|

BULU KUCING BUKAN NAJIS

  • Pandangan Imam Syafie
  • Pandangan akal ijtihad yang menyalahi nas wajib ditolak

Tular di media sosial pandangan sesetengah pihak yang kata bulu kucing najis, justeru kucing seeloknya diletakkan di luar rumah agar bulunya tidak jatuh merata dan dapat solat dengan tenang tanpa waswas.

Pertamanya, perlu ditegaskan bahawa pandangan di atas adalah salah dan bersifat ghuluw melampau.

Sebetulnya kucing ialah binatang suci, bukan najis, termasuklah bulunya.

Ini berdasarkan riwayat daripada Kabsyah binti Kaab bin Malik, bahawasanya Abu Qatadah datang lalu Kabsyah menuangkan air wuduk untuknya. Kemudian seekor kucing datang dan minum daripada air itu. Ternyata Abu Qatadah mencondongkan bekasnya untuk kucing itu meminum darinya. Beliau melihat Kabsyah memandangnya lalu berkata “Adakah engkau rasa hairan wahai anak perempuan saudaraku?” Kata Kabsyah “Ya.” Jelas beliau “Rasulullah ﷺ bersabda:

إِنَّهَا لَيْسَتْ بِنَجَسٍ إِنَّمَا هِيَ مِنَ ‌الطَّوَّافِينَ ‌عَلَيْكُمْ.

“Sesungguhnya kucing bukan najis kerana ia haiwan yang berkeliaran mengelilingi kamu.”

[Sahih. Riwayat Tirmizi, no. 92]

Jelas Imam Tirmizi (wafat 279H):

“Hadis ini hasan sahih. Ini adalah pandangan kebanyakan ulama daripada kalangan para Sahabat Nabi ﷺ, Tabiin dan mereka yang datang sesudah mereka seperti Syafie, Ahmad dan Ishak. Mereka melihat air liur kucing tidak mengapa.”

Kata Imam al-Sanani (wafat 1182H):

‌وَفِي ‌التَّعْلِيلِ إشَارَةٌ إلَى أَنَّهُ تَعَالَى لَمَّا جَعَلَهَا بِمَنْزِلَةِ الْخَادِمِ فِي كَثْرَةِ اتِّصَالِهَا بِأَهْلِ الْمَنْزِلِ وَمُلَابَسَتِهَا لَهُمْ وَلِمَا فِي مَنْزِلِهِمْ خَفَّفَ اللَّهُ تَعَالَى عَلَى عِبَادِهِ بِجَعْلِهَا غَيْرَ نَجَسٍ رَفْعًا لِلْحَرَجِ. وَالْحَدِيثُ دَلِيلٌ عَلَى طَهَارَةِ الْهِرَّةِ وَسُؤْرِهَا.

“Sebab yang diberikan memberi petunjuk bahawa ketika mana Allah ﷻ menjadikan kucing seperti khadam yang banyak berinteraksi dengan penghuni rumah, bersentuhan dengan anggota badan mereka serta barangan perkakas mereka maka Allah ﷻ meringankan buat para hambaNya dengan menjadikan kucing bukan najis bagi mengelakkan kesukaran. Dan hadis menunjukkan bahawa kucing dengan air liurnya adalah suci.”

[Subul al-Salam, 1/24]

Justeru ketika mana air liur kucing dihukum sebagai suci maka bulu-bulunya juga dihukum sebagai suci secara lebih utama.

Kata Ibnu Qudamah (wafat 620H):

كُلُّ حَيَوَانٍ حُكْمُ جِلْدِهِ وَشَعْرِهِ وَعَرَقِهِ وَدَمْعِهِ وَلُعَابِهِ حُكْمُ سُؤْرِهِ فِي الطَّهَارَةِ وَالنَّجَاسَةِ.

“Semua haiwan, hukum kulit, bulu dan air peluhnya mengambil hukum air liurnya sama ada suci atau najis.”

[al-Mughni, 1/46]

Bahkan sebetulnya rambut dan bulu semua haiwan sama ada yang boleh dimakan atau yang tidak boleh dimakan adalah suci sebagaimana yang ditegaskan oleh Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah.

Jelas beliau:

إِنَّ ‌جَمِيعَ ‌الشَّعْرِ وَالرِّيشِ وَالْوَبَرِ وَالصُّوفِ طَاهِرٌ سَوَاءٌ كَانَ عَلَى جِلْدِ مَا يُؤْكَلُ لَحْمُهُ أَوْ جِلْدِ مَا لَا يُؤْكَلُ لَحْمُهُ وَسَوَاءٌ كَانَ عَلَى حَيٍّ أَوْ مَيِّتٍ.

“Semua rambut, bulu dan kulit haiwan adalah suci. Tidak kira sama ada yang boleh dimakan dagingnya atau yang tidak boleh dimakan, dan sama ada haiwan itu hidup atau mati.”

