|

BULU KUCING TERTANGGAL NAJIS SEPERTI BANGKAI?

Majoriti ulama termasuklah mazhab Hanafi, Maliki dan Hanbali menghukum bulu kucing yang tertanggal sebagai suci.

https://islamqa.info/ar/answers/261452/التفصيل-في-طهارة-شعر-الحيوان

Ini berdasarkan dalil:

  1. Hadis Aishah radiallahuanha:

عَنْ دَاوُدَ بْنِ صَالِحِ بْنِ دِينَارٍ التَّمَّارِ، عَنْ أُمِّهِ، أَنَّ مَوْلَاتَهَا أَرْسَلَتْهَا بِهَرِيسَةٍ إِلَى عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا، فَوَجَدَتْهَا تُصَلِّي، فَأَشَارَتْ إِلَيَّ أَنْ ضَعِيهَا، فَجَاءَتْ هِرَّةٌ، فَأَكَلَتْ مِنْهَا، فَلَمَّا انْصَرَفَتْ أَكَلَتْ مِنْ حَيْثُ أَكَلَتِ الْهِرَّةُ، فَقَالَتْ: إِنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: «إِنَّهَا لَيْسَتْ بِنَجَسٍ إِنَّمَا هِيَ مِنَ الطَّوَّافِينَ عَلَيْكُمْ»، وَقَدْ ‌رَأَيْتُ ‌رَسُولَ ‌اللَّهِ ‌صَلَّى ‌اللهُ ‌عَلَيْهِ ‌وَسَلَّمَ ‌يَتَوَضَّأُ ‌بِفَضْلِهَا.

Daripada Daud bin Saleh bin Dinar al-Tammar, daripada ibunya bahawasanya maulanya mengutusnya untuk membawakan makanan kepada Aisyah radiallahuanha. Ternyata Aisyah sedang solat dan dia mengisyaratkan kepadanya untuk meletakkan makanan itu. Kemudian seekor kucing datang dan memakan daripadanya. Sesudah selesai Aisyah pun makan dari bahagian yang dimakan oleh kucing itu seraya berkata “Sesungguhnya Rasulullah ﷺ bersabda:

إِنَّهَا لَيْسَتْ بِنَجَسٍ إِنَّمَا هِيَ مِنَ ‌الطَّوَّافِينَ ‌عَلَيْكُمْ.

“Sesungguhnya kucing bukan najis kerana ia haiwan yang berkeliaran mengelilingi kamu.”

Sambung Aisyah:

وَقَدْ ‌رَأَيْتُ ‌رَسُولَ ‌اللَّهِ ‌صَلَّى ‌اللهُ ‌عَلَيْهِ ‌وَسَلَّمَ ‌يَتَوَضَّأُ ‌بِفَضْلِهَا.

“Dan aku melihat Rasulullah ﷺ berwuduk dari air bekas minuman kucing.”

[Sahih. Riwayat Abu Daud, no. 76]

  1. Hadis Abu Qatadah radiallahuanhu:

عَنْ كَبْشَةَ بِنْتِ كَعْبِ بْنِ مَالِكٍ أَنَّ ‌أَبَا ‌قَتَادَةَ، دَخَلَ فَسَكَبَتْ لَهُ وَضُوءًا، فَجَاءَتْ هِرَّةٌ فَشَرِبَتْ مِنْهُ، فَأَصْغَى لَهَا الْإِنَاءَ حَتَّى شَرِبَتْ، قَالَتْ كَبْشَةُ: فَرَآنِي أَنْظُرُ إِلَيْهِ، فَقَالَ: ‌أَتَعْجَبِينَ ‌يَا ‌ابْنَةَ ‌أَخِي؟ فَقُلْتُ: نَعَمْ، فَقَالَ: إِنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: «إِنَّهَا لَيْسَتْ بِنَجَسٍ، إِنَّهَا مِنَ الطَّوَّافِينَ عَلَيْكُمْ وَالطَّوَّافَاتِ».

