|

“AKU RASA KAU TAK AKAN BERJAYA”

Begitulah kata-kata Timbalan Duta Arab Saudi, mantan bos saya apabila saya mengucapkan selamat tinggal kepada beliau pada hari terakhir saya di Kedutaan pada tahun 2014.

Kata-kata yang mungkin semua setuju ia boleh melemahkan semangat berbanding menguatkannya.

Apa yang pasti waktu itu saya telah pun membulatkan tekad untuk berhenti setelah lebih 11 tahun bekerja di situ.

Ini kerana saya merasakan bahawa kerja-kerja yang saya lakukan sudah menjadi terlalu biasa dan rutin, tidak lagi menarik dan mencabar sehingga membuatkan saya mengambil keputusan untuk sambung belajar di peringkat PhD.

Saya mengakui bahawa perjalanan lapan tahun belajar di peringkat ini dalam keadaan berkeluarga dan mempunyai banyak tanggungan tidak mudah.

Jika diimbau kembali, perkara paling susah bagi saya dalam penulisan tesis PhD ialah cara mendapatkan idea.

Tidak dinafikan bahawa antara cara-cara mendapatkan idea ialah dengan banyak berfikir, merenung dan mengkaji tetapi yang pastinya ia tidak datang dengan begitu sahaja.

Saya mendaftar untuk mengikuti program PhD pada tahun 2014, dan sehingga tahun 2019 walaupun telah menyiapkan hampir kesemua empat bab yang diperlukan bagi kajian tesis saya mengenai Syeikh al-Albani rahimahullah tetapi waktu itu saya belum yakin dengan hasilnya.

Dr. Fadlan kemudian mempertemukan saya dengan sahabat lama dari Universiti Islam Madinah, al-Fadhil Ustaz Mohd Roesfan Sazzerin kerana beliau arif dalam bab metodologi kajian.

Setelah melihat draf tesis saya, Ustaz Roesfan menyarankan supaya saya memilih salah satu daripada kitab Syeikh al-Albani untuk dijadikan sebagai fokus kajian.

Pada awalnya saya rasa berat untuk menerima saranan beliau kerana terpaksa merombak semula tesis tetapi akhirnya saya akur.

Maka pada akhir tahun 2019 tercetuslah idea yang sekian lama saya nantikan setelah hampir 6 tahun.

Atas nasihat Ustaz Roesfan saya ubah semula keseluruhan struktur tesis saya di mana daripada empat bab yang ada hanya bab pertama sahaja dikekalkan manakala baki tiga bab terpaksa ditulis semula.

Kurang lebih setahun ia dapat disiapkan, alhamdulillah.

Pada awal tahun 2021 saya telah membentangkan hasil kajian saya kepada dua penyelia saya iaitu al-Fadhil Prof. Madya Dr. Aminudin Basir selaku penyelia utama manakala penyelia kedua ialah Sahibus Samahah YBhg. Prof. Madya Dr. Mohamad Sabri Haron.

Mereka berdua bersetuju untuk saya serahkan tesis ke Institut.

Setelah Viva pada awal tahun ini manakala majlis konvokesyen telah dilangsungkan pada awal bulan Disember baru-baru ini, dua hari yang lepas saya telah pergi ke Universiti untuk menerima sijil PhD saya.

Begitulah secara ringkas perjalanan saya di peringkat siswazah ini.

Bak kata abang saya, Dr. Zain ia merupakan ‘satu proses’ yang mungkin memakan sedikit masa tetapi perlu dilalui dengan ketabahan untuk diselesaikan.

Saya sering berdoa supaya segala urusan pembelajaran saya dipermudahkan dan dipercepatkan tetapi siapa sangka ‘cepat’ yang Allah ﷻ tetapkan dalam suratan takdir ialah lapan tahun.

Saya tetap bersyukur kerana segala urusan benar-benar telah dipermudahkan dan dipercepatkan oleh Allah ﷻ.

Sedikit pun saya tak marah pada mantan bos saya atas ucapan beliau itu. Saya menganggapnya sebagai kata-kata dorongan yang telah menguatkan semangat saya selama ini. Kemungkinannya beliau sangsi kerana saya memilih untuk belajar sepenuh masa.

Bergerak ke hadapan, alhamdulillah kerja-kerja penulisan buku pertama saya setelah tamat belajar iaitu Syarah Hadis 40 Imam al-Nawawi sudah pun hampir siap. Tinggal penyusunan taip sebelum dihantar kepada pencetak. Semoga dipermudahkan.

