|

HUKUM ‘SOLAT HAJAT’

Hadis Tentang ‘Solat Hajat’

    Telah diriwayatkan oleh al-Tirmizi (no. 479) dan Ibnu Majah (no. 1384) daripada Abdullah bin Abi Awfa, bahawasanya Rasulullah ﷺ bersabda:

    مَنْ كَانَتْ لَهُ إِلَى اللَّهِ حَاجَةٌ، أَوْ إِلَى أَحَدٍ مِنْ بَنِي آدَمَ، فَلْيَتَوَضَّأْ وَلْيُحْسِنِ الْوُضُوءَ، ثُمَّ لِيُصَلِّ رَكْعَتَيْنِ، ثُمَّ لِيُثْنِ عَلَى اللَّهِ، وَلْيُصَلِّ عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، ثُمَّ لِيَقُلْ: لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ الحَلِيمُ الكَرِيمُ، سُبْحَانَ اللَّهِ رَبِّ العَرْشِ العَظِيمِ، الحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ العَالَمِينَ، أَسْأَلُكَ مُوجِبَاتِ رَحْمَتِكَ، وَعَزَائِمَ مَغْفِرَتِكَ، وَالغَنِيمَةَ مِنْ كُلِّ بِرٍّ، وَالسَّلَامَةَ مِنْ كُلِّ إِثْمٍ، لَا تَدَعْ لِي ذَنْبًا إِلَّا غَفَرْتَهُ، وَلَا هَمًّا إِلَّا فَرَّجْتَهُ، وَلَا حَاجَةً هِيَ لَكَ رِضًا إِلَّا قَضَيْتَهَا يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.

    “Barang siapa mempunyai hajat kepada Allah atau kepada seseorang daripada anak Adam, maka hendaklah dia berwuduk dan memperelokkan wuduknya, kemudian solat dua rakaat, lalu memuji Allah, dan berselawat ke atas Nabi ﷺ, kemudian berdoa dengan berkata:

    Tiada sembahan melainkan Allah Yang Maha Penyantun lagi Maha Pemurah. Maha Suci Allah, Tuhan yang memiliki Arasy yang agung. Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Aku memohon kepada-Mu segala sebab yang mendatangkan rahmat-Mu, ketetapan untuk mendapat keampunan-Mu, ganjaran daripada setiap kebaikan, dan keselamatan daripada setiap dosa. Janganlah Engkau biarkan bagiku dosa melainkan Engkau mengampunkannya, dan janganlah ada kesedihan melainkan Engkau menghilangkannya, dan janganlah ada hajat yang Engkau redai melainkan Engkau tunaikannya, wahai Tuhan Yang Maha Pengasih daripada segala yang mengasihi.”

    Kata al-Tirmizi:

    “Hadis ini gharib (ganjil), dalam sanadnya ada kelemahan. Faid bin Abdul Rahman (Abu al-Waraqa) adalah perawi yang lemah.”

    Manakala al-Albani menilai hadis ini sebagai ‘daifun jiddan’ (sangat lemah).

    1. Fatwa Ulama

    Fatwa al-Lajnah al-Da’imah (8/161) menyatakan:

    أمَّا مَا يُسَمّى بِصَلاةِ الحَاجَةِ: فَقَدْ جَاءَت بِأحَادِيثَ ضَعِيفَةٍ وَمُنْكَرَة – فِيمَا نَعْلَمُ – لا تَقُومُ بِهَا حُجَّة، وَلا تَصْلُح لِبِنَاءِ العَمَلِ عَلَيهَا.

    “Adapun apa yang dinamakan sebagai ‘Solat Hajat’, ia disebut dalam hadis-hadis yang lemah dan mungkar – setakat yang kami ketahui – yang tidak boleh dijadikan hujah atau sandaran untuk diamalkan.”

    1. Dalil Umum Tentang Doa dan Solat

    Syariat menganjurkan agar seorang Muslim, apabila berhadapan dengan sesuatu urusan, menunaikan solat dan berdoa kepada Allah agar dipermudahkan urusannya.

    i. Firman Allah:

    وَاسْتَعِينُوا بِالصَّبْرِ وَالصَّلَاةِ.

    “Mintalah pertolongan (daripada Allah) dengan sabar dan solat.”

    [al-Quran, al-Baqarah, 2:45]

    ii. Hadis Huzaifah bin al-Yaman, katanya:

    كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا حَزَبَهُ أَمْرٌ صَلَّى.

    “Apabila Rasulullah ﷺ menghadapi sesuatu urusan penting, baginda menunaikan solat.”

    [Riwayat Abu Daud, no. 1319, dinilai hasan oleh al-Albani]

    1. Kesimpulan

    Tiada hadis sahih yang menetapkan solat dua rakaat dengan niat ‘Solat Hajat’.

    Namun, sesiapa yang ditimpa kesusahan atau mempunyai hajat, lalu dia berwuduk, menunaikan solat sunat mutlak dua rakaat, dan berdoa kepada Allah, maka itu amalan yang baik dan disyariatkan secara umum, berdasarkan ayat dan hadis di atas.

