‘KENALI AKIDAH SALAF SEBENAR’ YANG TIDAK SEBENARNYA
Ada yang berkongsi tangkap layar hantaran sebuah akhbar arus perdana bertajuk ‘Kenali akidah Salaf sebenar’ yang sejujurnya telah mengujakan saya pada awalnya.
Walau bagaimanapun, setelah diamati isi tulisan yang disisipkan ternyata tajuknya sekadar ‘indah khabar daripada rupa’.
https://www.hmetro.com.my/addin/2023/12/1039073/kenali-akidah-salaf-sebenar
Dukacita tulisannya membawa banyak kenyataan yang mengelirukan. Justeru saya terpanggil untuk menyenaraikan di bawah beberapa kritikan ke atasnya.
KENYATAAN 1
“Muncul mutakhir ini segelintir pihak yang menjaja jenama ‘akidah Salaf’ namun dalam agenda mereka turut menyesatkan akidah majoriti ulama Islam yang berfahaman Ahli Sunah Waljamaah (ASWJ) al-Asyairah dan al-Maturidiah… Maka begitu juga golongan ekstremis Wahabi yang mendakwa majoriti ulama Islam menyimpang daripada akidah Salaf..”
JAWAPAN
Kenyataan bahawa ‘ekstremis Wahabi’ mengatakan majoriti ulama Islam menyimpang daripada akidah Salaf perlu disemak semula memandangkan tiada mana-mana ulama atau kumpulan yang menggelari dirinya Wahabi, dan hakikat ini sahaja sudah cukup untuk mengelirukan pembaca.
Siapa ‘ekstremis Wahabi’ dan siapa ‘majoriti ulama Islam’ yang dikatakan telah menyimpang itu?
KENYATAAN 2
“Seolah-olah ulama Salaf gagal menerapkan akidah yang benar kepada generasi ulama Islam selepas mereka.”
Kenyataan ini tidak benar dan mengelirukan kerana apa yang pasti ulama pendukung mazhab Salaf terus tegar dan wujud dalam setiap generasi umat Islam sebagaimana jaminan Nabi ﷺ dalam sabdanya:
“Akan sentiasa ada dalam kalangan umatku kumpulan yang zahir menegakkan kebenaran (Islam). Mereka tidak dimudaratkan oleh sesiapa yang mengecewakan mereka. Sehinggalah datangnya ketentuan Allah dan mereka tetap dalam keadaan sebegitu.”
[Riwayat Muslim]
KENYATAAN 3
“Pendirian teguh Imam Ahmad juga menjadi inspirasi kepada ramai ahli hadis dalam mengangkat penggunaan dalil naqli dan memberi peringatan mengenai bahaya takwil yang berpaksikan akal semata-mata.”
Imam Ahmad memang seorang tokoh besar yang dipuji oleh para ulama kerana kegigihan beliau mempertahankan akidah Salaf, dan pendekatan takwil yang dikritik oleh beliau itu jugalah yang digunakan oleh golongan Asyairah dan Maturidiah dalam mentakwilkan sifat-sifat Allah ﷻ termasuklah sifat istiwa dengan berpaksikan akal semata-mata kerana tiada sama sekali dalil naqli yang menyokong takwilan mereka itu.
Sedangkan ilmuwan Asyairah kontemporari, Dr. Muhammad Saeed Ramadan al-Bouti berkata “Adapun meninggalkan nas-nas pada makna zahirnya tanpa takwil, sama ada secara umum atau terperinci tidak dibenarkan sama sekali.”
[Kubra al-Yaqiniyyat, hlm. 114]
KENYATAAN 4
“Melalukan bacaan pada semua hadis sifat ini menurut majoriti ulama ASWJ dikenali sebagai kaedah tafwidh, iaitu menyerahkan hakikat atau makna sebenarnya kepada Allah SWT. Ini lah pegangan akidah Salaf yang benar di samping turut dikesan juga daripada sebahagian mereka menggunakan metode takwil seperti Imam Malik, Imam al-Syafii, Imam Ahamd, Imam al-Bukhari dan lain-lain.”
Kenyataan di atas memang mengelirukan. Kata-kata separuh benar. Ini kerana metode Salaf bukan ‘tafwidh’ sepenuhnya yakni menyerahkan makna sifat kepada Allah ﷻ. Sebaliknya Salaf hanya ‘tafwidh’ kaifiat sifat sahaja.
Ini perbezaan utama antara makna ‘tafwidh’ di sisi Salaf dan Khalaf di mana Salaf memahami dan beriman dengan zahir makna nas-nas sifat, dan hanya menyerahkan kaifiat sifat kepada Allah ﷻ. Khalaf pula mengandaikan bahawa ‘tafwidh’ ialah menyerahkan sepenuhnya makna dan kaifiat sifat kepada Allah ﷻ tanpa memahami apa-apa tentang sifat Allah ﷻ itu.
Walhal Imam Malik dalam ucapannya yang masyhur berkata “(Makna) Istiwa maklum” yakni maksudnya dalam bahasa Arab difahami, “Kaifiatnya majhul” yakni tidak diketahui atau difahami oleh manusia, “Menyoal tentangnya ialah bidaah” yakni membahaskan mengenai kaifiatnya, “Dan beriman dengannya adalah wajib” yakni beriman dengan makna zahirnya menurut bahasa Arab adalah wajib.
