ISU LARANGAN SOLAT JUMAAT & SOLAT BERJEMAAH AKIBAT PENULARAN KORONAVIRUS
ISU LARANGAN SOLAT JUMAAT & SOLAT BERJEMAAH AKIBAT PENULARAN KORONAVIRUS
(Penafian: Artikel ini bukan bertujuan untuk menyanggah mana-mana fatwa atau arahan pemerintah. Sebaliknya ia perbahasan akademik yang bertujuan supaya Muslimin bermuhasabah agar kembali kepada Allah di saat menghadapi musibah)
(Penafian 2: Ketaatan kepada pemerintah Muslim dalam hal makruf termasuk dalam isu penutupan masjid tetap wajib)
Fatwa yang dikeluarkan oleh sesetengah badan Agama berkenaan arahan mengunci masjid serta melarang solat Jumaat dan solat berjemaah telah menimbulkan sedikit sebanyak kekeliruan serta meninggalkan kesan mendalam di hati sanubari umat Islam memandangkan bahawa tidak pernah sebelum ini ada fatwa sedemikian sepanjang sejarah Islam selama lebih 1441 tahun.
Terdapat beberapa kemusykilan berkenaan fatwa ini seperti mana berikut:
KEMUSYKILAN PERTAMA
Tiada petunjuk daripada ketiga-tiga generasi awal umat Islam; daripada kalangan Sahabat, Tabi’in dan Tabi’ Tabi’in serta mereka yang datang sesudah mereka daripada kalangan para ulama dan fuqaha (ahli fiqah) bahawa mereka pernah melarang solat Jumaat dan solat berjemaah apabila menularnya wabak taun yang kesannya jauh lebih dahsyat dan tak terbanding dengan virus korona.
Angka kematian dalam kes koronavirus buat masa sekarang tidak lebih daripada 4% daripada keseluruhan jumlah kes.
Jika dibandingkan dengan dahulu, boleh dikatakan angka ini merupakan nisbah mereka yang selamat (yang hidup) dalam beberapa peristiwa wabak taun dalam sejarah Islam dan ada kalanya nisbah kematiannya sampai tiga perempat daripada jumlah mangsa jangkitan. Anas bin Malik r.a. pernah sampai kehilangan 83 orang anaknya akibat taun. Sekalipun demikian, telah sabit bahawa mereka tetap mendirikan solat Jumaat dan solat berjemaah dalam peristiwa-peristiwa tersebut.
Dalam hal ini, prinsip Agama menetapkan bahawa apa sahaja yang tidak dilakukan oleh generasi Salaf (ketika mana wujud keperluan dan tidak apa-apa yang menghalang mereka daripada melakukannya) maka ia perlu ditinggalkan.
Bagaimana pula sekiranya keperluannya pada zaman Salaf dahulu jauh lebih dahsyat berbanding pada zaman kemudian, ini menuntut supaya apa yang tidak dilakukan oleh generasi Salaf itu jauh lebih utama untuk ditinggalkan oleh umat Islam yang datang kemudian.
KEMUSYKILAN KEDUA
Tiada pandangan daripada mana-mana fuqaha mutakaddimin mahupun mutaakhirin – yang sekian ramainya dan sekian banyaknya tulisan-tulisan mereka – yang menyatakan bahawa penularan taun dan wabak penyakit merupakan satu keuzuran untuk meninggalkan solat Jumaat dan solat berjemaah sedangkan peristiwa-peristiwa penularan taun dan wabak penyakit telah banyak kali berlaku sehinggakan pada zaman Kerajaan Umawiyah ia berlaku pada purata sekali untuk setiap empat tahun.
KEMUSYKILAN KETIGA
Perlu dibezakan antara memberi kelonggaran untuk meninggalkan solat Jumaat dan solat berjemaah buat mereka yang khuatir atas dirinya dijangkiti penyakit sekiranya ada sebab-sebabnya seperti mana yang ditetapkan oleh sebahagian fuqaha, dengan perbuatan mengunci masjid dan menghalang orang ramai termasuk mereka yang tidak khuatir atas dirinya dijangkiti penyakit.
Kelonggaran ialah bagi mereka yang khuatir atas dirinya, bukan dengan menghalang mereka yang tidak khuatir atas dirinya.
KEMUSYKILAN KEEMPAT
Kenyataan sebahagian fuqaha bahawa kekhuatiran dijangkiti penyakit merupakan satu keuzuran untuk meninggalkan solat Jumaat dan solat berjemaah merupakan satu kelonggaran dan bukan larangan mutlak.
