| |

JAWAPAN KEPADA USTAZ ENGKU AHMAD FADZIL

– 3 Hadis Boleh Minta Tolong Orang Mati

Beberapa hari yang lalu Ustaz Engku Ahmad Fadzil mengejutkan ramai orang apabila mendakwa bahawa Muslim boleh ‘istianah’ meminta tolong dengan makhluk termasuklah dengan orang-orang yang sudah meninggal dunia.

Beliau menegaskan “Yang sabit dalam hadis Nabi ﷺ adalah dia itu boleh mendoakan. Jadi bila kita minta tolong kepada orang yang dah meninggal dunia (maka) yang kita harapkan ialah doanya. Moga-moga dia berdoa di alam roh dia orang soleh, dia orang wali dan sebagainya maka Allah perkenankan doanya (lalu) dapatlah hajat dia.”

Semalam beliau membawakan tiga hadis sebagai dalil.

https://www.facebook.com/engkuahmadfadzilTOP/posts/pfbid0HHaNqUJX4XhJU4v4ZFJSvh2szKUCU49G4wYw5wthDibGsQxmkE2AuNMH8pxgdLStl

JAWAPAN

Penting diingatkan bahawa fokus perbahasan ialah sejauh mana Muslim dibolehkan meminta tolong daripada orang mati dan apakah dalil hadis yang mengharuskannya.

Berikut ialah tiga hadis yang dibawa oleh beliau.

HADIS PERTAMA

حَيَاتِي ‌خَيْرٌ ‌لَكُمْ، وَمَوْتي خَيْرٌ لَكُمْ، تُعْرَضُ عَلَيَّ أَعْمَالُكُمْ، فَمَا كَانَ مِنْ حَسَنٍ حَمِدْتُ اللَّهَ عَلَيْهِ وَمَا كَانَ مِنْ سَيِّءٍ اسْتَغْفَرْتُ اللَّهَ لَكُمْ.

“Kehidupanku baik buat kamu dan kematianku baik buat kamu. Amalan-amalan kamu dipamerkan kepadaku lalu mana-mana amalan yang baik maka aku memuji Allah ke atasnya dan mana-mana amalan yang buru maka aku memohon keampunan Allah buat kamu.”

Hadis ini diriwayatkan oleh al-Bazzar dalam Musnadnya yang bermula dengan sabdanya “Sesungguhnya Allah mempunyai malaikat-malaikat yang berkelana (di atas muka bumi) untuk menyampaikan kepadaku ucapan salam umatku.”

Tambahan “Kehidupanku baik buat kamu…” dinilai syaz (ganjil) kerana ia datang hanya dari jalan riwayat Abdul Majid bin Abdul Aziz sedangkan hafalan beliau dikritik.

Ada ulama yang menthiqahkan beliau dan ada yang melemahkan.

Kata al-Khalili “Beliau thiqah tetapi melakukan kesalahan dalam hadis-hadis…”

Kata al-Nasaie “Beliau tidak kuat.”

Kata Ibnu Abdul Bar “Beliau meriwayatkan hadis-hadis daripada Malik dengan kesalahan-kesalahan.”

Kata Ibnu Hibban “Riwayat beliau sangat mungkar kerana beliau menterbalikkan riwayat-riwayat di samping meriwayatkan perkara-perkara yang pelik daripada perawi-perawi yang masyhur sehingga melayakkan beliau untuk ditinggalkan.”

[al-Daifah oleh al-Albani, 2/404, no. 975]

Pendek kata, hadisnya daif kerana kritikan ke atas perawinya Abdul Majid bin Abdul Aziz.

Jika sahih sekalipun, hadis ini jauh panggang dari api kerana ia tiada kaitan dengan keharusan orang hidup meminta tolong daripada orang mati kerana ia hanya menyebutkan tentang reaksi balas Nabi ﷺ terhadap amalan baik dan buruk umat baginda ﷺ.

HADIS KEDUA

إنَّ ‌أَعْمَالَكُمْ ‌تُعْرَضُ ‌عَلَى ‌أَقَارِبِكُمْ ‌وَعَشَائِرِكُمْ ‌مِنَ ‌الْأَمْوَاتِ، فَإِنْ كَانَ خَيْرًا اسْتَبْشَرُوا، وَإِنْ كَانَ غَيْرَ ذَلِكَ، قَالُوا: اللهُمَّ لَا تُمِتْهُمْ، حَتَّى تَهْدِيَهُمْ كَمَا هَدَيْتَنَا.

