Frozen signs in the snow in the mountains

KITA KENA IKUT FAHAM GURU KITA?

KITA KENA IKUT FAHAM GURU KITA
BAHKAN AKAN SESAT JIKA LANGSUNG IKUT NABI!

Menurut si fulan:

“Ayat Al-Quran tetap ikut, Nabi tetap ikut tetapi ikut faham guru kita. Kerana kita tidak faham ayat Al-Quran dan hadis. Bahkan kita akan sesat kalau kita ikut langsung dengan Nabi. Sebaliknya kita perlu ikut guru kita.”

“Kalau nampak Rasulullah ke kanan manakala guru kita ke kiri lalu kita ikut ke kanan maka Wahabilah kita!”

Video penuh:

https://fb.watch/b2iggC5rXX/

——————

Kenyataan-kenyataan di atas adalah salah dan keliru gara-gara orangnya tidak memahami kedudukan Al-Quran dan as-Sunah berbanding pendapat dan ijtihad para ulama.

Malah inilah asbab perpecahan umat Islam apabila masing-masing faham agama mengikut ajaran guru masing-masing lalu timbullah pelbagai firkah dan aliran dalam kalangan masyarakat.

Sedangkan berpegang kepada Al-Quran dan as-Sunah perlu menjadi matlamat setiap seorang Muslim manakala pendapat dan ijtihad para ulama adalah pintu ke arah matlamat tersebut.

Perlu dibezakan antara matlamat dan pintunya. Jangan sekali-kali matlamat menjadi pintu manakala pintu pula yang menjadi matlamat. Ini salah dan keliru.

Nas-nas Al-Quran dan as-Sunah tidak boleh dipaksa mengikut faham sang guru. Sebaliknya fahaman sang guru perlu dipastikan selari dengan Al-Quran dan as-Sunah sebelum diterima.

Inilah prinsip ittiba’ yang seharusnya menjadi pegangan setiap Muslim sejajar dengan perintah Allah dan Rasulnya untuk selamat di dunia dan akhirat.

Ada beza antara ittiba’ dengan taklid.

Ittiba’ ialah ikut dalil nas manakala taklid ialah ikut pendapat tertentu tanpa memahami dalil sandarannya. Kerana itu taklid sememangnya buta.

Terdapat banyak nas dan penjelasan ulama muktabar tentang keutamaan ittiba’.

Antaranya ialah firman Allah ﷻ:

“Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan – apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara – (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNya maka sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata.”

[Al-Quran, al-Ahzab; 33-36]

Sabda Nabi ﷺ:

“Aku tinggalkan buat kamu dua perkara yang kamu tidak akan sesat selama mana kamu berpegang kepada kedua-duanya; kitab Allah dan Sunah NabiNya.”

[Sahih. Riwayat Imam Malik]

Imam al-Shafie dalam Jima’ al-Ilm menegaskan:

وَأَنَّهُ لَا يَلْزَمُ قَوْلٌ بِكُلِّ حَالٍ إلَّا بِكِتَابِ اللهِ أوْ سُنَّةَ رَسُولِهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَأَنَّ مَا سِوَاهُمَا تَبَعٌ لَهُمَا.

“Dan sesungguhnya tiada kata-kata yang wajib dalam apa jua keadaan melainkan Kitab Allah atau sunah Rasulnya ﷺ dan bahawasanya apa yang selain daripada kedua-duanya kembali kepada kedua-duanya.”

Jelas beliau dalam kitabnya ar-Risalah:

وَيَجِبُ أنْ يُقْبَلَ الخَبَرُ فِي الوَقْتِ الَّذِي ثَبَتَ فِيهِ وَإنْ لمَ يَمْضَ عَمَلٌ مِنْ الأئِمَّةِ بِمِثْلِ الخَبَرِ.

“Hendaklah sesuatu hadis itu diterima pada waktu sabit kesahihannya sekali pun belum diketahui sesiapa daripada kalangan ulama yang beramal dengan hadis tersebut.”

Murid beliau iaitu Imam Ahmad bin Hanbal turut menekankan keutamaan ittiba’. Tegas beliau:

مَا ‌أجَبْتُ ‌فِي ‌مَسْأَلَةٍ إلَّا بِحَدِيثٍ عَنْ رَسُولِ اللهِ ﷺ إذَا وَجَدْتُ في ذَلِكَ السَّبِيلَ إلَيْهِ، أوْ عَنْ الصَّحَابَة أوْ التَّابِعِين، فَإذَا وَجَدْتُ عَنْ رَسُولِ اللهِ ﷺ لَم أعْدِلْ إلى غَيْرِه.

“Aku tidak menjawab sebarang permasalahan kecuali dengan hadis Rasulullah ﷺ; sekiranya aku mampu berbuat demikian. Atau dengan athar Sahabat atau Tabiin. Adapun jika aku mendapati terdapat hadis daripada Rasulullah ﷺ maka aku tidak akan berpaling kepada selainnya.”

[al-Muswaddah Fi Usul al-Fiqh oleh Ibnu Taimiah]

Imam al-Syafie sampai menegaskan:

“Umat Islam telah sepakat bahawa barang siapa yang terjelas buatnya Sunah Rasulullah ﷺ maka tidak halal baginya untuk meninggalkannya kerana mengambil pendapat orang lain.”