Allah ﷻ jua pemberi taufik.

Dr. Idris bin Sulaiman
Kajang
05 Jamadilakhir 1444H
29 Disember 2022

Similar Posts

  • |

    LĠBŤ SEKS SONGSANG

    Perbuatan liwat merupakan jenayah yang lebih berat dan lebih jijik daripada zina. Para ulama antaranya Imam Ibnu al-Qayyim menjelaskan bahawa perbuatan jijik ini turut dijauhi oleh haiwan sehingga tidak diketahui bahawa ada keldai jantan yang mendatangi keldai jantan lain, kambing jantan mendatangi kambing jantan lain atau anjing jantan mendatangi anjing…

  • | |

    Syarah Hadis 40 Imam Al Nawawi

    Alhamdulillah, buku ini dapat disiapkan walaupun mengambil masa melebihi jangkaan. Kekadang rasa mudah dan tidak mengambil masa lama tetapi selepas kerja-kerja bermula ternyata tidak semudah yang disangka. Banyak sahaja yang perlu dilakukan. Buku ini saya anggap yang pertama bagi saya walaupun ada beberapa penerbitan sebelum ini. Al maklumlah walaupun sudah…

  • |

    ISTERI JANGAN MUDAH MINTA CERAI

    Seorang isteri tidak boleh sewenang-wenangnya meminta cerai kecuali jika ada alasan kukuh untuknya berbuat demikian. Ini berdasarkan sabda Nabi ﷺ: أَيُّمَا امْرَأَةٍ سَأَلَتْ زَوْجَهَا طَلَاقًا فِي ‌غَيْرِ ‌مَا ‌بَأْسٍ فَحَرَامٌ عَلَيْهَا رَائِحَةُ الْجَنَّةِ. “Mana-mana isteri yang meminta cerai daripada suaminya tanpa alasan maka haram baginya bau syurga.” [Sahih. Riwayat Abu…

  • |

    UCAPAN TAKZIAH SYEIKH SULAIMAN AL-RUHAILI

    Syeikh Sulaiman al-Ruhaili, pensyarah di Universiti Islam Madinah, Arab Saudi dan pengajar di Masjid Nabawi membuat hantaran di X (Twitter) mengucapkan takziah atas pemergian Allahyarham Ustaz Yazid Abdul Qadir Jawas. Dalam hantaran itu beliau menyatakan dengan menyebut nama Allahyarham dengan gelaran ‘al-Ustaz al-Syeikh’ terdiri dalam kalangan ilmuwan terawal di Indonesia…

  • |

    BULU KUCING TERTANGGAL NAJIS SEPERTI BANGKAI?

    Majoriti ulama termasuklah mazhab Hanafi, Maliki dan Hanbali menghukum bulu kucing yang tertanggal sebagai suci. https://islamqa.info/ar/answers/261452/التفصيل-في-طهارة-شعر-الحيوان Ini berdasarkan dalil: عَنْ دَاوُدَ بْنِ صَالِحِ بْنِ دِينَارٍ التَّمَّارِ، عَنْ أُمِّهِ، أَنَّ مَوْلَاتَهَا أَرْسَلَتْهَا بِهَرِيسَةٍ إِلَى عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا، فَوَجَدَتْهَا تُصَلِّي، فَأَشَارَتْ إِلَيَّ أَنْ ضَعِيهَا، فَجَاءَتْ هِرَّةٌ، فَأَكَلَتْ مِنْهَا، فَلَمَّا انْصَرَفَتْ أَكَلَتْ…

  • |

    CINTA PALSU: SURAH AL-MASAD

    Firman Allah ﷻ: تَبَّتۡ يَدَآ أَبِي لَهَبٖ وَتَبَّ مَآ أَغۡنَىٰ عَنۡهُ مَالُهُۥ وَمَا كَسَبَ سَيَصۡلَىٰ نَارٗا ذَاتَ لَهَبٖ وَٱمۡرَأَتُهُۥ حَمَّالَةَ ٱلۡحَطَبِ فِي جِيدِهَا حَبۡلٞ مِّن مَّسَدِۢ . “Binasalah kedua-dua tangan Abu Lahab, dan binasalah ia bersama! Hartanya dan segala yang diusahakannya, tidak dapat menolongnya. Ia akan menderita bakaran api neraka…