Daripada Kabsyah binti Kaab bin Malik, bahawasanya Abu Qatadah datang lalu Kabsyah menuangkan air wuduk untuknya. Kemudian seekor kucing datang dan minum daripada air itu. Ternyata Abu Qatadah mencondongkan bekasnya untuk kucing itu meminum darinya. Melihat Kabsyah memandangnya dia berkata “Adakah engkau rasa hairan wahai anak perempuan saudaraku?” Kata Kabsyah “Ya.” Jelas beliau “Rasulullah ﷺ bersabda:

إِنَّهَا لَيْسَتْ بِنَجَسٍ إِنَّمَا هِيَ مِنَ ‌الطَّوَّافِينَ ‌عَلَيْكُمْ.

“Sesungguhnya kucing bukan najis kerana ia haiwan yang berkeliaran mengelilingi kamu.”

[Sahih. Riwayat Tirmizi no. 92]

Kata Imam Tirmizi (wafat 279H):

“Ini pandangan kebanyakan ulama daripada kalangan para Sahabat Nabi ﷺ, Tabiin dan mereka yang datang sesudah mereka seperti Syafie, Ahmad dan Ishak. Mereka melihat air liur kucing tidak mengapa.”

Jelas Imam al-Nawawi (wafat 676H):

وَمَذْهَبُنَا أَنَّ سُؤْرَ الْهِرَّةِ طَاهِرٌ غَيْرُ مَكْرُوهٍ.

“Mazhab kami ialah bahawa air liur kucing ialah suci, bukan makruh.”

[al-Majmuk, 1/172]

Pandangan mazhab Syafiiyyah pula menghukum bulu haiwan yang tertanggal secara amnya termasuklah bulu kucing yang tertanggal secara khasnya sebagai najis.

Mereka berhujah dengan hadis Nabi ﷺ:

مَا ‌قُطِعَ ‌مِنَ ‌الْبَهِيمَةِ وَهِيَ حَيَّةٌ فَهُوَ مَيْتَةٌ.

“Setiap yang terpotong daripada haiwan ketika ia hidup maka ia bangkai.”

[Sahih. Riwayat Abu Daud, no. 3216]

Berdasarkan keumuman hadis di atas bulu kucing yang tertanggal dihukum sebagai bangkai dalam mazhab Syafie.

PERBAHASAN

Pendapat pertama yang mengatakan bahawa bulu kucing yang tertanggal ialah suci berhujah dengan hadis “Sesungguhnya kucing bukan najis” di mana sabdanya ﷺ “Kerana ia haiwan yang berkeliaran mengelilingi kamu” dilihat menjelaskan sebab mengapa syariat memberi keringanan dengan menjadikan kucing bukan najis kerana ia banyak berinteraksi dengan manusia dan banyak bersentuhan dengan anggota badan serta barangan perkakas mereka.

Sebagaimana perbuatan Nabi ﷺ berwuduk dari air bekas minuman kucing, Aisyah dan Abu Qatadah radiallahuanhuma menyimpulkan bahawa air liur kucing bukan najis.

Jika air liur kucing dihukum suci maka bulunya yang tertanggal juga dihukum suci secara lebih utama.

Dan ini menepati kaedah usul iaitu ‘Asal hukum sesuatu adalah mubah dan suci’ kerana tiada dalil yang menunjukkan bahawa bulu kucing yang tertanggal ialah najis. Malah dalil menunjukkan sebaliknya.

Tambahan pula, maklum bahawa kucing banyak berkeliaran di sekeliling manusia di dalam dan di luar rumah manakala bulunya mudah tertanggal lalu hinggap atas badan dan pakaian manusia serta barangan perkakas dalam rumah. Tidak pula diketahui bahawa Nabi ﷺ menjaga kebersihan dirinya daripada bulu kucing yang tertanggal ataupun memerintahkan para Sahabat berbuat demikian. Sedangkan6 jika ada, pastinya telah diriwayatkan.

Pendapat yang menghukum najis bulu kucing yang tertanggal bertembungan dengan hadis Nabi ﷺ “Sesungguhnya kucing bukan najis kerana ia haiwan yang berkeliaran mengelilingi kamu” kerana jelasnya akan menimbulkan kesukaran buat umat Islam termasuklah untuk mereka solat di rumah jika ada kucing berkeliaran.

