|

Biodata Imam al-Barbahari (Wafat 329H)

a. Nama dan Keturunan

Beliau ialah Imam Abu Muhammad al-Hasan bin Ali bin Khalaf al-Barbahari, seorang imam, tokoh ilmuwan, ahli ibadah yang telah menuntut ilmu daripada murid-murid Imam Ahli Sunah Waljamaah, Ahmad bin Hanbal.

Gelaran al-Barbahari dinisbahkan kepada Barbahar, iaitu sejenis ubat-ubatan yang dibawa dari India.

b. Tempat Tinggal dan Latar Belakang

Beliau yang berasal dan membesar di Baghdad, Iraq terkenal dalam kalangan masyarakat umum dan golongan ilmuwan kerana keluasan ilmunya serta keteguhannya berpegang dengan Sunah.

c. Guru-Guru dan Pengajian

Beliau menuntut ilmu daripada beberapa orang tokoh besar dalam kalangan murid dan sahabat Imam Ahmad bin Hanbal. Antara guru beliau:

  1. Ahmad bin Muhammad bin al-Hajjaj Abu Bakr al-Marwazi (wafat 275H), seorang imam, ahli fiqh dan ahli hadis, serta sahabat Imam Ahmad bin Hanbal.
  2. Sahl bin Abdullah Abu Yunus al-Tustari (wafat 283H), seorang imam, ahli ibadah dan pendakwah.

d. Kedudukan dan Keistimewaan

Imam al-Barbahari merupakan seorang tokoh yang sangat berpengaruh dalam mempertahankan Sunah dan membantah bidaah.

Beliau dikenali sebagai ulama yang tegas dalam berpegang dengan Sunah, mengikuti athar serta mempertahankan pegangan Ahli Sunah Waljamaah.

Majlis ilmu beliau turut dihadiri oleh ramai ulama hadis dan fikah. Kedudukannya dihormati oleh pemerintah serta masyarakat umum.

e. Pujian Para Ulama

Antara pujian terhadap beliau:

  • Imam Ibnu Abi Ya’la menyifatkan beliau sebagai tokoh utama dalam kalangan ulama pada zamannya, imam yang mendalam pengetahuan dan sangat tegas dalam mengingkari golongan ahli bidaah.
  • Imam al-Dhahabi menyifatkan beliau sebagai seorang faqih, imam yang menjadi ikutan serta tokoh besar ulama Hanabilah di Iraq.
  • Imam Ibnu al-Jawzi menyatakan bahawa beliau menghimpunkan ilmu dan sifat zuhud serta sangat tegas terhadap ahli bidaah.
  • Imam Ibnu Kathir menyifatkan beliau sebagai seorang alim, zahid, faqih bermazhab Hanbali dan pendakwah yang mempunyai kedudukan tinggi sehingga dihormati oleh golongan khusus mahupun masyarakat umum.

(Syarah al-Sunah Imam al-Barbahari – tahkik Khalid al-Radadi)

Similar Posts