“Sesungguhnya amalan-amalan kamu dipamerkan kepada kaum kerabat kamu dan ahli-ahli keluarga kamu yang telah meninggal dunia. Sekiranya ianya baik maka mereka akan bergembira dengannya, dan sekiranya tidak maka mereka akan berkata: Ya Allah, janganlah Engkau matikan mereka sehinggalah Engkau beri hidayah kepada mereka sebagaimana Engkau beri kami hidayah.”

Hadis sahih. Riwayat Imam Ahmad.

Hadis di atas menceritakan tentang kehidupan di alam barzakh dan ia sama sekali tidak memberi maksud diharuskan meminta tolong daripada orang mati.

HADIS KETIGA

مَا مِنْ أحَدٍ يَمُرُّ بِقَبْرِ أخِيهِ المؤمن يَعْرِفُهُ فِي الدُّنْيَا فَيُسَلِّمُ عَلَيْهِ إِلَّا عَرَفَهُ ‌وَرَدَّ ‌عَلَيْهِ ‌السَّلَامَ.

“Tidaklah seseorang itu melewati kubur saudara Mukminnya yang dikenalinya sewaktu di dunia lalu dia memberi salam kepadanya melainkan si mati itu akan mengenalinya dan menjawab salamnya.”

Hadis ini daif.

Ia diriwayatkan oleh al-Khatib dalam Tarikh Baghdad dan yang lain.

Antara sanad riwayat-riwayatnya terdapat perawi lemah bernama Abdul Rahman bin Zaid dan Muhammad bin Qudamah al-Jauhari di samping kelemahan yang lain.

Jika sahih sekalipun, hadis ini menjelaskan bahawa orang mati boleh menjawab salam.

Tetapi ia tidak memberi apa-apa makna yang mengharuskan orang hidup meminta tolong daripada orang mati.

CELARU & KELIRU

Pemikiran Ustaz Engku celaru dan keliru sehingga tidak dapat membezakan antara nas-nas yang menceritakan tentang keadaan di alam barzakh dengan permasalahan ‘istianah’ meminta pertolongan dengan apa yang ada di alam ghaib.

Keadaan di alam barzakh tidak boleh disamakan dengan di dunia kerana apa yang pastinya dunia ialah tempat beramal manakala akhirat ialah tempat pembalasan manakala alam kubur ialah permulaan alam akhirat itu.

Mengandaikan bahawa orang mati boleh mendengar secara mutlak, suara panggilan yang dekat dan yang jauh, dia prihatin dan sedia membantu orang yang memanggil, dia berzikir, berdoa dan solat di dalam kubur jelas keliru dan salah.

Tambah lagi, dalam permasalahan yang sebegini serius yang berkaitan dengan akidah dan melibatkan permasalahan antara tauhid dan syirik, ternyata inilah tiga hadis yang paling ‘sarih’ (jelas) dan paling ‘qatie’ (kuat) yang dapat dikemukakan oleh beliau.

Apa yang pasti, ketiga-tiga hadisnya tidak kena pada tempatnya.

Ketiga-tiga hadis yang dibawakan tiada kaitan dengan keharusan meminta tolong daripada orang mati.

Ini bahana apabila didahulukan akal atas wahyu sehingga cepat membuat kesimpulan hasil daripada andaian dan cara menaakul yang salah lalu menatijahkan pemahaman yang tidak sewajarnya.

RASULULLAH ﷺ & SAHABAT

Jika Muslim dibolehkan meminta tolong daripada orang mati nescaya Rasulullah ﷺ telah memulakannya dahulu dengan meminta daripada nabi-nabi dan rasul-rasul terdahulu.

Atau paling tidaknya akan ada nas daripada baginda ﷺ menganjurkannya kepada para Sahabat.

Atau ada amalan sedemikian daripada generasi awal umat Islam, Salaf al-Soleh dan para ulama muktabar seperti Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam al-Syafie ataupun Imam Ahmad.

Jelasnya tiada.

Malahan nas-nas Al-Quran dan hadis menunjukkan sebaliknya lebih-lebih lagi dalam surah al-Fatihah yang dibaca oleh Muslim setiap hari berulang-ulang kali.

Firman Allah ﷻ:

إِيَّاكَ نَعۡبُدُ وَإِيَّاكَ نَسۡتَعِينُ.

“Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami meminta pertolongan.”

[Al-Quran, al-Fatihah, 1: 5]

Sabda Nabi ﷺ:

إِذَا اسْتَعَنْتَ ‌فَاسْتَعِنْ ‌بِاللَّهِ.

“Jika engkau meminta pertolongan maka mintalah dengan Allah.”

