|

BILA SESUAI UCAP ‘WALLAHUAKLAM’

– Wallahulmuwaffiq
– Cara penggunaan dalam ayat

Wallahuaklam bermaksud ‘Dan Allah lebih tahu’.

Bila sesuai digunakan perkataan ‘Wallahuaklam’?

Dalam dua keadaan:

1. Jika hendak mengatakan bahawa sesuatu yang telah disampaikan itu merupakan hasil ilmu yang telah dianugerahkan oleh Allah ﷻ.

Maka perkataan ‘Wallahuaklam’ di sini bertujuan untuk menegaskan bahawa apa yang telah disampaikan itu bukanlah daripada kehebatan diri sendiri tetapi hasil anugerah ilahi yang mana jika bukan kerana limpahan kurniaNya nescaya ia tidak akan dapat disampaikan.

2. Jika hendak menegaskan bahawa perincian dan huraian lanjut sesuatu permasalahan yang dibahaskan itu diserahkan pengetahuannya kepada Allah ﷻ.

Ini kerana ilmu berkenaan sesuatu permasalahan ada tingkatan-tingkatannya dari sudut pengetahuan manusia mengenainya dan juga dari sudut sama ada ia jelas ataupun samar.

Ada permasalahan yang bersifat ijtihad dan ada yang tidak, di samping ada permasalahan yang jelas dan ada juga yang samar.

Maka perkataan ‘Wallahuaklam’ bermaksud menyerahkan pengetahuan lengkap dan sempurna mengenainya kepada Allah ﷻ, Dia jualah yang Maha Mengetahuinya.

Ia biasanya melibatkan permasalahan-permasalahan ijtihad yang ada perselisihan pendapat dalam kalangan ahli ilmu.

WALLAHUALAM VS WALLAHULMUWAFFIQ

Sebahagian ulama membezakan antara pendekatan mengakhiri ayat dengan perkataan ‘Wallahulmuwaffiq’ dan ‘Wallahuaklam’ dalam permasalahan-permasalahan ilmu.

‘Wallahulmuwaffiq’ bermaksud ‘Dan Allah jualah pemberi taufik’.

Perkataan ‘Wallahulmuwaffiq’ dikhaskan buat permasalahan-permasalahan yang zahir lagi jelas manakala ‘Wallahuaklam’ dikhaskan buat permasalahan-permasalahan ijtihad yang sukar dan ada perselisihan.

Contoh ayat:

1. “Jumlah solat fardu lima waktu ialah lima, wallahulmuwaffiq.”

2. “Hukum solat witir ialah sunat, bukan wajib, wallahuaklam.”

Tidak seperti dalam contoh yang pertama, contoh yang kedua melibatkan permasalahan ijtihad yang ada khilaf antara para ulama maka lebih sesuai untuk digunakan perkataan ‘Wallahuaklam’ di akhirnya.

Ini menunjukkan ketinggian ilmu para ulama dan ketelitian mereka dalam menggunakan perkataan-perkataan yang mana setiap perkataan itu barangkali mempunyai maksud dan tujuannya yang tersendiri yang sebaiknya difahami dan diraikan oleh pembaca.

Wallahulmuwaffiq.

Dr. Idris bin Sulaiman
Kajang
11 Rabiulawal 1444H
08 Oktober 2022

Similar Posts

  • |

    “AKU MELIHAT ISLAM DI EROPAH TETAPI TIDAK MELIHAT Muslim” : SATU PENILAIAN

    Ada sebuah ungkapan yang sekian lama berlegar dalam dunia Islam yang berbunyi “Aku pergi ke Eropah lalu aku melihat Islam namun tidak melihat Muslim, dan aku pergi ke negara Arab dan melihat Muslim namun tidak melihat Islam.” Ungkapan di atas menggambarkan ketakjuban orangnya kepada negara-negara Barat (atau sesetengah negara Timur…

  • |

    SYAHWAT TAKFIR

    Takfir bererti menghukum kafir seseorang Muslim. ‘Wahai kafir!’… ‘wahai musyrik!’ Ini adalah antara ucapan takfir yang jelas jika diucapkan kepada Muslim. Implikasi takfir adalah besar kerana orangnya akan hilang hak-haknya sebagai Muslim dengan tidak diberi salam, tidak boleh jadi wali pernikahan anaknya, isteri Muslimnya tercerai, jenazahnya tidak wajib dimandikan, tidak…

  • |

    ZUHUD

    – Pengertian zuhud – Rusuhan bola sepak Muslim dianjurkan supaya berzuhud dengan dunia. Sabda Nabi ﷺ: ازهَدْ في الدُّنيَا يُحِبَّكَ اللهُ، وازهَدْ فِيمَا عِندَ النَّاسِ يُحِبَّكَ النَّاسُ. “Berzuhudlah di dunia nescaya engkau akan dicintai Allah dan berzuhudlah daripada apa yang dimiliki oleh manusia nescaya mereka akan mencintaimu.” [Hasan. Riwayat Ibnu…

  • |

    SEBAB-SEBAB ISTERI BOLEH MINTA CERAI

    Antara sebab-sebab isteri boleh minta cerai ialah seperti berikut: 1. Suami tidak mampu menunaikan tanggungjawab menyediakan nafkah, tempat tinggal asing, berhubungan badan dan seumpamanya; 2. Suami mendera isteri dengan memukul, mencela dan memaki hamun; 3. Isteri terkesan dengan suami yang selalu tidak ada di rumah seperti jika si suami bermusafir…

  • BERGANTUNG PADA SEBAB MUSABAB & BERTAWAKAL PADA ALLAH

    – Yakin boleh! – Believe in yourself, you can do it! Bergantung pada sebab musabab dengan meyakini bahawa ia memberi kesan tanpa mengaitkannya dengan ketetapan dan kehendak Allah ﷻ akan merosakkan pegangan akidah. Ini kerana tiada apa yang dapat memberi kesan tanpa izin dan kehendak Allah ﷻ. Firman Allah ﷻ:…

  • |

    TALAM DUA MUKA

    Antara seburuk-buruk orang ialah orang yang bermuka dua. Sabda Nabi ﷺ: إِنَّ شَرَّ النَّاسِ ‌ذُو ‌الْوَجْهَيْنِ، الَّذِي يَأْتِي هَؤُلَاءِ بِوَجْهٍ وَهَؤُلَاءِ بِوَجْهٍ. “Sesungguhnya seburuk-buruk manusia ialah orang yang bermuka dua; dia mendatangi satu kelompok dengan muka sekian dan satu kelompok lain dengan muka yang lain.” [Sahih. Riwayat Bukhari dan Muslim]…