|

BULU KUCING BUKAN NAJIS

  • Pandangan Imam Syafie
  • Pandangan akal ijtihad yang menyalahi nas wajib ditolak

Tular di media sosial pandangan sesetengah pihak yang kata bulu kucing najis, justeru kucing seeloknya diletakkan di luar rumah agar bulunya tidak jatuh merata dan dapat solat dengan tenang tanpa waswas.

Pertamanya, perlu ditegaskan bahawa pandangan di atas adalah salah dan bersifat ghuluw melampau.

Sebetulnya kucing ialah binatang suci, bukan najis, termasuklah bulunya.

Ini berdasarkan riwayat daripada Kabsyah binti Kaab bin Malik, bahawasanya Abu Qatadah datang lalu Kabsyah menuangkan air wuduk untuknya. Kemudian seekor kucing datang dan minum daripada air itu. Ternyata Abu Qatadah mencondongkan bekasnya untuk kucing itu meminum darinya. Beliau melihat Kabsyah memandangnya lalu berkata “Adakah engkau rasa hairan wahai anak perempuan saudaraku?” Kata Kabsyah “Ya.” Jelas beliau “Rasulullah ﷺ bersabda:

إِنَّهَا لَيْسَتْ بِنَجَسٍ إِنَّمَا هِيَ مِنَ ‌الطَّوَّافِينَ ‌عَلَيْكُمْ.

“Sesungguhnya kucing bukan najis kerana ia haiwan yang berkeliaran mengelilingi kamu.”

[Sahih. Riwayat Tirmizi, no. 92]

Jelas Imam Tirmizi (wafat 279H):

“Hadis ini hasan sahih. Ini adalah pandangan kebanyakan ulama daripada kalangan para Sahabat Nabi ﷺ, Tabiin dan mereka yang datang sesudah mereka seperti Syafie, Ahmad dan Ishak. Mereka melihat air liur kucing tidak mengapa.”

Kata Imam al-Sanani (wafat 1182H):

‌وَفِي ‌التَّعْلِيلِ إشَارَةٌ إلَى أَنَّهُ تَعَالَى لَمَّا جَعَلَهَا بِمَنْزِلَةِ الْخَادِمِ فِي كَثْرَةِ اتِّصَالِهَا بِأَهْلِ الْمَنْزِلِ وَمُلَابَسَتِهَا لَهُمْ وَلِمَا فِي مَنْزِلِهِمْ خَفَّفَ اللَّهُ تَعَالَى عَلَى عِبَادِهِ بِجَعْلِهَا غَيْرَ نَجَسٍ رَفْعًا لِلْحَرَجِ. وَالْحَدِيثُ دَلِيلٌ عَلَى طَهَارَةِ الْهِرَّةِ وَسُؤْرِهَا.

“Sebab yang diberikan memberi petunjuk bahawa ketika mana Allah ﷻ menjadikan kucing seperti khadam yang banyak berinteraksi dengan penghuni rumah, bersentuhan dengan anggota badan mereka serta barangan perkakas mereka maka Allah ﷻ meringankan buat para hambaNya dengan menjadikan kucing bukan najis bagi mengelakkan kesukaran. Dan hadis menunjukkan bahawa kucing dengan air liurnya adalah suci.”

[Subul al-Salam, 1/24]

Justeru ketika mana air liur kucing dihukum sebagai suci maka bulu-bulunya juga dihukum sebagai suci secara lebih utama.

Kata Ibnu Qudamah (wafat 620H):

كُلُّ حَيَوَانٍ حُكْمُ جِلْدِهِ وَشَعْرِهِ وَعَرَقِهِ وَدَمْعِهِ وَلُعَابِهِ حُكْمُ سُؤْرِهِ فِي الطَّهَارَةِ وَالنَّجَاسَةِ.

“Semua haiwan, hukum kulit, bulu dan air peluhnya mengambil hukum air liurnya sama ada suci atau najis.”

[al-Mughni, 1/46]

Bahkan sebetulnya rambut dan bulu semua haiwan sama ada yang boleh dimakan atau yang tidak boleh dimakan adalah suci sebagaimana yang ditegaskan oleh Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah.

Jelas beliau:

إِنَّ ‌جَمِيعَ ‌الشَّعْرِ وَالرِّيشِ وَالْوَبَرِ وَالصُّوفِ طَاهِرٌ سَوَاءٌ كَانَ عَلَى جِلْدِ مَا يُؤْكَلُ لَحْمُهُ أَوْ جِلْدِ مَا لَا يُؤْكَلُ لَحْمُهُ وَسَوَاءٌ كَانَ عَلَى حَيٍّ أَوْ مَيِّتٍ.

“Semua rambut, bulu dan kulit haiwan adalah suci. Tidak kira sama ada yang boleh dimakan dagingnya atau yang tidak boleh dimakan, dan sama ada haiwan itu hidup atau mati.”

[Majmuk Fatawa, 21/38]

Sedangkan maklum bahawa binatang kucing banyak berkeliaran di sekeliling manusia termasuklah di dalam rumah-rumah manakala bulu-bulunya akan banyak jatuh gugur sama ada atas pakaian manusia ataupun barangan perkakas dalam rumah mereka.

