KORONAVIRUS TANDA AKHIR ZAMAN?

KORONAVIRUS TANDA AKHIR ZAMAN?

Tidak kurang yang cuba mengaitkan penularan wabak penyakit KORONAVIRUS sebagai tanda AKHIR ZAMAN yang menunjukkan betapa hampirnya HARI KIAMAT.

Hakikatnya, mereka sama ada AHLI NUJUM PAK BELALANG atau sekadar PENGLIPUR LARA yang mahu perhatian orang ramai supaya mendengar cerita-cerita sensasi mereka.

Mengapa?

1. Kerana persoalan bila HARI KIAMAT hanya ALLAH sahaja yang tahu.

Dalam sebuah hadis, malaikat Jibril bertanya kepada Nabi ﷺ tentang bila HARI KIAMAT. Nabi menjawab:

“TIDAKLAH YANG DITANYA LEBIH TAHU DARIPADA YANG BERTANYA.”

Sahih. Riwayat Bukhari dan Muslim.

Sekiranya Nabi ﷺ dan malaikat Jibril pun TIDAK TAHU bila HARI KIAMAT, masakan ada orang lain yang tahu? Mustahil.

Maka persoalan bila HARI KIAMAT ialah PERKARA GHAIB yang HANYA ALLAH sahaja yang tahu.

Mereka yang mendakwa mengetahuinya jelas PEMBOHONG yang berdusta atas nama ALLAH.

2. TANDA-TANDA HARI KIAMAT perlu dikembalikan kepada NAS.

Seperti mana bila HARI KIAMAT merupakan PERKARA GHAIB, demikian juga TANDA-TANDANYA.

Hanya sahaja Nabi ﷺ ada menyebutkan sebahagian daripada tanda-tanda ini dalam hadis-hadis yang sahih.

Para ulama membahagikannya kepada TANDA-TANDA KECIL dan TANDA-TANDA BESAR.

Antara TANDA-TANDA KECIL HARI KIAMAT yang disebutkan dalam hadis sahih ialah tersebarnya zina, berleluasanya transaksi riba, berkurangnya para ulama dan kejahilan berleluasa.

Adapun TANDA-TANDA BESAR HARI KIAMAT dalam hadis sahih ialah kedatangan Imam Mahdi dan Dajjal, turunnya Nabi Isa, keluarnya Yakjuj dan Makjuj, berlakunya tiga gerhana, keluarnya asap, terbitnya matahari dari sebelah barat, keluarnya ad-Dabah dan keluarnya api yang menghalau manusia ke Mahsyar mereka.

Oleh itu soal sama ada sesuatu itu menjadi sebahagian daripada TANDA AKHIR ZAMAN atau tidak HANYA dapat ditentukan melalui NAS dan mengikut apa yang disebut dalam HADIS SAHIH.

Sama sekali ia TIDAK BOLEH dibahaskan mengikut PENDAPAT AKAL atau CITA RASA kerana ia melibatkan HAL GHAIB.

Maka mengandaikan bahawa wabak penyakit yang melanda pada masa sekarang sebagai TANDA AKHIR ZAMAN perlu kepada DALIL NAS.

3. TANDA AKHIR ZAMAN hanyalah tanda manakala KEMATIAN itu pasti.

Seperti mana yang telah dijelaskan, perbahasan tentang TANDA HARI KIAMAT haruslah berpandukan kepada NAS.

Kesudahannya ia hanyalah tanda, manakala mengaitkan suatu tanda yang disebut dalam hadis dengan realiti semasa atau suatu kejadian, boleh jadi betul dan boleh jadi tidak.

Dalam sebuah hadis, seorang lelaki bertanya kepada Nabi ﷺ “BILAKAH HARI KIAMAT?” Baginda menjawab:

“APAKAH PERSIAPAN ENGKAU?”

Hadis sahih. Riwayat Bukhari.

Dalam hadis di atas, Nabi berpaling daripada soalan yang diajukan untuk menarik perhatian lelaki itu kepada apa yang LEBIH PENTING daripada soalan yang ditanya.

Nabi ﷺ seolah-olah mahu mengingatkan lelaki itu bahawa daripada memikirkan tentang BILA HARI KIAMAT, adalah lebih baik sekiranya difikirkan tentang PERSIAPAN untuk menghadapinya.

Ini kerana HARI KIAMAT pasti akan tiba. Demikian juga dengan KEMATIAN. Ia pasti akan tiba.

Maka persoalannya ialah sama ada kita SUDAH BERSEDIA ATAU BELUM?

Apakah persediaan terbaik untuk menghadapi KEMATIAN?

Jawapannya ialah dengan TAUHID mengesakan ALLAH dalam semua urusan ibadah serta memperbanyakkan AMAL SOLEH dengan syarat IKHLAS dan mengikut SUNAH NABI ﷺ.

Dalam sebuah hadis Nabi ﷺ bersabda:

“Barang siapa bertemu ALLAH dalam keadaan TIDAK BERBUAT SYIRIK maka dia akan MASUK SYURGA. Dan barang siapa bertemu dengannya dalam keadaan BERBUAT SYIRIK maka dia pasti MASUK NERAKA.”

Sahih. Riwayat Muslim.

Mengejutkan apabila rata-rata mereka yang membicarakan tentang tanda-tanda akhir zaman TIDAK pula MENJELASKAN kepada masyarakat tentang KEPENTINGAN TAUHID serta BAHAYA SYIRIK.

Kesudahannya kita dapati tidak kurang yang terus percaya kepada tangkal azimat, pergi ke bomoh (kini dinamakan ustaz), percaya kepada tuah dan sial, percaya kepada kuasa-kuasa di alam ghaib selain ALLAH, percaya kepada kelebihan kuasa guru ketika hidup dan selepas mati, pergi ke kubur untuk beribadah, tawaf dan beriktikaf di kubur dan sebagainya, sedangkan ia semua SYIRIK menyekutukan ALLAH dan diancam dengan azab KEKAL DALAM API NERAKA. Nauzubillah.

Justeru adakah wabak penyakit koronavirus sebahagian daripada tanda Akhir Zaman?

Jangan buang masa memikirkannya.

Fokuskan masa dan tenaga anda untuk memahami TAUHID dan banyakkan AMAL SOLEH dengan memastikan ia dilakukan secara IKHLAS dan mengikut SUNAH NABI ﷺ.

Jauhi AMALAN TOKOK TAMBAH yang direka-reka mengikut akal dan hawa nafsu atas alasan “INIKAN BAIK!”.

TIDAK. Apa yang BAIK ialah apa yang menepati AS-SUNAH. Apa yang menyalahi as-Sunah pastinya BURUK.

Catatan:

Pihak-pihak yang membahaskan penularan wabak penyakit yang melanda sewajarnya menenangkan masyarakat supaya kembali kepada ALLAH, berlindung dan memohon pertolongan daripada ALLAH. Bukan mensensasikannya dengan mengaitkannya dengan tanda-tanda Akhir Zaman berdasarkan taakul dan firasat mereka semata-mata sehingga menimbulkan rasa panik dan cemas tak tentu hala.

Semoga ALLAH menghilangkan wabak penyakit yang melanda negara dengan secepatnya. Sesungguhnya ALLAH Maha Kuat lagi Maha Perkasa.

Idris bin Sulaiman
Kajang
Kurang sebulan sebelum tiba Ramadan Mubarak
3 Syaaban 1441H / 28 Mac 2020

Similar Posts