Dengan kata lain, keizinan untuk mereka yang khuatir atas dirinya dijangkiti penyakit untuk meninggalkan solat Jumaat dan solat berjemaah hanyalah satu keharusan dan bukan satu kewajipan.
Bagaimanakah pula dengan mereka yang tidak khuatir atas dirinya dijangkiti penyakit? Adalah lebih utama untuk mereka tidak meninggalkan solat Jumaat dan solat berjemaah, apatah lagi untuk pihak lain menghalang mereka.
KEMUSYKILAN KELIMA
Dalam hadis menyebutkan bahawa penyakit taun ialah “Rahmat buat orang-orang beriman”. Dan ini membuatkan sebahagian Sahabat seperti mana yang sabit daripada Abu Ubaidah r.a. dan Muaz bin Jabal r.a. berdoa kepada Allah dan meminta bahagian mereka daripadanya apabila tersebarnya penyakit taun di negeri Syam yang dikenali dengan Taun Amwas.
Memandangkan ia rahmat buat orang-orang beriman maka ini menyebabkan mereka tidak meninggalkan solat Jumaat dan solat berjemaah.
KEMUSYKILAN KEENAM
Berkumpulnya orang ramai di sesebuah tempat dan bercampur antara satu sama lain merupakan antara faktor tersebarnya wabak penyakit. Hanya sahaja ia tidak akan berlaku melainkan dengan izin Allah.
Justeru dibolehkan melakukan perbuatan-perbuatan yang berisiko tinggi mendapat penyakit ini bagi individu yang yakin dengan Allah dan bertawakal kepadanya.
Dan ini maksud sabda Nabi “Tidak ada penyakit yang menular (dengan sendirinya)” dan jawapan balas baginda tentang pertanyaan bagaimana pula boleh berjangkitnya kudis daripada unta yang sakit kepada unta yang sihat apabila unta-unta itu dicampurkan dengan bersabda “Siapakah yang telah membuatkan unta yang pertama dijangkiti kudis (iaitu dari mana ia mendapat jangkitan)?”.
Sebagaimana telah sabit daripada perbuatan sebahagian Sahabat yang melakukan perbuatan-perbuatan yang berisiko tinggi dan berbahaya seperti mana perbuatan Abdullah bin Omar r.a. makan bersama-sama orang yang berpenyakit kusta kerana yakin dengan Allah dan bertawakal kepadanya.
KEMUSYKILAN KETUJUH
Hadis seperti “Jangan memudaratkan dan tidak boleh membalas kemudaratan dengan kemudaratan”, larangan orang makan bawang mendatangi masjid serta hadis “Jangan dicampurkan unta yang sakit dengan unta yang sihat” hanya tepat untuk dijadikan sebagai hujah bagi menghalang orang yang terkena penyakit daripada mendatangi solat Jumaat dan solat berjemaah.
Ia bukan hujah untuk menghalang orang yang sihat atau orang yang tiada tanda-tanda penyakit, apatah lagi menjadikannya sebagai dalil untuk mengunci masjid dan melarang orang ramai daripada solat di dalamnya.
KEMUSYKILAN KELAPAN
Terdapat dalam hadis “Jangan dicampurkan unta yang sakit dengan unta yang sihat” larangan atas orang yang sakit bercampur gaul dengan orang yang sihat kerana ia antara sebab-sebab yang boleh mendatangkan mudarat atas orang yang sihat serta mengganggunya.
Hadis ini sama sekali bukan bermakna melarang orang yang sihat daripada bercampur gaul dengan orang yang sakit.
Justeru jika orang yang sihat mahu bercampur gaul dengan orang yang sakit atas dasar yakin dengan Allah dan bertawakal kepadanya maka dia tidak boleh dihalang, dan tiada petunjuk dalam hadis ini yang melarangnya.
KEMUSYKILAN KESEMBILAN
Wabak ialah sebahagian daripada penyakit-penyakit yang ada manakala mendapatkan rawatan untuk penyakit bukanlah suatu yang wajib di sisi majoriti para Sahabat dan ulama.
Justeru dibolehkan untuk tidak mendapatkan rawatan atas dasar yakin kepada Allah dan bertawakal kepadanya memandangkan bahawa sebab-sebab kesembuhan bukanlah hanya dengan cara berubat. Malah berdoa, meruqyah dan amalan soleh jauh lebih bermanfaat daripadanya.
