|

KETURUNAN NABI ﷺ

– Cara betul menilai seseorang

Baru-baru ini ada yang bertanya tentang sejauh mana kebenaran dakwaan yang mengatakan bahawa individu dalam gambar yang dilampirkan merupakan keturunan Rasulullah ﷺ daripada susur jalur zuriat Syeikh Abdul Qodir al-Jailani (ulama mazhab Hanbali, wafat 561H).

Saya berpandangan bahawa memastikan kebenaran dakwaan ini tidak penting kerana sudah ramai individu lain yang turut mendakwa sedemikian sedangkan pada hari ini tiada jalan untuk memastikan kesahihan dakwaan-dakwaan tersebut.

Maka ia hanyalah dakwaan.

Apa yang perlu ditekankan ialah sejauh mana seseorang Muslim itu berpegang kepada akidah dan manhaj Salaf al-Soleh kerana inilah jaminan kebenaran dan keselamatan di dunia dan akhirat.

Penilaian terhadap seseorang itu juga seharusnya tertumpu pada sejauh mana keimanan dan ketakwaannya kepada Allah ﷻ dalam melaksanakan suruhan-suruhan serta menjauhi larangan-larangan Allah ﷻ.

Ini kerana Allah ﷻ berfirman:

إِنَّ أَكۡرَمَكُمۡ عِندَ ٱللَّهِ أَتۡقَىٰكُمۡ.

“Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu.”

[Al-Quran, al-Hujuraat, 49: 13]

Inilah kayu mengukur untuk menentukan kedudukan seseorang individu itu sama ada baik atau buruk.

Bukan keturunannya.

Malah keturunan seseorang itu tidak bermakna apa-apa jika kedudukan agamanya rosak seperti mana Abu Lahab yang datang daripada keturunan Nabi ﷺ (pakcik sebelah bapa baginda ﷺ) tetapi beliau merupakan individu yang sesat dan telah mati dalam keadaan kufur, nauzubillah.

Sabda Nabi ﷺ:

ومَنْ بَطَّأ بِهِ عَمَلُهُ لَمْ يُسْرِعْ بهِ نَسَبُهُ.

“Barang siapa amalannya melambatkannya maka nasabnya tidak akan mempercepatkannya.”

[Sahih. Riwayat Muslim]

Dalam hadis di atas Nabi ﷺ menegaskan bahawa barang siapa amalannya tidak dapat membantunya masuk ke syurga (kerana amalan baiknya kurang atau tidak ada sama sekali) maka nasabnya tidak akan berguna dan tidak akan dapat mengubah nasibnya itu.

Daripada Allah jua kita memohon petunjuk.

Dr. Idris bin Sulaiman
Kajang
09 Safar 1444H
06 September 2022

Similar Posts

  • |

    LELAKI BERSALAMAN DENGAN PEREMPUAN SECARA BERALAS

    Tidak boleh bagi seorang lelaki bersalaman dengan perempuan yang bukan mahramnya sama ada secara beralas ataupun tidak. Ini berdasarkan kenyataan Aisyah tentang cara Nabi ﷺ menerima baiah taat setia para wanita Sahabat di mana dia berkata: لا والله ما مست يده يد امرأة في المبايعة. “Demi Allah tangan baginda ﷻ…

  • |

    DEFINISI BIDAAH

    Ada pihak sengaja menangguk di air keruh mahu kelirukan orang ramai tentang isu bidaah. Mereka gambarkan seolah-olah Salafi (dipanggil Wahabi) melarang bidaah secara semberono dan membuta tuli. Lalu secara sinis dan menyindir berkata: “Oh, maknanya semua benda baharu dan peralatan moden tak boleh digunakan! Telefon, kamera, kereta, kapal terbang… ini…

  • |

    BILA SESUAI UCAP ‘WALLAHUAKLAM’

    – Wallahulmuwaffiq – Cara penggunaan dalam ayat Wallahuaklam bermaksud ‘Dan Allah lebih tahu’. Bila sesuai digunakan perkataan ‘Wallahuaklam’? Dalam dua keadaan: 1. Jika hendak mengatakan bahawa sesuatu yang telah disampaikan itu merupakan hasil ilmu yang telah dianugerahkan oleh Allah ﷻ. Maka perkataan ‘Wallahuaklam’ di sini bertujuan untuk menegaskan bahawa apa…

  • ULAMA BERBEZA PENDAPAT

    ULAMA BERBEZA PENDAPAT – Isu khilafiah, perselisihan ulama “Ulama khilaf. Ini isu khilafiah. Jangan diperbesar-besarkan. Terpulanglah nak pilih pendapat mana. Mana yang dipilih itulah yang benar. Semua pendapat ini benar. Tiada sesiapa yang benar atau salah. Semuanya benar. Tiada paksaan. Kita perlu berlapang dada. Mereka yang memperbesarkan isu-isu khilafiah ialah…

  • |

    BIDAAH

    Apa yang bukan ibadah pada zaman Rasulullah tidak mungkin jadi ibadah pada hari ini. Kerana agama sudah sempurna. Apa yang Nabi dan Sahabat tidak buat jangan buat. Dr. Idris bin SulaimanKajang29 Syawal 1445H08 Mei 2024https://idrissulaiman.com