|

KIFARAH BALASAN AKIBAT DOSA? – KEPERCAYAAN ‘KARMA’

Perlu ditegaskan bahawa kedua-dua perkataan ‘kafarah’ dan ‘kifarah’ membawa makna yang sama iaitu ‘penutup kesalahan’.

Asal perkataan ‘kafarah’ ialah daripada bahasa Arab dengan makna yang tersebut, manakala perkataan ‘kifarah’ lebih merupakan sebutan bahasa Melayu kolokial dan tidak wujud dalam bahasa Arab.

Mentafsirkan perkataan ‘kifarah’ sebagai balasan Allah akibat dosa Mukmin adalah kurang tepat dan boleh mengelirukan.

Ini kerana soal sama ada suatu musibah itu merupakan balasan akibat dosa atau ujian untuk ditinggikan darjat seseorang Mukmin hanya diketahui oleh Allah semata-mata.

Mengandaikan bahawa musibah yang menimpa seseorang berlaku akibat dosa-dosanya hanyalah andaian dan prasangka.

Sedangkan Nabi ﷺ bersabda:

مَا يُصِيبُ الْمُؤْمِنَ مِنْ شَوْكَةٍ فَمَا فَوْقَهَا إِلَّا رَفَعَهُ اللَّهُ بِهَا دَرَجَةً، أَوْ حَطَّ عَنْهُ بِهَا خَطِيئَةً.

“Apa yang menimpa seorang Mukmin sama ada (dengan terkena) duri atau yang lebih besar daripadanya melainkan dengannya Allah akan meninggikan darjatnya atau dihapuskan kesalahan daripadanya.”

[Sahih, riwayat Bukhari, no. 5641 dan Muslim, no. 2573]

KEPERCAYAAN ‘KARMA’

Andaian bahawa musibah berlaku sebagai balasan akibat dosa menyerupai kepercayaan ‘karma’ dalam agama Hindu, Sikh dan Buddha, iaitu tanggapan bahawa balasan buruk berpunca daripada perbuatan buruk, dan sebaliknya.

Kepercayaan ini menyalahi ajaran Islam, yang menetapkan bahawa segala kejadian berlaku dengan takdir dan kebijaksanaan Allah, termasuklah musibah yang menimpa atas hamba-Nya yang beriman – sama ada sebagai kafarah untuk menghapuskan dosa, atau sebagai ujian untuk meninggikan darjatnya di sisi Allah.

Daripada Allah jua kita memohon petunjuk.

Dr. Idris bin Sulaiman
Kajang
21 Rabiulakhir 1447H
13 Oktober 2025
https://idrissulaiman.com/shop

Similar Posts