    Adapun menetapkan sesuatu solat dengan cara, bacaan, atau waktu tertentu yang tidak disandarkan kepada dalil sahih, apatah lagi jika dilaksanakan secara berjemaah atas nama ‘Solat Hajat’, adalah satu bentuk penambahan dalam agama yang tidak bersumber daripada Sunah Nabi ﷺ.

    Sabda Nabi ﷺ:

    مَنْ عَمِلَ عَمَلًا لَيْسَ عَلَيْهِ أَمْرُنَا فَهُوَ رَدٌّ.

    “Barang siapa melakukan sesuatu amalan yang tidak menepati cara kami maka ia adalah tertolak.”

    [Sahih, riwayat Muslim, no. 1718]

    Sabdanya ﷺ:

    وإيَّاكُمْ وَمُحْدَثاَتِ الأمُور.

    “Hendaklah kalian menjauhi perkara-perkara baharu (dalam agama).”

    [Sahih, riwayat Abu Daud, no. 4607]

    Sabdanya ﷺ:

    وَشَرُّ الْأُمُورِ مُحْدَثَاتُهَا.

    “Dan seburuk-buruk perkara ialah apa yang diada-adakan (dalam agama).”

    [Sahih, riwayat Muslim, no. 867]

    Daripada Allah jua kita memohon petunjuk.

    Dr. Idris bin Sulaiman
    Kajang
    29 Rabiulakhir 1447H
    21 Oktober 2025
    https://idrissulaiman.com/shop

    Similar Posts

    • |

      HUKUM TASYBIK (MENYILANG JARI-JEMARI)

      HUKUM TASYBIK (MENYILANG JARI-JEMARI) . . . Perbuatan tasybik DITEGAH apabila seseorang itu sedang solat ataupun ketika menuju ke masjid dan ketika menanti solat. Ini sebagaimana dalam sabda Nabi sallalahu alaihi wassalam: “Sekiranya seseorang kamu berwuduk dan dia mengelokkan wuduknya, kemudian dia keluar untuk solat maka JANGANLAH dia melakukan TASYBIK…

    • | | |

      BULAN REJAB

      Tidak sabit mana-mana hadis tentang kelebihan bulan Rejab secara amnya atau fadilat mana-mana ibadah secara khusus pada bulan ini. Maka tidak disyariatkan mengucapkan tahniah sempena kedatangannya, berpuasa atau pun membaca doa-doa tertentu. Adapun doa: اللَّهُمَّ باَرِكْ لَنَا فِي رَجَب وَشَعْبَان وَبَلِّغْنَا رَمَضَان. “Ya Allah, berkatilah kami pada bulan Rejab dan…

    • | |

      STATUS HADIS: DOA SAPU MUKA SELEPAS SOLAT

      Diriwayatkan bahawa Anas bin Malik r.a. berkata: كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‌إِذَا ‌قَضَى ‌صَلَاتَهُ ‌مَسَحَ ‌جَبْهَتَهُ بِيَدِهِ الْيُمْنَى، ثُمَّ يَقُولُ: أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ الرَّحْمَنُ الرَّحِيمُ، اللَّهُمَّ أَذْهِبْ عَنِّي الْهَمَّ وَالْحَزَنَ. “Adalah Rasulullah ﷺ apabila selesai solatnya baginda menyapu dahinya dengan tangan kanannya kemudian berkata:…

    • | |

      AGAMA IKUT SUNAH; BUKAN PETUA

      Ada pihak menyarankan untuk mendapat fadilat malam Lailatulqadar dianjurkan membaca surah al-Fatihah tiga kali, al-Zalzalah dua kali, al-Kafirun empat kali, al-Ikhlas tiga kali dan Yaasin sekali. Ini berdasarkan petua ulama, menurutnya. Perlu ditegaskan bahawa amalan ini tiada asasnya dalam al-Sunah dan tidak pernah dilakukan oleh generasi pendahulu umat Islam Salaf…

    • |

      JIWA YANG KOSONG

      – Ketenangan hakiki Dalam hati manusia ada kekosongan yang tidak akan dapat diisi kecuali dengan rasa cinta kepada Allah ﷻ, berserah dan berzikir mengingatiNya di samping jujur ikhlas beribadah kepadaNya. Jika manusia diberikan habuan dunia dengan segala isinya nescaya kelompongan ini tetap tidak akan dapat diisi. Firman Allah ﷻ: وَمَن…

    • |

      MAJLIS BUKA PUASA DI ‘PUB’ ARAK??

      MAJLIS BUKA PUASA DI ‘PUB’ ARAK?? Bagaimana agaknya sekiranya ada yang ingin mengadakan jemputan ke majlis berbuka puasa di pub kedai minuman arak? Syukur alhamdulillah, masyarakat Islam negara belum terpesong rosak ke tahap itu. Jelas ia tidak wajar, malah ia mungkar tercela apabila tempat-tempat maksiat sedemikian dikunjungi dan dipilih sebagai…