Ibnu Taimiyyah menjelaskan “Berubat bukanlah suatu yang wajib. Dan barang siapa mempertikaikannya nescaya aku akan berhujah atasnya dengan as-Sunah… Aku tidak tahu sesiapa daripada kalangan Salaf yang mewajibkan berubat.”
Adapun hadis “Berubatlah wahai hamba Allah” ia menjurus kepada hukum harus atau anjuran, dan bukan wajib.
Sekiranya telah jelas bahawa berubat bukan suatu yang wajib atas orang yang sakit atau orang yang terkena penyakit, maka tidak mewajibkan atas orang yang sihat menghindari orang yang sakit atas dasar yakin dengan Allah dan bertawakal kepadanya lebih utama, apatah lagi bercampur gaul dengan orang yang sihat yang tidak nampak padanya sebarang tanda-tanda penyakit.
KEMUSYKILAN KESEPULUH
Tidak diketahui dalam sejarah Islam bahawa masjid-masjid pernah dikunci dan orang ramai dilarang daripada solat di dalamnya.
Justeru perkara ini tidak boleh diambil mudah, malah ia merupakan isu besar dan sensitif.
KEMUSYKILAN KESEBELAS
Berhimpunnya orang-orang Islam dalam masjid dan berkumpulnya mereka di dalamnya merupakan antara sebab-sebab utama bala bencana diangkat, lebih-lebih lagi setelah diketahui bahawa antara hikmah di sebalik Allah mendatangkan taun dan wabak penyakit ialah supaya manusia kembali kepada Tuhan dan bertaubat kepadanya.
Adapun masjid, ia merupakan tempat untuk orang Islam solat, bertaubat dan berdoa meminta supaya dihilangkan bala bencana di samping memperoleh keberkatan berkumpul mengerjakan ketaatan.
Justeru berkumpulnya orang-orang Islam untuk solat dan berdoa merupakan antara sebab utama mendapat kesembuhan serta dihilangkan mudarat.
Atas sebab ini disyariatkan umat Islam berkumpul apabila berlakunya suatu yang menggemparkan dengan disyariatkan solat Gerhana secara berjemaah, solat Istisqaa apabila berlaku kemarau dan musim kering manakala sebahagian pendapat menyatakan bahawa disyariatkan solat sunat secara berjemaah apabila berlaku gempa bumi sebagaimana yang dilakukan oleh Ibnu Abbas dalam satu riwayat.
Adapun dalam solat Hari Raya, Nabi memerintahkan supaya kaum Muslimin di sesebuah tempat supaya berkumpul dan mengerjakannya secara berjemaah manakala perempuan yang haid turut diperintahkan hadir agar dapat “Menyaksikan kebaikan dan dakwah kaum Muslimin.”
KEMUSYKILAN KEDUA BELAS
Perlu dibezakan antara ‘pencegahan dalam solat Jumaat dan solat berjemaah’ dengan ‘pencegahan daripadanya’.
Pencegahan dalam solat Jumaat dan solat berjemaah tiada masalah, seperti mewajibkan orang ramai memakai penutup mulut dan hidung (face mask), membasuh tangan sebelum masuk masjid dan seumpamanya.
Adapun melarang mereka solat Jumaat dan solat berjemaah serta mengunci masjid, ia merupakan ‘pencegahan daripadanya’.
KEMUSYKILAN KETIGA BELAS
Mengiaskan antara masjid dengan pasar sebagai tempat tersebarnya wabak penyakit kerana orang ramai berkumpul dalamnya merupakan seburuk-buruk kias.
Ini kerana ia menyamakan antara tempat yang paling dicintai Allah (masjid) dan tempat yang paling dibencinya (pasar), tempat turunnya rahmat dengan tempat turunnya azab, tempat ketaatan dengan tempat kemaksiatan dan tempat berhimpunnya malaikat dengan tempat berhimpunnya syaitan.
Demikian sebahagian kemusykilan yang perlu dihuraikan oleh badan-badan berkenaan bagi meleraikan persoalan-persoalan yang timbul agar kesudahannya mereka yang sesat akan sesat berdasarkan keterangan dan penjelasan (yang telah diberikan) manakala mereka yang selamat akan selamat berdasarkan keterangan dan penjelasan (yang telah diberikan).
Wallahualam.
Catatan: Terjemahan dengan sedikit olahan daripada tulisan Faisal bin Qazzar al-Jasim, Kuwait.
Idris bin Sulaiman
Kajang
21 Rejab 1441H / 16 Mac 2020
https://www.facebook.com/idrissulaiman