[Sahih. Riwayat Ahmad]

KESIMPULAN

Muslim diperintahkan supaya berdoa, menyeru dan memanggil dengan apa yang ada di alam ghaib untuk ‘istianah’ meminta pertolongan daripada Allah ﷻ semata-mata.

Jangan berdoa dan jangan meminta di alam ghaib kepada selain Allah ﷻ kerana ia adalah syirik pembatal keislaman.

Pandangan yang mengharuskannya bukan sahaja keliru malah berbahaya kerana akan membuka pelbagai amalan khurafat dan syirik termasuklah pemujaan kubur yang benar-benar telah pun berlaku di sesetengah negara Islam pada hari ini.

Daripada Allah jua kita memohon petunjuk dan perlindungan.

Dr. Idris bin Sulaiman
Kajang
23 Safar 1444H
20 September 2022

Similar Posts

  • SYARAT-SYARAT & HALANGAN-HALANGAN HUKUMAN KAFIR

    Kerana sabda Nabi ﷺ: رُفِعَ ‌الْقَلَمُ عَنْ ثَلَاثَةٍ: عَنِ النَّائِمِ حَتَّى يَسْتَيْقِظَ وَعَنِ الصَّبِيِّ حَتَّى يَحتَلِم وَعَنِ المجْنُونِ حَتَّى يَعْقِل. “Diangkat pena buat tiga golongan; orang yang tidur sehingga dia terjaga, anak kecil sehingga dia baligh dan orang gila sehingga dia berakal.” [Sahih. Riwayat Abu Daud, no. 4403] Firman Allah…

  • |

    USTAZ ZAINUL ASRI: TAUBAT TANPA TAUBAT

    – Isu Inkarnasi Perpindahan Roh Alhamdulillah. Ustaz Zainul Asri telah menarik balik kenyataan beliau tentang inkarnasi perpindahan roh dari jasad ke jasad lain. https://www.facebook.com/watch/?v=1033385820715926 Beliau berkata: “Saya tidak mahu memanjangkan isu (ini). Saya tarik balik kenyataan itu. Dan saya mengatakan bahawa saya pun tak tahu. (Ia) bukan kenyataan saya (dan)…

  • |

    PENTINGNYA TAUHID

    # Syarat masuk syurga # Elak kekal dalam api neraka Tauhid mengesakan ALLAH ﷻ serta menjauhi segala bentuk syirik menyekutukan ALLAH ﷻ merupakan syarat utama masuk syurga serta selamat daripada kekal dalam api neraka. Firman ALLAH ﷻ: إِنَّهُۥ مَن يُشۡرِكۡ بِٱللَّهِ فَقَدۡ حَرَّمَ ٱللَّهُ عَلَيۡهِ ٱلۡجَنَّةَ وَمَأۡوَىٰهُ ٱلنَّارُۖ وَمَا لِلظَّٰلِمِينَ…

  • |

    KUBURIYYUN – GOLONGAN PENYEMBAH KUBUR

    Masih tidak percaya sebahagian kaum Muslimin diperdaya supaya SEMBAH KUBUR ? Nah, biar gambar berbicara. Sedangkan ALLAH berfirman: وَأَنَّ ٱلۡمَسَـٰجِدَ لِلَّهِ فَلَا تَدۡعُوا۟ مَعَ ٱللَّهِ أَحَدࣰا “Dan sesungguhnya masjid-masjid itu untuk (menyembah) ALLAH semata-mata, maka janganlah kamu seru dan sembah sesiapapun bersama-sama ALLAH.” Surah Al-Jinn, 18. Firman ALLAH: یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ…

  • | | |

    ASYAIRAH SUFIYYAH

    Golongan yang memperlihatkan tauhid sebagai syirik manakala syirik dikatakan tauhid. Menetapkan sifat-sifat Allah berdasarkan firman Allah ﷻ dan sabda Nabi ﷺ dikatakan tajsim, menjisimkan Allah ﷻ seperti makhluk yang syirik lagi kufur, kata mereka. Manhaj metodologi mereka ialah takwil dan tafwid, memalingkan zahir makna sifat-sifat Allah ﷻ kepada makna-makna yang…

  • |

    USTAZ DIJAMIN SYURGA OLEH RASULULLAH!

    – Dakwaan jumpa Nabi secara jaga – Berbohong atas nama Nabi ﷺ Tular di media sosial seorang ustaz yang sebelum ini banyak mengemukakan dakwaan-dakwaan melampau seperti mengatakan bahawa Nabi Adam telah turun di Gunung Jerai (Kedah) dan ramai Sahabat Nabi ﷺ yang datang ke Tanah Melayu termasuklah Sayidina Uthman bin…