[I’lam al-Muwaqqi’in oleh Ibnu al-Qayyim]

Kerana itu beliau berkata:

“Sekiranya sesuatu hadis itu sahih maka itulah mazhabku.”

[al-Majmuk oleh an-Nawawi]

Justeru tidak boleh berhujah dengan kata-kata ulama kecuali dalam apa yang menepati nas. Ini bererti bahawa pandangan ulama perlu dinilai mengikut dalil, dan bukan dalil nas itu dipaksa ikut pandangan ulama.

Dan ulama wajib dihormati tetapi tanpa taasub. Mana-mana kata-kata ulama boleh diterima atau ditolak kecuali sabda Nabi ﷺ.

Muslim tidak menyembah kecuali Allah ﷻ dan tidak menyembah kecuali mengikut nas syariat Allah; Al-Quran dan as-Sunah.

Tinggal lagi ulama mana yang kita ikut sebenarnya?

Idris bin Sulaiman
Kajang
08 Rejab 1443H /
10 Februari 2022

——————-

Sertai bersama kami dalam grup Telegram Pena Ustaz Idris Sulaiman untuk mendapatkan artikel-artikel Ustaz dan memastikan anda tidak terlepas tulisan-tulisan yang terkini melalui pautan di bawah.

https://t.me/penaustazidrissulaiman

Similar Posts

  • |

    BIDAAH HASANAH

    – Dalil-dalil syubhah & jawapan SYUBHAH PERTAMA: Sabda Nabi ﷺ: مَنْ سَنَّ فِي الْإِسْلَامِ سُنَّةً حَسَنَةً فَلَهُ أَجْرُهَا وَأَجْرُ مَنْ عَمِلَ بِهَا مِنْ بَعْدِهِ مِنْ غَيْرِ أَنْ يَنْقُصَ مِنْ أُجُورِهِمْ شَيْءٌ وَمَنْ سَنَّ فِي الْإِسْلَامِ سُنَّةً سَيِّئَةً كَانَ عَلَيْهِ وِزْرُهَا وَوِزْرُ مَنْ عَمِلَ بِهَا مِنْ بَعْدِهِ مِنْ غَيْرِ أَنْ يَنْقُصَ…

  • |

    USTAZ WUHAN

    USTAZ WUHAN Tersebutlah cerita ceramah di sebuah masjid … Seorang penceramah berkata: “Tuan-tuan…Coronavirus dah disebut dalam al-Quran dan hadis semenjak 1400 tahun yang lepas…Allah telah pun memberi peringatan dan amarannya…” Lalu dia membaca firman Allah: وَوَصَّيْنَا الْإِنْسَانَ … وَهْنًا عَلَى وَهْنٍ “Dan kami ingatkan manusia… wahnan ‘ala wahn” (Luqman, 31:…

  • |

    ‘MAZHAB TIDAK BERMAZHAB’?

    – Allamazhabiyyah – Mazhab Salaf al-Soleh Khatib dalam khutbah Jumaat semalam membuat analogi menyamakan antara golongan liberal sesat dengan golongan yang dinamakan sebagai golongan ‘mazhab tidak bermazhab’ atau Allamazhabiyyah kerana menurutnya kedua-dua modusnya dikatakan menjatuhkan kredibiliti dan autoriti ulama-ulama silam. Tidak dinyatakan siapa golongan Allamazhabiyyah ini secara spesifik. Apa yang…

  • IMAM HANAFI, MALIKI & SYAFIE BERMAZHAB ASYA’IRAH?

    Asya’irah adalah nisbah kepada Imam Abu al-Hasan al-Asy’ari, wafat pada tahun 324H. Imam Hanafi wafat pada tahun 150H, manakala Imam Malik dan Imam Syafie rahimahumullah masing-masing wafat pada tahun 179H dan 204H. Apa masalahnya? Masalahnya ialah ketiga-tiga mereka hidup LEBIH SERATUS TAHUN SEBELUM Imam Abu al-Hasan al-Asy’ari. ——————- Akidah Asya’irah…

  • |

    SEJARAH KALENDAR HIJRAH

    – Doa awal tahun Hijrah vs Doa awal bulan Semalam saya ada menulis sebuah artikel berkenaan ‘Doa Akhir & Awal Tahun Hijrah’ di mana saya menyatakan bahawa tiada sebarang doa atau amalan yang sabit daripada Nabi ﷺ, para Sahabat atau para ulama muktabar bersempena dengan berakhirnya tahun Hijrah dan awalnya….

  • |

    “TAPI NABI TAK LARANG PUN!”

    Sebahagian pihak beranggapan bahawa Muslim boleh sahaja beramal dengan amalan-amalan tertentu sekalipun tiada contohnya daripada Nabi ﷺ atau para Sahabat selama mana amalan itu dilihat baik. Apabila ditegur mereka membalas: “Ada Nabi larang???” “Nabi tak larang pun!” Jawapan ini salah dan keliru. Bahkan ada larangan. Nabi ﷺ secara tegas dan…