbad hafizahullah turut senada bahawa penggunaannya sebaiknya tidak diluaskan kerana kemungkinannya digunakan untuk mereka yang tidak layak.

https://ar.islamway.net/fatwa/32916/حكم-استعمال-كلمة-مولانا-في-حق-الآدمي

KESIMPULAN

Penggunaan istilah ‘maula’ atau ‘maulana’ sebaiknya dielakkan kerana ia lebih banyak digunakan oleh generasi umat Islam dahulu bagi merujuk kepada hubungan antara hamba sahaya dengan bekas tuan pemilik yang membebaskannya.

‘Maula’ orang-orang beriman ialah Allah ﷻ, Dialah Maulana dan Dialah sebaik-baik Penaung dan Penolong. [Al-Quran, 6:40]

Dr. Idris bin Sulaiman
Kajang
19 Rabiulawal 1444H
16 Oktober 2022

Similar Posts

  • |

    TUTUP AURAT PAHAMU!

    Peha lelaki termasuk dalam aurat yang wajib ditutup bukan sahaja dalam solat malah apabila keluar dari rumah. Ini berdasarkan keterangan jelas dalam hadis-hadis Nabi ﷺ mengenai hal ini. Antaranya ialah sabda Nabi ﷺ: مَا ‌بَيْنَ ‌السُّرَّةِ ‌وَالرُّكْبَةِ ‌عَوْرَةٌ. “Antara pusat dan lutut ialah aurat.” [Hasan. Riwayat al-Daraqutni] Dalam hadis lain,…

  • |

    MENGAGUNGKAN SUNAH NABI ﷺ

    Sunah Nabi ﷺ wajib diterima dan diagungkan. Sebagaimana firman Allah ﷻ: وَمَآ ءَاتَىٰكُمُ ٱلرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَىٰكُمۡ عَنۡهُ فَٱنتَهُواْۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۖ إِنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلۡعِقَابِ “Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarangNya kamu melakukannya maka patuhilah laranganNya. Dan…

  • ‘YAKIN BOLEH’ PERLU DIUBAH

    # Membetulkan perkataan yang mengelirukan Kajian psikologi Barat sering menekankan kepentingan untuk yakin dengan keupayaan diri sendiri. Manusia menurutnya adalah pusat segala penentuan dan perubahan. Ini kerana kepercayaan kepada tuhan hampir tidak ada dalam kajian-kajian psikologi Barat yang didominasi oleh golongan ateis. Hasilnya mereka mengetengahkan perkataan-perkataan seperti ‘believe in yourself’,…

  • |

    HUKUM BOIKOT BARANGAN ORANG KAFIR

    Ada dua keadaan: Keadaan Pertama:Jika Diarah oleh Pemerintah Jika pemerintah sesebuah negara Islam memerintahkan supaya barangan tertentu atau barangan negara-negara tertentu diboikot maka rakyat negara tersebut wajib mentaati arahan itu. Selari dengan firman Allah ﷻ: يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنْكُمْ “Wahai orang-orang yang beriman, taatilah…

  • |

    MAJLIS KAHWIN ANAK PEREMPUAN

    Alhamdulillah, semalam telah pun berlangsungnya perkahwinan anak perempuan sulung dengan pasangannya Khairussalam Abd Latib di tempat tinggal keluarga lelaki, Batu Pahat. Syukur majlis berjalan lancar dan baik dengan tazkirah istimewa disampaikan oleh Ustaz Abu Furaihan. Terima kasih Ustaz kerana sudi datang dari jauh seberang. Penghargaan serta ucapan terima kasih buat…

  • KEMPEN MALAYSIA BEBAS ASAP?

    Kempen kafir Barat bagi memandulkan ekonomi negara dan membantutkan semua pembangunan. Melalui penutupan kilang-kilang buatan, pengharaman kenderaan-kenderaan petrol dan diesel serta segala eksplorasi minyak yang dihentikan. Walhal ekonomi negara sangat bergantung kepada pengeluaran kilang-kilang tempatan dan hasil jualan minyak Petronas manakala kenderaan-kenderaan petrol dan diesel menjadi nadi penggeraknya. Justeru ia…