Tidak pula diketahui bahawa Nabi ﷺ menjaga kebersihan dirinya daripada bulu-bulu kucing ataupun memerintahkan para Sahabat berbuat demikian.

Tambahan pula baginda ﷺ secara jelas dan tegas bersabda “Sesungguhnya kucing bukan najis.”

Jelaslah bahawa bulu kucing adalah suci manakala bulu-bulunya yang hinggap atas badan atau pakaian tidak menimbulkan apa-apa halangan sama ada dalam solat atau di luar solat.

Adapun pandangan yang membatalkan solat sekiranya terdapat banyak bulu kucing atas badan atau pakaian maka ini pandangan yang tertolak, tidak diterima kerana tidak didasari dalil yang sahih sedangkan petunjuk dalil menunjukkan sebaliknya sebagaimana yang telah dijelaskan di atas.

Maka nas hadis perlu didahulukan manakala mana-mana pandangan akal ijtihad yang menyalahi petunjuk hadis wajib ditolak.

CATATAN

Sahabat Nabi ﷺ yang paling banyak meriwayatkan hadis iaitu Abu Hurairah mendapat jolokan nama ini (Abu Hurairah) kerana beliau gemar memelihara kucing (hurairah). Tiada walau satu pun riwayat daripada beliau menghukum bulu kucing sebagai najis. Malah beliau antara yang meriwayatkan hadis “Kucing bukan najis.”

Rujukan:

https://islamqa.info/ar/answers/176304/حكم-الصلاة-في-الثوب-الذي-يعلق-به-شعر-من-شعور-القطط

Allah jua pemberi petunjuk.

Dr. Idris bin Sulaiman
Kajang
11 Syawal 1445H
20 April 2024
https://idrissulaiman.com

Similar Posts

  • | |

    SEDEKAH PERLU SECARA ZAHIR ATAU SEMBUNYI?

    SEDEKAH PERLU SECARA ZAHIR ATAU SEMBUNYI? Tidak dinafikan bahawa MENYEMBUNYIKAN SEDEKAH lebih afdal sebagaimana dalam hadis 7 golongan yang bernaung di bawah bayang-bayang Arasy di Padang Mahsyar lalu disebutkan antaranya ialah orang yang bersedekah sehingga tangan kirinya tidak tahu apa yang disedekahkan oleh tangan kanannya. Hadisnya sahih dalam Bukhari dan…

  • |

    MUBAHALAH

    Mubahalah bermaksud sumpah laknat antara dua orang yang berselisih. CARA PELAKSANAAN Cara pelaksanaan mubahalah ialah dengan kedua-dua orang yang berselisih itu hadir membawa bersama anak, isteri dan keluarga masing-masing kemudian mereka berdua berdoa secara bersungguh-sungguh meminta Allah ﷻ melaknat siapa yang berbohong. Sekalipun mubahalah hanya melibatkan antara dua orang yang…

  • |

    LARANGAN MENDOAKAN JENAZAH ORANG KAFIR

    Firman Allah ﷻ: وَلَا تُصَلِّ عَلَىٰٓ أَحَدٖ مِّنۡهُم مَّاتَ أَبَدٗا وَلَا تَقُمۡ عَلَىٰ قَبۡرِهِۦٓۖ إِنَّهُمۡ كَفَرُواْ بِٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ وَمَاتُواْ وَهُمۡ فَٰسِقُونَ “Dan janganlah engkau solatkan seorang pun yang mati daripada kalangan mereka, dan janganlah engkau berada di (tepi) kuburnya, kerana sesungguhnya mereka telah kufur kepada Allah dan RasulNya, dan mereka…

  • | | |

    MEMINTA PERTOLONGAN DI MAKAM SAYYIDINA HUSAIN?

    Berikut sanggahan kepada klip video seorang ‘ustaz’ yang mendakwa beberapa perkara tentang kelebihan ‘MAKAM SAYYIDINA HUSAIN’. 1. BERDOA DI MAKAM SAYYIDINA HUSAIN MUSTAJAB JAWAPAN: Ini HANYA DAKWAAN daripada sang ustaz TANPA DALIL syarie. Sekadar CAKAP DENGAR berdasarkan kepada MIMPI KARUT MARUT. Semenjak bila pula MIMPI menjadi dalil? TIDAK PERNAH sama…

  • |

    KEBENARAN TIDAK BOLEH DIPAKSA

    Muslim disuruh supaya memberi ingatan yang baik, tegur-menegur di samping mengajak manusia lain kepada kebaikan dan menjauhi kemungkaran. Sekadar menyampaikan, tanpa paksaan. Terserah kepada empunya badan untuk menerimanya atau tidak. Firman Allah ﷻ: وَلَوۡ شَآءَ رَبُّكَ لَأٓمَنَ مَن فِي ٱلۡأَرۡضِ كُلُّهُمۡ جَمِيعًاۚ أَفَأَنتَ تُكۡرِهُ ٱلنَّاسَ حَتَّىٰ يَكُونُواْ مُؤۡمِنِينَ “Dan jika…