KENYATAAN 5
“Respons sesetengah ahli hadis didapati agak berlebih-lebihan sehingga turut berpegang dengan hadis daif, mungkar dan palsu. Akhirnya sama ada disedari atau tidak, mereka menghampiri pula kepada fahaman Mujassimah Musyabbihah.”
Kenyataan di atas sangat mengelirukan. Logiknya ulama hadislah yang menjadi rujukan umat dalam menentukan mana hadis daif, mungkar dan palsu tetapi bagaimana pula dikatakan bahawa ahli hadis itu sendiri yang berpegang kepada hadis-hadis daif, mungkar dan palsu?
Tambah mengelirukan apabila dikatakan terdapat sesetengah ulama hadis yang menghampiri fahaman Mujassimah Musyabbihah termasuklah anak Imam Ahmad sendiri dalam kitabnya al-Sunah. Dakwaan yang sangat berat.
Ironinya, pujian kepada ahli hadis pada awal tulisan cepat bertukar kepada cemuhan selang beberapa perenggan sahaja.
KENYATAAN 6
“Meskipun terdapat ibarat yang menunjukkan aspek tafwidh dalam semua kitab ini, namun terdapat juga unsur tasybih dan tajsim yang jelas. Ringkasnya, ia turut mempromosi fahaman sesat Mujassimah Musyabbihah yang meyakini sifat Allah SWT itu berjisim, bersaiz dan berimej seperti sifat makhluk. Ini manhaj akidah yang keliru dan mesti ditolak.”
Ini tohmahan dan cemuhan terhadap ulama hadis sedangkan akidah mereka tentang sifat-sifat Allah ﷻ sama sekali bukan tasybih atau tajsim sebagaimana banyak ditegaskan oleh para ilmuwan Salafi.
Apakan daya, lawan tetap tidak mahu bersikap adil sehingga mengatakan apa yang tidak dikata.
Kata Syeikh Saleh al-Fauzan, anggota Badan Pembesar Ulama Arab Saudi:
“Metode Salaf bukan tafwidh (makna) sebaliknya mereka beriman dengan nas-nas ini seperti yang dinyatakan dan menetapkan makna-maknanya mengikut maksud zahirnya dalam bahasa (Arab) di samping menafikan tasybih (menyerupakan Allah ﷻ dengan makhluk) sebagaimana firman Allah ﷻ: Tiada yang serupa denganNya dan Dialah Yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat (42:11).”
[al-Muntaqa Min Fatawa al-Fauzan, 1/25]
Apa pula agaknya yang hendak dikatakan tentang Imam Ahmad yang menegaskan dalam kitabnya Syarah Usul al-Sunah bahawa Allah ﷻ akan dilihat oleh manusia pada Hari Akhirat. Adakah Imam Ahmad juga seorang mujassimah musyabbihah?
KENYATAAN 7
“Di tengah-tengah kekeliruan golongan Hasyawiyyah dan kesesatan golongan Muktazilah inilah muncul Imam Abu al-Hasan al-Asyari (260-324H) bangkit mempertahankan akidah Salaf yang sebenar dengan menggunakan manhaj yang lebih kemas dan tersusun, menggabungkan aspek naqli serta aqli secara berdisiplin.”
Barangkali kenyataan di atas ialah kemuncak kekeliruan yang menimbulkan beberapa kemusykilan seperti berikut:
- Maklum bahawa akidah Abu al-Hasan al-Asyari telah melalui beberapa peringkat di mana pada awalnya beliau berfahaman Muktazilah kemudian menganut fahaman Kullabiyyah (Asyairah) dan akhirnya kembali ke manhaj Salaf sebagaimana ditegaskan oleh beliau dalam kitab Maqalaat al-Islamiyyin. Maka peringkat manakah yang dimaksudkan dalam kenyataan di atas beliau “bangkit mempertahankan akidah Salaf sebenar”?
- Adakah ini tohmahan secara tidak langsung bahawa akidah Salaf yang sebenar pada awalnya tidak kemas dan tidak tersusun serta tidak menggabungkan aspek naqli dan aqli secara berdisiplin? Sedangkan sebarang kritikan kepada generasi Salaf yang mulia hanya akan berbalik kepada pengkritik itu sendiri.
- Jika fahaman Asyairah merupakan fahaman Salaf yang sebenar, mengapa tidak hanya dinamakan fahaman Salaf? Mengapa dinamakan fahaman Asyairah, dan yang terkini ditambah pula dengan fahaman Maturidiah? Yang mana satu betul, Asyairah atau Maturidiah? Kerana ada perbezaan antara kedua-duanya.
KENYATAAN 8
“Dari mana timbulnya perebutan jenama akidah Salaf ini?”
Nampaknya yang merebut jenama ini hanyalah pengikut fahaman Asyairah itu sendiri. Sepertinya mereka tidak berapa yakin dengan jenama Asyairah yang dianuti sehingga terpaksa membolot jenama Ahli Sunah Waljamaah, dan yang terbaru mereka mahu membolot jenama Salaf pula.
Jelasnya ini semua hanya menambahkan kekeliruan dan kekusutan.
Daripada Allah jua kita memohon petunjuk.
Dr. Idris bin Sulaiman
Kajang
03 Jamadilakhir 1445H
16 Disember 2023
https://idrissulaiman.com