[Majmuk Fatawa, 21/38]

Sedangkan maklum bahawa binatang kucing banyak berkeliaran di sekeliling manusia termasuklah di dalam rumah-rumah manakala bulu-bulunya akan banyak jatuh gugur sama ada atas pakaian manusia ataupun barangan perkakas dalam rumah mereka.

Tidak pula diketahui bahawa Nabi ﷺ menjaga kebersihan dirinya daripada bulu-bulu kucing ataupun memerintahkan para Sahabat berbuat demikian.

Tambahan pula baginda ﷺ secara jelas dan tegas bersabda “Sesungguhnya kucing bukan najis.”

Jelaslah bahawa bulu kucing adalah suci manakala bulu-bulunya yang hinggap atas badan atau pakaian tidak menimbulkan apa-apa halangan sama ada dalam solat atau di luar solat.

Adapun pandangan yang membatalkan solat sekiranya terdapat banyak bulu kucing atas badan atau pakaian maka ini pandangan yang tertolak, tidak diterima kerana tidak didasari dalil yang sahih sedangkan petunjuk dalil menunjukkan sebaliknya sebagaimana yang telah dijelaskan di atas.

Maka nas hadis perlu didahulukan manakala mana-mana pandangan akal ijtihad yang menyalahi petunjuk hadis wajib ditolak.

CATATAN

Sahabat Nabi ﷺ yang paling banyak meriwayatkan hadis iaitu Abu Hurairah mendapat jolokan nama ini (Abu Hurairah) kerana beliau gemar memelihara kucing (hurairah). Tiada walau satu pun riwayat daripada beliau menghukum bulu kucing sebagai najis. Malah beliau antara yang meriwayatkan hadis “Kucing bukan najis.”

Rujukan:

https://islamqa.info/ar/answers/176304/حكم-الصلاة-في-الثوب-الذي-يعلق-به-شعر-من-شعور-القطط

Allah jua pemberi petunjuk.

Dr. Idris bin Sulaiman
Kajang
11 Syawal 1445H
20 April 2024
https://idrissulaiman.com

Similar Posts

  • |

    ALLAHYARHAM USTAZ RASUL DAHRI

    Ramai terkejut mendapat khabar duka petang semalam. Allahyarham Ustaz Rasul bin Dahri, guru yang banyak berjasa lebih tiga dekad, tokoh pejuang al-Sunah yang gigih menyampaikan dakwah Salaf al-Soleh di Malaysia sudah pergi menghadap Ilahi. Sudah beberapa tahun beliau kurang sihat tetapi tiada sesiapa menyangka bahawa beliau akan pergi begitu cepat…

  • |

    BAHANA TAKSUB

    Dakwah Salaf mengajak umat Islam supaya kembali menghayati kedua-dua al-Qurandan al-Sunah mengikut fahaman para Sahabat dan Salaf al-Soleh. Inilah ajaran Islam sebenar yang suci lagi murni. Para ulama muktabar memang perlu dihormati dan dimuliakan, tetapi tanpa taksub. Sedangkan erti taksub termasuklah dengan memaksakan umat Islam supaya mengikut fahaman tokoh ulama…

  • |

    HATI YANG BAIK

    Sekiranya lembaran-lembaran Al-Quran tidak akan disentuh kecuali oleh mereka yang suci maka demikian jugalah makna-makna Al-Quran tidak akan difahami kecuali oleh jiwa-jiwa yang murni. Dan sekiranya malaikat tidak akan masuk ke dalam rumah yang ada anjing maka demikian jugalah dengan makna-makna yang disukai oleh malaikat tidak akan menusuk masuk ke…

  • | | |

    TAHLILAN VERSI BAHARU?

    TAHLILAN VERSI BAHARU? Sebaik-baik petunjuk ialah petunjuk Nabi ﷺ. Sekiranya amalan sebegini baik dan bagus nescaya telah diajarkan oleh Nabi ﷺ atau diamalkan oleh para Sahabat yang merupakan sebaik-baik umat ini sebagaimana dalam hadis. Ternyata bahawa amalan sebegini tiada sama sekali dicontohkan oleh Nabi ﷺ, para Sahabat dan seluruh generasi…

  • |

    ADAT BUDAYA ZAMAN ARAB JAHILIAH

    ADAT BUDAYA ZAMAN ARAB JAHILIAH Zaman jahiliah merujuk kepada zaman kesesatan masyarakat Arab sebelum kedatangan Nabi Muhammad ﷺ dan kebangkitan beliau membawa risalah agama Islam. Zaman ini dinamakan sedemikian kerana kejahilan manusia yang berleluasa ketika itu serta kehidupan mereka dalam suasana gelap sebelum datangnya sinar Islam. Kejahilan ini tampak pada…