|

LELAKI PANJANG RAMBUT IKUT SUNAH NABI ﷺ?

LELAKI PANJANG RAMBUT IKUT SUNAH NABI ﷺ?

Memanjangkan rambut tidak termasuk dalam erti sunah yang diberi pahala kepada Muslim kerana ia merupakan antara perkara-perkara adat (bukan ibadah).

Tidak dinafikan bahawa Nabi ﷺ pernah memanjangkan rambutnya hingga ke paras cuping telinga atau hingga antara telinga dan bahunya. Jika panjang, baginda ﷺ menjalin rambutnya menjadi empat bahagian.

Dalam masa yang sama, Baginda ﷺ juga pernah mencukur rambutnya.

Sebagaimana baginda ﷺ tidak menjanjikan pahala bagi sesiapa yang memanjangkan rambutnya, baginda ﷺ juga tidak mengancam dengan dosa bagi sesiapa yang mencukurnya.

Hanya sahaja baginda ﷺ memerintahkan supaya seseorang itu memuliakan rambutnya dengan menyikat dan menjaganya secara bersederhana tanpa berlebih-lebihan.

Penting untuk difahami bahawa perbuatan Nabi ﷺ memanjangkan rambutnya dan menjalinnya menjadi empat bahagian merupakan sebahagian daripada URUF dan ADAT KEBIASAAN pada zaman itu.

Justeru sekiranya seseorang Muslim tinggal di suatu tempat di mana penduduknya tidak biasa dengan perbuatan itu atau ia dianggap sebagai mirip perbuatan golongan fasiq maka sewajarnya ia TIDAK dilakukan.

Demikian apa yang ditegaskan oleh Syeikh al-Uthaimin dan Syeikh al-Albani rahimahumallah.

Malah Syeikh al-Albani turut menegaskan bahawa sekiranya seseorang itu memanjangkan rambutnya atas alasan Sunah Nabi ﷺ dan kerana mahu menambah pahala, hakikatnya dia telah menyalahi Sunah Nabi ﷺ itu sendiri kerana Nabi ﷺ tidak pernah menyarankan sedemikian mahupun menganggapnya sebagai suatu ibadah penambah pahala.

Dalam masa yang sama, elok juga diingatkan bahawa sekalipun berambut panjang, tiada riwayat sahih bahawa Rasulullah ﷺ pernah solat dalam keadaan rambutnya terdedah TANPA PENUTUP KEPALA.

Oleh sebab itu para fuqaha sepakat menganjurkan kaum lelaki memakai penutup kepala dalam solat sama ada dengan serban atau seumpamanya, sehinggakan mazhab Hanafi menghukum MAKRUH lelaki yang solat tanpa penutup kepala.

Ini bererti lelaki berambut panjang dengan alasan mahu ikut Sunah Nabi ﷺ sekiranya dia solat di masjid TANPA PENUTUP KEPALA maka dia telah MENYALAHI Sunah Nabi itu sendiri daripada beberapa sudut iaitu:

Sudut pertama kerana menganggap memelihara rambut panjang adalah ibadah sedangkan ia adalah adat.

Sudut kedua kerana solat tanpa penutup kepala. Sekalipun ia juga adat tetapi memakai penutup kepala bagi kaum lelaki ada kelebihan dan keistimewaannya yang tersendiri dari sudut membezakan antara Muslim dengan kafir, menzahirkan syiar pakaian Muslim, lebih-lebih lagi apabila solat di masjid yang mana Muslim diperintahkan supaya memakai pakaian kecantikannya.

Serban, kopiah dan seumpamanya merupakan antara pakaian kecantikan Muslim tanpa syak.

Demikian juga jika dia solat dengan rambutnya terikat di belakang kerana hal itu turut ditegah sebagaimana dalam hadis Nabi ﷺ.

Justeru penting untuk dibezakan antara Sunah Ibadah (Ta’bbudi) yang dianjurkan atas Muslim untuk melaksanakannya, dengan Sunah Adat yang secara amnya membawa erti harus dengan perincian seperti di atas.

Bacaan lanjut:

Beza Sunah Ta’abbudi / Sunah Adat
https://www.facebook.com/idrissulaiman/posts/10220347690634216

Daripada Allah jua kita memohon petunjuk dan hidayah.

Idris bin Sulaiman
Kajang
Pentingnya beramal dengan ilmu
25 Jumadil Akhir 1442H /
07 Februari 2021
#http://www.facebook.com/idrissulaiman

Similar Posts

  • |

    BAHANA TAKSUB

    Dakwah Salaf mengajak umat Islam supaya kembali menghayati kedua-dua al-Qurandan al-Sunah mengikut fahaman para Sahabat dan Salaf al-Soleh. Inilah ajaran Islam sebenar yang suci lagi murni. Para ulama muktabar memang perlu dihormati dan dimuliakan, tetapi tanpa taksub. Sedangkan erti taksub termasuklah dengan memaksakan umat Islam supaya mengikut fahaman tokoh ulama…

  • |

    MENGHABISKAN MASA DENGAN BERITA TERKINI

    MENGHABISKAN MASA DENGAN BERITA TERKINI Saya fikir jika seseorang itu tidak banyak menghabiskan masanya melihat akhbar dan mengikuti setiap satu perkembangan yang dihidangkan kepadanya sama ada melalui media rasmi ataupun media sosial, sebaliknya dia memanfaatkan sisa waktunya untuk apa yang dapat menjana kebaikan buatnya di akhirat dengan membaca Al-Quran, menuntut…

  • |

    KAMI MELIHAT ENGKAU DARIPADA KALANGAN ORANG-ORANG YANG BAIK

    Demikian apa diucapkan kepada Nabi Yusuf – alaihissalam. Sebaik dua kali ia diucapkan kepadanya “Kami melihat engkau daripada kalangan orang-orang yang baik.” Dalam ayat 36 dan ayat 78, surah Yusuf. Kali pertama diucapkan kepadanya semasa beliau dalam penjara manakala kali kedua semasa di istana! Dua keadaan yang jauh berbeza; di…

  • |

    ZUHUD

    – Pengertian zuhud – Rusuhan bola sepak Muslim dianjurkan supaya berzuhud dengan dunia. Sabda Nabi ﷺ: ازهَدْ في الدُّنيَا يُحِبَّكَ اللهُ، وازهَدْ فِيمَا عِندَ النَّاسِ يُحِبَّكَ النَّاسُ. “Berzuhudlah di dunia nescaya engkau akan dicintai Allah dan berzuhudlah daripada apa yang dimiliki oleh manusia nescaya mereka akan mencintaimu.” [Hasan. Riwayat Ibnu…

  • |

    JIKA TAKUT LARI KECUALI…

    JIKA TAKUT LARI KECUALI… Manusia jika takut daripada sesuatu maka dia akan lari menjauhkan diri daripadanya kecuali ALLAH ﷻ. Jika takut kepada ALLAH ﷻ maka hendaklah terus mendekatkan diri kepadaNYA ﷻ. Firman ALLAH ﷻ: فَفِرُّوٓاْ إِلَى ٱللَّهِۖ إِنِّي لَكُم مِّنۡهُ نَذِيرٞ مُّبِينٞ. “(Katakanlah wahai Muhammad kepada mereka): Maka segeralah kamu…