Kaedah usul juga menetapkan bahawa dalil khusus wajib didahulukan atas dalil umum. Hadis “Setiap yang terpotong daripada haiwan ketika ia hidup maka ia bangkai” merupakan dalil umum manakala hadis “Sesungguhnya kucing bukan najis kerana ia haiwan yang berkeliaran mengelilingi kamu” ialah dalil khusus yang wajib didahulukan dalam permasalahan ini.

https://www.alukah.net/sharia/0/37506/العام-والخاص-والمطلق-والمقيد-دراسة-أصولية-فقهية-1

KESIMPULAN

Pendapat yang menghukum najis bulu kucing yang tertanggal jelas menyalahi mafhum hadis yang memberi keringanan mengenai kucing termasuklah bulunya yang tertanggal, dan akan menimbulkan kesukaran serta waswas buat umat Islam yang memelihara kucing untuk beribadah serta solat di rumah. Justeru pendapat ini wajib ditolak. Sebetulnya bulu kucing yang tertanggal adalah suci.

Dr. Idris bin Sulaiman
Kajang
14 Syawal 1445H
23 April 2024
https://idrissulaiman.com

Similar Posts

  • PENDAPAT JUMHUR ULAMA ADALAH BENAR?

    # Pendapat majoriti tidak semestinya benar Sekiranya pendirian jumhur ulama adalah ukuran kebenaran maka ini bererti bahawa setiap pendapat minoriti adalah salah. Lalu setiap pandangan ulama yang menyalahi jumhur dalam apa jua permasalahan perlu disaring dan dianggap batil semata-mata kerana ia menyalahi pendirian jumhur ulama. Tiada mana-mana ulama yang berkata…

  • |

    MENGHABISKAN MASA DENGAN BERITA TERKINI

    MENGHABISKAN MASA DENGAN BERITA TERKINI Saya fikir jika seseorang itu tidak banyak menghabiskan masanya melihat akhbar dan mengikuti setiap satu perkembangan yang dihidangkan kepadanya sama ada melalui media rasmi ataupun media sosial, sebaliknya dia memanfaatkan sisa waktunya untuk apa yang dapat menjana kebaikan buatnya di akhirat dengan membaca Al-Quran, menuntut…

  • LŎCKDŎWN DUNIA KALI KE-2?

    – Reset Ekonomi – New World Order Perkembangan semasa di China sepatutnya merisaukan kerana di sanalah segala bala musibah bermula dua tahun lalu di awal 2020. Kini kita menyaksikan hal serupa berulang kembali apabila baru-baru ini kerajaan China melaksanakan perintah lŏckdŏwn kali ke-2 ke atas rakyatnya tetapi dengan lebih dahsyat…

  • |

    SYAITAN SURUH CERAI

    Peningkatan trend perceraian bagi pasangan Islam saban tahun dilihat semakin membimbangkan. Demikian laporan akhbar baru-baru ini berdasarkan statistik Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia. Dalam membicarakan soal talak cerai, Nabi ﷺ bersabda: إِنَّ ‌إِبْلِيسَ ‌يَضَعُ ‌عَرْشَهُ ‌عَلَى ‌المَاء ثمَّ يبْعَث سراياه فَأَدْنَاهُمْ مِنْهُ مَنْزِلَةً أَعْظَمُهُمْ فِتْنَةً يَجِيءُ أَحَدُهُمْ فَيَقُولُ فَعَلَتُ كَذَا وَكَذَا…

  • |

    BERGELAP SOLIDARITI PALESTIN

    Saranan yang tiada kewajaran. Muslim dipandu Al-Quran dan al-Sunah mengikut fahaman Salaf al-ummah. Bukan emosi dan perasaan. Saranan yang tidak memberi apa-apa manfaat hakiki kepada penduduk Palestin. Hanya tasyabbuh meniru kuffar Barat yang memang tidak berpedoman. Sedangkan Nabi ﷺ bersabda: مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ “Barang siapa menyerupai sesebuah kaum…