|

PELAJAR SEKOLAH PERLU DIDEDAHKAN DENGAN KEPELBAGAIAN AGAMA?

Pluralisme pembatal agama

  • Waspada dengan diayah sesat

Muslim wajib kufur dengan mereka yang dikufurkan oleh Allah ﷻ dan RasulNya ﷺ.

Allah ﷻ mengkafirkan golongan musyrikin penyembah berhala dan yang menyembah di sisi Allah ﷻ selainNya.

Demikian Allah ﷻ mengkafirkan mereka yang tidak beriman dengan risalah para rasul atau sebahagian daripada mereka sebagaimana termaktub dalam Al-Quran dan hadis.

Allah ﷻ mengkafirkan orang-orang Yahudi, Nasrani dan para penyembah berhala.

Oleh itu Muslim wajib meyakini dengan hatinya kekufuran mereka berdasarkan apa yang diputuskan oleh Allah ﷻ dan RasulNya ﷺ.

Firman Allah ﷻ:

لَّقَدۡ كَفَرَ ٱلَّذِينَ قَالُوٓاْ إِنَّ ٱللَّهَ هُوَ ٱلۡمَسِيحُ ٱبۡنُ مَرۡيَمَ

“Sesungguhnya telah kufur orang-orang yang berkata: Bahawasanya Allah ialah Al-Masih Ibni Maryam.”

[Al-Quran, Maryam, 5:17]

FirmanNya ﷻ:

وَقَالَتِ ٱلۡيَهُودُ يَدُ ٱللَّهِ مَغۡلُولَةٌۚ غُلَّتۡ أَيۡدِيهِمۡ وَلُعِنُواْ بِمَا قَالُواْۘ

“Dan orang-orang Yahudi berkata: Tangan Allah terbelenggu (Allah bakhil). (Bahkan) tangan merekalah yang terbelenggu dan mereka pula dilaknat dengan sebab apa yang mereka katakan itu.”

[Al-Quran, al-Maaidah, 5:64]

Sabda Nabi ﷺ:

لَا يَسْمَعُ بِي أحَدٌ مِنْ هَذِهِ الْأُمَّةِ يَهُودِيٌّ وَلَا نَصْرَانِيٌّ ‌ثُمَّ ‌يَمُوتُ ‌وَلَمْ ‌يُؤْمِنْ بِالَّذِي أُرْسِلْتُ بِهِ إِلَّا كَانَ مِنْ أَصْحَابِ النَّارِ.

“Tiada mana-mana daripada kalangan umat ini, Yahudi ataupun Nasrani yang mendengar tentangku lalu dia mati dalam keadaan tidak beriman dengan apa yang aku telah diutus dengannya melainkan dia tergolong dalam kalangan penghuni api neraka.”

[Sahih. Riwayat Muslim, no. 240]

Sedangkan penolakan mereka terhadap agama Islam, risalah Nabi Muhammad ﷺ buat sekalian manusia yang mereka sendiri dapati termaktub dalam kitab Taurat dan Injil sudah cukup untuk mereka dihukum kafir.

Allah ﷻ memerintahkan RasulNya Muhammad ﷺ supaya berkata:

قُلۡ يَٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِنِّي رَسُولُ ٱللَّهِ إِلَيۡكُمۡ جَمِيعًا

“Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai sekalian manusia! Sesungguhnya aku Pesuruh Allah buat kalian semua.”

[Al-Quran, al-Aaraaf, 7:158]

Ini bererti barang siapa tidak beriman dengan agama Islam, risalah yang dibawa oleh Nabi Muhammad ﷺ maka dia kafir.

Demikian halnya dengan sesiapa yang meragui kekufuran kaum musyrikin lalu mengatakan “Aku tidak tahu sama ada mereka kafir atau tidak” maka dia juga telah kufur kerana ragu-ragu dengan kebenaran agama Islam yang dianutinya sehingga tidak membezakan antara kekufuran dan iman, orang kafir dengan orang Islam.

Lebih buruk sekiranya dia membenarkan agama kufur anutan kaum musyrikin; orang-orang Yahudi, Nasrani dan lain seperti mana halnya dengan fahaman pluralisme yang meletakan bahawa semua agama adalah sama, semuanya betul, Islam bukan satu-satunya agama benar, sebaliknya agama-agama lain juga baik dan boleh diterima.

Ini batil lagi salah malah termasuk dalam pembatal agama sekiranya ada Muslim berfahaman sedemikian.

Firman Allah ﷻ:

وَمَن يَبۡتَغِ غَيۡرَ ٱلۡإِسۡلَٰمِ دِينٗا فَلَن يُقۡبَلَ مِنۡهُ وَهُوَ فِي ٱلۡأٓخِرَةِ مِنَ ٱلۡخَٰسِرِينَ

“Dan barang siapa mencari agama selain agama Islam maka tidak akan diterima daripadanya, dan pada Hari Akhirat kelak dia tergolong dalam kalangan orang-orang yang rugi.”

[Al-Quran, Aali Imran, 3:85]

Hanya Islam agama benar yang diterima Allah ﷻ manakala selainnya adalah agama kufur tertolak.

Pentingnya Muslim tahu pembatal-pembatal agama yang digariskan oleh syariat di samping berwaspada dengan fahaman-fahaman sesat yang boleh menggelincirkannya terkeluar daripada agama secara sedar atau tidak.

Dr. Idris bin Sulaiman
Kajang
17 Syawal 1445H
26 April 2024
https://idrissulaiman.com

Similar Posts

  • |

    PRODUK-PRODUK KHURAFAT

    PRODUK-PRODUK KHURAFAT # Amalan dan kepercayaan melanggar syariat # Produk mempunyai ‘kelebihan’ tertentu Kepercayaan khurafat sering dikaitkan dengan masyarakat kampung dahulu yang kurang pendidikan. Tetapi realitinya kepercayaan khurafat masih subur dalam kalangan sebahagian masyarakat Islam negara dan antaranya ialah melalui penggunaan produk-produk tertentu seperti minyak wangi dengan kepercayaan bahawa produk…

  • | |

    AJARAN MARTABAT TUJUH

    – Fahaman sesat lagi menyesatkan Ajaran Martabat Tujuh berkait rapat dengan ajaran tasawuf Wehdatul Wujud yang diasaskan oleh Ibnu Arabi (mati 638H), fahaman Nur Muhammad serta ajaran batiniah Syiah Ismailiyyah. Ajaran Martabat Tujuh kembali kepada ajaran bahawa hakikat yang wujud itu satu dan ia berlapis tujuh secara ‘tanazzulat’ (penurunan) iaitu…

  • | |

    KHURAFAT TABARUK ORANG RAFIDAH (SYIAH)

    Kelihatan dalam sebuah video yang dikongsi di media sosial seorang lelaki tua warganegara Iraq dikatakan baru pulang dari syurga setelah bertemu dengan cucu Nabi ﷺ Husain manakala masyarakat di sana yang berfahaman Rafidah (Syiah), lelaki dan perempuan mengerumuni beliau untuk bertabaruk (mengambil berkat) dengan bersalaman, menyapu-nyapu badan dan bergambar dengannya….

  • | |

    INDAHNYA ISLAM

    INDAHNYA ISLAM # Keutamaan Tauhid # Bahaya syirik # Wajibnya birrul walidain Kedua-dua mereka mendesak secara bersungguh-sungguh supaya dinafikan hak ALLAH ﷻ sedangkan ALLAH ﷻ memerintahkan supaya mereka tetap dilayan dengan sebaik-baiknya. Firman ALLAH ﷻ: وَإِن جَٰهَدَاكَ عَلَىٰٓ أَن تُشۡرِكَ بِي مَا لَيۡسَ لَكَ بِهِۦ عِلۡمٞ فَلَا تُطِعۡهُمَاۖ وَصَاحِبۡهُمَا فِي…

  • BIDAAH KALIMAH ALLAH

    BIDAAH KALIMAH ALLAH # Kristian Malaysia Mahu Menggunakan Kalimah Allah bagi Tuhan dalam terjemahan Melayu Bible # Usaha halus yang boleh memesongkan akidah masyarakat Islam. Ketika mana berdepan dengan pelbagai cabaran akidah termasuklah dengan wujudnya pelbagai ajaran sesat, gerakan LĠBŤQZ, kes-kes murtad dan sebagainya, kini masyarakat Islam di Malaysia berdepan…

  • PENTINGNYA TAUHID

    Tauhid mengesakan Allah ﷻ serta menjauhi segala bentuk syirik dan kufur merupakan syarat utama masuk syurga serta selamat daripada kekal dalam api neraka. Firman Allah ﷻ: إِنَّهُۥ مَن يُشۡرِكۡ بِٱللَّهِ فَقَدۡ حَرَّمَ ٱللَّهُ عَلَيۡهِ ٱلۡجَنَّةَ وَمَأۡوَىٰهُ ٱلنَّارُۖ وَمَا لِلظَّٰلِمِينَ مِنۡ أَنصَارٖ. “Sesungguhnya barang siapa menyekutukan Allah dengan sesuatu yang lain…